Memaparkan catatan dengan label Johor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Johor. Papar semua catatan

Rabu, 18 September 2013

Penyokong Johor cetus kekecohan



SEBAHAGIAN penyokong Johor berkumpul di hadapan bilik persalinan pemain

di Stadium Perbandaran Pasir Gudang malam kelmarin.


HAMPIR 2,000 penyokong setia Johor membuat kecoh di pekarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan seri antara Johor dan Sime Darby pada saingan Kumpulan A kempen Piala Malaysia malam kelmarin.

Difahamkan, kekecohan tersebut timbul kerana penyokong Johor beranggapan keputusan seri tersebut telah diatur memandangkan ia telah tersebar menerusi laman sosial Facebook sejak seminggu yang lalu.

Pengurus Johor, Onn Jabbar berkata, perkara itu menjadi serius kerana secara kebetulan keputusan perlawanan kelmarin sama dengan dakwaan yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

"Sebenarnya mereka (penyokong) tidak berpuas hati dengan beberapa pemain Johor kerana menganggap perkara itu sudah dirancang dan mendakwa mereka tertipu apabila secara kebetulan keputusan pada perlawanan itu sama seperti dalam dakwaan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Onn bagaimanapun menafikan terdapat unsur-unsur mengatur perlawanan atau bookie yang melibatkan para pemainnya.

Katanya, penyokong hanya bertindak melulu dan mempercayai dakwaan tersebut tanpa memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan pasukan.

"Sepatutnya mereka memberitahu kepada pihak pengurusan kerana antara kami sudah mengenali dan perkara itu boleh disiasat dengan lebih terperinci," katanya.

Onn turut memaklumkan, disebabkan kejadian itu, pihak pengurusan membawa beberapa pemain dan jurulatih bersemuka dengan penyokong bagi menyelesaikannya.

Justeru, katanya, pihak pengurusan akan menjalankan siasatan bagi mencari punca isu tersebut yang mencetuskan kecoh selama satu jam sejurus perlawanan tamat.

"Kita pun tidak mengenali siapa bookie yang dimaksudkan itu," katanya.
Onn turut menasihatkan para penyokong Johor agar tidak bertindak secara melulu dan menganggap apa yang berlaku kelmarin amat merugikan pasukan.

"Penyokong sepatutnya memberikan peluang kepada pemain sehingga tamat perlawanan dan tidak membuat provokasi yang akhirnya memberi kelebihan pasukan lawan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 16 September 2013

Sime Darby ketepi sentimen



KARLO PRIMORAC (depan) menjadi taruhan Sime Darby pada aksi bertemu Johor di Stadium MP Pasir Gudang malam ini.


SIME DARBY semakin merasai bahang bertemu Johor menjelang aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Pasir Gudang malam ini.

Ketika ini, skuad kendalian Ismail Zakaria berkongsi tujuh mata dengan naib juara musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peluang Johor mengintai peluang ke suku akhir juga masih cerah apabila mengutip lima mata, selain pernah mengecewakan Sime Darby dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium MP Selayang pada 24 Ogos lalu.

Ketika itu, aksi kedua-dua pasukan juga dicemari insiden tidak diingini apabila pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan diserang penyokong pelawat sebaik perlawanan tamat.

Justeru, Ismail enggan anak-anak buahnya dibuai sentimen luar padang serta kekal fokus memburu tiga mata berharga.

"Saya harap pemain telah melupakan kekecewaan ketika ditewaskan Johor tempoh hari.

"Inilah masa terbaik untuk kami memperbaiki pencapaian yang sekadar terkandas di peringkat kumpulan musim lalu, jadi kami perlu memberikan segala-galanya di atas padang," kata Ismail kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, Ismail juga berharap skuad kendaliannya mampu muncul juara kumpulan supaya memiliki kelebihan di peringkat suku akhir kelak.

"Momentum pemain juga dipuji meskipun berehat panjang selepas aksi Piala Malaysia direhatkan seketika.

"Ia dapat dilihat selepas kami berjaya mengatasi Pahang 3-0 dalam satu aksi persahabatan baru-baru ini," katanya.

Selepas berdepan Johor, skuad The Giant Killer bakal membuat perhitungan dengan ATM dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium MP Selayang, Sabtu ini.

Ketika aksi pertama kumpulan 20 Ogos lalu, Sime Darby berjaya mengecewakan ATM dengan kemenangan bergaya 4-3.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 4 September 2013

PBNJ hanya perlu tukar nama


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan bahawa mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua ahli gabungan badan induk itu berbuat demikian. 

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBNJ semalam, jawatankuasa itu telah ditubuhkan pada 12 Jun 2012 semasa Mesyuarat Eksekutif Kedua Sesi 2012/2016 yang dipengerusikan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (gambar).

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Penyiasat, Keselamatan dan Perubatan.

Hal itu juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya yang turut menghadiri Mesyuarat Setiausaha Agung/Kehormat/Ahli-ahli FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

"Salah satu matlamat dan objektif dalam jawatankuasa ini adalah untuk menyiasat segala salah laku pemain dan pegawai dalam pasukan di bawah PBNJ, jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

"Sebagai contoh dalam isu mengatur perlawanan, PBNJ bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Kontinjen Johor sudah membuat siasatan awal sejak bermulanya Liga Malaysia 2013 berhubung isu tersebut yang membabitkan bookie dalam arena bola sepak tempatan," kata kenyataan itu.

Berikutan tindakan PBNJ itu, FAM telah menghantar satu surat bertarikh 4 April lalu yang mahukan semua ahli gabungannya menetapkan satu tarikh khusus bagi mengadakan satu kunjungan antara pihak polis dan FAM di setiap negeri bagi menangani isu bookie dalam bola sepak.

"Bagaimanapun, PBNJ menolak secara baik dalam surat rasmi bertarikh 17 Mei lalu kerana PBNJ terlebih dahulu mengambil inisiatif membanteras kegiatan tersebut pada Mac lalu," kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, selaras dengan kehendak FAM, PBNJ akan menukar nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Integriti dengan kadar segera.

Semalam Kosmo! melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mendedahkan PBNJ antara tiga persatuan bola sepak (FA) negeri selain Pulau Pinang dan Sarawak yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti.

Hamidin dilapor berkata, ketiga-tiga persatuan tersebut diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

'Provokasi FAM' di Pasir Gudang

Oleh Rizar Mohd Noor -Berita Harian

Pasir Gudang: Tindakan Pesuruhjaya Perlawanan, Muhathir Parto memasuki padang membuat kiraan rambang pembakaran suar oleh penyokong Johor sejurus perlawanan menentang Tentera yang berkesudahan seri 3-3 di Stadium Pasir Gudang malam tadi hampir menyebabkan kekecohan.

Malah, tindakannya mengarahkan lampu limpah dipadamkan menyebabkan pengurus Johor, On Jabar menegur perbuatannya itu kerana ketika itu masih ramai peminat belum keluar dari stadium sebelum kedua-dua kemudian dilihat bertengkar hampir 10 minit di tepi padang.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Isnin, 26 Ogos 2013

Sime Darby, Johor dalam perhatian


SEORANG penyokong menyerang Suhaimi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu ketika aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.


HUKUMAN berat dijangka menanti Sime Darby dan Johor ekoran kekecohan yang tercetus pada pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Dalam aksi yang berkesudahan Johor menang 2-1 itu, seorang penonton yang dipercayai penyokong pasukan pelawat tiba-tiba memasuki kawasan padang sebelum menyerang pengadil, Suhaimi Mat Hassan sebaik perlawanan tamat.

Tindakan itu dipercayai berpunca ketidakpuasan hati penyokong berkenaan terhadap pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain Johor, Khairul Ismail pada pertengahan babak pertama.
Namun, keadaan berjaya dikawal apabila penyokong berkenaan berjaya ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Cuma yang menimbulkan persoalan, bagaimana penyokong terbabit berjaya melepasi kawalan keselamatan di stadium berkenaan sehingga meletakkan kedua-dua pasukan di ambang 'bahaya' ekoran bakal berdepan hukuman berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu laporan daripada komisioner perlawanan sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Isu pencerobohan penyokong ke dalam stadium ini memerlukan siasatan terperinci.

"Jadi kami akan menunggu laporan daripada komisioner perlawanan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya," kata Taufek kepada Kosmo! semalam.

Taufek membayangkan kedua-dua pasukan tidak terlepas daripada hukuman yang berat oleh pihaknya jika didapati bersalah dalam insiden itu.

Ini kerana menurut beliau, pihaknya perlu bertindak adil bagi mengelak kejadian seumpamanya berulang pada masa depan.

"Masih terlalu awal bagi menentukan pihak mana yang bersalah...bila laporan penuh diterima siasatan lanjut akan dijalankan sebelum mengenalpasti bentuk hukuman," katanya.

Difahamkan, Sime Darby bakal disiasat kerana gagal menjamin keselamatan sebagai tuan rumah sementara Johor pula berdepan tindakan sama kerana ia membabitkan penyokong mereka.

Dalam perlawanan itu, Sime Darby terlebih dahulu di depan seawal minit ke-13 menerusi jaringan penyerang import, Karlo Primorac sebelum Khairul menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma berselang sembilan minit kemudian.

Meskipun tempang dengan 10 pemain selepas Khairul dibuang padang, Johor masih mampu memperoleh gol kedua menerusi Mohamad Izuan Jarudin pada minit ke-48.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 20 Julai 2013

PBNJ mengambil langkah berani

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal mendapatkan khidmat seorang pengurus baharu yang berasal dari Sepanyol bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang enggan mendedahkan secara khusus siapa individu tersebut bertitah, pengurus baharu Harimau Selatan merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.

“Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil untuk memperkukuhkan lagi pasukan untuk musim depan,” titah baginda menerusi satu kenyataan dalam laman sosial Facebook Kesultanan Johor dan Johor Darul Takzim semalam.

Sementara Fandi Ahmad yang bertindak sebagai jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT) akan terus bersama pasukan tersebut sebagai Penolong Jurulatih.

Sejajar dengan prinsip PBNJ yang sentiasa membawa nama-nama besar dalam industri bola sepak, Tunku Ismail bertitah, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama bekas bintang bola sepak Argentina, Pablo Aimar, 33.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah, PBNJ juga telah mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi Johor DT bagi musim akan datang.

“Kami juga sedang dalam proses rundingan dengan beberapa pemain untuk beraksi dengan pasukan Johor DT,” titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail menegaskan bahawa sumber kewangan persatuan bukan datangnya daripada wang rakyat.

“Ingin saya tegaskan bahawa sumber kewangan PBNJ adalah daripada Sultan Johor, saya sendiri dan juga rangkaian penaja yang melabur dalam negeri Johor dan tidak melibatkan wang rakyat. 

“Oleh itu, kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas adalah lebih baik berdiam diri daripada menjatuhkan maruah diri sendiri,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 24 Januari 2013

Johor tidak gentar



AZMI yakin anak-anak buahnya mampu mengatasi Pahang malam ini.


KEMAMPUAN Pahang selaku pendahulu Liga Super sama sekali tidak menghadirkan rasa gentar buat pasukan Johor apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi pembuka tirai Piala FA malam ini.
Meskipun skuad Tok Gajah berjaya menumpaskan nama-nama besar dan hanya tewas sekali sahaja kepada Selangor dalam saingan liga setakat ini, namun pengendali Johor, Azmi Mohamed tetap optimis anak-anak buahnya mampu mencipta kejutan.
Menurut Azmi, Pahang bukanlah pasukan asing buat Johor selepas kejayaan mereka menundukkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu pada pertemuan pra musim Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor hujung tahun lepas.
"Namun, kami tetap tidak boleh mengambil ringan perlawanan esok (malam ini) memandangkan Pahang kini bukan seperti pasukan Pahang yang kami tewaskan sebelum ini.
"Saya sendiri ada membuat analisis perlawanan Pahang sepanjang saingan Liga Super dan jelas pasukan itu sudah memperbaiki rentak permainan mereka," katanya.
Menurut Azmi, meskipun Johor hanya beraksi dalam saingan Liga Premier berbanding Pahang yang beraksi dalam Liga Super, namun itu semua tidak boleh diambil kira apabila beraksi dalam saingan Piala FA.
Katanya, apa yang penting, semua pemain harus fokus kerana bagi saingan kalah mati, mana-mana pasukan juga mampu untuk membuat kejutan.
"Saya yakin, kesemua pemain akan menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi menewaskan Pahang sekali gus mara ke pusingan seterusnya.
"Saya harap, bermain di tempat sendiri akan turut memberi kelebihan buat pasukan Johor," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 21 Januari 2013

Sabah tersungkur, Johor garang


PEMAIN Johor, Juan Muriel Orlando (dua dari kanan) melepasi halangan pemain UiTM FC pada aksi Liga Premier di Pasir Gudang semalam.


REKOD kebal Sabah di gelanggang sendiri musim ini akhirnya lebur apabila tumpas 0-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Premier di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang semalam.

Penyerang berbisa Sang Kenari, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri meletakkan pasukan pelawat di depan apabila tenang menyempurnakan hantaran cantik Arman Fareez Mohd. Ali pada minit ke-40.
Muhammad Fiqkry Md. Isa melengkapkan derita Sang Badak apabila meledak gol kedua pada penghujung babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Marijo Tot kini melonjak ke tangga kedua liga dengan 12 mata, kurang satu mata di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jurulatih Sabah, David McCreery ternyata kecewa dengan kekalahan tersebut.
"Pemain dilihat tidak begitu bekerjasama, saya sendiri tidak tahu mengapa," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Di Stadium MP Pasir Gudang, Johor menepati ramalan apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan tercorot, UiTM FC dengan keputusan 2-0.

Beraksi buat pertama kali di stadium berkenaan dalam saingan liga musim ini, Johor dilihat mempunyai peluang terbaik untuk berpesta gol, namun sering kali mempersia-siakan peluang yang ada.

Meskipun menguasai sejak awal permainan, namun gol pertama Johor hanya hadir pada minit ke-37 menerusi jaringan Mohd. Khairul Ismail, hasil hantaran lintang Mohd. Alif Mohd. Yusof.

Anak-anak buah Azmi Mohamad sebelum itu mempunyai beberapa peluang, namun percubaan terbaik daripada pemain import, Juan Muriel Orlando pada minit ke-20 berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Muhd. Nor Haziq Mohd. Aris manakala percubaannya tiga minit kemudian sekadar melepasi gawang.
Pada babak kedua, skuad Harimau Selatan terus menggandakan asakan, namun gol kedua hanya diperoleh pada minit-minit terakhir perlawanan apabila kapten pasukan, Mohd. Farid Ramli membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti.

UiTM yang tewas dalam semua perlawanan terdahulu turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58, namun tandukan Muhammad Afham Zulkipeli berjaya ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Mohd. Fazli Paat.

Dengan kemenangan itu, Johor kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan apabila seri tanpa jaringan menentang Sime Darby, menang 2-0 menentang NS Betaria, membelasah Kuala Lumpur 5-1 dan tewas 1-2 kepada Kedah sebelum ini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM kekal menerajui Liga Premier meskipun sekadar seri 1-1 dengan Pos Malaysia.

Sime Darby pula sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium MP Selayang manakala Perlis tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Di Stadium KLFA, Cheras, NS Betaria melakar kemenangan sulung musim ini apa- bila menewaskan KL SPA dengan keputu- san 3-2.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Fandi berpuas hati



GUIZA (kiri) semakin mempamerkan keserasian beraksi dengan Johor DT dan setakat ini berjaya mencetak gol dalam beberapa perlawanan.


JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun gagal untuk mengutip tiga mata penuh ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat lalu.

Jelas Fandi, meskipun sekadar seri 2-2, namun anak-anak buahnya telah menunjukkan perkembangan positif berbanding tiga perlawanan terdahulu ketika menentang Pahang, Perak dan Kelantan.

Untuk rekod, Johor DT tewas 2-3 kepada Pahang di Kuantan sebelum menewaskan Perak 1-0 di laman sendiri, diikuti seri 1-1 ketika berdepan Kelantan di Kota Bharu.

"Kita telah melepaskan dua mata berharga kerana sepatutnya kita boleh memperoleh tiga mata penuh. Kita mendominasi perlawanan pada babak kedua dengan beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi gagal.

"Bagaimanapun saya rasa, buat pertama kalinya pasukan ini telah menamatkan permainan dengan sangat baik meskipun selepas ketinggalan, mereka kembali bangkit dan terus menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya bangga dengan komitmen semua pemain," katanya.

Pada aksi tersebut, Johor DT bermula agak perlahan sehingga membenarkan ATM mendahului seawal minit kelima.

Namun, skuad Harimau Selatan tidak panik, sebaliknya bangkit untuk kembali menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi pemain import, Daniel Guiza.

Johor DT kembali ketinggalan apabila skuad kendalian B. Sathianathan menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 menerusi tendangan percuma Irwan Fadly Idrus sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.

Fandi bagaimanapun menuntut anak-anak buahnya agar memperbaiki lagi mutu permainan bagi memastikan mereka mampu meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Pemain telah memberikan satu permainan yang menghiburkan kerana kita tidak terlalu ingin bertahan tetapi kita tidak boleh terus-terusan memberi permainan sebegini. Kita perlu jaringkan gol dan kita perlu menang.
"Kita telah cuba yang terbaik tetapi pemain perlu bekerja lebih keras pada perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan seterusnya, Johor DT akan menentang Selangor PKNS di Stadium Shah Alam malam esok.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 20 Januari 2013

Nasihat Annuar buat TMJ


“SAYA nasihatkan TMJ (Tunku Mahkota Johor) supaya jadi presiden (bola sepak negeri) serupa dengan presiden-presiden lain. Ada ramai presiden persatuan bola sepak di negara ini. Sama ada beliau, Wan, Nik, Datuk, Tengku, Raja atau Sultan sekalipun, mari kita ikut satu peraturan sahaja.”

Itu antara nasihat yang diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) semalam yang dianggap mencetuskan perkara-perkara ‘pelik’ yang membawa kegawatan dalam arena bola sepak negara masa ini.

Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru apabila pasukan Johor Darul Takzim yang dikatakan membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagaimanapun, PBNJ menjelaskan kelmarin bahawa pasukan tersebut bukan anggota GGK sebaliknya askar Timbalan Setia Negeri (TSN) atau Johor Military Force (JMF) yang ditugaskan untuk mengawal pergerakan kerabat Johor yang menghadiri majlis tertentu termasuk mana-mana acara sukan.

“Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain menerusi ‘pintu belakang’, bawa masuk askar dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.

“Jadi nasihat saya sebagai orang tua kepadanya, apapun dia adalah rakan sejawat saya. Lupakan latar belakang kita, saya, Tan Sri dan beliau, Tunku.

“Saya mahu nasihat beliau dan beliau juga pernah menasihati saya. Tak usah bawa benda pelik-pelik dalam bola sepak negara. Buat seperti biasa sahaja. Bola sepak ini permainan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Annuar mendedahkan bahawa beliau telah mengambil langkah keselamatan yang ‘luar biasa’ untuk memastikan penyokong-penyokong Johor dijaga dengan baik pada perlawanan, Selasa lalu antaranya memikirkan bagaimana hendak membawa masuk, keluar mereka serta meminta bantuan kelab penyokong rasmi bagi jaga pasukan pelawat.

“Saya tak pernah lagi menyusun urusan keselamatan pasukan pelawat seperti mana yang kami buat untuk Johor. Saya mahu dia faham mengenai perkara ini. 

“Sepanjang jadi presiden KAFA, saya belum pernah mengambil tanggungjawab sendiri dan mengadakan perbincangan sendiri kerana memikirkan supaya penyokong-penyokong Johor dapat dijaga dengan baik. Sebelum ini, biasanya saya serahkan kepada bahagian pentadbiran.

“Dan saya tak pernah melibatkan kelab penyokong untuk menjaga pasukan pelawat. Ini kali pertama kami lakukan untuk Johor. Semuanya berjalan baik dan melalui perbincangan, jadi gambaran yang diberikan tidak tepat,” ujarnya.

Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim telah membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah stadium di Kota Bharu tidak selamat.
 
Permusuhan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan hanya di atas padang kerana sebelum saingan liga bermula, kedua-dua pasukan sudah berbalah mengenai perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau 
Johor tidak pernah melakukan kesalahan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 18 Januari 2013

Tunku Ismail kecewa insiden di Kota Bharu


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap sikap Persatuan Bola Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa sengaja menimbulkan kekecohan ekoran kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lalu.

Jelas Tunku Ismail kepada Kosmo!: “JMF tidak berada di sana, kalau ada pun, mereka adalah penyokong yang memakai baju Johor dan mereka tidak bertugas ketika itu.”

Ujar baginda lagi, JMF seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini merupakan Kumpulan Gerak Khas 21 Komando dari Kem Gerak Khas Mersing, Johor yang perlu bersiap sedia sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar berhasrat mencemar duli ke stadium berkenaan dan ia tiada kena mengena dengan PBNJ.

“Ia adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) pada hari itu sekiranya menerima arahan kalau-kalau Ke Bawah Duli Tuanku mencemar duli untuk berangkat,” titah baginda pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.

Tunku Ismail turut mengesahkan, beliau tidak berada di stadium ketika perlawanan itu berlangsung.
“Saya tidak faham kenapa pihak di sana (Kelantan) cuba alihkan perhatian kepada kehadiran JMF dan akhirnya Johor menjadi mangsa. Kita yang terkena balingan botol kaca, batu dan banner kita diambil dan dikoyakkan oleh penyokong Kelantan, seorang kanak-kanak dan seorang penyokong wanita kita turut terkena balingan botol dan kayu. 

“Demi keselamatan juga, para pemain kita pula terpaksa turun ke tengah-tengah padang, lampu stadium ditutup dan dengan cara bersembunyi kita melalui pintu belakang untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,” titah baginda.

Pada perkembangan berkaitan, Tunku Ismail turut mempersoalkan ketiadaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di stadium memandangkan telah beberapa kali insiden buruk tercetus dalam kalangan penyokong The Red Warriors sebelum ini.

“Saya tertanya-tanya kenapa KAFA tak benarkan FRU berada di stadium, saya dah bincangkan hal ini sebelum ini, hal ini sepatutnya tidak berlaku.

“Yang paling mengecewakan saya ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra turut terkena (balingan botol), ini sekali gus menunjukkan pihak Kelantan gagal mengawal penyokong mereka.”

Dalam pada itu, secara sinis, Tunku Ismail turut menyelar tindakan individu tertentu yang disifatkannya seperti ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila bertindak melakukan provokasi melalui laman sosial Facebook bagi membangkitkan kemarahan ramai.

Titah baginda, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan kemuka aduan kepada FAM.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 26 Disember 2012

Aidil kekok beralih posisi (Berita Harian)

'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD 'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD
 
Johor Bahru: Selepas sekian lama mendominasi posisi pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak bakal memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bersama kelab Johor Darul Takzim di posisi pertahanan kanan.

Pemain pertahanan Harimau Malaya mengakui dirinya agak kekok selepas ketua jurulatih skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad meletakkannya beraksi di posisi itu buat pertama pada sesi latihan pertama bersama skuad itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.
"Ini adalah pertama kali dalam karier bola sepak saya beraksi di posisi pertahanan kanan dan saya akui agak kekok pada sesi latihan pertama namun sebagai pemain profesional masalah itu mampu diatasi dan saya yakin segala kerumitan yang dihadapi akan dapat diselesaikan.


"Apapun semuanya bergantung kepada jurulatih (Fandi Ahmad) yang mencorakkan taktikal pasukan, dan dengan adanya latihan sebelum saingan Liga Super bermula sudah pasti saya akan bersedia menggalas tugas di posisi baru," kata Aidil Zafuan.

Bagi Fandi perubahan itu perlu dilakukan memandangkan pasukan itu sudah ada pemain pertahanan tengah yang mantap gandingan Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad malah tindakan itu juga bagi memastikan posisi pertahanan kanan memerlukan pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan.

"Salah satu faktor yang menyebabkan saya mengubah posisi Aidil Zafuan lebih terarah kepada perlu pemain pertahanan kanan yang mampu melakukan larian pantas untuk membuat serangan di posisi sayap kanan dan saya lihat beliau amat sesuai untuk diletakkan di posisi itu.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan posisi baru itu dan bakal bergandingan bersama kembarnya, Zaquan Adha (Abd Radzak) yang akan beraksi di posisi sayap kanan," katanya.
Fandi juga berpuas hati dengan komitmen dari lima pemain kebangsaan, Safee Sali, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Azmi Muslim dan Norshahrul Idlan Talaha yang memulakan latihan pertama bersama skuad Harimau Selatan yang tampak bersemangat tatkala masih perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan Johor Darul Takzim.

"Kita akan harungi saingan empat penjuru yang bermula malam esok namun kelima-lima pemain mempunyai tempoh singkat untuk menyesuaikan diri.

Bagaimanapun sebagai pemain profesional dan pernah beraksi dengan beberapa pasukan, saya yakin tidak timbul masalah buat mereka mempraktikkan corak permainan yang saya terapkan," kata Fandi.