Memaparkan catatan dengan label Seydou Keita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seydou Keita. Papar semua catatan

Ahad, 10 Februari 2013

Mali pertahan tempat ketiga



PEMAIN-PEMAIN Mali meraikan kejayaan meraih tempat ketiga Piala Negara-Negara Afrika tahun ini selepas menewaskan Ghana 3-1 semalam.


PORT ELIZABETH, Afrika Selatan - Skuad Mali jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Ghana 3-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga kempen Piala Negara-Negara Afrika 2013 awal pagi semalam.

Dalam aksi di Stadium Nelson Mandela Bay itu, gol-gol jaringan Mahamadou Samassa (21), Seydou Keita (48) dan Sigamary Diarra pada masa kecederaan sudah cukup untuk menjulang maruah The Eagles menamatkan saingan di tempat ketiga buat kali kedua.

Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan The Eagles berjaya melunaskan dendam selepas terlebih dahulu tewas kepada Ghana dengan keputusan 0-1 dalam aksi Kumpulan B sebelum ini.

Skrip yang lebih kurang sama juga dilakar Mali pada kempen tahun lalu apabila turut mengecewakan lawan yang sama dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Cheick Tidiane Diabate pada penentuan tempat ketiga selepas terlebih dahulu tewas 0-2 pada peringkat kumpulan.

Sudah tentu, individu yang paling gembira dengan kejayaan Mali menamatkan saingan di tempat ketiga kali ini ialah jurulatih, Patrice Carteron.

"Saya cukup berbangga dengan persembahan pemain saya sepanjang kempen kali ini.

"Mereka berusaha keras untuk meraih tempat ketiga, ternyata perit jerih mereka berbaloi," kata Carteron.

Carteron memberitahu, kejayaan menamatkan saingan di tempat ketiga sudah cukup besar buat Mali.

"Saya yakin peminat kami cukup berpuas hati dengan kemampuan kami menamatkan saingan di tempat ketiga.
"Ia satu keputusan yang cukup bagus buat kami," katanya.

Untuk rekod, ini merupakan kali kelima Mali berjaya mara ke perlawanan penentuan tempat ketiga.

Mereka tewas sebanyak dua kali kepada Nigeria (edisi 2002 dan 2004) selain dikecewakan Ivory Coast pada penentuan tempat ketiga pada 1994.

Pada masa sama, kemenangan itu juga dilihat hadiah perpisahan yang cukup istimewa buat Keita yang mengumumkan persaraan baru-baru ini.

Keita tenang menyempurnakan hantaran Ousmane Coulibaly untuk gol kedua Mali dalam perlawanan itu, selain ia juga gol ketiga peribadinya pada kempen kali ini.Gol tunggal Ghana pula dicetak Kwadwo Asamoah pada minit ke-82.

Aksi final antara Nigeria dan Burkina Faso pula berlangsung di Stadium FNB awal pagi tadi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Jumaat, 8 Februari 2013

Mali mahu ulangi sejarah



KEITA (depan) mahu Mali menamatkan kempen kali ini di tempat ketiga buat kali kedua sepanjang lima penampilan.


JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Mali berharap sejarah akan berulang pada aksi penentuan tempat ketiga kempen Piala Negara-Negara Afrika menentang Ghana di Stadium Nelson Mandela Bay awal pagi esok.

Mali tewas 0-2 kepada Ghana pada pusingan pertama kempen tahun lalu tetapi mereka kembali mempamerkan aksi terbaik dan memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga hasil jaringan Cheick Tidiane Diabate.

Pada edisi kali ini, mereka sekali lagi tewas 0-1 kepada Ghana pada aksi Kumpulan B menerusi jaringan penyerang lawan, Mubarak Wakaso.

Anak-anak buah Patrice Carteron teruja untuk menewaskan Ghana awal pagi esok, sekali gus mengubat kekecewaan selepas dibelasah 1-4 oleh Nigeria pada aksi separuh akhir kelmarin.

Kapten Mali, Seydou Keita berkata, dia mahu melupakan kekalahan kepada Nigeria dan berazam untuk menebus kedukaan itu dengan menewaskan Ghana.

Bekas perancang Barcelona itu yakin kekalahan tersebut berpunca daripada kegagalan mereka beraksi sebagai satu pasukan, berbanding ketika menewaskan tuan rumah, Afrika Selatan 2-1 pada saingan suku akhir.

Keita mahu menamatkan kempen kali ini di tempat ketiga buat kali kedua dalam lima penampilan selepas tewas kepada Ivory Coast dan Nigeria dalam dua pertemuan terdahulu.

"Menyalahkan orang lain hanya membuang masa. Kami perlu mengulangi persembahan cemerlang ketika berdepan Afrika Selatan jika mahu menewaskan Ghana.

"Kekecewaan tewas kepada Nigeria masih terasa tetapi kami perlu melupakan segera kekalahan kerana masih ada satu lagi perlawanan," kata Keita.

Begitupun, Mali tidak akan diberi laluan mudah kerana Ghana juga enggan pulang dengan tangan kosong.
Tampil selaku semifinalis sepanjang empat edisi terakhir turut meletakkan skuad The Black Star sebagai pasukan pilihan berbanding Mali.

Begitupun, kapten Ghana, Asamoah Gyan tidak mahu mendabik dada kerana apa jua kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak jika mereka kurang berwaspada. 

Pada masa sama, Wakaso berpeluang untuk memenangi Anugerah Kasut Emas apabila berkongsi empat jaringan bersama penyerang Nigeria, Emmanuel Emenike. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/