Memaparkan catatan dengan label Carlos Tevez. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Carlos Tevez. Papar semua catatan

Ahad, 1 September 2013

Tevez ledak gol lagi


MILAN, Lombardy _ Bintang penyerang Argentina, Carlos Tevez meledakkan gol keduanya dalam saingan Serie A ketika membantu penyandang juara, Juventus membenam Lazio 4-1 semalam, sekali gus mengekori rapat Napoli, yang masih meneraju liga bola sepak Itali dengan kemenangan 4-2 ke atas Chievo.

Juventus meledak empat gol tanpa balas ke atas Lazio ketika mereka menjulang Piala Super Itali, dua minggu lalu, di mana Tevez menjaringkan gol pertamanya buat kelab Bianconeri itu.

Selepas turut membantu Juventus mengutip tiga mata penuh minggu lalu selepas menumpaskan Sampdoria 1-0, bintang Argentina itu mempamer aksi cemerlang buat tuan rumah dan berganding baik dengan Arturo Vidal. 

"Berjaya merobek gawang Lazio dengan empat gol sekali lagi, menandakan bahawa prestasi kami semakin baik dan baik. Kami menunjukkan persembahan cemerlang, baik dalam gerakan secara kolektif mahupun individu.

"Kami menunjukkan permainan yang sangat menakjubkan pada 25 minit pertama dan bermain mengikut perancangan yang dilakukan. Kami tidak bernasib baik kerana tidak memperoleh lebih banyak gol ketika mendahului 2-0," kata pengendali Juventus, Antonio Conte.

Lazio memulakan saingan dengan nada positif apabila Hernanes mengutip bola yang tidak ditendang kemas oleh pertahanan Juventus, Andrea Barzagli untuk menguji penjaga gol, Gianluigi Buffon menerusi rembatan ke penjuru gawang. 

Begitupun selepas percubaan tersebut, Juventus mengambil alih penguasaan dan membuka jaringan menerusi Vidal seawal minit ke-14. Pemain Chile itu melakukan larian yang cantik selepas menerima hantaran Paul Pogba untuk menewaskan penjaga gol, Federico Marchetti. Hanya 12 minit kemudian, dia menambah gol kedua tuan rumah apabila menghukum benteng pertahanan Lazio yang seakan tidur.

Lazio bagaimanapun berjaya merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-28 menerusi pemain antarabangsa Jerman, Miroslav Klose yang melepaskan rembatan dari jarak 25 meter. Jaringan itu bagaimanapun tidak cukup untuk membangkitkan semangat pasukan pelawat.

Juventus sebaliknya bertambah garang sebaik babak kedua bermula dengan menambah dua lagi gol menerusi Mirko Vucinic pada minit ke-49, diikuti jaringan cantik Tevez, 10 minit sebelum tamat permainan. 

Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, skuad bimbingan Rafael Benitez, Napoli mengekalkan kedudukan pendahulu Serie A selepas membawa pulang tiga mata dari Chievo hasil kemenangan 4-2.
Bintang penyerang Slovakia, Marek Hamsik meledakkan dua gol buat pasukan pelawat pada minit ke-13 dan 64, manakala manakala dua lagi jaringan mereka diperoleh menerusi Jose Callejon di minit ke-27 dan Gonzalo Higuain pada minit ke-70. 

Biarpun penyerang tuan rumah, Alberto Paloschi turut mempamer aksi memberangsangkan dengan menyumbat dua gol, namun ia tidak dapat membantu mereka daripada kalah di depan penyokong sendiri. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 10 Julai 2013

Juventus arah Tevez turunkan berat badan


Carlos Tevez
 
ITALI - Kelab yang baharu disertai Carlos Tevez, Juventus meminta pemain Argentina itu menurunkan berat badan sekurang-kurangnya enam kilogram untuk menghadapi saingan Serie A musim ini.

Arahan tersebut hadir menerusi kakitangan kejurulatihan Juventus selepas Tevez melengkapkan perpindahan dari Manchester City bulan lalu dengan kontrak tiga tahun.

Menurut Juventus, berat badan Tevez dikesan bertambah semasa pemeriksaan kesihatan bulan lalu dan dia perlu menurunkannya untuk memenuhi permintaan jurulatih Antonio Conte yang mahu tahap kecergasan pemainnya sentiasa tinggi.

Juventus dilaporkan membayar City 10 juta pound (RM47.38 juta) untuk mendapatkan penyerang Argentina itu.

Pemain tersebut dijadual membuat penampilan pertama bersama kelab gergasi Itali dalam menerusi aksi pra-musim menentang Everton 31 Julai ini di Francisco semasa siri jelajah Amerika Syarikat.
Dalam siri jelajah tersebut Juventus turut dijadual menentang L.A Galaxy, Real Madrid, Valencia, Chelsea, Inter Milan dan AC Milan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 27 Jun 2013

Tevez dapat jersi Del Piero

Carlos Tevez tiba di lapangan terbang Malpensa, di Varese, Itali semalam selepas bersetuju menyertai Juventus dengan bayaran yang dilaporkan mencecah RM58.63 juta - AGENSI
 
TURIN, Itali - Carlos Tevez bakal menggalas tugas mencabar di Juventus apabila diberikan jersi No. 10 milik legenda The Old Lady, Alessandro Del Piero selepas menamatkan empat tahun yang penuh kontroversi di Manchester City. 

Bintang penyerang Argentina berusia 29 tahun itu mengesahkan perpindahannya ke Turin selepas mengikat kontrak tiga tahun. Juventus bagaimanapun tidak menyatakan berapakah yuran yang dibayar oleh gergasi Serie A itu, namun media Itali melaporkan perpindahan bernilai sekitar 12 juta pound (RM58.63 juta), termasuk bonus
.
Juventus mengumumkan ketibaan bekas bintang Manchester United itu dengan gambarnya menerima jersi No. 10 yang terkenal daripada Presiden kelab, Andrea Agnelli disiarkan secara rasmi.

"Bintang Argentina ini sudah biasa menang dan dia telah melakukan perkara itu di mana-mana dia berada," kata Juventus dalam laman web rasmi mereka, www.juventus.com.

Del Piero menghabiskan hampir 20 tahun di Juventus dan membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara 1996, malah tetap setia bersama kelab walaupun ketika mereka disingkirkan ke Serie B pada musim 2006/2007 kerana didapati bersalah menjual perlawanan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Tevez dalam perjalanan ke Milan

LONDON - Bintang penyerang Manchester City, Carlos Tevez dikatakan dalam perjalanan ke Itali dan bakal mengikat perjanjian bernilai 10 juta pound (RM49.46 juta) dengan AC Milan. 

Menurut laporan media Itali, Tevez, yang akan tamat kontrak musim panas tahun depan ditawarkan kontrak tiga tahun bernilai 15 juta pound (RM74.20 juta). 

Bintang antarabangsa Argentina berusia 29 tahun itu sebelum ini menyuarakan hasrat untuk menamatkan kontrak sedia ada dan meninggalkan City secara percuma musim depan, namun hasrat tersebut nyata tidak menguntungkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengurus baharu City, Manuel Pellegrini bercadang untuk bercakap dengan semua pemainnya yang berbaki setahun kontrak supaya pergi pada musim panas ini. 

Walaupun kontrak tiga tahun Pellegrini secara rasminya akan bermula Isnin depan, namun dia tidak dijangka akan muncul pada sesi latihan kelab sehinggalah minggu pertama Julai. 

Pengendali kelahiran Chile itu dikatakan mahu melepaskan Tevez untuk membawa masuk perancang utama Sepanyol, Isco dari Malaga dengan bayaran 30 juta pound (RM148.4 juta). 

City telah pun menghantar wakil untuk berunding dengan Malaga, namun Pengarah Sukan Real Madrid, Zinedine Zidane pula mengadakan pertemuan dengan bapa Isco yang juga ejen pemain berusia 21 tahun itu. 

Selain Milan, juara Liga Itali, Juventus juga turut berminat untuk mendapatkan Tevez.

Juventus juga telah mengadakan rundingan rasmi untuk mendapatkan Tevez dengan bayaran 9 juta pound (RM44.51 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 26 Februari 2013

'Kami akan terus kejar United'



TEVEZ (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, James Milner pada aksi Liga Perdana England di Stadium Etihad kelmarin. City menewaskan Chelsea 2-0.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, beliau masih belum menyerah kalah dalam persaingan memburu trofi Liga Perdana England musim ini selepas kejayaan membenam Chelsea 2-0 di Stadium Etihad kelmarin.

Jaringan daripada Yaya Toure dan Carlos Tevez sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat City.
City kini terus mengejar pendahulu, Manchester United yang memiliki kelebihan 12 mata dan mereka masih enggan berputus asa ketika saingan liga berbaki 11 perlawanan.

"Saya rasa amat penting bagi kami sekarang untuk tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan liga," kata Mancini.

"Kami hanya perlu meneruskan usaha seperti hari ini (kelmarin) dan bermain dengan baik.
"Dalam bola sepak, ia hanya akan berakhir apabila ia benar-benar telah berakhir iaitu ketika wisel penamat aksi terakhir ditiupkan.

"Jika menjelang baki empat perlawanan terakhir United masih lagi mendahulu 12 mata, maka ia mungkin telah berakhir tetapi saya rasa tugas kami adalah untuk terus mengejar mereka."

Pada perlawanan kelmarin, Chelsea berpeluang mendahului apabila penjaga gol City, Joe Hart menjatuhkan Demba Ba pada minit ke-51.

Hart bagaimanapun berjaya menebus kesilapannya itu dengan menyelamatkan sepakan penalti Frank Lampard, sekali gus menghalang perancang The Blues itu menjaringkan gol ke-200 dalam kariernya.
"Setiap kali dia (Hart) melakukan kesilapan, saya akan terus menasihatinya. Saya rasa penalti itu berpunca daripada kesilapannya dan juga Kolo (Toure).

"Namun, selepas itu dia beraksi dengan baik dan menyelamatkan penalti tersebut. Ia amat penting.
"Permainan mungkin akan berubah jika Chelsea mendapat gol tetapi kami bermain dengan bagus dan turut berpeluang menambah beberapa lagi jaringan," kata Mancini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my