Memaparkan catatan dengan label Mohd Azraai Khor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mohd Azraai Khor. Papar semua catatan

Jumaat, 6 September 2013

Perak mahu lupakan isu gol kontroversi



IMBAS KEMBALI... Pemain Perak dan Lions XII bercakaran selepas pengadil tidak mengesahkan gol pemain Perak pada perlawanan di Ipoh Jun lalu.


PENGENDALI Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah dengan berat hati menerima keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak bantahan rasmi pasukan itu terhadap keputusan kontroversi pengadil, Nafeez Wahab ketika aksi menentang Lions XII dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia.

Meskipun terkilan dengan keputusan itu, Mohd. Azraai enggan moral anak-anak buahnya terjejas dalam mengharungi baki dua lagi perlawanan selepas ini sekali gus menyambar slot ke suku akhir Piala Malaysia.

"Yang sudah itu sudahlah, tidak perlu lagi dikenang. Sudah tentu peluang kami ke suku akhir lebih cerah jika keputusan sebaliknya berlaku ketika berdepan Lions XII tempoh hari, tetapi kami perlu menerima kenyataan ini.

"Jadi, saya menuntut barisan pemain supaya 'menjawab' setiap apa yang berlaku tempoh hari dengan memburu enam mata maksimum selepas ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan hasrat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk membuat aduan serta bantahan rasmi kepada FAM ekoran kontroversi jaringan penyerang importnya, Paulo Rangel tidak disahkan oleh Nafeez ketika menentang Lions XII pada Jun lalu.

Pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura itu, Perak tewas 1-2 biarpun berpeluang mencuri satu mata jika jaringan pada minit ke-79 itu diambil kira.

Berdasarkan rakaman televisyen, bola jelas dilihat melepasi garisan gol sebelum penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud berjaya menguis bola keluar semula dari garisan gol.

Bagaimanapun kelmarin, Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mengesahkan bantahan rasmi mereka berhubung perkara itu telah ditolak FAM atas alasan teknikal.

Abdul Aziz dilaporkan berkata, FAM dalam kenyataan balas menjelaskan bahawa pengadil perlawanan dan pembantunya mendakwa mereka tidak dapat melihat dengan jelas kedudukan bola ketika insiden berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Azraai memberitahu, skuad kendaliannya telah kembali menjalani latihan Rabu lalu menjelang persiapan melayan kunjungan Kedah di Stadium Perak, Ipoh pada 17 September depan.

"Kami perlu mengatasi Kedah bagi menjamin slot ke suku akhir. Saya tidak mahu pemain menunggu sehingga perlawanan terakhir kumpulan (berdepan Sarawak) untuk layak bagi mengelak sebarang tekanan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Yob tagih magis Azraai



SENTUHAN EMAS... Azraai memikul tanggungjawab besar untuk membawa Perak ke puncak kejayaan.


NAMA pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah bukannya asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

‘Resume’ Azraai sepanjang bergelar jurulatih sejak 1991, sememangnya tidak pernah mengecewakan sehingga beliau dikatakan memiliki ‘sentuhan emas’.

Jika diperhatikan sebelum ini, Azraai, 61, yang gemar memakai kemeja berwarna merah jambu dalam setiap perlawanan di tepi padang merupakan satu-satunya jurulatih tempatan yang berjaya merangkul gelaran trebel selama dua musim berturut-turut.

Ketika itu, beliau membimbing Kedah pada 2006 dan 2007, selain turut dianugerahkan sebagai jurulatih terbaik negara pada 2008.

Kehebatan anak jati Alor Setar, Kedah tersebut juga tidak terhenti setakat itu apabila turut membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2011 selepas mengecewakan Terengganu 2-1 di pentas final.

Tidak mustahil, magis Azraai pastinya ditagih peminat fanatik skuad Kejor Yob Kejor menjelang kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka tirainya malam esok.

Bakal melayan kunjungan juara Liga Premier, Sarawak di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D, tiada lain yang diharapkan peminat kecuali memulakan kempen edisi ke-87 kali ini dengan langkah kanan.

Berdasarkan reputasi Azraai yang seakan-akan memiliki magis pada kempen piala paling berprestij itu, harapan peminat skuad Seladang pastinya dilihat tinggi menggunung selepas Perak dikecewakan dalam kempen Piala FA serta sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat ketujuh musim ini.

Bukan apa, penantian selama 13 tahun disifatkan terlalu lama buat peminat sang Seladang selepas kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia edisi 2000 apabila mengecewakan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Khalid Jamlus dan V. Saravanan di Stadium Shah Alam.

Sejak itu, impian peminat untuk kembali menyaksikan Piala Malaysia kembali semula diarak ke Ipoh dilihat sering kali tergendala apabila mereka dikecewakan di pentas final sebanyak dua kali pada 2001 dan 2007 (ditewaskan Terengganu dan Kedah).

Enggan ‘terbang’ terlalu tinggi, Azraai sebaliknya menuntut komitmen anak-anak buahnya supaya melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum mencongak laluan ke pentas final.

Ramuan istimewa Azraai

SELAIN bersama Sarawak yang memegang status juara Liga Premier, ranjau berliku juga dilihat menanti Perak lantaran turut diundi bersama juara Liga Super musim ini, Lions XII.

Pada masa sama, cabaran bekas ‘majikan’ Azraai, Kedah juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Saya melihat undian bagi Kumpulan D ini bukanlah sesuatu yang mudah buat kami. Kami perlu menentang dua juara iaitu juara Liga Super (Lions XII) dan juara Liga Premier (Sarawak).

“Seperti sedia maklum, bukan kami sahaja tetapi semua pasukan tempatan sememangnya mengakui kesukaran dan akan menjadi ‘mangsa’ ketika beraksi di Stadium Jalan Besar ketika berdepan Lions XII.
“Selain itu, bermain di Kuching ketika berdepan Sarawak juga dijangka memberi tekanan kepada pasukan pelawat,” jelas Azraai kepada Kosmo! baru-baru ini.

Namun, ia bukan petanda Azraai sudah mengibarkan ‘bendera putih’ sebelum berjuang.

Menurut beliau, amat penting buatnya menyediakan pasukan yang mantap dan optimis skuad kendaliannya bakal tampil dengan aksi memberangsangkan ketika beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Perak, Ipoh.

Justeru kata Azraai, anak-anak buahnya perlu berhati-hati pada aksi pertama bertemu Bujang Senang malam esok kerana beliau sedar pasukan lawan berada dalam momentum terbaik selepas menamatkan kempen Liga Premier dengan rekod tanpa kalah musim ini.

“Kami mengharapkan sedikit tuah beraksi di halaman sendiri untuk ‘menjinakkan’ Sarawak dan saya juga optimis kerana semua pemain saya berada dalam motivasi terbaik serta cergas sepenuhnya.

“Sejujurnya, barisan pemain saya tidak sabar memulakan aksi pertama kempen Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Lebih menarik, Azraai juga dilihat memiliki ‘ramuan’ istimewa apabila menampilkan lapan pemain Piala Presiden pada kempen Piala Malaysia kali ini.

Kelapan-lapan pemain itu adalah Muhammad Syamil Khairi, Muhd. Rafiq Rafeez, Amirul Azahan Aznan, G. Mugenthiran, Mohd. Norhakim Isa dan Khairul Asyraf Sahizah.

Kehadiran pemain muda itu pastinya mencetuskan persaingan yang sihat kepada pemain utama skuad Seladang dan ia diakui kapten pasukan, Shahrulnizam Mustapha.

Bukan mudah menangi hati peminat

BEKAS pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu berkata, ia suatu tindakan positif yang diterapkan Azraai bagi memastikan mereka bersedia memberikan cabaran dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
“Ia suatu persaingan yang sihat... skuad utama pastinya berasa tercabar dengan kehadiran pemain skuad Presiden, sekali gus meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Dengan persediaan yang rapi serta pasukan dilihat tampak bersedia tanpa sebarang kecederaan serius, saya harap kami mampu mara lebih jauh pada kempen Piala Malaysia kali ini.

“Ini peluang terakhir kami mendakap trofi pada musim ini, jadi saya menyeru rakan-rakan sepasukan memberikan yang terbaik kerana belum tentu kami akan beraksi bersama-sama lagi sebagai satu pasukan musim depan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Shahrulnizam berkata, dia juga ‘sudah masak’ dengan corak taktikal Azraai apabila pernah bersama jurulatih itu dengan skuad Kedah pada musim 2008.

Selain itu katanya, sokongan padu penyokong Kejor Yob Kejor juga ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain memburu slot final Piala Malaysia.

“Bukan mudah untuk memenangi hati peminat sebenarnya. Tempoh 13 tahun sememangnya terlalu lama bagi menamatkan penantian peminat Perak bagi mendakap trofi Piala Malaysia.

“Namun, dalam bola sepak segala-galanya tidak mustahil. Tekanan pasti ada tetapi ia tidak akan menjejaskan tumpuan kami,” katanya yang kini bebas sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki kiri.

Pada masa sama, Shahrulnizam juga menganggap saingan Kumpulan D kali ini dianggap seimbang dan kesemua pasukan memiliki peluang sama rata ke suku akhir.

“Kemampuan Lions XII tidak lagi perlu dipertikai, cuma kekuatan sebenar Sarawak menimbulkan kebimbangan kerana mereka jelas berbeza berbanding musim lalu.

“Pasukan Kedah juga mampu melakar kejutan biarpun tidak begitu konsisten dalam saingan Liga Premier musim ini.

“Bagi saya, pasukan mana yang mampu mengekalkan corak permainan yang konsisten maka pasukan itulah yang akan melepasi peringkat kumpulan,” jelasnya.

Tidak memiliki sebarang sentimen peribadi kali ini, Shahrulnizam juga berazam memberikan yang terbaik sekiranya kembali menggalas tugas selaku kapten pada kempen kali ini.

“Terpulang kepada jurulatih... jika ia (lilitan kapten) diserahkan kepada Shahrom (Abdul Kalam) juga tiada masalah.

“Apa yang paling mustahak, saya cuba mengelak daripada mengalami kecederaan pada saat-saat akhir supaya tidak ‘berputih mata’ untuk beraksi pada kempen kali ini,” katanya.

Hadi mahu temui semula sentuhan penyudah

APA yang pasti, ketajaman jentera penyudah skuad Seladang pada kempen kali ini juga pastinya dituntut Azraai bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.

Selain penyerang import pinjaman daripada kelab Muangthong United, Paulo Rangel yang mencetak sembilan gol musim ini, rangkaian penyerang Seladang tampak agak tumpul apabila sekadar menyumbat 23 gol dalam kempen Liga Super.

Pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya juga sekadar meledak tiga gol bersama Perak musim ini.

“Saya mengakui prestasi saya agak jatuh dan berharap dapat mencari rentak terbaik untuk membantu Perak pada kempen Piala Malaysia kali ini.

“Jika diberikan peluang, saya mahu membantu pasukan saya dan sudah tentu kami semakin bersemangat untuk mengharungi kempen Piala Malaysia.

“Apa yang pasti, saya akan berusaha mencari rentak dan berharap dapat mengulangi sentuhan cemerlang seperti bersama bekas pasukan dulu,” katanya.

Selain Abdul Hadi dan Rangel, antara pemain prolifik yang menyarung jersi skuad Seladang termasuklah Mohd. Khairi Kiman, Yong Kuong Yong, R. Surendran dan S. Chanturu.

Ketangkasan penjaga gol Harimau Malaya, Mohd. Farizal Marlias juga ditagih Azraai bagi mengekang serangan bertali arus jentera serangan lawan sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Musim terakhir Azraai bersama Perak?

DALAM pada itu, masa depan Azraai bersama Perak mula menimbulkan persoalan ekoran beliau dikatakan akan kembali semula ke pangkuan Kedah musim depan.

Segala-galanya bermula selepas Azraai dikesan hadir menyaksikan perlawanan antara sang Kenari dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Premier di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada penghujung Mei lalu.

Namun, Azraai segera menangkis spekulasi itu, sekali gus meredakan kegelisahan penyokong skuad Seladang.

“Saya sedang bercuti... saja datang hendak menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya kepada pemberita di Alor Setar ketika itu.

Biar apa juga spekulasi yang tercetus, trofi Piala Malaysia pastinya menjadi idaman Azraai sebagai ‘hadiah perpisahan’ jika benar ‘jodoh’ beliau bersama skuad Seladang bakal terlerai penghujung musim ini.

Penyokong Yob harap tuah Stadium Perak

KEMBALI beraksi di gelanggang ‘keramat’, Stadium Perak, Ipoh diharap mampu memberikan tuah kepada Seladang melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Selepas menghabiskan sebahagian besar aksi Liga Super musim ini di Stadium Lumut, penyokong Kejor Yob Kejor pastinya teruja apabila kembali menjadi tuan rumah kempen Piala Malaysia di Ipoh.
“Diharapkan semangat ‘baharu’ kembali beraksi di Stadium Perak akan meresap di jiwa pemain bagi memberikan yang terbaik pada kempen Piala Malaysia kali ini,” kata Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Azraai terpaksa beraksi di Stadium Lumut ekoran tahap kecerahan lux lampu di Stadium Perak tidak melepasi tahap piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu 1,500 lux.

Namun selepas menerima penambahbaikan baru-baru ini, tahap kecerahan lampu Stadium Perak kini mencecah 2,525 lux.

Abdul Jamil berkata, meskipun sedar ‘kemarau’ Perak dalam kempen Piala Malaysia telah melebihi sedekad, pihaknya enggan memberikan tekanan kepada pasukan kesayangan mereka.

Sebaliknya, beliau berharap skuad Seladang mampu melangkah ke suku akhir terlebih dahulu pada kempen kali ini.

“Jika muncul juara kumpulan sudah dianggap bonus tetapi kejayaan melepasi peringkat kumpulan sudah memadai.

“Atas kertas, Lions XII dilihat pencabar utama kami, namun ia tidak boleh dijadikan alasan kerana Perak pernah mengikat mereka di Stadium Lumut (seri 1-1) pada kempen Liga Super sebelum ini.

“Pada masa sama, ancaman dua pasukan daripada Liga Premier, Sarawak dan Kedah tidak boleh dipandang mudah dan boleh menjerat kami sekiranya kurang berwaspada,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Pahang, Johor DT tampil dengan rentak garang



PENYERANG Pahang, Mohamed Borji (tengah) menjaringkan gol pasukannya pada aksi menentang Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ semalam.


PENDATANG baharu Liga Super, Pahang semakin garang.

Semalam, skuad Tok Gajah itu terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menundukkan Felda United 1-0 menerusi jaringan tunggal penyerang import, Mohamed Borji pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.

Biarpun masih segar dengan kejayaan menewaskan pasukan gergasi tempatan, Johor Darul Takzim FC 3-2 pada aksi pembukaan di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebelum ini, namun skuad bimbingan Dollah Salleh itu terpaksa bekerja keras sebelum meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Usaha keras mereka akhirnya berbalas apabila Borji berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan.

"Apa yang mustahak adalah kami berjaya meraih tiga mata.
"Saya masih menaruh kepercayaan kepada pemain import Pahang dan saya berharap gol itu dapat memberikan suntikan motivasi kepada semua pemain menjelang perlawanan akan datang," kata Dollah selepas tamat perlawanan tersebut.

Pada aksi tersebut, corak persembahan Tok Gajah dilihat sedikit terjejas ekoran padang basah.
Penggempur Felda, Mohammad Ghaddar mempamerkan aksi memberangsangkan apabila sering kali memberikan masalah kepada kubu pertahanan Pahang.

Pahang kembali mengatur serangan namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Helmi Eliza Alias menafikan mereka daripada meloloskan diri.

Selepas menyaksikan perlawanan tersebut seakan-akan berkesudahan seri, Dollah membawa masuk Borji pada lima minit terakhir perlawanan dan langkah tersebut berbaloi apabila Borji berjaya memecah kebuntuan sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat Pahang.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Terengganu.

Sementara itu, Johor Darul Takzim (Johor DT) membuktikan segala kritikan dan cacian yang dilontarkan ke atas pasukan berstatus bintang itu, akhirnya dibalas dengan kemenangan sulung semalam.

Beraksi di hadapan kira-kira 50,000 penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, skuad Harimau Selatan itu jelas menggunakan sebaiknya peluang menentang Perak yang beraksi dengan sembilan pemain menerusi kemenangan 1-0.

Paling manis, kejayaan semalam turut menghadiahkan tiga mata sulung buat skuad kendalian Fandi Ahmad itu selepas menerima pelbagai kritikan ekoran kekalahan 2-3 kepada Pahang di Kuantan Selasa lalu.

Pada aksi semalam, Johor DT berada pada landasan terbaik untuk mencatat kemenangan selepas dua pemain pasukan lawan diperintah keluar padang pada babak pertama.

Episod malang skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu bermula pada minit ke-37 selepas Khairi Kiman dilayangkan kad merah apabila mengasari Daniel Guiza. Khairi sebelum itu dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-26.

Pada minit ke-45, giliran Mohd. Hisyamuddin Md. Shaari pula dilayangkan kad merah ekoran kekasaran ke atas pemain import Johor DT, Simone Del Nero.

Bersambung babak kedua, Johor DT pantas membuka jaringan pertama menerusi jaringan Mohd. Aidil Zafuan yang bijak menanduk bola hantaran lintang kapten pasukan, Safiq Rahim.

Perak hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-53 tetapi tandukan Rafael Souza Silva Novais berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd. Zamir Selamat.

Johor DT mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan namun gagal memanfaatkannya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 26 Disember 2012

Azraai kecewa kemampuan awang import

-Berita Harian
Ipoh: Perak mengarahkan awang import, Karim Rouani mempertingkatkan kemampuannya.

Jurulatih, Mohd Azraai Khor menyuarakan nada kecewa kerana pemain itu gagal memberi sumbangan bermakna setakat ini. Berdasarkan tiga perlawanan semasa Jelajah Utara dari 17- 21 Disember lalu, persembahan Karim membimbangkannya.
“Daripada tiga perlawanan itu, dia hanya menyumbang satu gol itupun melalui sepakan penalti.


Saya beritahu dia bahawa ia tidak mencukupi dan dia perlu meningkatkan keupayaannya,” katanya.

Buktikan pelaburan berbaloi Azraai berkata sebagai penyerang import, dia diambil untuk menyumbangkan gol dan sehubungan itu adalah menjadi tanggungjawab Karim membuktikan pelaburan Perak terhadapnya berbaloi.

Bagaimanapun Azraai berpuas hati dengan seorang lagi pemain import, Rafeal Souza Silva Novais, yang berjaya mewujudkan gandingan mantap dengan rakan lain di bahagian benteng.

“Dia bijak menyusun dan membimbing rakan serta menunjukkan persefahaman dengan pemain lain di bahagian pertahanan,” katanya yang lega meskipun ketiadaan kapten, Shahrulnizam Mustapa yang menjalani pemulihan selepas pembedahan, tidak banyak menjejaskan kemampuan jentera tengah yang ditampung pemain lain.
Azraai turut terpikat dengan persembahan Amrul Azhan, Mohd Syahmil, Hamizul Izaidi Zulkifli dan Khairul Ashraff Sahizah.

“Sebenarnya pemain ini memang sering menjalani latihan bersama pasukan utama dalam usaha kami mencukupkan pemain bagi mengadakan latihan,” katanya.