Memaparkan catatan dengan label Chelsea. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chelsea. Papar semua catatan

Ahad, 14 Julai 2013

'Saya tampil lebih baik'



MOURINHO melambai tangan kepada para peminat sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK - Jose Mourinho memberi amaran bahawa beliau kembali ke Chelsea sebagai seorang pengurus yang lebih baik.

Pengendali kelahiran Portugal itu turut berjanji untuk merampas semula trofi Liga Perdana England dan memenangi gelaran Liga Juara-Juara bersama kelab London itu.

Mourinho berkata, pengalamannya bersama Inter Milan dan Real Madrid, telah memberi banyak pengajaran dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan.

"Saya rasa, rambut saya sudah beruban dan 'petanda' tersebut menunjukkan bahawa saya lebih baik berbanding sebelum ini.

"Apa yang saya fikirkan adalah tugasan saya bersama Chelsea tidak akan berdepan masalah berbekalkan pengalaman sebelum ini.

"Ini kerana, saya telah mengelilingi Eropah dengan menetap di Itali (Inter) selama dua tahun dan di Sepanyol (Real) dan dalam masa yang sama, saya telah banyak mempelajari budaya bola sepak.
"Saya telah menimba banyak pengalaman berguna dan sudah tentu saya fikir bahawa saya akan lebih matang.

"Pada pendapat saya, tugas saya bukan sekadar memenangi trofi tetapi ia berkaitan dengan mempelajari pengalaman lalu," kata Mourinho secara berseloroh pada sidang akhbar Jelajah Asia di Bangkok, Thailand semalam.

Untuk rekod, Mourinho, 50, kembali ke saingan Liga Perdana England selepas memenangi kejuaraan liga sebanyak dua kali berturut-turut termasuk dua Piala Liga dan Piala FA ketika membimbing skuad The Blues buat kali pertama pada tahun 2004 hingga 2007. 

Di Inter Milan, beliau memenangi gelaran trebel iaitu Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali pada 2010.

Beliau turut memenangi trofi Liga Sepanyol ketika bersama Real.

Kini, Mourinho berharap untuk membina legasi baharu di Chelsea dan mencontohi pencapaian di Porto serta Inter untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara buat pertama kalinya bersama Chelsea. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 13 Julai 2013

Chelsea tampil barisan bintang


IMBAS... Mourinho (tengah) bersama Terry (kanan) dan Lampard meraikan kejayaan Chelsea menjuarai Liga Perdana England pada 2010.


TRIO Chelsea - John Terry, Frank Lampard dan Petr Cech disahkan antara bintang The Blues yang turut serta dalam Jelajah Asia Chelsea 2013.

Sebelum ini, pengendali Chelsea, Jose Mourinho telah berjanji untuk membawa barisan terbaiknya pada siri jelajah tersebut sebelum The Blues memulakan kempen baharu 2013/2014.

Selain ketiga-tiga tonggak Chelsea itu, Mourinho turut membariskan beberapa lagi bintang utama, antaranya Gary Cahill, Michael Essien, Eden Hazard, Ashley Cole, Branislav Ivanovic, Ramires selain dua muka baharu, Andre Schurrle, dan Marco van Ginkel.

Chelsea akan memulakan jelajah itu yang dinamakan 'Here to Play, Here to Stay' Asia 2013 di Bangkok, Thailand diikuti Kuala Lumpur dan Indonesia, Jakarta.

Bagaimanapun, tumpuan peminat bola sepak tanah air sudah pasti terarah kepada bintang-bintang Chelsea yang akan mula 'berkampung' di Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

Chelsea akan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Shah Alam pada 21 Julai dengan sepak mula dijadualkan bermula pukul 9.45 malam.

"Saya berasa amat gembira kerana Chelsea membawa barisan pemain bintang mereka pada jelajah kali ini.

"Ini adalah berita baik buat semua peminat Chelsea di Malaysia. Para peminat di Malaysia harus memastikan mereka tidak terlepas peluang ini.

"Saya berharap mereka membeli tiket perlawanan persahabatan itu lebih awal bagi mengelak terlepas menyaksikan aksi tersebut," kata Pengarah Urusan ProEvents Sdn. Bhd., San Boon Wah.
Setakat ini lebih 30,000 tiket perlawanan persahabatan itu telah dijual dan kini ada baki 20,000 tiket lagi yang boleh dibeli peminat.

Tiket tersebut dijual pada harga RM58, RM88, RM108, RM308 dan RM408
Kunjungan The Blues ke Kuala Lumpur kali ini sekali lagi dibawakan khas oleh ProEvents dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 10 Julai 2013

Schwarzer sah milik Chelsea



SCHWARZER (terbaring) mengambil keputusan drastik untuk meninggalkan Fulham bagi menyertai Chelsea selama setahun.


LONDON - Penjaga gol veteran Australia, Mark Schwarzer mempertaruhkan masa depannya dengan menyertai Chelsea kelmarin.

Schwarzer, 40, berkata, dia membuat keputusan itu kerana mahu merasai pengalaman beraksi di bawah kendalian pengurus baharu skuad The Blues, Jose Mourinho.

Schwarzer menandatangani kontrak selama setahun selepas meninggalkan Fulham secara percuma bulan lalu.

"Chelsea merupakan sebuah kelab yang menakjubkan. Mereka antara kelab terhebat dan terbaik di Eropah serta dunia.

"Ia satu penghormatan untuk bermain dengan Chelsea. Saya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersetuju datang ke sini (Stamford Bridge).

"Saya telah bercakap dengan pengurus dan ini adalah satu keputusan yang mudah. Saya anggap Chelsea sebagai kelab yang sesuai dengan saya.

"Impian dan cita-cita besar kelab ini serta peluang yang terhidang di sini, semuanya memenuhi permintaan saya. Ia satu peluang yang besar untuk menyertai kelab yang hebat," kata Schwarzer.

Schwarzer merupakan pemain asing pertama yang telah membuat 500 penampilan dalam Liga Perdana England dan dia mampu menyelesaikan dilema yang dihadapi Chelsea di posisi penjaga gol.

Ketika ini juara Liga Europa itu mencari seorang penjaga gol simpanan kepada Petr Cech setelah mereka melepaskan Ross Turnbull dan Hilario.

Usaha mereka mendapatkan penjaga gol muda England, John Ruddy juga telah ditolak Norwich.
Schwarzer telah membuat 108 penampilan dengan Australia dan akan beraksi di Piala Dunia 2014 di Brazil.

Selepas memulakan karier dalam kempen Liga Jerman, Schwarzer menyertai Bradford pada 1996 dan kemudian menyertai Middlesbrough di mana dia telah beraksi lebih 400 perlawanan dalam tempoh 11 tahun.

Antara pencapaiannya ialah menjulang Piala Liga 2003 dan beraksi pada final Piala UEFA pada 2006.

Selain itu, dia juga telah beraksi sebanyak 220 kali dengan Fulham. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Mark Schwarzer sertai Chelsea


LONDON 10 Julai - Penjaga gol Australia Mark Schwarzer telah menyertai Chelsea dengan mengikat kontrak selama setahun.

Bekas pemain Fulham sebelum ini pernah beraksi bersama Middlesbrough. - Agensi

Mourinho tabur janji manis



LONDON - Pengurus baharu Chelsea, Jose Mourinho berjanji akan memenuhi hajat pemilik kelab itu, Roman Abramovich untuk mencatat kejayaan lebih bergaya musim depan.Pengendali yang lebih dikenali dengan gelaran The Special One itu mengakui, beliau tidak pernah memikirkan soal 'gaya' dalam memburu kejayaan untuk kelab yang dibimbingnya.
"Saya mahu membuat penyokong Chelsea berpuas hati dari aspek keputusan, gaya permainan, mentaliti dan personaliti pemain.

"Penyokong perlu tahu apa yang boleh kami berikan kepada mereka. Saya belajar semua ini daripada pengalaman lalu ketika bersama Chelsea, Inter (Milan) dan (Real) Madrid.

"Keputusan yang saya buat semuanya demi pasukan yang saya bimbing. Saya perjudikan nasib saya dengan kerap membuat keputusan yang berisiko tinggi," katanya.

Ketika ini, Chelsea sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi aksi pra-musim walaupun beberapa pemain tetapnya masih bercuti rehat selepas terlibat pada aksi Piala Konfederasi 2013 di Brazil baru-baru ini.

Bagaimanapun, bintang-bintang yang baharu dibeli Chelsea sudah pun mula menjalani latihan pertama mereka seperti Andre Schurrle dan Marco van Ginkel.

Skuad berwajah baharu Chelsea akan memulakan jelajah pra-musimnya ke Asia minggu ini.
Mengenai pemain lama yang sudah berusia, Mourinho berkata: "Frank Lampard, Ashley Cole dan John Terry masih mempunyai peranan besar di Chelsea.

"Mereka ini adalah sebahagian daripada legasi budaya kelab ini. Walaupun pemain baharu yang datang, pemain lama jugalah yang akan memainkan peranan membantu orang baharu menyesuaikan diri dengan cepat.

"Satu hari karier mereka akan berakhir dan yang baharu tiba akan mengambil alih tugas mereka. Keadaan ini akan berterusan dari satu generasi ke generasi berikutnya." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 7 Julai 2013

Chelsea akan terus digeruni



MOURINHO ketika tampil buat kali pertama sebagai pengurus baharu Chelsea pada 10 Jun lalu. Mourinho berjanji menjadikan Chelsea kelab yang akan terus digeruni selepas ini.


LONDON - Jose Mourinho menjelaskan bahawa Chelsea adalah sebuah kelab yang tidak dikenali di dunia sebelum dia mengendalikan skuad Stamford Bridge itu buat kali pertama.

Setelah berjaya meletakkan Chelsea di peta dunia, Mourinho berhasrat membina reputasi kelab tersebut secara global bagi menyaingi Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich dan Manchester United.

Jelasnya, Chelsea telah menunjukkan kemajuan yang besar sejak kali pertama dia tiba di kelab itu pada 2004 dengan memenangi trofi ke-11 mereka berbanding United sembilan trofi.

Mourinho akan memulakan latihan pra-musim dalam penampilan keduanya sebagai pengurus Chelsea hari ini sebelum menyertai Jelajah Pra-Musim skuad itu ke Asia, Khamis ini.
Dalam jelajah tersebut, The Blues akan mengadakan perlawanan persahabatan di Bangkok, Kuala Lumpur dan Jakarta.

"Kali pertama saya pergi ke Amerika dalam jelajah pra-musim pada 2004, sesi latihan diadakan secara terbuka dan hanya ada 10 kanak-kanak sahaja yang menyaksikannya," jelas Mourinho.
"Tiada siapa peduli apabila kami bersiar-siar di tepi jalan. 

"Tetapi selepas dua tahun peningkatan hasil daripada impak yang dibawa pemilik kelab ini dengan membeli ramai pemain, memenangi Liga Perdana England dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, banyak perkara telah berubah.

"Kali kedua kami datang ke Amerika, terdapat lebih kurang tiga atau empat ribu penonton datang menyaksikannya di Los Angeles.

"Chelsea tidak memiliki sejarah seperti Barca, Real dan Bayern. Kelab ini ada sejarah sebelum Abramovich tiba dan sejarah selepas tahun 2004.

"Tetapi realiti tentang sejarah hampir 10 tahun lepas ialah Chelsea telah memenangi lebih banyak trofi berbanding Manchester United.

"Harapnya saya dapat membantu kelab ini selangkah lagi di hadapan dalam landasan yang tepat." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 4 Julai 2013

Cech janji aksi lebih mantap



CECH yakin Chelsea akan tampil lebih mantap dalam pemburuan trofi Liga Perdana England musim depan.


LONDON - Penjaga gol Chelsea, Petr Cech yakin skuad The Blues akan tampil lebih mantap dalam pemburuan trofi Liga Perdana England musim depan.

Cech melemparkan amaran itu kepada pencabar utama Chelsea selepas Jose Mourinho dilantik buat kali kedua sebagai pengurus skuad The Blues.

Untuk rekod, Mourinho berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika bersama FC Porto dan Inter Milan.

"Dalam tempoh dua tahun lalu, kami melakukan banyak perubahan daripada aspek pengurusan dan barisan pemain.

"Ramai pemain muda dibawa masuk ke dalam skuad ini.

"Malah, ada antara pemain ini memiliki pengalaman memenangi Liga Perdana England, Liga Europa, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

"Apa yang pasti, kami akan berusaha meningkatkan tahap keupayaan pemain berbanding prestasi kami sepanjang dua tahun lalu. 

"Kini, Chelsea tampil sebagai sebuah pasukan berpengalaman dan tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan penting.

"Lebih penting adalah kami memiliki pengurus yang berpotensi besar.
"Ditambah dengan kehadiran pemain yang hebat, saya yakin kami tidak mempunyai masalah untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain," kata Cech. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my