Memaparkan catatan dengan label Lionel Messi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lionel Messi. Papar semua catatan

Selasa, 12 November 2013

Barcelona perit tanpa Messi lapan minggu

 
 Berita Harian
Barcelona perit tanpa Messi lapan minggu Lionel Messi
 
Barcelona: Bintang Barcelona, Lionel Messi bakal diketepikan enam hingga lapan minggu berikutan terkoyak otot paha kiri yang juga kecederaan kaki ketiga dialaminya musim ini, menurut gergasi Sepanyol itu kelmarin.

Pemain antarabangsa berumur 26 tahun dari Argentina itu terpaksa dikeluarkan hanya selepas 20 minit perlawanan dan digantikan dengan Andres Iniesta yang menyaksikan Barcelona menang 4-1 ke atas Real Betis, Ahad lalu.
Ia adalah kali ketiga musim ini yang menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan kerana kekejangan otot dan kecederaan paha kanan.


“Pihak perubatan kelab mengesahkan selepas ujian yang dibuat Isnin lalu mendapati Leo Messi mengalami koyakan di otot paha kirinya dan dijangka akan terlepas perlawanan untuk enam hingga lapan minggu,” menurut kenyataan Barcelona.

Bukan alasan

“Fasa pertama pemulihan Messi akan dibuat di Barcelona dan selepas itu dia akan ke Buenos Aires,” kata kenyataan itu.

Ini bermakna Barcelona tanpa Messi dalam lapan perlawanan, termasuk dua aksi kumpulan Liga Juara-Juara menentang Ajax dan Celtic.
Selepas perlawanan Ahad lalu, pengurus Barcelona Gerardo Martino berkata, ketiadaan pemain itu tidak boleh dijadi alasan untuk tidak memberi persembahan terbaik.

“Kami mempunyai pemain terbaik dunia tetapi kami juga ada empat atau lima lagi pemain dalam kelompok enam atau tujuh terbaik dunia. Jadi, ketiadaan Messi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menang.”
AFP

Rabu, 18 September 2013

Barcelona benam Ajax 4-0, Messi cipta hatrik

 
BARCELONA: Lionel Messi terus merekod jaringan terbanyak dalam Liga Juara-Juara Eropah apabila melakukan hatrik ke-27 sepanjang kariernya membantu Barcelona membenam Ajax 4-0 di Nou Camp, awal pagi tadi.

Pemain Terbaik FIFA sebanyak empat kali itu kini menjaringkan 62 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.
Messi memperoleh gol pembukaan pada minit ke-22 dengan tendangan lencong sepakan percuma di luar kotak penalti dan gol kedua 10 minit kemudian. .



Gerard Pique menambah gol ketiga Barca dengan menanduk bola hasil hantaran lintang Neymar sebelum hatrik Messi menyusul 15 minit sebelum parmainan berakhit.

Selasa, 17 September 2013

Misi peribadi Messi



MESSI (tengah) bersiap sedia untuk menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G menentang Ajax Amsterdam di Stadium Nou Camp awal pagi esok.


LONDON - Penyerang Argentina, Lionel Messi mengakui bahawa kekalahan memalukan Barcelona kepada Bayern Munich pada kempen Liga Juara-Juara musim lalu masih kekal dalam ingatannya.

Messi yang bersiap sedia untuk menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G menentang Ajax Amsterdam di Stadium Nou Camp awal pagi esok menganggap kekalahan dengan agregat 0-7 kepada Bayern pada aksi separuh akhir lalu sebagai satu mimpi ngeri.

Meskipun enggan memberi sebarang alasan di atas kegagalan Barca itu, Messi mengakui sudah bersedia untuk memulihkan semula imej skuad The Catalan yang tercalar di pentas Eropah.
"Kami sentiasa mahu melakar lebih banyak kejayaan.

"Menjuarai gelaran liga adalah sangat penting dan ia paling bermakna kerana kami berjaya merampasnya daripada Real Madrid.

"Namun, kami kecewa dengan kekalahan di separuh akhir (Liga Juara-Juara) kepada Bayern Munich kerana terdapat jurang yang besar antara pasukan kami.

"Itu cerita lama dan kami mahu melupakannya serta memandang ke hadapan. Apa yang berlaku ketika menentang Bayern? Mereka hanya pasukan yang lebih baik dalam aspek fizikal dan teknikal," kata Messi.

Messi menegaskan, Barca tidak akan memandang mudah kepada pasukan lain dalam kumpulan itu selepas diundi bersama dengan Celtic, AC Milan dan Ajax.

Namun, dia yakin jurulatih baharu, Gerardo Martino mampu membawa perubahan yang positif bagi membantu pasukan itu layak ke pusingan kalah mati.

"Ia satu kumpulan yang sukar tetapi kami sedar mengenainya. Sangat sukar untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara, ia mencabar sejak daripada peringkat awal lagi.

"Semua pasukan dalam kumpulan kami adalah kelab yang hebat dan mempunyai sejarah tersendiri. Kami pernah berdepan mereka sebelum ini, jadi kami arif tentang mereka.

"Kami juga berjaya menyesuaikan diri dengan baik di bawah jurulatih baharu. Sudah tentu beliau ada idea yang baharu tetapi mentaliti kami masih sama iaitu beraksi sebaik mungkin untuk memenangi semua trofi yang kami sertai," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 15 September 2013

Neymar-Messi mula mengganas



MESSI (kanan) meraikan jaringan gol kedua Barcelona selepas mendapat umpanan daripada Neymar yang turut menjadi pencetus kemenangan 3-2 ke atas Sevilla, kelmarin.


MADRID - Pengendali Barcelona, Gerardo Martino berterusan memuji impak yang dicetuskan gandingan Neymar-Lionel Messi ketika mengatasi Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Nou Camp, awal pagi semalam.

Martino berkata, senario positif itu jelas menutup mulut pengkritik yang sebelum ini menyangka gandingan kedua-dua penyerang berkenaan pastinya 'tidak meletup'.
"Ia hanya satu kebimbangan yang tidak berasas.

"Selepas aksi berdepan Atletico Madrid dalam kempen Piala Super Sepanyol, saya sudah tahu Neymar pastinya cukup serasi apabila digandingkan dengan Messi.

"Lihat sahaja pertemuan ketika berdepan Sevilla apabila Messi mudah menyempurnakan hantaran Neymar.

"Selagi kami berupaya beraksi sebagai satu pasukan, keupayaan individu setiap pemain pastinya lebih menyerlah," kata Martino.

Dalam perlawanan itu, Messi berjaya menjaringkan gol kedua The Catalan apabila tenang menyempurnakan hantaran Neymar pada minit ke-75.

Sebelum itu, Daniel Alves membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-36.

Namun, skuad kendalian beliau dilihat cemas seketika apabila Sevilla kembali bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Ivan Rakitic dan Coke pada penghujung babak kedua sebelum Alexis Sanchez menyelamatkan maruah Barcelona apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

"Sanchez tidak perlu menjaringkan gol untuk membuktikan kemampuannya.
"Saya lihat dia cukup yakin dan cergas dan saya amat menghargai sumbangannya terhadap pasukan," kata Martino. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 4 September 2013

Messi sokong musuh – ‘Madrid 2020’

Berita Harian
Messi sokong musuh – ‘Madrid 2020’
Buenos Aires: Lionel Messi adalah penyokong Madrid – sekurang-kurangnya apabila topik Sukan Olimpik 2020 muncul.

Messi menyokong bidaan Sepanyol menjelang undian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan memperagakan baju yang bertulis “Madrid 2020”, kelmarin – pastinya perasaan pelik buat bintang Barcelona itu yang mempunyai reputasi menewaskan pasukan terkenal di negara itu – Real Madrid.
Messi berkata: “Saya rasa adalah baik untuk sukan jika Madrid menganjurkan temasya itu, bukan saja kepada bandar itu tetapi juga buat semua atlet peringkat tinggi di Sepanyol. Ia adalah penting untuk menganjurkan Olimpik di negara yang saya tinggal. Saya bertuah dapat turut serta dalam Olimpik buat Argentina dan ia adalah pengalaman mengagumkan buat semua atlet.”


Undian IOC bagi negara tuan rumah Olimpik 2020 akan dijalankan Sabtu ini dengan persaingan daripada Madrid, Tokyo dan Istanbul. - AP

Ahad, 25 Ogos 2013

Godin punca Messi cedera



MESSI (dua dari kanan) mengalami kecederaan pada aksi pertama Piala Super Sepanyol menentang Atletico Madrid awal Khamis lalu.


LONDON - Pemain pertahanan Atletico Madrid, Diego Godin mengakui bahawa dia mengarahkan rakan sepasukan, Miranda supaya melakukan terjahan kepada Lionel Messi pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal Khamis lalu.

Pada aksi yang berkesudahan 1-1 di Stadium Vicente Calderonitu itu, bintang Barcelona, Messi terpaksa dikeluarkan ketika rehat selepas mengalami kecederaan paha.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas penyerang Argentina itu mendapati dia mengalami kecederaan pada tendon otot paha kirinya.

Pengulas televisyen mendapati Godin memberitahu rakan sepasukannya itu supaya menendang belakang paha Messi selepas dia berjalan terhencot-hencot kerana kesakitan.

Messi pernah mengalami masalah ditempat yang sama sebelum ini dan hanya beraksi selama 90 minit dalam satu perlawanan sejak cedera pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara, April lalu.

Rakaman televisyen itu tersebar dengan pantas dalam kalangan media Sepanyol dan antarabangsa, sekali gus menyaksikan kapten Uruguay itu dikritik hebat berikutan tindakannya itu.

Begitupun, Godin tampil dalam satu temu bual memberitahu bahawa perkara itu adalah sebahagian daripada adat resam dalam permainan bola sepak.

"Tindakan itu hanya bermotifkan bola sepak semata-mata dan mereka yang bermain bola sepak sahaja yang akan tahu apa maknanya," kata Godin.

"Saya lihat dia menyentuh pahanya yang sakit itu. Jadi, saya beritahu rakan sepasukan saya supaya mereka tahu di mana mereka perlu memberi tekanan ke atas pemain itu.
"Kami komited dengan permainan kami iaitu kami akan cuba merampas setiap bola dan itulah yang membuatkan kami menang," katanya.

Messi tidak bermain pada aksi Liga Sepanyol bertemu Malaga awal pagi semalam, namun dia mungkin akan diturunkan pada aksi kedua Piala Super Sepanyol menentang Atletico di Stadium Nou Camp awal pagi Khamis depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Kecederaan Messi meresahkan


MESSI (dua dari kiri) terpaksa dikeluarkan ketika Barcelona seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam aksi pertama Piala Super, Rabu lalu. Dia dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya.


MADRID - Lionel Messi belum pasti dapat beraksi apabila Barcelona berkunjung ke Stadium Rosaleda berdepan Malaga dalam kempen Liga Sepanyol awal pagi Isnin ini.

Penyerang terbaik dunia itu mengalami kecederaan hamstring semasa The Catalan sekadar seri 1-1 dengan Atletico Madrid pada perlawanan pertama Piala Super kelmarin.

Dia hanya tampil beraksi penuh selama 90 minit sebanyak sekali sejak 27 perlawanan lalu selepas mengalami kecederaan itu ketika berdepan Paris Saint-Germain dalam kempen Liga Juara-Juara pada April lalu.

Tatkala penyerang berusia 26 tahun itu belum pasti diturunkan, tempatnya dijangka diambil alih Neymar yang mencetak gol penyamaan ketika berdepan Atletico dalam aksi Piala Super Sepanyol tempoh hari.

"Saya harap dapat berterusan mencetak gol buat Barcelona selepas ini. Sudah tentu saya gembira dengan jaringan ini, namun saya kecewa kerana belum dapat bergandingan dengan Messi.
"Dia pemain terbaik di dunia dan kesemua penyerang pastinya mahu bergandingan bersamanya," kata Neymar.

Berbanding Neymar yang merupakan satu-satunya pemain baharu Barcelona musim ini, lain pula ceritanya dengan pengendali Malaga, Bernd Schuster yang berjaya mendapatkan lapan pemain baharu bagi menggantikan Isco, Jeremy Toulalan, Martin Demichelis dan Julio Baptista yang berhijrah.

Antara pemain baharu Malaga musim ini termasuklah Marcos Angeleri yang pastinya berdepan tugas getir mengekang serangan Barca biarpun tanpa kehadiran Messi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 14 Ogos 2013

Mampukah Neymar bantu Messi?


Lionel Messi (kiri) dan Neymar sebelum aksi pramusim menentang kelab Brazil, Santos di Camp Nou awal bulan ini. - AFP 
 
MADRID - Barcelona memainkan peranan utama dalam pasaran perpindahan pemain musim ini dengan menyambar bintang Brazil, Neymar pada nilai 57 juta euro (RM247 juta).

Persoalannya mampukah bakat Neymar mengatasi Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi?.
Pemain Argentina itu dilabel sebagai pemain terhebat era moden namun beberapa pemain hebat di sekelilingnya sebelum ini sudah meninggalkan Barca.

Messi yang beraksi pada bahagian serangan tengah menyaksikan Samuel Eto'o dijual, begitu juga dengan Zlatan Ibrahimovic. 

Peluang Cesc Fabregas untuk bermain agak terhad walaupun berganding baik dengan Xavi dan Andreas Iniesta dalam skuad Sepanyol.

Hasil bantuan rakan sepasukan, Messi meledak 271 gol dalam lima musim. Cuma yang menjadi tanda tanya bagaimana Messi dan Neymar akan bekerjasama.

Pertama, Barca masih perlu memantapkan pertahanan, Barca juga terdesak untuk mencari pilihan penjaring gol selain Messi.

Sejak lima musim lalu, Messi menjadi tumpuan dengan Barca memenangi dua Liga Juara-Juara dan kedua-duanya dengan Messi menjaringkan gol keseorangan tanpa penyerang lain. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Harimau Malaya 'dibaham' Barcelona



AMRI (kanan) menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona di Stadium Shah Alam malam tadi.


MESKIPUN beraksi tanpa kelibat bintang sensasi, Lionel Messi, aksi Barcelona masih mampu memukau hampir 40,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi.

Diketuai kapten Xavier Hernandez selain barisan bintang lain antaranya Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Gerard Pique serta permata baharu Neymar, Barcelona ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kemenangan 3-1.

Biarpun tumbang, Harimau Malaya boleh menghela nafas lega kerana tidak diratah kelab gergasi Sepanyol itu yang sebelum ini membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 dan skuad Bawah 23 tahun Thailand, 7-1.

Pada aksi malam tadi, skuad The Catalan terlebih dahulu menguji kekebalan benteng pertahanan Harimau Malaya menerusi percubaan Sergio Busquets tetapi berjaya digagalkan oleh penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ke-17.

Berselang dua minit kemudian, skuad negara hampir berjaya mengejutkan pasukan gergasi Eropah itu sebaik Norshahrul Idlan Talaha berjaya melepasi pertahanan Barcelona yang diketuai oleh Gerard Pique tetapi percubaan penyerang Johor Darul Takzim itu sekadar terkena tiang gol lawan.

Barcelona akhirnya membuka jaringan menerusi Fabregas apabila bekas pemain Arsenal itu tidak bermasalah memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri, Jordi Alba pada minit ke-33.

Bintang Selangor, Mohd. Amri Yahyah menceriakan peminat-peminat Harimau Malaya apabila menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-40.

Begitupun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Barcelona sekali lagi berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan Neymar pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The Catalan terus mengasak benteng pertahanan skuad negara dan hasilnya mereka berjaya meledak gol ketiga menerusi Pique pada minit ke-75.

Skuad negara yang terdesak untuk mengurangkan defisit jaringan, gagal menjelmakan gol kedua apabila keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas menentang Barcelona, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal bertemu China untuk aksi pemanas badan pada 10 September depan.

Selasa, 6 Ogos 2013

Sejarah menceritakan segalanya


NEYMAR
 
BARCELONA adalah antara kelab yang paling digeruni dunia, malah ramai pemain mengimpikan peluang menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Barcelona adalah kelab yang amat berjaya sehingga kini malah Catalan juga adalah satu daripada tiga kelab yang tidak pernah tersingkir daripada saingan La Liga selain Real Madrid dan Athletic Bilbao semenjak tahun 1955.

Disebabkan pencapaian hebat itu juga menjadikan Catalan sebagai antara lubuk pemain terbaik dunia begitu juga musuh tradisinya Real Madrid.

Sehingga kini sejak diasaskan oleh Joan Gamper pada 29 November 1899 kelab yang telah berusia 113 tahun itu telah disertai oleh pemain ternama seperti Johan Cruyff, Maradona, Ronald Koeman, Gary Lineker, Rivaldo, Luis Figo. Ronaldo, Lionel Messi dan terbaharu Neymar.

Bukan itu sahaja, Barcelona juga mempunyai aset paling berharga iaitu Xavi Hernandez. Pemain ini adalah nadi buat Catalan kerana Xavi adalah perancang yang hebat pernah dimiliki Barcelona.

Pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta juga tidak kurang hebat dan adalah antara bintang yang digeruni dunia selain Messi.

Kelab yang telah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali itu juga memiliki kelebihan yang sukar untuk di atasi terutama berkaitan taktikal.

Gaya permainan tiki taka yang sering digunakan oleh Barcelona membuatkan kelab ini mampu mendapatkan kemenangan tanpa bermain terlalu agresif.

Tiki taka secara umumnya digambarkan sebagai gaya bermain yang bertujuan untuk mencipta peluang bagi mendapatkan gol menerusi umpanan pendek.

Kecekapan pemainnya menguasai hantaran pendek membuatkan Barcelona sukar diduga selain mampu membuatkan pasukan lawan cepat letih, meskipun kelemahan mereka adalah berebut bola tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Mesti kerja keras: Messi

Mesti kerja keras: Messi Messi harap bawa Argentina kepada kejayaan pada Piala Dunia 2014, di Brazil.
Bangkok: Lionel Messi mendedahkan kejayaan gemilangnya adalah hasil kerja keras dan pengorbanan, tatkala pasukannya Barcelona membuat persediaan untuk perlawanan pertama Jelajah Asia, di Thailand.

Juara Sepanyol itu kembali ke Asia tiga tahun selepas jelajah terakhir mereka di benua itu - yang mempunyai jumlah peminat ramai dan tempat besar untuk pemasaran.
Pengorbanan, dedikasi


Selepas menentang pasukan kebangsaan Thailand esok, Barca akan terbang ke Kuala Lumpur untuk bertemu pasukan Malaysia pada 10 Ogos sebelum kembali ke Eropah.

Pemain terbaik dunia sebanyak empat kali dari Argentina itu berkata hanya melalui pengorbanan dan dedikasi saja boleh memacu kejayaan.

“Anda perlu berjuang untuk mencapai impian anda. Anda perlu berkorban dan berusaha dengan gigih untuk mencapainya,” katanya.

Banyak berlatih
“Latihan amat penting. Sekarang kita tidak ada pertandingan, jadi kita banyak berlatih. Apabila musim baru bermula, kita perlu bermain dalam perlawanan membuatkan kita hanya berlatih satu atau dua jam sehari.”

Pemain lincah berusia 26 tahun itu menikmati kerjaya gemilang bersama pasukan Barca yang disifatkan sebagai antara pasukan terbaik sepanjang masa.

Dia berharap untuk membawa Argentina kepada kejayaan pada Piala Dunia 2014, di Brazil. - AFP 
 
Berita Harian

Selasa, 9 Julai 2013

Messi, Neymar gegar Bukit Jalil

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

MESSI (kiri) dan Neymar sah akan bersama Barcelona ketika menentang skuad Harimau Malaya bulan depan.


SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini mungkin menjadi pengalaman paling berharga bagi peminat-peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana mereka bakal disajikan dengan ‘juadah’ luar biasa daripada dua bintang sensasi dunia, Lionel Messi dan Neymar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Ogos depan.

Messi dan Neymar akan memperkuat cabaran gergasi Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan menentang skuad Harimau Malaya ketika umat Islam di negara ini masih berada dalam mood raya.

Pengarah Urusan BSC Soccer Malaysia yang juga promoter eksklusif Siri Jelajah Asia 2013 Barcelona, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan kehadiran Messi dan Neymar, sekali gus memadam terus khabar angin bahawa dua bintang dunia tersebut tidak akan menyertai kelab The Catalan itu ke Kuala Lumpur.

“Saya ingin tegaskan Messi dan Neymar sah akan datang ke sini bersama pemain Barcelona yang lain kecuali jika mereka cedera.

“Ini kerana Jelajah Asia 2013 ini adalah persiapan pra-musim pertama Barcelona bagi menghadapi Atletico Madrid dalam aksi Piala Super yang juga perlawanan pembuka tirai musim baharu Liga Sepanyol,” jelas Effendi.

Effendi berkata demikian pada Majlis Pengenalan Tren dan Bas Istimewa RapidKL sebagai pengangkutan rasmi bagi Jelajah Asia 2013 Barcelona di Subang semalam.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Divisyen Landasan Keretapi, Syarikat Prasarana Negara Berhad, Khairani Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Major Events yang mewakili Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Zulkefli Sharif.

Sementara itu, Khairani memberitahu, RapidKL dijangka melanjutkan jadual tren yang melibatkan laluan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil sehingga pukul 1 pagi bagi memudahkan peminat bola sepak tempatan menyaksikan perlawanan tersebut.

“Tren dan bas istimewa ini akan memaparkan wajah-wajah pemain bintang Barcelona bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia dan mempromosikan lagi tentang kedatangan mereka ke Kuala Lumpur.

“Peminat juga boleh mendapatkan kad pengangkutan bagi bas RapidKL, LRT dan monorel yang terhad sempena jelajah ini dengan harga RM20 dan RM10,” ujar Khairani.

Tiket aksi itu dijual dengan harga RM98, RM208, RM388 dan RM688.

Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi latihan Barcelona dengan membeli tiket berharga RM25, namun mereka boleh memasuki secara percuma jika membeli tiket perlawanan berharga RM388 dan RM688.

Isnin, 1 Julai 2013

Messi nafi mula dihantui Neymar

LONDON - Lionel Messi percaya dia dan Neymar mampu membawa Barcelona ke satu tahap baharu meskipun pemain legenda kelab itu, Johan Cruyff memberitahu bahawa kapten Argentina tersebut mungkin akan dijual bagi memberi laluan kepada bintang Brazil berkenaan.

Sebelum ini, bekas bintang Ajax dan Belanda itu menjelaskan bahawa Barca mungkin terpaksa menjual pemenang empat kali anugerah Ballon d'Or winner tersebut setelah membawa Neymar ke Nou Camp dengan harga £48 juta (RM230.6 juta).

"Tidak, kalau saya jadi jurulatih Barca, saya tidak akan membeli Neymar," jelas Cruyff.
"Dengan kehadiran Neymar, saya mungkin terpaksa menjual Messi dan mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang tidak setuju."

Neymar pernah menjaringkan 43 gol dalam 47 penampilannya buat Santos di Brazil.
Bagaimanapun, Messi berjaya mengatasi pencapaian tersebut pada 2012-13 dengan meledakkan 50 gol dalam 60 perlawanan buat Barca.

Justeru, Messi kini sudah tidak sabar lagi untuk bergandingan dengan penyerang Brazil berusia 21 tahun tersebut dan percaya gaya permainan mereka amat sesuai dengan strategi Barca.

"Saya tahu Neymar adalah seorang pemain yang hebat dan akan membawa banyak kejayaan kepada Barcelona.

"Dengan izin Tuhan, kami akan serasi beraksi bersama di Barca," jelas Messi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 3 Mei 2013

Kekalahan paling dahsyat


David Villa
BARCELONA - Pengurus Barcelona, Tito Vilanova mempertahankan keputusan tidak menurunkan Lionel Messi ketika menyaksikan kelab itu tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, semalam.

Kata Vilanova keputusan tersebut dibuat kerana Messi belum cukup cergas untuk aksi perlawanan separuh akhir itu.

Berikutan keputusan merehatkan Messi, Barcelona terpaksa membayar harga yang tinggi apabila tewas dengan kiraan agregat 7-0.
Keputusan itu juga adalah adalah yang paling dahsyat buat kelab gergasi Sepanyol tersebut musim ini.

Dalam pada itu, Vilanova turut menafikan Barcelona terlalu bergantung kepada Messi untuk meraih kemenangan.

“Dia bermain di Bilbao pada Sabtu lalu kerana dia merasa amat baik, namun selepas tamat perlawanan penyerang tersebut mula mengalami kekejangan otot.

“Pada semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) dia menjalani latihan bersama kami, namun pemain tersebut masih lagi merasa kurang selesa dan dia tidak dapat diturunkan bagi membantu pasukan.

“Setiap tahun jika kami bermain tanpa Messi, kami berupaya memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan yang kecil namun pada tahun ini dalam saingan liga kami telah menang perlawanan dengan keputusan 5-0 dan 3-0 tanpa penyerang tersebut.

“Ketika anda mempunyai pemain yang hebat sebegini adalah normal jika dia menjadi tumpuan.

“Jika Bayern beraksi tanpa (Franck) Ribery atau (Arjen)
Robben sudah tentu mereka tidak berupaya mencapai keputusansebegini," kata Vilanova.

Sementara itu, Vilanova turut mengakui kelebihan fizikal yang dimiliki Bayern menjadi faktor utama kemenangan mereka pada dua saingan separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Semua pasukan akan memperkukuhkan skuad mereka pada setiap musim berbanding kami yang tidak melakukan banyak melakukan perubahan. 

“Bayern telah sampai di tahap sebegini kerana pemain mereka dan pemain kami ramai yang keluar.

“Sungguhpun mempunyai pasukan yang hebat anda masih belum berupaya memenangi kesemua gelaran," kata Vilanova. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 23 April 2013

Messi tetap diturunkan


BARCELONA - Pemain terbaik dunia, Lionel Messi telah disenaraikan dalam skuad Barcelona menjelang pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich awal pagi esok.

Bintang Argentina itu menjalani latihan penuh bersama skuad Barca kelmarin dan meskipun masih belum cergas sepenuhnya daripada masalah hamstring, dia tetap disenaraikan dalam skuad The Catalan itu.

"Lionel Messi telah menjalani latihan seperti biasa pagi Ahad (kelmarin) dan walaupun masih belum pulih sepenuhnya, dia akan tetap disenaraikan dalam skuad Barcelona bagi pertemuan Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich.

"Hanya tiga pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad ini iaitu Javier Mascherano dan Carles Puyol yang mengalami kecederaan dan Adriano yang menjalani penggantungan," jelas kenyataan Barca.

Messi dijangka diturunkan pada aksi awal pagi esok meskipun dia tidak bermain sejak saingan suku akhir Barca menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 10 April lepas.

Sementara itu, Cesc Fabregas yang menggalas tugas Messi sepanjang ketiadaan pemain itu menjelaskan, dia bersedia diletakkan di bangku simpanan sekiranya Messi disahkan boleh beraksi.

Fabregas yang menjaringkan gol kemenangan Barca ke atas Levante, Ahad lepas berkata: "Lionel sudah bersedia diturunkan di Munich nanti. Dia adalah tonggak utama kami dan pasukan ini lebih selamat jika dia diturunkan seperti yang dilakukannya ketika menentang PSG.

"Leo mampu membawa perubahan dalam permainan. Saya boleh terima kalau saya diletakkan di bangku simpanan kerana Leo seorang pemain yang penting." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 11 April 2013

Messi cetus impak



PENYERANG PSG, Zlatan Ibrahimovic (kiri) mengucapkan tahniah kepada Messi sebaik perlawanan tamat di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.


BARCELONA – Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura memuji keazaman Lionel Messi selepas Pemain Terbaik Dunia itu membantu skuad The Catalan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Barcelona menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) meskipun kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.

Mereka terikat dengan agregat 3-3 tetapi skuad The Catalan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 2-2 pada aksi suku akhir pertama di Parc des Princes minggu lalu.

Pada perlawanan awal pagi semalam, Barcelona cemas seketika selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan Javier Pastore pada minit ke-50 tetapi Messi yang masuk pada babak kedua berjaya memberi impak, sekali gus membantu pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Pedro pada minit ke-71.

“Kami memberitahu sebelum ini jika semuanya tidak berjalan dengan baik, Messi akan dimasukkan.
“Messi seorang pemain yang penting dan kehadirannya di atas padang berjaya memberi impak kepada corak permainan, terutamanya selepas kami ketinggalan satu gol.

“Sekali lagi dia membuktikan semangat dan keazaman yang tinggi meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

“Tindakannya itu harus diberi pujian yang tinggi,” kata Roura.
Roura berkata, PSG berjaya menguasai keseluruhan permainan pada babak pertama dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Sekali lagi kami telah menunjukkan keberanian. Mara ke separuh akhir buat kali keenam berturut-turut adalah suatu pencapaian yang hebat.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki tetapi buat masa ini kami mahu meraikan kejayaan ke separuh akhir terlebih dahulu.

“Kami akan berehat beberapa hari sebelum memikirkan tentang strategi untuk menghadapi aksi separuh akhir nanti,” ujar Roura. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 18 Mac 2013

Villa cemerlang bantu Barca



VILLA (kanan) meraikan jaringan golnya bersama Messi ketika menentang Rayo Vallecano kelmarin. Barcelona menang 3-1.


MADRID - David Villa melahirkan kegembiraan apabila dia kembali menemui sentuhan gol serta mendapatkan semula prestasi terbaiknya ketika membantu kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Rayo Vallecano dalam aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Villa menjaringkan satu gol serta membantu dua jaringan Lionel Messi, sekali gus menjadikan Barca selesa menerajui carta liga dengan 13 mata.

"Saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan serta menjaringkan gol. Saya gembira kerana itu yang sepatutnya saya lakukan sebelum ini kerana saya seorang penyerang.

"Saya ingin meneruskan prestasi cemerlang ini dalam setiap perlawanan selepas ini," kata Villa.

Terdahulu, dalam perlawanan minggu lalu ketika Barca menewaskan AC Milan 4-0, Messi dan Villa turut menjadi watak penting di sebalik kemenangan bergaya mereka itu.

Bagaimanapun, Villa menafikan skuad The Catalans itu telah goyah akibat tiga kekalahan beberapa minggu lalu sebelum mereka mempamerkan kebangkitan ketika membenam Deportivo La Coruna dan AC Milan.

"Saya gembira digandingkan dengan Messi dalam mengetuai jentera serangan pasukan. Hari ini (kelmarin) kami telah menghasilkan tiga gol dan kami akan meneruskan gandingan mantap ini.

"Saya tidak rasa kami telah kehilangan keyakinan. Bola sepak adalah sukan yang memerlukan anda menang, seri atau kalah dan kami sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan," jelas Villa.

Akibat kecederaan Xavi dan Carles Puyol serta penggantungan Victor Valdes, penolong pengurus Barca, Jordi Roura terpaksa merombak skuadnya itu bagi menghadapi minggu yang padat dengan perlawanan penting selepas ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Selasa, 26 Februari 2013

Debaran El Clasico



MESSI menjadi taruhan Barcelona ketika berdepan Real pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.


MADRID - Lionel Messi mengakui yang Barcelona perlu bangkit menjelang pertemuan El Clasico dengan seteru utama, Real Madrid pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.

Selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini, Barcelona mula menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas tunduk 0-2 kepada AC Milan dalam kempen Liga Juara-Juara minggu lalu.
Skuad The Catalan itu nyaris dimalukan Sevilla dalam saingan Liga Sepanyol kelmarin apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang tipis 2-1.

Justeru Messi menyifatkan, hanya kemenangan ke atas Real yang mampu menyuntik kembali semangat mereka.

"Kami perlu mempamerkan prestasi terbaik kami apabila turun menentang Real nanti. Kami harus berada pada tahap sebenar jika mahu mara ke final," kata Messi.

Messi menambah rekod jaringannya dengan menyumbang satu gol ketika Barca menang ke atas Sevilla dan ia merupakan gol ke-15 berturut-turut yang dilakarnya buat kelab Catalan itu.

"Kami harus kembali kepada tahap seperti sebelum ini dan tidak harus memikirkan tentang apa yang bakal menanti kami di Milan nanti.

"Kami juga harus melupakan aksi hambar ketika menentang Sevilla tempoh hari.
"Nasib kami dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara kini terletak di tangan kami sendiri. Kami tidak akan memberi tumpuan kepada pasukan lawan.

"Secara fizikalnya, pasukan ini masih dalam keadaan yang baik dan saya sudah biasa bermain dalam semua perlawanan," tambah penyerang Argentina itu.

Aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu dua minggu lalu menyaksikan Barcelona berjaya mengikat Real dengan keputusan seri 1-1. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 8 Februari 2013

Messi kekal milik Barca



MESSI sah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Barcelona kelmarin.


BARCELONA - Lionel Messi sah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Barcelona kelmarin.

Biarpun masih mempunyai kontrak bersama kelab itu sehingga 2016, Messi membuat keputusan untuk kekal di Stadium Nou Camp kerana mahu melakar kejayaan cemerlang bersama kelab gergasi Liga Sepanyol itu.
Messi, 25, akan kekal bersama skuad The Catalan sehingga Jun 2018.

Dia menyertai Barcelona ketika berusia 13 tahun dan melakukan penampilan pertama bersama skuad utama tiga tahun kemudian.

Bersama skuad The Catalan, Messi merangkul pelbagai anugerah dan gelaran termasuk pemain terbaik dunia untuk empat tahun berturut-turut.

"Saya sentiasa gembira di Barcelona. Jadi, keputusan saya untuk kekal bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Saya mampu beraksi dengan baik biarpun akan kekal bersama kelab ini sehingga saya berusia 31 tahun.
"Saya belum pasti destinasi saya selepas itu. Jadi, saya hanya mahu menikmati bermain bola sepak selagi saya bersama Barcelona," kata Messi.

Barcelona mengesahkan bahawa Messi bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama kelab itu pada Disember lalu.

Selain Messi, turut bersetuju kekal di Stadium Nou Camp ialah dua lagi pemain veteran, Xavi Hernandez dan Carles Puyol.

Pada masa sama, Messi juga tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan kariernya di Argentina. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 Februari 2013

Messi penyelamat Barcelona



MESSI meraikan jaringannya ketika membantu Barcelona seri 1-1 dengan Valencia pada aksi Liga Sepanyol di Stadium Mestalla awal pagi semalam.


MADRID - Sepakan penalti yang disempurnakan penyerang Argentina, Lionel Messi berjaya menyelamatkan maruah Barcelona yang seri 1-1 dengan Valencia dalam saingan Liga Sepanyol awal pagi semalam.
Messi berjaya melebarkan rekod jaringannya kepada 12 perlawanan di Stadium Mestalla apabila sepakan penalti yang disempurnakannya pada minit ke-39 berjaya memadam gol pendahuluan Valencia.
Enam minit sebelum itu, Valencia ber- jaya di depan hasil jaringan Ever Banega.

Prestasi hambar Barcelona awal pagi semalam adalah kesan daripada keputusan seri 1-1 ketika mereka menentang Real Madrid pada aksi separuh akhir Piala Raja-Raja Sepanyol.

Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura turut mengakui bahawa anak- anak buahnya tidak beraksi pada tahap sebenar mereka.

"Memang benar bahawa kami menghadapi perlawanan hari ini (awal pagi semalam) selepas mengalami perlawanan sukar sebelum ini. 

"Pada babak pertama, sukar untuk kami menyesuaikan diri dengan corak permainan tetapi berjaya memperbai- kinya selepas itu.

"Kami hadir dengan matlamat untuk mengutip tiga mata penuh tetapi kami beraksi di stadium yang sukar untuk kami melakar kemenangan. Keputusan seri boleh dianggap keputusan yang adil bagi kami.
"Pada babak kedua, kami bermain lebih baik dan memiliki tiga atau empat peluang bagi menjaringkan gol tetapi pemain mensia-siakannya," kata Roura.

Meskipun sekadar seri, skuad The Catalan terus unggul di takhta liga dengan mengumpul 59 mata, sembilan mata meninggalkan Atletico Madrid di tangga kedua.

Sementara itu, Atletico terus memberi tekanan kepada Barcelona dalam misi memburu kejuaraan liga musim ini apabila melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Betis.

Sevilla turut mengutip tiga mata awal pagi semalam apabila menewaskan Rayo Vallecano 2-1 manakala Mallorca tewas 0-3 di tangan Sociedad manakala Malaga sei 1-1 dengan Real Zaragoza.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my