Memaparkan catatan dengan label Rio Ferdinand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rio Ferdinand. Papar semua catatan

Selasa, 13 Ogos 2013

Ferdinand dakwa England sudah hilang identiti


LONDON - Bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand mendakwa, skuad The Three Lions sudah hilang identiti.

Pemain pertahanan veteran Manchester United itu yang mengumumkan persaraan daripada menyertai skuad kebangsaan pada Mei lalu menegaskan, struktur kejurulatihan England perlu mengalami transformasi.

Ferdinand, 34, yang mewakili The Three Lions sebanyak tiga kali pada aksi Piala Dunia turut mengakui, England tidak mempunyai gaya permainan tersendiri seperti pasukan gergasi dunia Sepanyol atau Itali.

"Apa identiti kami sebenarnya? Ketika saya menyuarakan perkara itu menerusi laman Twitter saya, ramai yang memberi maklum balas mengenai apa maksud saya.

"Namun, apa identiti kami sebenarnya? Harapan kami bermula pada era Glenn Hoddle pada 1996-1999 dan ketika itu kami mula membina karakter tersendiri apabila mengamalkan gaya permainan free-flowing football.

"Selepas Glenn (Hoddle) melepaskan jawatannya, kami kembali hilang punca dan tiada gaya permainan tersendiri sehingga kini," kata Ferdinand.

Bagaimanapun, Ferdinand memuji skuad bawah 21 tahun (B-21) England dan dia menganggap bahawa itulah pasukan England yang sebenar.

Katanya, dia menyedari bahawa tiada hubungan baik antara pengurusan pasukan senior dengan pasukan-pasukan bawah 21, bawah 20 dan bawah 17 tahun, sekali gus mengakui perkara itu tidak baik untuk perkembangan bola sepak England.

Kali terakhir England menjulang Piala Dunia adalah pada 1966 dan sehingga hari ini mereka gagal untuk melepasi peringkat separuh akhir dalam mana-mana kejohanan utama dunia.

Sementara itu, Ferdinand turut mengulas mengenai aksi pemanas badan antara England dengan Scotland awal pagi esok dan dia menegaskan bahawa pasukan itu perlu mengorbankan kejayaan dalam masa terdekat bagi mengejar kejayaan jangka masa panjang. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 17 Jun 2013

Ferdinand laung amaran

LONDON - Pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand melaungkan amaran awal kepada pencabar-pencabar skuad The Red Devils dalam saingan Liga Perdana England.

Ferdinand berkata, United berazam untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu, sekali gus dianggap sebagai permulaan yang baik di bawah bimbingan pengendali baharu, David Moyes
.
"Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan kalau kami memenangi gelaran liga sekali lagi di bawah kendalian Moyes.

"Musim lepas adalah antara musim terbaik kami apabila menjuarai gelaran ke-20 liga, namun kali ini ia bakal mengulangi pencapaian tersebut.

"Memenanginya buat kali pertama di bawah kendalian pengurus baharu adalah sesuatu yang sangat istimewa," kata Ferdinand.

Ferdinand masih meneruskan karier dengan United meskipun Alex Ferguson telah bersara.
Bekas pemain pertahanan England berusia 34 tahun itu yakin skuad The Red Devils akan tampil lebih hebat musim depan di bawah kendalian Moyes.

"Moyes seorang lelaki yang jujur dan meminati bola sepak.

"Etika kerjanya menggambarkan sifat dirinya dan beliau pasti mahukan kejayaan. Kami mempunyai peluang yang cerah dengan pengurus baharu ini.

"Setiap tahun selepas habis musim, kami sudah mula memikirkan tentang musim depan dan apa yang patut kami lakukan.

"Kami juga sentiasa berbincang mengenai cara untuk memperbaiki prestasi musim lepas. Ia tidak banyak berbeza dengan tahun ini walaupun kami bertukar pengurus," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 29 Mac 2013

Ferguson pertahan Ferdinand


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mempertahankan tindakan pemain pertahanan, Rio Ferdinand (gambar) untuk menarik diri daripada menyertai skuad kebangsaan England baru-baru ini.

Pemain pertahanan tengah itu yang tidak beraksi di pentas antarabangsa sejak dua tahun lalu kembali disenaraikan jurulatih skuad The Three Lions, Roy Hodgson bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro.

Bagaimanapun, bekas pemain Leeds United itu menarik diri daripada menyertai pasukan kebangsaan atas faktor kecederaan.

Dia turut mencetuskan kontroversi apabila terbang ke Qatar untuk memberikan liputan perlawanan England menentang San Marino sebagai panel jemputan televisyen.

Ferdinand dilaporkan masih berminat untuk beraksi bersama skuad The Three Lions namun enggan berbuat demikian selepas mendengar ejekan dari penyokong-penyokong fanatik ketika menyaksikan skuad kendalian Hodgson membelasah San Marino 8-0 pada Jumaat lalu. 

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menyiasat ejekan berbentuk sorakan yang berunsurkan perkauman yang ditujukan kepada Ferdinand atau adiknya, Anton yang beraksi bersama Queens Park Rangers (QPR).

Ferguson yakin bintang United itu akan menangani situasi tersebut dengan baik dan beliau tidak kisah pemain veteran itu terbang ke Qatar.

"Saya berpendapat Ferdinand melakukan perkara yang betul dengan menarik diri dari skuad England selepas bertemu dengan Hodgson dan saya yang menggalakkan dia berbuat demikian," kata Ferguson.

"Saya jangkakan dia bersemuka dengan Hodgson untuk membuat penjelasan. Apa yang saya tahu, Hodgson tidak mempunyai masalah bersama Ferdinand selepas beliau mendengar penjelasan itu.

"Mengenai isu Ferdinand ke Doha, ia langsung tidak menganggu saya.
"Pemain-pemain United diberikan tiga hari cuti (Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu) dan ketika itu, berlangsung perlawanan antarabangsa. Jadi, dia berhak untuk melakukan apa yang dia mahu," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 20 Mac 2013

Lampard simpati Ferdinand


Leighton Baines (kiri) mengasak Alex Oxlade-Chamberlain pada latihan skuad England di St. George dekat Burton Upon Trent, semalam. - REUTERS 
 
LONDON - Frank Lampard berkata, dia memahami sebab Rio Ferdinand menarik diri daripada skuad England menentang San Marino dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia, esok.

Lampard berkata, bekas rakan sepasukannya di West Ham United itu kekal sebagai antara pertahanan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.
Ferdinand menarik diri daripada skuad England Isnin lalu dan isu itu menjadi topik hangat menjelang perlawanan di San Marino, di mana akhbar England melabelkan keadaan ketika ini sebagai 'sandiwara' dan 'memalukan' buat jurulatih Roy Hodgson.

Pengerusi Liga Perdana Inggeris, Dave Richards menyertai perdebatan dengan berkata, penarikan diri Ferdinand selepas beberapa hari pemain itu berkata akan menyertai skuad, membawa keadaan mengaibkan.

Lampard berkata, dia menghormati keputusan Ferdinand.

"Saya simpati kepadanya dan juga pasukan. Dia berada pada prestasi yang baik, jadi memang rugi apabila kehilangan pemain sepertinya.

"Saya bersimpati dengannya tetapi perkara utama sekarang adalah kami mahu mendapatkan keputusan yang bagus.

"Tidak ada isu peribadi, perkara utama sekarang ialah mengenai keputusan perlawanan, apabila anda berusia 30 tahun, anda harus mengekalkan kelainan anda.

"Rio mengalami beberapa kecederaan pada awal kariernya dan dia terus berada pada tahap tertinggi kariernya," kata Lampard dalam sidang akhbar semalam.

Dengan John Terry tidak lagi tersenarai, penarikan diri Ferdinand, menyebabkan England kekurangan pemain berpengalaman pada pertahanan tengah.

England, yang kini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan H akan berdepan pendahulu kumpulan, Montenegro seminggu lagi. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 16 Mac 2013

Ferdinand dalam dilema


LONDON - Rio Ferdinand dalam dilema selepas dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan England pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro.

Ferdinand, 34, dilaporkan sedang menimbangkan keputusan untuk bersara di pentas antarabangsa, sekali gus menolak tawaran bagi menyertai skuad The Three Lions.

Pemain pertahanan Manchester United itu disenaraikan semula dalam skuad England buat pertama kalinya sejak jurulatih Roy Hodgson menggantikan Fabio Capello tahun lepas.

Dia bakal membuat penampilan ke-81 di pentas antarabangsa sekiranya menerima tawaran itu.

Begitupun, Ferdinand mungkin menolak tawaran tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan United yang mendakwa tekanan beraksi bersama kelab dan negara boleh menyebabkan kecederaan belakangnya berulang.

Pengurus United, Alex Ferguson dan Ferdinand sedang dalam perbincangan dengan pegawai perubatan skuad The Red Devils bagi melihat latihan yang sesuai untuk diberikan kepada pemain itu sekiranya dia menyertai England.

Ferdinand mengakui, berlatih dan beraksi dengan England tanpa kehadiran doktor pakar mungkin memberi risiko kecederaan yang mampu menamatkan kariernya.

Ferguson pula sudah pasti mahu pemain itu memberi tumpuan kepada kelabnya.
"Kami perlu memastikan yang dia (Ferdinand) pulih sepenuhnya dari aspek kecergasan. 

"Kami telah melakukan pemeriksaan ke atasnya sejak dua minggu lalu dan nampaknya ia memberi kesan. Kami perlu lihat kepada semua perkara ini sebelum dia membuat keputusan," kata Ferguson.

Ferdinand dikatakan mula menerima tekanan daripada pegawai perubatan dan pengurus United itu untuk menolak panggilan menyertai skuad England.

Sekiranya Ferdinand menyertai skuad The Three Lions, ia akan mencetuskan kemarahan Ferguson dan pada masa yang sama, dia mahu menyambung kontrak bersama United.

Bagaimanapun, jika menolak panggilan Hodgson, dia mungkin tidak akan dipanggil untuk selama-lamanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 13 Mac 2013

Otot Bola...........

                                                   Mario Balotelli


                                                  Cristiano Ronaldo



                                            Falcao Radamel

                                           Ronaldinho

                                              Hulk


                                          Rio Ferdinand

                                          Vincent Kompany




'Kuasa' Ferdinand kembali ditagih


LONDON - Roy Hodgson mungkin terpaksa menelan semula kata-katanya sebelum ini apabila mempertimbangkan untuk memanggil tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand.

Pengurus England itu mengalami krisis pemain pertahanan apabila skuad The Three Lions beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang San Marino dan Montenegro bulan ini. 

Ini bermakna, dia mungkin terpaksa berpaling kepada Ferdinand, pemain veteran yang sering diabaikan sejak mengambil alih tugas pengurus pasukan kebangsaan, 1 Mei lalu. 

Malah, Hodgson, 65, pernah menegaskan bahawa 'alasan bola sepak' adalah sebab utama dia mengetepikan Ferdinand pada Kejohanan Eropah (Euro) 2012.
Bagaimanapun sekarang, Hodgson tidak punya banyak masa untuk mempertahankan hujahnya kerana England memerlukan pertahanan berpengalaman bagi menghadapi dua perlawanan penting pada 22 Mac dan 26 Mac ini. 

Ahad lalu, dia dilihat berada di Old Trafford untuk menyaksikan Ferdinand mengatasi pemain Chelsea, Gary Cahill dalam aksi suku akhir Piala FA yang berkesudahan seri 2-2. 


Cahill merupakan pemain kegemaran Hodgson, namun prestasinya sekarang tidak sebaik Ferdinand. 

Hodgson pernah naik berang ketika diajukan soalan mengenai ketiadaan Ferdinand, 34, dalam skuad yang menewaskan Brazil 2-1 pada perlawanan persahabatan bulan lalu. 

Jurulatih veteran itu menegaskan, dia bosan bercakap tentang pemain yang tiada dalam pasukannya. 

Namun kini, Hodgson kini tidak punya banyak pilihan selepas pemain Everton, Phil Jagielka terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali. Joleon Lescott pula lebih banyak memanaskan bangku simpanan di Manchester City.

Pemain Stoke, Ryan Shawcross diturunkan ketika menentang Sweden, November lalu, namun dia mengharungi perlawanan yang buruk, manakala pemain Tottenham, Steven Caulker sering tersisih daripada kesebelasan Spurs. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 6 Januari 2013

Boateng beri kata dua



REAKSI Boateng (kanan) selepas diejek oleh penyokong Pro Patria di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.


LONDON - Pemain tengah AC Milan, Kevin-Prince Boateng menegaskan dia akan meninggalkan padang jika sekali lagi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Boateng menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman oleh penyokong-penyokong kelab bawahan Itali, Pro Patria ketika aksi persahabatan di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.

Pemain kelahiran Jerman yang beraksi bersama skuad kebangsaan Ghana itu meninggalkan padang sebelum rakan-rakan sepasukannya turut mengikut jejak langkah yang sama.

Tindakan pemain berusia 25 tahun itu mendapatkan sokongan penuh daripada pemilik Milan, Silvio Berlusconi.

"Saya tidak peduli sama ada perlawanan itu aksi persahabatan, Serie A atau Liga Juara-Juara, saya tetap akan meninggalkan padang sekiranya perkara itu kembali terjadi.

"Saya mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan antaranya pemain Manchester United, Rio Ferdinand serta Patrick Vieira.

"Saya amat sedih dan marah yang mana perbuatan itu seharusnya dihentikan dengan segera," ujar Boateng.

Sebelum bertindak meninggalkan padang, Boateng mendedahkan, dia telah mengadu perkara itu kepada pengadil perlawanan sebanyak tiga kali.

"Saya berkata kepada pengadil, sekiranya perkara itu terjadi sekali lagi, saya tidak akan teragak-agak meninggalkan padang.

"Kemudian, pengadil itu membalas dengan mengatakan tidak perlu risau namun kebimbangan itu masih ada dan saya mengambil keputusan untuk meninggalkan padang.

"Terdapat banyak ejekan negatif dan ia agak mengejutkan saya yang mana ia masih berlaku pada zaman ini," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my