Memaparkan catatan dengan label Sepak Takraw. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sepak Takraw. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Ogos 2013

Kemahiran individu meningkat



HANAFIAH (kiri) melakukan rejaman ketika menentang Singapura pada Kejohanan Sepak Takraw Empat Negara 2013 baru-baru ini.


KETUA jurulatih skuad Elit A negara, Jamaluddin Hassan mengakui, kesemua 13 pemain yang beraksi pada saingan Liga Sepak Takraw Thailand semakin menunjukkan perkembangan yang positif terutamanya dari aspek kemahiran individu.

Bagaimanapun, Jamaluddin tidak menafikan bahawa keserasian antara mereka sudah terjejas sejak menyertai kejohanan itu pada 27 April lalu.

"Mereka tidak hanya dapat meraih pengalaman apabila berdepan dengan pemain-pemain dari kelab Thailand tetapi mereka juga dapat memperbaiki prestasi terutamanya kemahiran individu.

"Namun, saya tidak dapat menyatukan mereka ketika tiada perlawanan berlangsung kerana mereka menyertai kelab-kelab yang berbeza seperti Kalasin, Nakhon Pathom dan Chonburi. 

"Tempat latihan juga agak jauh dan memang sukar untuk memanggil mereka menjalani latihan bersama-sama sebab itu dari segi keserasian nampak semakin longgar," kata Jamaluddin.

Begitupun, ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil masa yang lama untuk mencari semula kombinasi anak-anak buahnya itu, Jamaluddin percaya pemain-pemain itu tidak akan menghadapi masalah.

"Saya juga tidak perlu mengambil masa yang lama. Sekejap sahaja untuk mencari kombinasi yang sesuai.

"Cuma apa yang saya tidak sabar untuk lihat ialah tahap kecergasan mereka pada 20 dan 21 Ogos ini.
"Mereka sudah berlatih bersama kelab-kelab Thailand dan selepas mereka pulang nanti persiapan akan lebih terarah untuk menghadapi Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di India, Thailand dan Sabah sebelum ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan ," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail mengesahkan bahawa regu untuk ke Myanmar perlu dibentuk pada penghujung Ogos ini.

"Saya telah memberitahu kepada semua jurulatih supaya regu ini perlu dibentuk selewat-lewatnya pada akhir bulan Ogos," ujar Ahmad baru-baru ini.

Selasa, 4 Jun 2013

SMK Dulang kuasa baru Kuala Muda/Yan


Yan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dulang melakukan kejutan terbesar daerah Kuala Muda/Yan (KMY) apabila menyapu bersih dua acara dipertandingkan dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) KMY 2013, baru-baru ini.

SMK Dulang mempamerkan aksi mantap untuk meraih kejuaraan kategori Bawah 15 dan 18 Tahun biarpun tidak diberi perhatian pada awal saingan.

Guru jurulatih merangkap pengurus Jaya Suria Safar berkata, kejayaan itu hasil program pembangunan sukan 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang bermula 2011.
“Sudah lama kami mengidam menduduki podium kejuaraan kerana sejak 2000, belum pernah sekali nama SMK Dulang berjaya melakukannya.


“Namun segala-galanya berubah sebaik kami melaksanakan 1M1S dan ia memberikan pulangan berganda apabila kami menguasai kedua-dua kategori dipertandingkan,” katanya.


Pencapaian itu sejarah paling berharga buat SMK Dulang kerana berjaya menggenggam juara buat pertama kali selepas 13 tahun menyertai MSSK KMY.

Dalam kategori berpasukan B-15, SMK Dulang unggul selepas menang 3-0 ke atas SMK Guar Chempedak di final.

Pasukan B-18 SMK Dulang mengulangi pencapaian skuad muda apabila sekali lagi mengecewakan SMK Guar Chempedak, 3-0 pada perlawanan akhir.
Mereka turut menguasai saingan regu B-15 dan 18 dengan penuh bergaya