Memaparkan catatan dengan label Tottenham Hotspur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tottenham Hotspur. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Oktober 2013

Spurs gah hampiri saingan kalah mati

Berita Harian
 
Moldova: Kelab Inggeris, Tottenham Hotspurs menewaskan kelab Moldova, FC Sheriff 2-0 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Europa untuk bergelar calon terbaik melangkah ke peringkat kalah mati, awal pagi semalam.

Pertahanan Belgium, Jan Vertonghen menanduk masuk sepakan percuma Christian Eriksen pada minit ke-12 sebelum Jermain Defoe mengesahkan gol kemenangan 15 minit sebelum perlawanan berakhir untuk menyamai rekod jaringan Martin Chivers di kelab itu dalam kempen Eropah kepada 22 gol.
“Mereka mempunyai beberapa peluang menerusi serangan balas,” kata jurulatih Tottenham, Andre Villas-Boas yang menyaksikan gawangnya turut dibolosi namun dibatalkan akibat ofsaid.


Kelebihan 5 mata

“Mereka nampak baik ketika serangan balas, mencipta beberapa peluang terbaik dan kami perlu memujinya. Seri adalah keputusan yang adil namun gol kedua sentiasa penting untuk perlawanan seperti ini.

“Kami bernasib baik untuk meraih gol kedua untuk menamatkan perlawanan namun ia mungkin boleh berakhir sebaliknya.”

Tottenham masih belum melepaskan sebarang jaringan dalam tiga perlawanan setakat ini dan mempunyai kelebihan lima mata di atas kelab Russia, Anji Makhachkala yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tromso. - AP

Isnin, 7 Oktober 2013

Bintang United kecewakan Moyes Rooney


LONDON - Wayne Rooney mengakui, barisan pemain bintang Manchester United telah mengecewakan pengurus, David Moyes musim ini. 

"Sudah tentu pengurus kini berada di bawah tekanan.

"Kami sedar, sebagai sebuah pasukan.. kami yang mengecewakannya. Kami patut berkerja keras demi pengurus dan buktikan semangat juang yang kami miliki," ujar bintang penyerang England itu. 

Tekanan amat dirasai oleh United ketika menentang Sunderland, Sabtu lalu, apatah lagi lawan terlebih dulu membuka jaringan menerusi Craig Gardner dan penjaga gol Red Devils, David De Gea pula dipaksa berhempas pulas pada babak pertama.

United bagaimanapun diselamatkan oleh permainan cemerlang pemain tengah berusia 18 tahun, Adnan Januzaj yang meledak dua gol cantik pada penampilan sulung Liga Perdana.

Rooney menyifatkan aksi goyah yang dipamer United pada awal musim sebagai tempoh peralihan.
"Ia disebabkan kami mempunyai pengurus baharu yang punya gaya berbeza dan setiap pemain sedang berusaha untuk menyesuaikan diri.

"Kami harus segera memperbaiki prestasi dan bermain mengikut apa yang dimahukan pengurus," ujar Rooney lagi.

Kerapuhan benteng United dan kurangnya kreativiti di bahagian tengah dilihat sebagai punca utama penyandang juara itu kini menghuni tangga kesembilan liga. 

Sementara itu, United semalam menawarkan kontrak baharu kepada Januzaj yang membolehkan pemain remaja itu menikmati gaji lumayan, 60,000 pound (RM306,700) seminggu. 

Pada ketika kontraknya sekarang akan luput dalam tempoh lapan bulan, sudah ada beberapa kelab menyuarakan minat untuk melamar pemain itu, justeru Moyes enggan berlengah dengan menawarkan sesuatu yang mampu memastikan Januzaj kekal di Old Trafford. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 14 September 2013

QPR intai Adebayor

Berita Harian
QPR intai Adebayor
London: QPR kini mensasarkan untuk mendapatkan khidmat Emmanuel Adebayor sebagai pemain pinjaman apabila penyerang itu dikatakan berlatih sebagai pemain gantian Tottenham.

Pemain berusia 29 tahun dari Togo itu diketepikan sebagai pemain pilihan di White Hart Lane dan tidak berada dalam pasukan pertama. Pengurus QPR, Harry Redknapp mahu menambat Adebayor dalam skuad tetapi mengakui peluang itu tipis.
Redknapp sudah membeli Tom Carroll dan Benoit Assou-Ekotto sebagai pinjaman daripada Spur, dan penyerang itu diberitahu berlatih sebagai pemain gantian di Spurs.

Dia adalah pemain baik tetapi terpulang kepada Tottenham, mereka ada ramai pemain bagus" Harry Redknapp, Pengurus QPR

Tetapi bekas pengurus Spurs itu mengakui ia sukar untuk meyakinkan pemain berkenaan untuk beraksi dalam Liga Championship.

“Dia akan menjadi pemain pinjaman yang baik, itu pasti,” kata Redknapp. “Saya tidak tahu apa akan terjadi kepadanya. Dia adalah pemain baik tetapi terpulang kepada Tottenham, mereka ada ramai pemain bagus.” - AGENSI

Rabu, 11 September 2013

Adebayor buru status penjaring No.1 Spurs


LONDON - Meskipun Tottenham Hotspur telah berbelanja £108 juta (RM555.3 juta) dalam membawa pemain-pemain baharu pada musim panas ini, penyerang Togo, Emmanuel Adebayor tetap percaya dia masih yang terbaik untuk menjadi peledak utama kelab berkenaan.

Adebayor masih belum beraksi pada musim ini setelah mengambil cuti panjang berikutan kematian abangnya.

Namun, pemain berusia 29 tahun itu yakin dia mampu menjadi tonggak utama Spurs musim ini.
Roberto Soldado dibeli dengan harga £26 juta (RM133.8 juta) untuk menajamkan lagi sentuhan gol Spurs, manakala Nacer Chadli dan Erik Lamela dibawa untuk memperkuatkan lagi jentera serangan mereka.

Seorang lagi penyerang, Jermaine Defoe juga masih belum membuat penampilan musim ini namun Adebayor menegaskan bahawa dia merupakan individu lebih layak untuk mengetuai barisan serangan.

"Hanya statistik yang akan menjadi bukti dalam karier seseorang pemain bola sepak. Saya bukan beritahu kamusaya lebih bagus daripada Soldado, Defoe atau Lamela.

"Kamu buatlah kajian sendiri di internet dan kamu akan dapati berapa jumlah gol yang telah saya sumbang sepanjang karier saya.

"Kini ada empat pemain di posisi penyerang, saya tidak tahu siapa pemain ranking utama, kedua atau ketiga tetapi saya tahu akhirnya nanti, saya yang akan menjadi penyerang utama.

"Dua tahun lalu saya penjaring terbanyak kelab ini. Musim lalu tidak begitu bagus.
"Musim ini saya mahu memperbaikinya.. Saya boleh beri jaminan apabila saya mula beraksi, saya akan bekerja lebih keras," tambahnya.

Adebayor menyertai Spurs dengan harga £5 juta (RM25.7 juta) dari Manchester City dan telah meledakkan lapan gol dalam 24 penampilan sejak berpindah secara tetap pada 2012. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 September 2013

Spurs dedah kenapa jual Bale


PEMBELIAN Bale (kiri) antara penyumbang utama kos pembelian pemain
di Liga Sepanyol meningkat dan tertinggi di dunia musim ini.


LONDON - Pengendali Tottenham Hotspur (Spurs), Andre Villas-Boas mengakui pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada menjual Gareth Bale ke Real Madrid.

Penyerang berusia 24 tahun itu melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai £85.3 juta (RM438.4 juta) ke Santiago Bernabeu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, Isnin lalu.
"Kami menerima tekanan daripada pelbagai pihak untuk melepaskan Bale.

"Pengaruh yang dimiliki Real cukup besar, jadi tiada apa yang boleh kami lakukan berhubung perkara itu," jelas Villas-Boas.

Namun, Villas-Boas enggan berterusan memikirkan kehilangan Bale selepas ini.
"Sejujurnya, kami gembira dengan yuran perpindahan berkenaan.

"Saya percaya Bale memasang impian untuk beraksi bersama kelab yang besar seperti Real.
"Segala-galanya terpulang kepada pemain sama ada mahu kekal ataupun tidak," katanya.

Pada masa sama, Villas-Boas juga mempertikaikan tempoh perpindahan pemain yang dilihat mengganggu persiapan mana-mana pasukan.
"Ia sepatutnya ditutup lebih awal. Sebagai pengurus, saya memerlukan lebih masa untuk memperkuatkan pasukan.
"Tetapi ia sukar dilakukan jika mana-mana pemain mahu dibeli pasukan lain," katanya.
- AGENSI

Isnin, 26 Ogos 2013

48 jam lagi 'episod Bale' berakhir: AVB

Berita Harian

London: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menegaskan perpindahan pemainnya, Gareth Bale ke Real Madrid masih belum dimuktamadkan tetapi menjangkakan rundingannya itu akan selesai dalam tempoh 48 jam.

Bale berada di Madrid ketika rakan sepasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Swansea di White Hart Lane, malam kelmarin untuk Tottenham meraih enam mata maksimum selepas menang dengan jaringan sama ke atas Crystal Palace, minggu lalu.
Sama ada perpindahan Bale terjadi atau tidak, harap ada berita mengenainya dalam tempoh beberapa hari ini dan buat masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan.


Kami benarkan dia (Bale) cuti dua hari. Ini bukan kali pertama. Kami tak pernah paksa pemain yang tidak disenaraikan untuk hadir menonton perlawanan kami. Latihan akan kembali bersambung Selasa (hari ini) dan saya jangka dia akan berada di sana, kata Villas-Boas.

Mentaliti baru

Usaha Tottenham mencari pengganti Bale terjejas apabila hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian tidak kesampaian apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Chelsea meskipun sudah menjalani ujian perubatan bersama Tottenham.

Lantas Villas-Boas dipercayai cuba mendapatkan penyerang Zenit St Petersburg, Hulk serta pemain pertahanan tengah Steaua Bucharest, Vlad Chiriches.
Biarpun tanpa Bale, Tottenham meraih tiga mata penuh ke atas Swansea menerusi sepakan penalti Roberto Soldado, jaringan keempat pemain Sepanyol itu dalam tiga perlawanan bersama Tottenham. - AFP

Bale menanti detik bersejarah


BALE dilapor hampir pasti menjadi milik Real musim ini.


MADRID - Bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale telah bersetuju dengan tawaran kontrak bernilai £97 juta (RM498.7 juta) untuk menyertai Real Madrid.

Kelab gergasi Sepanyol itu dilapor telah bersedia membuat pengumuman rasmi untuk mengikat Bale dengan nilai perpindahan sebanyak £86 juta (RM442.1 juta).

Jumlah itu sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan Bale menyertai Real ialah £183 juta (941 juta).
Real juga bersedia membayar gaji sebanyak £310,000 (RM1.59 juta) seminggu buat Bale bagi melengkapkan perpindahannya dari White Hart Lane dan dia akan menyarung jersi No. 11.

Dengan cukai pendapatan sekitar 52 peratus di Sepanyol, Bale bakal mendapat gaji bersih berjumlah £150,000 (RM771,330) seminggu.

Dengan jumlah itu, Bale bakal menerima gaji kedua tertinggi di Santiago Bernabeu setakat ini di belakang kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang masih lagi berusaha meminta pihak pengurusan Real menaikkan lagi gajinya.

Dalam pada itu, pentas juga sudah disiapkan di Santiago Bernabeu bagi memperkenalkan Bale kepada para peminat kelab gergasi Sepanyol tersebut sedikit masa lagi.

Ketika ini, Spurs berusaha keras bagi mendapatkan pengganti Bale selepas mereka terlepas peluang mendapatkan pemain tengah Brazil, Willian apabila pemain itu memilih menyertai Chelsea.

Spurs kemudiannya beralih tumpuan kepada penyerang AS Roma, Erik Lamela dan mereka bersedia mengeluarkan belanja bernilai £25.8 juta (RM132.6 juta).

Spurs juga berhasrat mendapatkan pemain pertahanan Romania dan Steaua Bucharest, Vlad Chiriches dengan nilai £8 juta (RM41.1 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 25 Ogos 2013

Imej Bale tiada lagi dalam laman web Spurs

 
London: Khabar yang mengatakan bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale akan menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid seakan menjadi kenyataan apabila gambar pemain itu sudah tidak kelihatan dalam laman web rasmi kelab Inggeris itu.

Selepas menyaksikan ‘drama’ Real yang menyenaraikan jersi dengan nama Bale dalam talian jualan mereka, gambar yang memaparkan Bale sebagai imej utama dalam laman web Spurs itu juga hilang, seakan memuktamadkan perpindahan pemain itu ke Sepanyol.
Adakah ia secara kebetulan? Walaupun masih belum terdapat sebarang pengesahan mengenai perpindahan Bale antara Spurs dan Real namun peminat kelab itu seperti sudah rela bakal kehilangan aset penting buat pasukan.


Sepanjang minggu ini, topik mengenai perpindahan Bale begitu hangat diperkatakan selepas Real memasukan jersi kelab itu dalam jualan secara online, Khamis lalu dengan memaparkan nama Bale pada jersi bernombor 11. - Agensi

Jumaat, 23 Ogos 2013

Real mula jual jersi Bale


MADRID - Real Madrid sudah mula 'menjual' Gareth Bale apabila jersi yang tertera nama bintang antarabangsa Wales itu sudah mula berada di pasaran semalam, meskipun pemain tersebut masih miliki Tottenham.

Difahamkan, rundingan di antara gergasi bola sepak Sepanyol itu dan Tottenham kini berada di peringkat akhir serta bersedia untuk mencapai persetujuan dalam tempoh terdekat, namun Bale masih belum berpindah atau mengorak langkah untuk ke Bernabeu. 

Akhbar Britain, Telegraph melaporkan, Bale dijangka melengkapkan perjanjian rekod dunia bernilai 93 juta pound (RM479.46 juta) pada hujung minggu ini.

Akhbar yang berpengkalan di Madrid, Marca dan AS pula menyiarkan gambar yang diambil daripada laman web Real, mempamerkan jersi No. 11 yang bakal dipakai oleh Bale yang sudahpun berada di pasaran. 

AS bagaimanapun berkata, penjualan jersi tersebut dilakukan oleh pengeluar sukan, Adidas sendiri bukan oleh kelab. 

Pengerusi Spurs, Daniel Levy dilaporkan telah mengadakan rundingan peringkat akhir dengan Real sejak dua hari lalu untuk dan persetujuan sudah dicapai, namun ia cuma melibatkan Bale dan tiada pemain lain terlibat. 

Real sebelum ini menawarkan beberapa pemainnya sebagai pertukaran untuk Bale.
Namun Spurs menegaskan, rundingan setiap pemain harus diadakan secara berasingan, termasuk yang melibatkan tonggak pertahanan Portugal, Fabio Coentrao. 

Perpindahan Bale dijangka tertangguh hingga Khamis depan kerana Real mengharungi perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Saad, yang merupakan pasukan kepada bekas penyerang mereka, Raul. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Real menyerah kalah?


MADRID - Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mula meragui keupayaan gergasi Sepanyol itu dalam mendapatkan khidmat bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale.

Bale yang juga pemain sayap Wales dijangka menninggalkan Spurs untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dan pihak Real juga dikatakan sudah bersedia memecahkan rekod perpindahan dunia pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ketika masa semakin suntuk dengan hanya tinggal lebih kurang dua minggu lagi untuk tarikh akhir perpindahan pemain, Ancelotti mula meragui keupayaan mereka membawa Bales ke Sepanyol dan beliau mendakwa yang pemain itu mungkin akan kekal di London.

Ancelotti, 54, tidak mahu lagi membicarakan tentang ketibaan Bale selepas dia dibidas oleh pengurus Spurs, Andre Villas-Boas baru-baru ini.

"Adakah Bale akan tiba di sini? Hari ini saya katakan tidak dan masih tiada perkembangan positif mengenai perkara itu.

"Ketika saya bercakap mengenai perkara ini baru-baru ini, (pengurus Spurs) Andre Villas-Boas telah menempelak saya. Jadi, ia bukanlah suatu isu yang ingin saya perjelaskan ketika ini," kata Ancelotti.
Ancelotti turut membuat perbandingan antara Real dengan AC Milan yang merupakan antara enam kelab yang pernah dibimbingnya setakat ini.

Menurut jurulatih kelahiran Itali itu, kedua-dua kelab tersebut memiliki persekitaran yang hampir serupa.

Katanya, Presiden Real, Florentino Perez serta Presiden Milan, Silvio Berlusconi merupakan individu yang sangat istimewa.

"Kedua-dua presiden kelab itu sangat menakjubkan. Terdapat suasana sangat baik antara kedua-dua kelab ini dan begitu juga sejarahnya," Ancelotti. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

Villas-Boas enggan lagi ulas perpindahan Bale


LONDON - Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas tidak mahu lagi mengulas mengenai masa depan Gareth Bale, yang dikatakan akan mencatat rekod perpindahan termahal di dunia ke Real Madrid sebelum tarikh akhir perpindahan pemain 2 September ini.

Bale mengalami kecederaan kaki dan sekali lagi tidak dapat beraksi ketika pasukannya seri 1-1 dengan Espanyol dalam aksi persahabatan di White Hart Lane kelmarin, di mana pemain baharu Roberto Soldado membuat kemunculan sulung dengan jaringan hasil sepakan penalti.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan mengenai Bale ialah saya tidak akan mengulas apa-apa lagi kerana semua orang membuat banyak spekulasi.

"Terbanyak pelbagai cerita yang berbeza yang mana ia tidak benar, ramai yang mengadakan-adakan cerita tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Apa yang boleh saya katakan ialah Bale sedang menjalani rawatan kerana kecederaan kaki.

"Mengenai spekulasi, saya tidak mahu menambahkan lagi apa yang telah saya beritahu anda," kata Villas-Boas.

Spurs meningkatkan kekuatan skuad dengan memecahkan rekod kelab dengan membeli Soldado dari Valencia pada harga 26 juta pound (RM131.2 juta).

Soldado berkata: "Apa yang seorang penyerang mahukan ialah menjaringkan gol, saya harap ini adalah yang pertama dan akan lebih banyak gol menyusul selepas ini."

Tottenham akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang pendatang baru Crystal Palace pada 18 Ogos. - AFP

Sabtu, 10 Ogos 2013

Real tidak bersedia penuhi tuntutan Spurs


MIAMI - Presiden Real Madrid, Florentino Perez mengakui dalam temu bual dengan ESPN bahawa idea untuk mengeluarkan peruntukan sekitar 100 jura euro (RM435 juta) bagi menandatangani pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale adalah sesuatu yang keterlaluan.

Bercakap kepada stesen televisyen tersebut di Amerika Syarikat, di mana Real menumbangkan Chelsea 3-1 pada perlawanan persahabatan pra-musim, kelmarin Perez tidak menafikan kelabnya sedang dalam rundingan dengan Tottenham mengenai Bale, walaupun laporan media Sepanyol mendedahkan pertemuan dengan rakan sejawat, Daniel Levy di Miami tidak berlaku.

Bagaimanapun, Perez memberi gambaran bahawa dia tidak bersedia untuk memenuhi tuntutan pengerusi Spurs itu, yang mahukan yuran perpindahan yang mencatat rekod dunia bagi menjual bintang Wales, Bale.

"Kami telah bercakap dengan ramai orang dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku dalam kesemua rundingan kami, termasuk membabitkan pemain dan juga pihak lain.

"Tetapi kami tidak sering bercakap tentang pemain lain, sebagai menghormati pemain berkenaan, kelab mereka dan juga presiden yang merupakan sahabat saya. Kami telah membina hubungan persahabatan yang baik musim lalu, sewaktu kami menandatangani Luka Modric.

"Jika saya tidak bercakap mengenai pemain, saya juga tidak akan mengulas tentang duit, (tetapi) 110 juta euro nilainya terlalu besar bagi saya," kata Perez.

Laporan, minggu lepas mendedahkan bahawa Bale semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Santiago Bernabeu selepas tidak berada dalam skuad Tottenham ketika tumpas kepada Monaco pada perlawanan persahabatan di tempat lawan, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Levy berkata, dia bersedia untuk berunding dengan nilai yuran perpindahan sebanyak 105 juta pound (RM531 juta), sementara Real pula mahu menukar perjanjian kepada 85 juta pound (RM430 juta) beserta dengan pemain, Fabio Coentrao.

Bale menjaringkan 26 gol untuk Spurs pada musim lepas dan dinobatkan sebagai pemain terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Profesional (PFA), pemain muda terbaik dan pemain terbaik oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).

Sementara itu, Perez menambah, dia juga berharap kelab akan segera mengikat Cristiano Ronaldo - yang menyertai Madrid dari Manchester United yang mencatat rekod dunia bernilai 94 juta euro (RM409 juta) pada 2009 - dengan kontrak baru dalam tempoh beberapa minggu lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

Dempsey buat kejutan kembali ke negara asal

Dempsey  buat kejutan   kembali ke negara asal Dempsey pernah beraksi bersama Fulham sebelum ke Tottenham. 
 
Seattle: Clint Dempsey menyifatkan keputusan mengejutnya untuk berpindah keluar dari Eropah dengan menandatangani kontrak bersama Seattle Sounders adalah hanya kerana dia mahu kembali ke Amerika Syarikat ketika kariernya masih memuncak dan tidak mahu menunggu sehingga detik penghujung karier.

“Saya merindui untuk menetap di Amerika Syarikat,” kata Dempsey selepas melengkapkan perpindahannya daripada Tottenham.
Impak positif


“Saya mahu membantu untuk meneruskan pembangunan permainan di sini. Kamu tidak akan dapat membantunya jika kamu hanya kembali ketika kamu sendiri sudah tidak mampu beraksi dengan baik.

“Saya mahu memberikan satu impak positif dan melakukan tugas dengan baik di sini.

“Saya tidak mahu kembali untuk menjadi pasif dan tidak mampu memberi perubahan pada permainan di sini. Saya mahu memenangi sesuatu.”

Kesukaran kembali
Kehadiran semula Dempsey ke Liga Bola Sepak Major (MLS) direalisasikan selepas ejennya menghubungi kelab berkenaan, hujung bulan lalu dalam usaha membawa kembali pemain yang dianggap antara terbaik dimiliki Amerika Syarikat itu.

“Saya beraksi di Eropah untuk enam setengah tahun dan saya hanya mahu kembali ke negara asal. Setiap tahun, pasti ada saja kesukaran untuk saya kembali,” jelas Dempsey yang pernah beraksi bersama Fulham sebelum ke Tottenham. - AP 
 
 
Berita Harian

Ahad, 4 Ogos 2013

Ancelotti melampau

WALAUPUN mengakui sukar mengekalkan Bale, Villas-Boas mahu Real Madrid lebih profesional dalam berurusan.


LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas menegaskan bahawa pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak sepatutnya mendedahkan kepada umum tentang hasrat mereka ingin memiliki pemain tengah, Gareth Bale.

Pengurus Real itu menyatakan perkara tersebut secara terbuka kepada media selepas sesi latihan pasukan itu di Los Angeles pada Rabu lalu.

Menurut Ancelotti, Real kini serius membuat rundingan dengan Spurs bagi membawa bintang tengah Wales itu ke Madrid dengan bayaran yuran perpindahan rekod dunia.

"Pada pandangan saya apa yang dilakukan oleh beliau (Ancelotti) itu salah. Carlo merupakan seorang individu yang disegani serta dihormati. Dia tidak sepatutnya bercakap perkara yang sensitif itu secara terbuka.

"Kebiasaannya dalam situasi seperti itu, ia banyak diberi perhatian oleh Persatuan Bola Sepak (FA). Kami telah mengalami situasi seumpama itu banyak kali namun kami mempunyai perasaan hormat antara satu dengan lain dengan pihak yang terlibat," jelas Villas-Boas.

Kata pengurus berasal dari Portugal itu lagi, mereka sudah beberapa kali menjelaskan bahawa Bale tidak akan dijual dan mereka sepatutnya menghormati pendirian Spurs itu.

Villas-Boas menyatakan sedemikian dalam satu sidang akhbar selepas pasukannya tewas 2-5 kepada Monaco dalam satu aksi persahabatan di sini yang turut menyaksikan Bale, 24, tidak bermain akibat kecederaan.

"Gareth merupakan pemain yang sangat saya kagumi. Saya berbincang secara baik dengan Real kerana musim lalu kami telah mencapai persetujuan bagi menjual Luka Modric kepada mereka.
"Selain itu, kami juga ingin membina pasukan mantap pada musim ini. Kami juga mempunyai perancangan jangka panjang bersama Gareth. Tetapi, kami sedar dalam dunia bola sepak tiada yang mustahil," kata Villas-Boas lagi.

Sementara itu, media di Sepanyol dan England melaporkan bahawa Real bersedia memecahkan rekod dunia bagi membawa Bale ke Madrid dengan yuran perpindahan lebih daripada £85 juta (RM423.1 juta). - Reuters

Kosmo

Bale ucap selamat tinggal kepada Spurs


Gareth Bale 
 
LONDON - Gareth Bale mengucapkan 'selamat tinggal' kepada rakan sepasukannya di Tottenham dengan penuh emosi semalam dengan menandatangani autograf pada jersi sebelum skuad Andre Villas-Boas berlepas ke Monte Carlo untuk aksi persahabatan menentang Monaco.
Tottenham ke Monte Carlo tanpa membawa Bale, yang mengalami kecederaan kepala ketika pemain itu dikhabarkan diambang untuk menyertai Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bale juga mungkin terlepas aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan Wales yang akan menentang Ireland pada 14 Ogos ini kerana kecederaan.

Ketika Bale berusaha untuk mengembalikan kecergasannya, pengerusi Tottenham, Daniel Levy akan bersemuka dengan Presiden Real, Florentino Perez untuk membincangkan perpindahan Bale.
Real bersungguh-sungguh untuk melihat Bale beraksi di Bernabeu menjelang aksi pembukaan mereka menentang Real Betis pada 18 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu mungkin menjadi pemain termahal di dunia mengatasi rekod yang dipegang Cristiano Ronaldo, yang berpindah dari Manchester United ke Real dengan bayaran 94 juta euro (RM406 juta) pada 2009.

Levy dikatakan hanya menerima bidaan melepasi 105 euro (RM454 juta) untuk Bale. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 2 Ogos 2013

Bale ganti Ronaldo?


Gareth Bale 
 
LONDON - Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya usaha kelab itu untuk membeli pemain Tottenham Hotspur, Gareth Bale bertujuan untuk menggantikan Cristiano Ronaldo.

Madrid membuat bidaan rekod dunia 85 juta pound (RM418 juta) untuk Bale, yang menyatakan hasrat untuk berpindah dan Calderon mendakwa penggantinya, Florentino Perez mahu membuat persediaan dengan mendapatkan Bale, bimbang jika mereka kehilangan Ronaldo.

Ronaldo sudah lama dikaitkan dengan perpindahan semula ke bekas kelabnya Manchester United dan ada laporan bahawa tuntutan gaji baharu oleh pemain itu sukar untuk dipenuhi oleh Real.

Perez pernah mengisytiharkan Ronaldo akan kekal di Bernabeu sehingga pemain itu bersara namun penyerang mereka menafikan dia telah menandatangani kontrak baharu pada awal musim panas ini.

Calderon berkata, ketibaan Bale akan melegakan penyokong jika mereka Ronaldo memilih tidak mahu kekal di Madrid.

“Saya tahu Ronaldo tidak gembira dengan sikap dan tindak tanduk presiden kelab. Dia menuntut gaji baharu 20 juta Euro (RM86 juta) setahun yang sukar diterima oleh Real.

“Saya rasa presiden kelab mahu membuat persediaan sebaik mungkin jika Cristiano tidak mahu menandatangani kontrak baharu. Itu andaian saya.

“Presiden bimbang pada suatu ketika Cristiano mungkin akan berkata ‘saya tidak mahu terus berada di kelab ini’.

“Ia pastinya berita buruk buat Madrid. Saya memang mahu melihat dia bersara di Real namun sekarang keadaannya sukar. Sama-sama kita tengok minggu depan atau bulan depan sama ada masalah ini boleh diselesaikan dan dia mungkin kekal," kata Calderon.

Bale memberitahu bos Spurs, Andre Villas Boas bahawa dia mahu menyertai Carlo Ancelotti di Real Madrid pada hari pertama dia kembali memulakan latihan selepas bidaan sensasi Real.

Pengarah Sukan Real, Zinedine Zidane berkata, Bale sepatutnya dibenarkan merealisasikan impiannya untuk berpindah ke Sepanyol sambil menambah dia mungkin boleh menjadi pemain terbaik dunia di Bernabeu.

Kata Zidane: “Jika dia melahirkan hasrat untuk menyertai Madrid, Tottenham harus memberikan kebenaran kepadanya untuk berbincang dengan kami." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Spurs bayar RM129.1j


LONDON - Tottenham Hotspur mencapai persetujuan dengan Valencia berhubung isu perpindahan Roberto Soldado.

Kelab Liga Perdana England itu akan membayar sebanyak 30 juta euro (RM129.1 juta) bagi menebus klausa pelepasan penyerang antarabangsa Sepanyol berusia 28 tahun itu.

"Valencia telah mencapai persetujuan dengan Tottenham selain menunggu ujian perubatan untuk perpindahan Soldado," menurut satu kenyataan dalam laman web kelab Liga Sepanyol itu kelmarin.
Menurut kenyataan itu lagi, harga tersebut merupakan rekod tertinggi perpindahan pemain bagi Spurs.

Sebelum ini, Spurs membuat rekod perpindahan kelab ketika membeli David Bentley dari Blackburn Rovers pada 2008.

Presiden Valencia, Amadeo Salvo sebelum ini tidak menolak kemungkinan Soldado bakal dijual kepada Spurs sekiranya klausa pelepasan pemain itu ditebus.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Soldado dan menghargai sumbangannya bersama Valencia," menurut kenyataan itu.

Soldado mencetak 30 gol sepanjang 46 penampilan bersama Valencia musim lalu, manakala meledakkan enam gol sepanjang 11 aksi bersama skuad antarabangsa Sepanyol.

Perpindahan itu turut memperkuatkan spekulasi perpindahan seorang lagi tonggak Spurs, Gareth Bale yang ketika ini dikaitkan dengan Real Madrid. - Reuters

Rabu, 31 Julai 2013

Tottenham mahu Modric



MODRIC (kiri) menjadi pemain pertukaran sekiranya Real berhasrat untuk mendapatkan Bale daripada Tottenham.


LONDON - Tottenham Hotspur dilaporkan bersedia menjual Gareth Bale kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana England itu mahukan Luka Modric sebagai pertukaran.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy yang berkeras untuk tidak melepaskan Bale sebelum ini mula berlembut, tetapi beliau akan berusaha sedaya upaya mahu 'menyusahkan' kelab Liga Sepanyol itu.
Levy dilaporkan mahu mendapatkan semula Modric sebagai pertukaran tambahan terhadap pembelian Bale.


Spurs bersetuju melepaskan Bale tetapi mereka berhasrat untuk membawa semula Modric ke White Hart Lane dengan harga melebihi £80 juta (RM395.7 juta) yang Real bayar kepada United ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo pada 2009.

Pendirian Levy berubah selepas beliau sedar tentang kesanggupan Real untuk membayar jumlah yang besar semata-semata mahu membawa pemain sayap Wales itu ke Stadium Santiago Bernabeu.

Sebelum ini, pemain pertahanan kiri, Fabio Coentrao dan pemain sayap Angel Di Maria dipertaruhkan sebagai pertukaran dalam syarat tambahan ke atas pembelian Bale.

Namun, Di Maria difahamkan enggan menyertai kelab London itu dan kini Modric dilihat sebagai pilihan kedua.

Perancang berusia 27 tahun itu menyertai Real dengan harga £33 juta (RM163.2 juta) musim lepas.
Spurs yakin Modric berminat untuk menyertai semula skuad itu dengan prospek kehadiran penyerang baharu dari Valencia, Roberto Soldado dan beberapa pemain lagi dalam perancangan.

Modric pula dilihat bergelut berada dalam kesebelasan utama Real, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa dia mungkin akan kembali ke Liga Perdana England. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 29 Julai 2013

Levy 'kunci mulut'



BALE akan kekal dengan Tottenham musim depan meskipun mendapat tawaran lumayan daripada Real.


LONDON - Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy bertindak 'mengunci mulut' berhubung tawaran rekod dunia yang dikemukakan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale.

Levy, 51, memberi kata putus bahawa tiada lagi perbincangan berkaitan pemain antarabangsa Wales itu.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menjual Bale pada musim panas ini walaupun Real menawarkan bidaan yang berlipat kali ganda.

Meskipun sebelum ini Bale semakin hampir untuk berpindah ke Real, Levy berkeras menolak tawaran lumayan Real bernilai £51 juta (RM253.4 juta) ditambah dengan dua bintang mereka, Angel Di Maria dan Fabio Coentrao, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan £95 juta (RM471.9 juta).

Minggu lalu, akhbar-akhbar tempatan kembali meniupkan spekulasi mengenai hasrat Real untuk menjadikan Bale sebagai pemain terbaharu skuad The Galactico.

Namun, Levi pantas menafikan hasrat Real tersebut dan Spurs juga turut membuat satu pembelian besar dengan membawa masuk bintang Valencia, Roberto Soldado dengan nilai £26 juta (RM129.1 juta).

Sementara itu, satu sumber daripada Real mendakwa Bale merupakan sasaran utama kelab itu.
"Bale merupakan pilihan utama. Kami akan berusaha mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Kami berharap proses bidaan terhadap Bale akan berjalan lancar," menurut sumber itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Real buat bidaan terakhir

BALE enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.


LONDON - Real Madrid dilaporkan bersedia untuk membuat bidaan terakhir sebanyak £95 juta (RM456 juta) bagi mendapatkan khidmat Gareth Bale daripada Tottenham Hotspurs.

Sebuah akhbar di London melaporkan, selain wang tunai berjumlah £51 juta (RM244.8 juta), kelab gergasi Sepanyol itu difahamkan turut menawarkan dua pemainnya, Angel Di Maria yang bernilai £25 juta (RM120 juta) dan Fabio Coentrao yang bernilai £19 juta (RM91.2 juta) sebagai pertukaran.

Jika menjadi kenyataan, ia merupakan rekod terbaharu dan tertinggi membabitkan pembelian pemain dalam tempoh satu abad yang lalu.

Real meningkatkan tawaran ke atas Bale selepas menyaksikan tawaran sebelum ini bernilai £81 juta (RM388.8 juta) ditolak Spurs mentah-mentah.

Kesediaan meningkatkan tawaran itu menunjukkan kesungguhan presiden Real, Florentino Perez untuk menjadikan Bale bintang terhebat kelab Liga Sepanyol itu.

Tawaran itu turut memberi tekanan kepada pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk memikirkan semula bidaan lumayan yang diterima mereka.

Bale sebelum ini pernah memberitahu Levy tentang minatnya untuk menyertai Real Madrid.

Namun, pemain sayap berusia 24 tahun itu enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.

Sementara itu, pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas berkata, beliau memang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap dari Argentina, Di Maria, 25, dan Coentrao, 25, yang boleh bermain di posisi bek kiri atau tengah. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my