Memaparkan catatan dengan label Zizan Razak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Zizan Razak. Papar semua catatan

Isnin, 29 Julai 2013

Pertaruhan bakat Zizan, Lisa, Fizz




SPIDERMAN, Superman dan Batman antara naskhah adi wira popular yang telah banyak kali menukar teraju utamanya.

Tidak salah untuk menyatakan bahawa setiap penerbitan siri filem adi wira tersebut mengikut zon zaman berbeza memberikan impak yang berasingan, malah penceritaan juga dinamik dan sering diolah supaya kena dengan situasi semasa.

Begitu juga sekuel kedua filem Cicakman iaitu Cicakman 3 yang bakal memula- kan penggambaran tidak lama lagi.

Tiga teraju utama asal iaitu Saiful Apek, Fasha Sandha dan Aznil Nawawi masing-masing kini diganti oleh Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.

Ramai yang barangkali menyangka bahawa Cicakman 3 menampilkan karakter baharu menggantikan watak asal Hairi (lakonan Saiful Apek) menerusi Cicakman dan sekuelnya, Cicakman 2 - Planet Hitam yang merupakan adiwira Cicakman di bandar Metrofulus.

Hakikatnya, menurut pengarah Cicakman 3, Yusri Abdul Halim, filem itu pada dasarnya adalah kesinambungan kepada kehidupan adi wira Cicakman baharu dan watak Hairi yang digalas Saiful Apek sebelum ini tidak dimatikan secara total.

“Karakter Hairi (Saiful Apek) dikatakan telah merajuk dan berjauh hati untuk terus berkhidmat sebagai Cicakman, namun dia bakal digantikan oleh Man yang dilakonkan oleh Zizan,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman Cicakman 3 di Peninsula Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut perkembangan karakter Man atau Cicakman, heroin baharu Linda dan watak antagonis Adam atau SuperBro, Zizan, Lisa dan Fizz berkongsi pandangan.

Zizan enggan dibayangi Apek
Perbandingan pastinya perkara pokok yang timbul setiap kali muncul sekuel adi wira dan Zizan harus mengakui situasi itu sedikit sebanyak akan tercetus apabila filem tersebut ditayangkan kelak.

“Apek ada karakter dan bahasa badan dia sendiri sebagai seorang Cicakman. Begitu juga saya, maka masing-masing mempunyai keunikan sendiri dan penonton harus akur akan hal ini. 

“Soal perbandingan sudah menjadi kelaziman tapi anggap saja sekuel baharu adalah permulaan dan penerimaan watak baharu,” jelasnya.
FIZZ, Lisa Surihani dan Zizan dijangka memberi suntikan baharu dan lebih segar buat siri terbaharu francais Cicakman.


Menerima tawaran membintangi Cicakman 3, kata Zizan, selain mempunyai skrip dan jalan cerita yang menarik, filem itu juga merealisasikan impiannya bergandingan dengan Lisa Surihani sebagai pasangan suami isteri.

“Pertama kali saya melakonkan watak sebagai seorang suami dan itu juga antara sebabnya saya menerima tawaran ini.

“Berlakon dengan Lisa yang kehidupan realitinya seorang isteri kepada penga- rah filem ini perlu profesional. Memang mula-mula rasa kekok tapi saya membayangkan saya bercinta dengan watak Linda bukannya Lisa.

“Untuk menjadi seorang adi wira, seseorang itu perlulah kental dan harus bersedia luar dan dalam. Saya bangga, terkejut dan teruja untuk mula beraksi dalam Cicakman 3,” kata Zizan yang cuba untuk melakukan lagak ngerinya sendiri.

Yusri minta Lisa mesra

Bekerja di bawah arahan suami sendiri pada mulanya bukan perkara mudah bagi Lisa Surihani.
Namun, bagi pendukung watak Linda dalam Cicakman 3, dia menganggap situasi itu sebagai tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Saya teruja sebenarnya untuk bekerja di bawah arahan suami sendiri. Di set penggambaran kami adalah pekerja dan perlu profesional tapi apabila di rumah hubungan kami adalah suami isteri.
“Yusri merupakan seorang yang terbuka terutama proses manipulasi watak. Di depan dia sendiri saya dan Zizan membina keserasian dan dia yang mengarahkan untuk saya lebih mesra dengan watak utama iaitu Man.

“Ketika sesi bacaan skrip awal juga, Yusri yang memberikan nama timang- timangan manja untuk saya dan Zizan supaya lebih nampak semula jadi.

“Sejujurnya, memang kami tiada isu untuk saya berlakon bersama lelaki lain sementelah memegang watak sebagai seorang isteri. 

“Yusri bukan seorang yang senang cemburu dan apa saja yang pengarah mahukan saya sebagai pelakon perlu mencuba walaupun pengarah itu bukan suami saya sendiri,” tegasnya.
Lisa menyifatkan watak Linda seorang yang idealis dan mencintai Man disebabkan sifat jejaka itu yang kelakar, malah watak tersebut bukan seorang wanita yang terlalu kompleks.
FIZZ sekali lagi bergandingan bersama Zizan menerusi naskhah Cicakman 3 selepas sama-sama membintangi filem Hantu Kapcai pada tahun lepas.


Fizz adiwira kedua
Muncul sebagai SuperBro dalam Cicakman 3, watak itu bertindak sebagai iaitu adiwira baharu di bandar Metro- fulus iaitu SuperBro selepas ketiadaan Cicakman (Hairi). 

Namun, Adam bertukar menjadi antagonis apabila Cicakman baharu iaitu Man muncul.
Berpeluang bergandingan dengan Zizan, Fizz mengakui cukup teruja kerana mereka pernah bergandingan dalam filem Hantu Kapcai pada tahun lalu.

“Saya dan Zizan pernah digandingkan bersama sebelum ini dan rasanya tidak sukar untuk saya ‘menumpaskan’ dia sebagai lawan saya kali ini.

“Apabila ditawarkan watak seorang anggota polis bernama Adam yang juga merupakan adi wira baharu di kota Metrofulus iaitu SuperBro, adalah sukar untuk saya menolak tawaran ini.
“Watak Adam sedikit kompleks berbanding watak Man yang berubah menjadi Cicakman. 

Adam pada masa sama menjadi SuperBro tapi di lain ketika cuba merebut kembali cintanya kepada Linda,” tambahnya.

Cicakman 3 amat relevan dengan latar emosi manusia yang mempunyai jenaka, drama, konflik kekeluargaan, dendam, cinta dan tamakkan kuasa.

Filem itu mengisahkan Man, peminat tegar Cicakman yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan isterinya, Linda dan anaknya, Boboy lalu cuba membuktikan dia mampu berubah.

Keadaan semakin tertekan apabila Adam, bekas rakan persekolahan mereka cuba memenangi hati Linda, namun kehidupan Man pula berubah apabila dia menemui sebuah kotak rahsia peninggalan Cicakman dan Man belajar menjadi Cicakman baharu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 17 Jun 2013

Tidak salah menang hasil SMS - Zizan



SEOLAH-OLAH menepati ramalan ramai, filem arahan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapcai menang besar dengan membolot lima anugerah daripada 13 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Blokbuster 2. 

Majlis anugerah itu berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, Johor pada Sabtu lepas.

Filem terbitan Showbiz Sdn. Bhd. itu mengungguli Anugerah Filem Terhebat, Anugerah Filem Aksi Terhebat dan Anugerah Filem Kelakar Terhebat serta turut menang kategori lakonan menerusi dua pelakon yang membintangi filem tersebut iaitu Zizan Razak dan Neelofa. 

Zizan dan Neelofa masing-masing menggondol Anugerah Hero Terhebat dan Anugerah Heroin Baru Terhebat.

Kemenangan Zizan kali ini sekali gus berjaya mengekalkan rekod kemenangan untuk kategori yang sama dua tahun berturut-turut. 

Pada Anugerah Blokbuster yang kali pertama diadakan pada tahun lepas, Zizan meraih Anugerah Hero Terhebat menerusi filem, Hantu Bonceng.

Katanya: "Nampaknya peminat masih tidak jemu-jemu menyokong kerjaya saya sehingga kemenangan kali kedua untuk kategori yang sama dua tahun berturut-turut berpihak kepada diri ini.
"Meskipun kemenangan ini dibuat menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), saya tidak nampak sebarang masalah. Ini kerana peminat bukan pandang kepada populariti semata-mata, mereka lihat kepada bakat."

Tambah Zizan: "Cerita Hantu Kapcai pula memang menyeronokkan. Penonton memang tidak salah memilih kerana intipati cerita ini memang banyak manfaatnya."

Hantu Kapcai juga telah memberi suatu memori indah buat pengacara program Nona dan MeleTOP, Neelofa apabila dia telah memenangi trofi pertama dalam karier lakonannya.

ZIZAN bangga kemenangannya berdasarkan undian penonton.


"Kemenangan ini akan terpahat dalam sejarah sepanjang saya bergelar anak seni. Saya tidak meletakkan harapan langsung kerana semuanya layak menang. 

"Sebelum ini saya sering tewas, sampai dah tak rasa apa-apa. Tetapi bila dah menang ini, ia akan menguatkan lagi usaha saya untuk terus berada dalam bidang ini," ulas Neelofa yang bakal tampil menerusi filem Pilot Cafe.

Selain Zizan dan Neelofa, Hantu Kapcai turut dibintangi Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Izzue Islam.
Sementara selaku pengarah Hantu Kapcai, ujar Ghaz, sebelum Hantu Kapcai secara rasminya muncul sebagai filem yang meraih paling banyak anugerah pada Anugerah Blokbuster 2, dia terlebih dahulu merujuk kepada laporan menerusi laman web Astro Gempak.

"Ketika merujuk kepada Astro Gempak, saya mendapati Hantu Kapcai mendahului filem-filem lain. Namun, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana banyak lagi filem hebat yang layak menggondol trofi kemenangan dan saya hanya menyerahkan segalanya kepada keputusan penonton yang semakin hari semakin bijak menilai filem manakah yang dirasakan harus menang," ujarnya.

Ghaz turut menyatakan antara faktor utama yang membawa kepada kejayaan Hantu Kapcai sudah tentu menerusi barisan para pelakonnya yang mantap dan sangat berbakat.

"Saya harus menyatakan hampir 70 peratus kemenangan filem Hantu Kapcai datangnya daripada peminat Zizan yang sentiasa menyokong apa sahaja karya yang membabitkan Zizan. Saya akui perkara itu. Kita kena berpijak di bumi yang nyata.

"Hebat macam mana pun sesebuah filem itu, ia harus berbalik semula kepada pelakonnya. Selain faktor pelakon, dengan jalan cerita yang menarik, barulah sesebuah filem itu akan berjaya," jelasnya yang ditemui selepas tamat Anugerah Blokbuster 2.

Sehubungan dengan kemenangan besar Hantu Kapcai, ujar Ghaz lagi, ura-ura Hantu Kapcai 2 akan diterbitkan semakin nyata.

"Insya-Allah, Norman Abdul Halim (selaku penerbit bersama Hantu Kapcai) juga ada menyatakan dia memang tunggu apabila filem ini sudah capai standard yang dimahukan barulah dia akan mulakan penggambaran sekuelnya. Penggambaran akan dimulakan pada tahun depan. 

"Kami akan mengekalkan pelakon yang sama, malah akan menambah pelakon lain untuk mengembangkan lagi filem ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 6 Januari 2013

Zizan Jadi 'pomen'


Bidang lakonan dan lawak menjadi medan Zizan Razak untuk mengembangkan bakatnya sehingga mempunyai peminat yang ramai daripada semua lapisan masyarakat.
 
MELIHATKAN minat yang begitu mendalam terhadap motosikal berkuasa tinggi, Zizan Razak kini menukar kerjaya daripada seorang selebriti kepada ‘pomen’ motosikal yang bekerja di sebuah bengkel milik sepupunya.

Itulah yang diberitahu Zizan kepada .com ketika ditemui dalam majlis pelancaran filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur Bike Week 2012.

Menurut Zizan, dia memegang watak sebagai Bidin Al Zaifa dan itulah sedikit sebanyak watak terbaharunya dalam filem Bikers Kental yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Dalam filem itu, peminat Zizan boleh melihat dirinya mengembara ke Krabi, Hatyai dan Sadao di Thailand serta memenuhi impian memiliki motosikal Aprilia RSV4, selain berkonvoi bersama geng motosikal Eddie (Awie) yang merupakan salah seorang pelanggannya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui cerita ini lebih lanjut, apa kata kamu tonton sahaja wayang ini di panggung untuk melihat kesudahan cerita yang bakal terjawab dalam filem Bikers Kental yang bakal ditayangkan pada pertengahan tahun 2013. 

Bercerita mengenai kehidupannya kini, dia selesa dengan program yang disertainya seperti rancangan Maharaja Lawak Mega 2012 yang sedang berlangsung kini.

Dia bersama Johan yang merupakan rakan baiknya dalam program Raja Lawak memberikan banyak impak dan peminat yang menyokongnya sehingga berada di tempat pertama sehingga minggu yang ketujuh.

Kelibatnya dan Johan bagaikan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan kerana keserasian mereka membuat lawak bukan sahaja diminati penyokong di negara ini, malahan di seberang tambak, Singapura.

“Peminat dan selebriti memerlukan di antara satu sama lain. Bagi peminat kumpulan Jozan dalam program Maharaja Lawak Mega, jangan lupa mengundi kami," katanya. - SYAHRIL/SAFIAYANA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my