Memaparkan catatan dengan label Serena Williams. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Serena Williams. Papar semua catatan

Ahad, 12 Mei 2013

Serena belasah Sharapova


MADRID - Serena Williams mengukuhkan statusnya sebagai pemain No. 1 dunia dengan menewaskan Maria Sharapova untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Madrid. 

Pada aksi akhir semalam, Serena menundukkan pemain No. 2 dunia itu 6-1, 6-4, sekali gus melengkapkan kemenangan ke-50 dalam kariernya. 

"Terima kasih kepada semua. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini," ujar Serena yang mempertahankan rekod tanpa kalah ke atas Sharapova dalam 12 pertemuan sejak 2004. 

Sementara itu, Sharapova menyifatkan kekalahan ke atas Serena sebagai petanda untuknya untuk terus bekerja keras dalam menentang pemain No. 1 dunia itu. 

"Ia amat istimewa buat saya dan secara jujur, saya berharap dapat bermain lebih banyak pusingan. 

"Bagaimanapun, saya akan menunggu pertemuan seterusnya dalam kejohanan akan datang," ulas pemain dari Rusia itu. 

Serena yang pernah terlepas kedudukan sebagai ratu tenis dunia, menguasai gelanggang sejak permainan bermula dengan mendahului 4-0. 

Bagaimanapun, Sharapova yang enggan memberi kemenangan mudah kepada pemain dari Amerika Syarikat itu, bangkit pada permainan kelima sebelum sekali lagi hilang rentak permainan dan tewas dengan 6-1. 

Set kedua menyaksikan Sharapova berjaya mengikat kedudukan dengan 3-3 sebelum berjaya dibolosi Serena dengan corak permainan yang lebih agresif. 

Sharapova yang bermain di bawah tekanan memberi kelebihan kepada Serena untuk menamatkan saingan dengan 6-4 dalam masa satu jam 15 minit. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 14 Januari 2013

Serena pilihan terhangat



SHARAPOVA antara pemain yang turut diletakkan sebagai pencabar terkuat Serena.


MELBOURNE – Pemain Amerika Syarikat (AS) Serena Williams diletakkan sebagai pemain pilihan utama untuk bergelar juara apabila saingan kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia bermula hari ini.

Malah pencabar terdekatnya, Victoria Azarenka sendiri mengakui, Serena, 31, adalah pemain yang perlu ditewaskan mana-mana lawan yang berhasrat untuk muncul juara.

Apatah lagi, Serena ketika ini memiliki motivasi untuk bermain lebih baik kerana sedang memburu gelaran juara buat kali keenam di Melbourne nanti.

Memulakan kempen ke-13 di kejohanan ini, Serena yang masih segar daripada kejayaan merangkul kejuaraan di Brisbane minggu lalu, dijadual bertemu pemain Romania, Edina Gallovits-Hall pada perlawanan pembukaannya esok.

Namun berdasarkan prestasi semasa, tumpuan kepada Serena bukan sekadar untuk mengungguli Terbuka Australia tetapi kemampuannya untuk menyapu bersih kesemua empat kejohanan Grand Slam tahun ini.

“Ia satu matlamat yang terlalu besar untuk saya dicapai,” katanya ketika bercakap tentang memenangi kejuaraan di Terbuka Australia, Roland Garros, Wimbledon dan Terbuka AS dalam tahun yang sama seperti mana yang pernah dilakukan Steffi Graf pada 1988. 

“Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya. Mungkin orang lain boleh tetapi bagi saya, tunggu sahaja kerana ia sangat sukar diterjemahkan dengan kata-kata,” jelasnya. 

Juara Olimpik, Terbuka AS dan Wimbledon pada tahun lalu kini berada di separuh jalan untuk mengulangi semula kejayaan `Serena Slam’ yang dilakar pada 2002-2003 lalu.

“Saya rasa saya berada di tempat dan masa yang betul sekarang. Buat masa ini, saya bermain dengan baik. Saya harap dapat bermain dengan lebih cemerlang dan memperbaiki kelemahan saya,” tambah Serena. 

Juara 15 kali Grand Slam ini berada di belakang juara bertahan, Azarenka dan Maria Sharapova dalam senarai ranking dunia namun nekad mengubahnya sebaik saja musim perlawanan tahun ini bermula. 

Sementara itu, Azarenka yang menarik diri dari aksi separuh akhir Brisbane ketika menentang Serena gara-gara mengalami jangkitan pada ibu jari, gembira apabila pemain AS itu menjadi pilihan. 

“Perhatian beralih kepadanya dan ia membuatkan tekanan ke atas saya berkurangan,” ujarnya yang mengakui Serena bakal menjadi halangan terbesarnya untuk muncul juara. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my