Memaparkan catatan dengan label Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terengganu. Papar semua catatan

Isnin, 11 November 2013

Terengganu uji tenaga lima awang import


TERENGGANU akan menguji lima awang import bagi mengisi dua lagi slot pemain import skuad Penyu itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2014.

Bagi menghadapi kempen musim depan, Terengganu mengekalkan pemain import dari Cameroon, Vincent Bikana manakala kontrak rakan senegaranya, Jean-Emmanuel Effa Owona tidak disambung.
Dalam sesi ujian dari 16 hingga 21 November ini, pengurus Terengganu, Marzuki Sulong berkata, dua daripada lima pemain import berkenaan adalah dari Jepun manakala masing-masing seorang dari Argentina, Brazil dan Croatia.

Beliau berkata, Terengganu akan mempercepatkan proses pencarian pemain import berikutan tarikh pendaftaran pemain untuk musim depan tamat pada 4 Disember depan.

"Jadi kita punya sasaran 30 November ini untuk melengkapkan senarai 25 pemain," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 21 pemain tempatan disenaraikan dalam skuad Peteh itu dengan tiga daripada mereka bukan anak Terengganu.

"Pemain bukan dari Terengganu yang bakal mewakili Terengganu musim depan adalah bekas pemain Kelantan dan Selangor PKNS," jelasnya.

Marzuki berkata, terdapat dua lagi kekosongan yang akan diisi kemudian jika ada pemain-pemain berstatus bintang tidak berada dalam skuad.

"Kita telah sediakan pemain daripada skuad Piala Presiden untuk mengisi kekosongan sekiranya pemain bintang tidak datang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 2 Oktober 2013

Buru gelaran kali keempat

Berita Harian
Buru gelaran kali keempat
Alor Setar: Juara bertahan, SMK Tunku Anum dari Kedah, yakin mereka bakal dimahkotakan kejuaraan Liga Kementerian Pelajaran Bawah 17 Tahun kali keempat apabila menentang SMK Bukit Nenas dari Terengganu pada final di Alor Star, Sabtu ini.

“Kami yakin; kami perlu bersikap begitu kerana kami bakal bermain di laman sendiri. Namun ia bukanlah mudah apabila menentang pasukan dari Terengganu,” kata jurulatihnya, Mohd Rizal Johan.
“Pasukan lawan mempunyai kekuatan fizikal, jadi kami perlu lebih berhati-hati. Saya percaya kelebihan berpihak kepada mereka tetapi kami telah bersedia dan dalam beberapa hari ini, kami akan menumpukan perhatian untuk menaikkan semangat pasukan.”


Tunku Anum yang juga juara 2010-2012 menempah tempat ke final selepas menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis dengan agregat 2-0.

SMK Bukit Nenas pula sekadar menang tipis 1-0 di tempat lawan dalam separuh akhir pertama dan seri 2-2 dalam perlawanan timbal balik.

“Ia adalah perjalanan yang panjang dan mencabar untuk kami, oleh itu saya memberitahu pemain supaya menganggap perlawanan final nanti sama seperti perlawanan lain. Kami tidak akan bermain dalam tekanan kerana di tempat lawan, jadi kami akan memanfaatkan segala peluang yang ada untuk menyukarkan lawan.”

INFO: Final Sabtu SMK Tunku Anum (Kedah) mln SMK Bukit Nenas (Terengganu)
4 ptg di Std Darulaman

Isnin, 16 September 2013

Ahmad beri kata dua


AHMAD (kanan) melihat gambar-gambar bersejarah pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Perpustakaan Negeri, Kuala Terengganu semalam.


TUGAS berat menanti Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baharu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Wan Ahmad Nizam mempunyai misi utama untuk memastikan Terengganu kembali menjadi sebuah pasukan bola sepak yang digeruni di Malaysia.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberikan kata dua kepada beliau supaya memastikan pemain import yang dipilih untuk mewakili pasukan itu musim depan berbaloi dengan wang pelaburan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

“Saya telah memberi amaran kepada presiden baharu (Wan Ahmad Nizam) supaya memilih pemain import yang benar-benar berkaliber sahaja.

“Saya sudah beritahu, jangan harapkan pemain yang dihantar oleh ejen atau yang diperolehi berdasarkan gambar video dan sebagainya sahaja. Saya cakap, kalau dia silap pilih, dia kena,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun Ahmad tidak menjelaskan apa tindakan yang akan dikenakan ke atas Wan Ahmad Nizam sekiranya beliau gagal berbuat demikian.

Jelasnya, beliau juga sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat serta pihak pengurusan mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, Wan Ahmad Nizam bersama pengurusan PBSNT kini menuju ke Croatia dan Bosnia untuk mencari pemain import dari dua negara tersebut dan akan memulakan tugas secara rasmi sebagai Presiden PBSNT apabila pulang dari tugasan tersebut.

Wan Ahmad Nizam dilantik sebagai Presiden PBSNT yang baharu dalam satu Kongres Luar Biasa PBSNT menggantikan Datuk Che Mat Jusoh yang memegang jawatan itu selama lebih 14 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mengalu-alukan pelantikan Setiausaha Politiknya itu sebagai Presiden PBSNT yang baharu dan berharap Wan Ahmad Nizam dapat membawa perubahan dalam persatuan tersebut.

“Kami (kerajaan negeri) berharap, di bawah kepimpinan baharu, dengan tenaga baharu dan idea-idea baharu nanti, kami dapat bekerjasama dalam persatuan (PBSNT), persatuan-persatuan (bola sepak) daerah dan sebagainya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 14 September 2013

Wan Ahmad Nizam terajui PBSNT


Oleh Faizul Azlan Razak Berita Harian
 
Kuala Terengganu: Teka-teki siapa yang bakal menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menggantikan Datuk Che Mat Jusoh akhirnya terjawab apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid diumum sebagai presiden, semalam.

Pengisytiharan Wan Ahmad Nizam sebagai Presiden PBSNT dibuat selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Luar Biasa Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif PBSNT 2013 di Wisma Seri Amar, di sini.
Pelantikan itu menjadi lembaran baru kepada PBSNT selepas Che Mat yang menerajuinya selama 15 tahun membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.


Lapan eksekutif

Jawatan Timbalan Presiden turut berubah apabila Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mazlan Ngah dan Marzuki Sulong menang tanpa bertanding pada pemilihan itu sementara Saidi Salleh@Sulong, Ab Rasid Jusoh, Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib presiden.

Lapan ahli eksekutif PBSNT yang dipilih pada kongres itu ialah Ali Embong, Haslan Hashim, Zaki Ismail, Mohd Rashdi Hamat, Abdullah Hamat, Mohd Sekanther Abd Hamid, Wan Mohd Azlizan Abu Bakar dan Wan Zaulkfli Wan Gati.

Sementara itu, Che Mat berkata beliau berharap kepimpinan baru diketuai Wan Ahmad Nizam dapat menempatkan pengurusan PBSNT dan pasukan Terengganu dalam kedudukan lebih baik selepas ini terutama menjelang 2015.

Rabu, 21 Ogos 2013

Negeri Sembilan merendah diri


MANAF (depan) dicabar pemain pertahanan Negeri Sembilan, Abdul Halim Zainal pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.


PENGENDALI sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah tetap merendah diri selepas anak-anak buahnya mengejutkan Terengganu 2-0 pada aksi sulung Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Ridzuan menganggap skuad Hoben Jang Hoben yang dilabel sebagai pasukan underdog selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini bernasib baik meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.

"Tidak ada aksi yang luar biasa. Semuanya biasa-biasa sahaja. Cuma aksi barisan hadapan kami agak menjadi malam tadi (kelmarin).

"Penyerang (Fabio Leandro Barbosa) dan pemain tengah (S. Sivanesan) tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang.

"Abdul Halim (Zainal), Mohd. Nazrin (Mohd. Nawi) dan beberapa pemain lain turut bermain dengan baik sepanjang perlawanan itu," kata Ridzuan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi kelmarin, Leandro Barbosa meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-38 sebelum Sivanesan menambah gol kedua pada minit ke-53, kedua-duanya hasil lorongan pemain tengah, Eddy Helmi Abdul Manan.

Skuad Penyu berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan apabila Abd. Manaf Mamat dikasari pemain pertahanan Negeri Sembilan, sekali gus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82.
Bagaimanapun, penjaga gawang Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim berjaya mengekang rembatan kencang Manaf.

Ridzuan berkata, kemenangan itu sangat penting terutama dalam usaha Negeri Sembilan mencari momentum bagi mengharungi baki saingan peringkat kumpulan selepas ini.

"Bukan kami sahaja yang melakukan kejutan malam tadi (kelmarin). Beberapa pasukan lain turut melakukan kejutan. Ini merupakan perlawanan pertama dan semua pasukan cuba untuk mencari keserasian.

"Masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kami tidak boleh terlalu gembira," jelas Ridzuan.

Mengulas aksi kedua Kumpulan C menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Ridzuan berkata, anak-anak buahnya sekali lagi turun selaku underdog kerana mereka tidak pernah menewaskan skuad kendalian Dollah Salleh itu sepanjang musim ini.

"Pahang sudah pasti dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kami musim ini. Bagaimanapun, kami akan mencuba untuk melakukan satu lagi kejutan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Ismail bakar semangat Terengganu



ISMAIL (kanan) terpaksa 'berehat' panjang selepas dikenakan penggantungan selama tiga bulan.


PERASAAN terkilan masih menyelubungi pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi apabila tidak dapat turun beraksi membantu skuad Penyu mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Ini kerana Ismail terpaksa menjalani penggantungan tiga bulan selepas menerima kad merah ketika Terengganu menentang Kelantan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 11 Mei lalu

Ketika insiden itu, Ismail, 27, mengasari dan menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada pengadil perlawanan.

Ismail berkata, dia berasa amat kecewa kerana digantung selama tiga bulan, seterusnya tidak dapat memberi khidmat kepada Terengganu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan sendiri sehingga digantung selama tiga bulan. Ia menutup terus peluang saya untuk bersama-sama rakan sepasukan bersaing pada Piala Malaysia.

“Harapan saya kepada pemain-pemain yang diberi tanggungjawab oleh jurulatih untuk mengisi kekosongan di posisi saya agar dapat beraksi dengan cemerlang membantu pasukan bagi merebut kembali Piala Malaysia,” kata Ismail.

Terengganu akan membuka tirai Piala Malaysia melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Skuad kendalian E. Elavarasan itu diundi dalam Kumpulan C yang dianggap ‘kumpulan maut’ apabila perlu berdepan juara bertahan, Kelantan selain Pahang dan Negeri Sembilan.

Ismail memberitahu, penggantungan tersebut memberi pengajaran berguna kepada dirinya dan boleh dijadikan iktibar kepada rakan-rakan lain agar mengawal emosi ketika perlawanan.

Dia berkata, para pemain perlu sentiasa menerima teguran dan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan ketika berada di tengah padang.

“Saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi dalam perlawanan akan datang dan ingin memohon maaf kepada pasukan serta penyokong Terengganu.

“Ini kerana tindakan melulu itu menyebabkan saya tidak dapat membantu Terengganu dalam saingan Piala Malaysia musim ini,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 15 Ogos 2013

Jangan banyak merapu!


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh mula naik angin dengan Peter James Butler.

Sehari selepas Butler mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial Twitter peribadinya dengan mengkritik PBSNT, semalam Che Mat pula 'menyerang' bekas jurulatih Terengganu itu.

Che Mat menegaskan, perbuatan Butler itu jelas tidak menggambarkan sikap profesional selepas pengendali kelahiran Halifax, England itu dipecat sebagai jurulatih Terengganu pada pertengahan tahun lalu.

Beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan terhadap Butler jika jurulatih berusia 47 tahun itu terus bertindak mencemar nama baik Terengganu mahupun T-Team dalam laman sosial.

"Jangan nak sibuk-sibuk pasal Terengganu dan T-Team, jaga hal diri sendiri lebih bagus.
"Jadilah seorang yang lebih matang dan profesional. Kami dah bayar semua gaji tertunggak, apa lagi yang dia (Butler) tak puas hati?

"Dia tidak boleh merapu dalam Twitter dengan memberikan gambaran buruk kepada bekas majikannya sendiri (PBSNT).

"Nasihat saya, jangan ulangi perbuatan itu pada masa akan datang sebelum tindakan susulan diambil," kata Che Mat ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam laman sosial Twitter peribadinya kelmarin, Butler secara terbuka mengkritik pihak pengurusan PBSNT selain mengeluarkan kenyataan supaya badan induk itu mencontohi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bekas jurulatih Kelantan itu turut menyelar Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Yusof yang dianggapnya sebagai badut dan tidak memiliki sebarang pengetahuan dalam bidang bola sepak.
Sebelum ini, Butler cukup terkenal dengan pelbagai kontroversi apabila beliau pernah bertikam lidah dengan bekas penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Beliau juga hampir dikenakan saman oleh dua bekas pemainnya, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad apabila menuduh kedua-dua pemain terbabit membawa masuk wanita ke dalam bilik hotel di Kedah pada Ogos tahun lalu.

"Dia (Butler) pernah cuba minta balik jawatan (jurulatih Terengganu) selepas undian Piala Malaysia baru-baru ini tetapi saya tidak mahu layan.

"Cukuplah apa yang berlaku sepanjang beliau menjadi jurulatih Terengganu," tegas Che Mat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 9 Ogos 2013

Gelombang Pantai Timur



KALI KEDUA... Kelantan sekali lagi dinobatkan selaku juara Piala Malaysia musim lalu.


REPUTASI Kelantan selaku jagoan baharu dalam arena bola sepak tanah air sejak beberapa tahun lalu sudah tidak perlu dipersoal lagi.

Di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak 2007, The Red Warriors ternyata mengalami satu transformasi sehingga memberi impak besar kepada Liga Malaysia (Liga M) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Enam kejuaraan utama - Liga Super (dua), Piala Malaysia (dua) dan Piala FA (dua) selepas dua tahun Annuar memimpin KAFA, membuktikan betapa Kelantan wajar dicemburui pasukan lawan khususnya gergasi bola sepak seperti Selangor, Perak, Kedah, Pahang mahupun Terengganu.

Paling membanggakan seluruh peminat dan penyokong setia Kelantan apabila pasukan kesayangan mereka itu muncul juara trebel musim lalu dengan menjulang trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Kelantan sudah boleh melupakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini selepas sekadar mampu menamatkan saingan di tangga keempat.

Biarpun sudah terlepas satu trofi, Kelantan masih ada sebab untuk mendabik dada kerana status juara Piala FA masih menjadi milik mereka hasil kejayaan membenam pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.

Kini skuad The Red Warriors itu berpeluang meraih gelaran berganda apabila kejohanan paling berprestij di tanah air - Piala Malaysia membuka tirai secara rasmi pada 20 Ogos depan.

Diundi dalam Kumpulan C bersama dua lagi pencabar dari Pantai Timur - Terengganu, Pahang selain Negeri Sembilan, Kelantan sudah pasti diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding tiga lawan mereka itu.

Bagaimanapun, bagi pengendali Kelantan, Bojan Hodak, beliau lebih gemar merendah diri dan tidak mahu anak-anak buahnya dilabel pasukan pilihan sehingga menyebabkan mereka gagal beraksi pada tahap sebenar.

"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang telah dicapai musim lalu. Lebih baik jika Kelantan dilabel sebagai underdog berbanding pasukan pilihan lain bagi membolehkan para pemain saya tidak berdepan dengan tekanan.

"Secara peribadi, saya melihat saingan Piala Malaysia musim ini paling sengit berbanding sebelum ini kerana banyak pasukan telah menunjukkan kebangkitan sama ada dalam Liga Super mahupun Liga Premier," jelas Hodak kepada Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun lebih cenderung mengambil pendekatan 'berhati-hati' dalam misi mempertahan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, Hodak tetap menetapkan sasaran awal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Kami telah bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Turun dengan status juara bertahan bukanlah tugas mudah tetapi kami akan menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.

"Saya yakin Kelantan mampu ke saingan suku akhir. Kami pernah menentang ketiga-tiga pasukan itu (Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan) sebelum ini tanpa sebarang kekalahan. Saya fikir, kami mampu kekalkan prestasi tersebut," katanya,

Ditanya pasukan manakah yang mampu memberi cabaran yang lebih sengit kepada Kelantan, Hodak secara jujur menjawab: "Pahang mampu merebut slot juara kumpulan berdasarkan prestasi semasa dan pertemuan sebelum ini."

Begitupun, Hodak jelas sekali tidak mahu menidakkan kemampuan Terengganu dan Negeri Sembilan yang dianggapnya mempunyai misi peribadi masing-masing dan mampu menyekat langkah Kelantan jika beliau salah percaturan.

"Kami telah bertemu Terengganu empat kali musim ini. Sudah pasti Terengganu ada misi penting apabila menentang Kelantan nanti, lebih-lebih lagi selepas kami mengecewakan mereka pada aksi separuh akhir Piala FA.

"Bagi Negeri Sembilan pula, saya tidak mahu merendahkan kemampuan pasukan itu. Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang baik tetapi mereka agak 'tenggelam' di tempat lawan.

"Walaupun Negeri Sembilan telah tersingkir ke Liga Premier musim depan, saya percaya mereka mahu menjadikan kempen Piala Malaysia kali ini sebagai medan kebangkitan," tambahnya.

Sesuatu yang mungkin menggembirakan pengendali berusia 43 tahun itu ketika ini apabila barisan kendaliannya berada pada prestasi terbaik dan bebas daripada masalah kecederaan.

Kejayaan membenam juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu sudah pasti memberi kelegaan kepada Hodak bagi membentuk skuad paling ampuh menjelang sepak mula Piala Malaysia nanti.

"Walaupun saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi para pemain setakat ini tetapi keadaan ini agak memeningkan kepala saya untuk memilih siapakah yang layak untuk menggalas tugas dalam kesebelasan utama.

"Situasi ini jelas menunjukkan setiap pemain berada dalam keadaan bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti," ujarnya.

Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim awal-awal lagi telah mengingatkan skuad The Red Warriors agar tidak memandang rendah keupayaan pencabar mereka sehingga mampu 'meragut' misi mereka menjulang Piala Malaysia edisi ke-87 kali ini.

Bagi Azman, biarpun undian peringkat kumpulan dilihat agak memihak Kelantan, beliau tidak mahu anak-anak buahnya leka 'dibuai mimpi indah' hasil kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.

"Seperti musim lalu, kami sekali lagi diundi dalam kumpulan sukar tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan yang dilalui.

"Jadi saya mahu para pemain Kelantan bersedia lebih awal kerana sudah pasti, setiap pasukan melakukan perkara yang sama untuk memulakan misi baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini," katanya.

Kini tumpuan sudah pasti terarah kepada Kelantan yang hanya menunggu detik sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia 2013 bermula 20 Ogos nanti.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Jun 2013

Elavarasan sukar menerima kekalahan Terengganu



PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi (dua dari kanan) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.


“PERSEMBAHAN paling teruk musim ini.” Itu rumusan pengendali Terengganu, E. Elavarasan apabila anak-anak buahnya tewas 0-4 kepada Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Perlawanan pertama yang berlangsung pada waktu malam di stadium tersebut musim ini, menyaksikan skuad Penyu kehilangan rentak dan membiarkan pemain pelawat menguasai keseluruhan permainan.

Kelantan yang merupakan finalis Piala FA 2013, memulakan rentak bergaya dan berjaya memperoleh gol pertama seawal minit ke-11 menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi.

Pasukan pelawat menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi Dickson Nwakaeme sebelum Mohd. Norfarhan Mohamad menambah menjaringkan gol ketiga (m-50) diikuti Mohd. Faiz Subri untuk gol keempat (m-55).

Elavarasan berkata, bermain pada waktu malam bukan alasan, sebaliknya ketiadaan tonggak import iaitu Effa Owana dan Vincent Bikana serta penyerang, Abdul Manaf Mamat merencatkan jentera serangan Terengganu.

“Ketiadaan tiga tonggak ini sangat dirasai dan kami perlu melakukan sesuatu bagi menghadapi perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut kelmarin.

Elavarasan berkata, daripada 19 perlawanan Liga Super musim ini, pertemuan tersebut merupakan yang paling buruk buat Terengganu.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak menjelaskan, kemenangan besar yang diperoleh pada pertemuan itu menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk membawa pulang trofi Piala FA musim ini.

“Kami berharap untuk menang sekali lagi pada aksi menentang Pahang sebelum beraksi pada final Piala FA nanti. Kemenangan ke atas Terengganu ini boleh dianggap satu petanda yang baik sebelum menghadapi final Piala FA nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 16 April 2013

Kelantan, Sime Darby tak senasib



PENYERANG Selangor, Francis Forkey Doe (tengah) diasak pemain Johor DT pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.


SKRIP berbeza menimpa finalis musim lalu, Kelantan dan Sime Darby sebaik aksi suku akhir kedua Piala FA melabuhkan tirainya malam tadi.

Tampil selaku juara bertahan, Kelantan tidak berdepan masalah membenam cabaran Sarawak 2-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, sekali gus mara dengan agregat 4-1.

Pada perlawanan itu, kedua-dua gol skuad The Red Warriors diperoleh masing-masing satu menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-19 dan ke-41.

Namun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas Kelantan terpaksa melupakan khidmat Shakir Shaari yang dilayangkan kad merah selepas mengasari Joseph Kalang Tie pada minit ke-75.

Kelantan bakal melayan kunjungan seteru setempat, Terengganu di laman sendiri pada aksi separuh akhir pertama 25 Mei depan.

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, naib juara musim lalu, Sime Darby gagal meneruskan kemaraan buat kali ini sebaik ditumpaskan Pahang menerusi agregat 0-2.

Penyerang import baharu skuad Tok Gajah, Matias Conti dari Argentina muncul wira pelawat apabila meledak kedua-dua gol pada minit ke-75 dan 80.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada aksi suku akhir pertama minggu lalu.

Dengan keputusan itu, Pahang yang melengkapkan penguasaan tiga pasukan dari Pantai Timur, bakal berdepan Johor Darul Takzim di tempat lawan pada aksi separuh akhir pertama nanti.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, juara edisi 2011, Terengganu mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti musim lalu apabila menewaskan Negeri Sembilan dengan kemenangan bergaya 3-0.

Skuad Penyu mara dengan agregat 6-1 selepas terlebih dahulu melakar kemenangan selesa 3-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi minggu lalu.

Pada aksi petang semalam, Mohd. Ashaari Shamsuddin berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-25 sebelum penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona menggandakan kelebihan Sang Penyu pada minit ke-54.

Hasrat skuad Rusa untuk menghidupkan sisa-sisa peluang akhirnya terkubur apabila Effa Owona tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk kemenangan bergaya tuan rumah.
Di Stadium Shah Alam, Johor Darul Takzim berjaya mengecewakan juara lima kali, Selangor apabila menang menerusi pe- nentuan sepakan penalti 4-2.

Penjaga gol pelawat, Al-Hafiz Hamzah muncul wira apabila berjaya menggagalkan sepakan dua pemain Selangor, Mahalli Jasuli dan K. Gurusamy. 

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat menerusi agregat 3-3 sebaik masa sebenar perlawanan tamat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 11 April 2013

Terengganu idam benam JDT


TERENGGANU bakal mengubah corak permainan menjelang perlawanan menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.

Ia berikutan pemain sayap kiri, Ashaari Shamsudin yang menjadi salah seorang 'nadi' serangan pasukan Terengganu, tidak dapat diturunkan akibat digantung satu perlawanan.

Pengendalinya, E. Elavarasan berkata, biarpun berlaku perubahan dalam bahagian serangan tetapi beliau tetap yakin pemain yang bakal diturunkan kelak mampu menggalas tugas dengan baik dalam misi mereka memburu tiga mata penuh di laman sendiri.

"Sudah pasti kehadiran Ashaari dalam pasukan akan memperkuatkan lagi jentera serangan kita tetapi saya percaya, dengan prestasi pemain lain dalam pasukan yang semakin menunjukkan keserasian, mereka mampu meraih kejayaan.

"Bahkan, kemenangan pada aksi Piala FA, Sabtu lalu sedikit sebanyak menaikkan moral pemain untuk berhadapan dengan Johor Darul Takzim," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kemenangan pada perlawanan pusingan kedua itu amat penting bagi Terengganu dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Menyentuh mengenai kebangkitan semula pasukan Terengganu yang bermula agak perlahan pada awal saingan Liga Super, Elavarasan berkata, kejayaan itu diraih berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkan setiap pemain.

"Pada awal saingan Liga Super, pasukan masih belum menemui keserasian tetapi apabila kembali berehat tiga minggu pada Februari lalu, pemain mula menunjukkan kemampuan sebenar mereka dengan memenangi tiga perlawanan ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PKNS FC T-Team.

"Saya juga sudah mengenali pemain dengan lebih mendalam, terutamanya dalam aspek corak permainan mereka dan ini merupakan satu kelebihan yang kita ada buat masa ini untuk terus memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Selasa, 15 Januari 2013

Terengganu tumbang



PENJAGA gol Selangor, Sharbinee Alawee mudah menyelamatkan percubaan penyerang Terengganu pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu semalam.


TERENGGANU tumbang di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Jaringan pantas penyerang Selangor, S. Kunanlan dan Mohd. Amri Yahyah meleburkan impian tuan rumah untuk meraih kemenangan sulung pada kempen liga musim ini.

Pada perlawanan semalam, Selangor hanya mengambil masa enam minit untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan Kunanlan yang mudah menyempurnakan hantaran bekas pemain Terengganu, Francis Forkey Doe.
'Orang lama' Selangor, Mohd. Amri menambah derita skuad kendalian E. Elavarasan itu apabila melepaskan satu rembatan kencang ke gawang lawan pada minit ke-16 tanpa dapat diselematkan oleh penjaga gol Terengganu, Wan Muhd. Azraei Wan Teh. 

Begitupun, Terengganu merapatkan jurang seminit selepas itu menerusi jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pada babak kedua, Terengganu dilihat lebih banyak menguasai permainan tetapi tetap gagal untuk meloloskan diri ekoran kekentalan benteng pertahanan Selangor.

Pengendali Terengganu, Elavarasan menjelaskan, beliau mendapati banyak kelonggaran dalam perlawanan tersebut dan barisan pemainnya begitu mudah hilang fokus.

"Dalam perlawanan hari ini (semalam), beberapa posisi tampak longgar terutama di bahagian tengah.
"Apabila kita menyerang, mereka kelihatan lambat turun sehingga menyebabkan kawasan tengah dikuasai pemain lawan. Ia amat ketara pada 10 minit pertama perlawanan," katanya.

Justeru, beliau berharap agar keadaan seperti itu segera diatasi menjelang aksi menentang Lions XII selepas ini.

Sementara itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti memberitahu, beliau berpuas hati dengan rentak permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

"Kalau dibandingkan dengan perlawanan menentang Lions XII tempoh hari, kita tidak banyak melakukan percubaan ke arah gol. Pada perlawanan ini para pemain banyak membuat percubaan.

"Ia merupakan kemenangan berharga dan akan menjadi suntikan moral kepada pasukan menjelang pertemuan menentang Pahang kelak," kata Irfan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Januari 2013

Penyu sedia gempur Felda



SKUAD Terengganu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga bentuk ancaman yang bakal dilancarkan oleh Felda United pada aksi pembuka tirai kempen Liga Super hari ini.


SKUAD Terengganu akan menjadikan perlawanan pembuka tirai Liga Super petang ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai medan merobek gawang pasukan berstatus kelab Felda United.

Dengan kehadiran bekas ‘ayam tambatan’ Negeri Sembilan, Jean- Emmanuel Effa Owona, skuad kendalian E. Elavarasan dijangka tidak akan memberi peluang kepada benteng pertahanan Felda United untuk meraih mata berharga di laman sendiri.

Menurut Elavarasan, Terengganu telah membawa masuk penyerang berbisa dari Cameroon, Effa Owona dalam memantapkan lagi jentera serangan mengharungi musim baharu ini.

“Dalam perlawanan pembukaan ini, kita akan mencari peluang menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi memburu tiga mata penuh, sekali gus dapat meletakkan skuad dalam kedudukan selesa pada awal saingan Liga Super.

“Trio serangan Terengganu yang diketuai Effa Owona dibantu penyerang berpengalaman Abdul Manaf Mamat dan Mohd Asha’ri Samsuddin kini sudah mula memperlihatkan keserasian,” ujarnya. 

Elavarasan menambah, jika mampu meraih tiga mata pada aksi pembukaan ini, ia akan menjadi pencetus semangat buat semua pemain mengharungi saingan Liga Super sepanjang musim ini. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa prestasi dan disiplin anak-anak buahnya dilihat telah meningkat serta menunjukkan persefahaman yang baik sepanjang aksi pramusim baru-baru ini.

“Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, para pemain telah menunjukkan persefahaman dan komitmen yang tinggi dan situasi tersebut akan membantu mereka menampilkan aksi terbaik,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/