Memaparkan catatan dengan label Rafael Banitez. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rafael Banitez. Papar semua catatan

Isnin, 15 Julai 2013

Benitez idam trofi Serie A

BENITEZ (empat dari kiri) menyampaikan amanat kepada pemain-pemain Napoli pada sesi latihan di Dimaro, Itali kelmarin.


ROM - Rafael Benitez yakin Napoli mampu memecahkan dominasi Juventus bagi menguasai saingan Serie A musim depan.

Skuad The Naples sekadar menamatkan saingan selaku naib juara musim lalu selepas terpaksa akur dengan kehebatan skuad kendalian Antonio Conte itu mempertahankan kejuaraan.

Namun, Benitez yang menggantikan Walter Mazzarri di Stadium San Paolo mensasarkan trofi Serie A musim ini, sekali gus memecahkan dominasi Juventus.

"Juventus merupakan sebuah pasukan yang kuat tetapi masih ada pasukan lain yang mampu mencabar mereka.

"Misi kami adalah mahu menjadi pencabar Juventus dan saya mahu merealisasikan perkara itu, sekali gus menceriakan peminat-peminat Napoli," kata pengendali kelahiran Sepanyol berusia 53 tahun itu.
Pada masa sama, Benitez juga enggan mengulas lanjut mengenai masa depan penyerang, Edinson Cavani yang dikatakan hampir pasti menyertai Paris Saint-Germain.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Cavani, namun ketika ini tugas menjadi fokus utama saya.

"Sekiranya dia kekal bersama kami, kami akan bertemu kembali pada 21 Julai depan," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 25 Jun 2013

Benitez kritik Mourinho



BENITEZ (kiri) menuduh Mourinho menuduh sebagai pengurus yang tidak mempunyai perasaan dan sanggup bersikap kurang ajar dalam usaha memburu kemenangan kelmarin.


LONDON - Pengurus Napoli, Rafael Benitez cuba membangkitkan semula persengketaan lama dengan Jose Mourinho.

Benitez yang mengakhiri kariernya selaku pengurus sementara Chelsea menuduh pengurus kelahiran Portugal itu tidak mempunyai perasaan dan sanggup bersikap kurang ajar dalam usaha memburu kemenangan.

Benitez yang membantu Chelsea memenangi trofi Liga Europa musim lalu mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual di Sepanyol kelmarin.

"Saya tidak tahu apa yang Mourinho buat tetapi saya tahu apa yang saya lakukan. Saya sentiasa mahukan kemenangan tanpa bertindak di luar batasan semangat kesukanan.

"Memang benar saya akan berbaik dengan beberapa jurulatih berbanding dengan yang lain dan saya juga akan bermusuhan dengan mereka yang terlalu mahukan kejayaan tanpa sebarang had.

"Saya menyertai akademi Real Madrid ketika berusia 13 tahun dan saya belajar banyak perkara di sana. Saya diajar supaya menunjukkan rasa hormat dan menjaga maruah diri di hadapan pihak lawan tidak kira kami menang atau kalah," kata Benitez.

Ketika diminta mengulas mengenai bulan terakhirnya di Stamford Bridge meskipun spekulasi tentang Mourinho yang akan menggantikan tempatnya, bekas pengurus Liverpool itu berkata, beliau tetap memberi fokus terhadap tugasnya dengan membantu skuad The Blues menjuarai Liga Europa.

"Semua orang di Chelsea tahu Mourinho akan datang semula hujung musim tersebut.
"Namun, ia tidak mematahkan semangat dan cita-cita saya untuk mencapai objektif kami. Kami telah memenangi trofi Liga Europa. Ia membuktikan komitmen saya terhadap pasukan itu," katanya. 

Sepanjang tiga tahun bersama Real sebelum meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu untuk kembali membimbing Chelsea akhir musim lalu, Mourinho sering menjadi sasaran kritikan pihak media kerana melanggar nilai-nilai yang murni.

Sementara itu, Benitez yakin Carlo Ancelotti merupakan calon yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Mourinho di Real. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 13 Mei 2013

Benitez 'masuk bakul angkat sendiri'


LONDON - Rafael Benitez menganggap yang beliau telah berjaya menyempurnakan tugas sebagai pengurus Chelsea dengan baik selepas membantu kelab itu kembali semula ke dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Berdasarkan kejayaan tersebut, pengendali dari Sepanyol itu tidak menafikan sedang mengintai jawatan sama dalam kalangan kelab gergasi Liga Perdana England untuk musim depan.

Benitez diramal melepaskan tugasnya itu kepada Jose Mourinho musim panas ini meskipun berjaya membawa The Blues menjamin kedudukan empat teratas liga hasil kejayaan 2-1 ke atas Aston Villa, Sabtu lalu.

Bekas pengurus Liverpool itu juga berjaya membawa kelab London tersebut mara ke final Liga Europa awal pagi Khamis ini.

Meskipun Benitez telah menarik minat kelab Jerman, Schalk, Paris Saint- Germain (PSG) di Perancis dan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, pengurus berusia 53 tahun itu tetap berkeras mahu kekal di England pada kempen musim depan.

"Liga Perdana England adalah liga yang sangat hebat," jelasnya.
"Keluarga saya masih lagi di Liverpool dan sudah tentu ia memudahkan saya untuk terus tinggal di sini.

"Saya boleh saja pergi ke Itali atau Perancis atau pun Sepanyol tetapi England tetap menjadi pilihan utama saya."

Beliau menambah: "Saya boleh katakan bahawa ramai orang beritahu bahawa saya telah menjalankan tugas dengan bagus.

"Kamu tidak boleh meyakinkan semua orang tetapi saya jamin ramai yang gembira dengan tugas yang saya jalankan.

"Ia suatu kejayaan yang seratus peratus. Saya datang ke sini (Chelsea) dan menjalankan tugas dengan profesional sejak hari pertama lagi," kata- nya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 6 Mei 2013

'Lakonan' Luiz ceriakan Chelsea



PENGADIL Howard Webb (dua dari kanan) melayangkan kad merah kepada Rafael (kanan) selepas mengkasari Luiz.


MANCHESTER - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson mengutuk tindakan pemain pertahanan Chelsea dari Brazil, David Luiz yang 'berlakon' seperti 'angsa terbang' dalam aksi Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin.

Tindakan Luiz itu juga telah mengakibatkan rakan senegaranya yang juga pertahanan kanan United, Rafael da Silva dibuang padang dalam pertemuan yang memihak kepada Chelsea 1-0 mengatasi juara Liga Perdana England itu.

Kekalahan tipis United hasil jaringan sendiri Phil Jones itu bagaimanapun tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka namun bagi Chelsea, kemenangan itu sangat bermakna kerana mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini dalam kelompok empat teratas serta layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea wajib menang ke atas Tottenham Hotspur di Stamford Bridge esok untuk berada dalam kelompok empat teratas liga.

Dalam pada itu, menurut Ferguson, beliau tidak kesal mereka tewas dalam perlawanan itu tetapi dia sangat kecewa dengan tindakan Rafael yang dibuang padang.

Provokasi yang dicetus Luiz itu telah mengakibatkan pengadil, Howard Webb menghukum Rafael.
Luiz bertindak membentes buku lali Rafael terlebih dahulu dan sebelum itu Luiz juga dilihat menyiku Rafael sebanyak dua kali dan apabila Rafael bertindak balas dia berpura-pura jatuh.

"Selepas Rafael dilayangkan kad merah, Luiz dilihat tersenyum puas. Perbuatan itu sangat terkutuk. Dia langsung tidak profesional.

"Pengadil ternyata telah terpengaruh apabila melihat Luiz tergolek berpura-pura kesakitan. Tetapi tindakan pengadil menghukum Rafael merupakan tindakan meragukan," jelas Ferguson.

Menurut Ferguson, apabila seseorang pemain itu bertindak balas dia pasti dihukum.
"Namun, Luiz yang memulakan tindakan tersebut dengan menyiku Rafael sebanyak dua kali dan Luiz juga wajar menerima hukuman yang sama. Ia jelas," kata Ferguson.

Kemenangan kontroversi itu bagaimanapun telah memberi kejayaan sangat bermakna buat Chelsea di gelanggang keramat pihak lawan namun pengurus Chelsea, Rafael Benitez enggan melancarkan perang mulut dengan rakan sejawatannya di United. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 3 Mei 2013

Kepulangan Mourinho bukan urusan saya - Benitez


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez menolak untuk mengulas lanjut berhubung spekulasi melibatkan Jose Mourinho yang dikatakan memilih kembali ke Stamford Bridge hujung musim ini menggantikan tempatnya.

Mourinho menguar-uarkan akan meninggalkan Real Madrid selepas tamat kempen Liga Sepanyol musim ini selepas skuad bimbingannya tersingkir dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Jurulatih warga Portugal itu yang pernah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris, satu Piala FA dan dua Piala Liga ketika tiga tahun bersama Chelsea itu sebelum ini memberitahu amat berminat berpindah menyertai kelab di England terutamanya The Blues.

Dalam pada itu, Benitez yang mengakui bersedia untuk meninggalkan Chelsea apabila tamat kontrak bersama kelab itu pada hujung musim ini, enggan mengulas berhubung khabar angin mengenai Mourinho.

"Itu bukan urusan saya. Saya perlu fokus perlawanan menentang Basel. Setiap orang mempunyai hala tuju sendiri dan hala tuju saya adalah untuk kekal fokus pada perlawanan yang bakal dihadapi," kata Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 16 April 2013

Benitez salahkan pengadil



NASRI (kanan) membuka jaringan buat City ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Chelsea di Stadium Wembley kelmarin. City menang 2-1.


LONDON - Rafael Benitez menegaskan, kegagalan pengadil membuat dua keputusan yang tepat menjadi punca kekalahan 1-2 Chelsea kepada Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley kelmarin.

Pada aksi tersebut, City yang mendominasi permainan, mendahului 2-0 menerusi jaringan Samir Nasri dan Sergio Aguero sebelum The Blues merapatkan kedudukan hasil jaringan Demba Ba minit ke-66.

Apa yang mengecewakan Benitez, Aguero terlepas hukuman daripada pengadil selepas memijak pertahanan Chelsea, David Luiz manakala tindakan pemain pertahanan, Vincent Kompany tidak mendapat perhatian pengadil untuk menghadiahkan penalti kepada The Blues walaupun jelas dia mengasari Fernando Torres di dalam kotak penalti.

Pengurus sementara Chelsea itu berkata: "Adakah ia sepatutnya penalti? Ya, jelas sekali. 

"Keputusan pengadil yang enggan memberi penalti kepada kami menjadi punca utama kekalahan kami, malah Vincent Kompany juga sepatutnya dibuang padang.

"Kamu boleh gambarkan sendiri situasi tersebut. Ada dua keputusan yang teruk dibuat oleh pengadil pada babak kedua.

"Kami beraksi menentang sebuah pasukan yang bagus. Jika mereka menjaringkan satu lagi gol, permainan ini mungkin sudah berakhir.

"Namun, kami terus mencuba dan memiliki peluang kembali semula dalam permainan, jadi keputusan pengadil ini banyak memainkan peranan."

Benitez juga mendedahkan bahawa kemasukan Torres telah memberinya harapan untuk melihat Chelsea bangkit dalam pertemuan tersebut.

"Saya hanya kecewa dengan keputusan (pengadil) ini sahaja. Apabila Fernando masuk, pasukan kami beraksi lebih bertenaga.

"Kalau kamu lihat persembahan kami pada babak kedua, kamu boleh lihat bahawa semua pemain ini mampu beraksi dengan baik dalam baki saingan musim ini.

"Kamu boleh lihat sendiri yang kami memiliki tenaga, kualiti dan juga keinginan melakukannya," katanya. - Agensi

-KOSMO-

Selasa, 2 April 2013

Benitez puas hati



BENITEZ (tengah) masih gagal mendapat sokongan padu daripada para penyokong Chelsea meskipun berjaya membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala FA musim ini.


LONDON – Pengendali sementara Chelsea, Rafael Benitez bakal dikecam peminat fanatik skuad The Blues selepas mengakui anak-anak buahnya melalui musim yang memberangsangkan.

Benitez mengeluarkan kenyataan itu selepas mengecewakan Manchester United 1-0 hasil jaringan tunggal Demba Ba pada aksi ulangan suku akhir Piala FA di Stamford Bridge kelmarin.


Kejayaan itu mencerahkan peluang mereka untuk mempertahankan trofi yang di- menangi musim lalu selepas sukar menyaingi kehebatan United dalam kempen Liga Perdana England selain ditunjukkan jalan keluar pada Liga Juara-Juara.

Selain Piala FA, skuad The Blues turut berpeluang merangkul trofi Liga Europa apabila bakal berdepan Rubin Kazan pada aksi suku akhir pertama di Moscow, Jumaat ini.

“Kami masih berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga selain mara ke suku akhir Piala Europa dan separuh akhir Piala FA, jadi ia masih musim yang hebat buat kami.

“Ketika ini, keutamaan saya adalah memastikan Chelsea menamatkan saingan liga di tempat keempat, selain memburu bonus menjulang kedua-dua trofi tersebut,” kata Benitez.

Terdahulu, Benitez dikecam hebat majoriti penyokong fanatik skuad The Blues apabila sekadar mempertaruhkan skuad kedua ketika tumpas 1-2 kepada Southamp- ton sebelum berdepan United.
Namun, Benitez mempertahankan tindakannya itu sebaik berjaya mengecewakan United kelmarin.

“Kami hanya memiliki 48 jam dan tidak mempunyai pasukan yang benar-benar kuat untuk kedua-dua perlawanan itu.

“Ia sesuatu yang mustahil menggunakan pemain yang sama dalam kedua-dua perlawanan itu kerana masanya cukup singkat,” jelas Benitez.
Benitez turut memuji impak yang dicetuskan Ba dan Petr Cech yang beraksi cemerlang kelmarin. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 16 Mac 2013

Benitez pening kepala fikir jadual perlawanan Chelsea



BENITEZ (dua dari kanan) menghadapi tekanan selepas Chelsea diundi bertemu Rubin Kazan pada aksi suku akhir Liga Europa bulan depan.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez menghadapi tekanan selepas pasukannya diundi bertemu Rubin Kazan pada aksi suku akhir Liga Europa bulan depan.

Undian tersebut akan menyebabkan skuad The Blues akan beraksi sebanyak enam perlawanan dalam tempoh 16 hari termasuk menentang kelab Rusia itu.

"Situasi ini cukup meletihkan. Kami memerlukan rehat yang secukupnya," kata Benitez.
Selain Chelsea, dua lagi kelab Liga Perdana England iaitu Tottenham Hotspur turut diundi bertemu kelab Switzerland, Basel manakala Newcastle pula akan berdepan kelab Portugal, Ben- fica.

Chelsea terpaksa menempuh penerbangan yang jauh sekiranya Rubin Kazan mendapat kebenaran bermain di gelanggang sendiri pada aksi kedua suku akhir.

Ketika ini, mereka menghadapi masalah padang dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) akan membuat keputusan dalam satu pemeriksaan minggu depan.

Sekiranya perlawanan itu dipindahkan ke Moscow, Chelsea akan bermain di Stadium Luzhniki iaitu gelanggang di mana John Terry gagal menjaringkan penalti pada final Liga Juara-Juara 2008 menentang Manchester United.

Namun, kedua-dua gelanggang tersebut tetap memaksa skuad The Blues menempuh penerbangan yang panjang dan mereka juga dijadualkan menentang Manchester City di Stadium Wembley (separuh akhir Piala FA) atau aksi liga menentang Spurs jika gagal mengalahkan Manchester United pada aksi suku akhir.

Sekiranya Chelsea berjaya mara ke final Liga Europa dan Piala FA, ia akan menyebabkan mereka bermain sebanyak 70 perlawanan sepanjang musim ini.

"Kami mempunyai pemain seperti Juan Mata yang baru pulang daripada tugasan antarabangsa.
"Kemudian ada Piala Konfederasi penghujung musim ini. Saya tahu ia akan memberi masalah kepada kami." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 21 Januari 2013

Chelsea bergelut atasi Arsenal



LAMPARD (dua dari kanan) antara penyumbang gol buat Chelsea semalam apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Ramirez dijatuhkan dalam kotak penalti.


LONDON - Chelsea menarik nafas lega apabila berjaya mengatasi tentangan sengit Arsenal sebelum mencipta kemenangan 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana England yang berlangsung di bawah cuaca bersalji di Stamford Brigde semalam.

Kemenangan itu sekali gus membantu Chelsea terus menghambat pendahulu liga, Manchester United dan Manchester City di tangga kedua.

Walaupun mendahului selesa 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Juan Mata dan penalti Frank Lampard, kelab bimbingan Rafa Benitez ini dipaksa bekerja keras dalam babak kedua untuk mempertahankan kedudukan itu.

Ini berikutan Arsenal mempamerkan kebangkitan sebaik permainan bersambung sehingga membolehkan mereka merapatkan jurang menerusi Theo Walcott.

Jaringan itu menaikkan semangat pemain-pemain Arsenal yang mengasak sehingga saat-saat akhir permainan untuk mencari gol penyamaan.

Namun, usaha pasukan pelawat itu tidak berhasil, sekali gus menghadiahkan kemenangan yang dicari-cari Chelsea selepas hanya seri 2-2 dengan Southampton pada Khamis lalu.

Dengan kemenangan itu, Chelsea kekal ketinggalan enam mata di belakang City untuk terus menghuni tangga ketiga liga. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 18 Januari 2013

Benteng Chelsea rapuh



PUNCHEON (kanan) memperdaya dua pemain Chelsea sebelum meledakkan gol penyamaan Southampton ketika seri 2-2 dengan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez menyalahkan benteng pertahanan selepas seri 2-2 dengan kelab bermasalah, Southampton pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Pada perlawanan di Stamford Bridge itu, Chelsea mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Demba Ba dan Eden Hazard masing-masing pada minit ke-25 dan 45.

Bagaimanapun, Southampton bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Rickie Lambert pada minit ke-58 dan Jason Puncheon (75).

Keputusan seri itu menyebabkan Chelsea ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Manchester United, sekali gus menyukarkan impian mereka untuk memenangi trofi liga domestik musim ini.

Dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui bahawa beliau masih belum pasti untuk menurunkan kapten, John Terry pada aksi menentang Arsenal di laman sendiri, Ahad ini.

Benitez berkata, skuad The Blues perlu bangkit segera sekiranya mahu mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Arsenal itu.

"Kami tidak gembira dengan keputusan seri di laman sendiri.

"Kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan atau satu unit yang mantap.

"Ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Ia melibatkan pengalaman.

"Saya tidak marah tetapi saya berasa kecewa.

"Kami mengetahui masalah yang sedang dihadapi berbanding pasukan lain yang lebih tersusun. Kami perlu kekalkan corak permainan menyerang, memegang bola dan bukan seperti mana yang kami lakukan hari ini (awal pagi semalam)," kata bekas pengurus Liverpool itu.

Benitez yang sering diejek para penyokong Chelsea sejak menggantikan Roberto di Matteo pada November lalu mengakui, sikap segelintir peminat itu sudah mula menjejaskan prestasi anak-anak buahnya di Stamford Bridge.

Kehadiran Terry mungkin dapat membantu Chelsea memperbaiki prestasi di barisan pertahanan tetapi dia dijangka duduk di bangku simpanan selepas kecederaan lutut yang dialami masih belum pulih sepenuhnya.

"Dia (Terry) tidak sesuai untuk beraksi selama 90 minit. Dia hanya boleh diturunkan untuk beberapa minit sahaja. Kami akan menilai prestasinya pada sesi latihan. 

"Tidak sesuai untuk menggantikan pemain dengan pemain yang tidak cergas sepenuhnya, lebih-lebih lagi ketika beraksi dalam perlawanan yang sukar.

"Saya cuba untuk tidak mengambil risiko. Saya akan lakukan yang terbaik dan membuat pemilihan terbaik untuk pasukan," ujar Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 15 Januari 2013

Lampard nyala impian Chelsea



LAMPARD berharap Chelsea bangkit bagi menghadapi Southampton di Stamford Bridge.


LONDON - Frank Lampard optimis Chelsea mampu menjadi pencabar utama dalam kempen Liga Perdana England musim ini seandainya skuad The Blues itu tampil bertenaga ketika beraksi di gelanggang lawan.

Selepas tewas mengejut 0-2 kepada Swansea pada aksi separuh akhir Piala Liga di Stamford Bridge, 9 Januari lalu, Chelsea kembali bangkit menewaskan Stoke City 4-0 di Stadium Britannia dalam kempen liga tiga hari kemudian.

Awal pagi esok, juara Eropah itu akan kembali beraksi di Stamford Bridge apabila menanti kunjungan Southampton dan hanya kemenangan mampu mengubati kekecewaan penyokong fanatik The Blues.

Justeru, Lampard berkata, pertemuan menentang Southampton merupakan medan terbaik buat Chelsea kembali ke landasan asal untuk menjadi sebuah pasukan digeruni.

"Ada ketikanya kami beraksi cemerlang ketika beraksi di gelanggang lawan dan perkara itu akan cuba dilakukan ketika menentang Southampton di gelanggang sendiri pula.

"Kami perlu bermain pantas, keluar serta mencari dan menghantar bola seperti yang dilakukan ketika menentang Stoke. 

"Dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan, mereka (Stoke) memberi tekanan kepada kami tetapi apabila kami mula mengawal bola, kami terus bermain dengan cara kami dan melakukan penyudah yang baik," kata Lampard.

Dalam pada itu, pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez perlu memutuskan sama ada menurunkan Fernando Torres atau Demba Ba sebagai penyerang utama pasukan tersebut
.
Tonggak pertahanan, David Luiz pula masih diberi peranan di bahagian tengah dan pemain Brazil itu percaya Benitez lebih selesa dia bermain di posisi tersebut.

"Kadang-kadang apabila anda bermain di halaman sendiri, pasukan lawan pula akan bertahan dan anda akan tiada ruang yang banyak untuk bermain. 

"Kemudian anda melakukan kesalahan kerana anda hanya mahu menjaringkan gol. Kami perlu bekerja keras untuk meningkatkan corak permainan kami.

"Saya rasa Rafa telah melakukan kerja dengan baik. Beliau memberitahu kepada semua pemain apa yang perlu dilakukan untuk menang dalam perlawanan itu nanti," kata Luiz. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Chelsea elak aib


http://kakibola.forumado.net/t1290-chelsea-elak-aib#1834 


TORRES (kiri) dan Ba dijangka mengemudi jentera serangan Chelsea pada aksi Liga Perdana England menentang Stoke City di Stadium Brittania malam ini.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez resah menjelang pertemuan menentang Stoke City pada aksi Liga Perdana England di Stadium Brittania malam ini.

Ia gara-gara skuad The Blues menampilkan prestasi tidak menentu termasuk beberapa keputusan hambar ketika beraksi di gelanggang lawan musim ini.

Terbaharu, anak-anak buah Benitez dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Swansea City pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga kelmarin.

Sebelum itu, Chelsea tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) di Stamford Bridge, sekali gus impian untuk memburu gelaran Liga Perdana England dilihat semakin samar.

Akibatnya, penyokong-penyokong fanatik Chelsea mengecam percaturan Benitez dan mengkritik persembahan hambar penyerang Sepanyol, Fernando Torres.

Mereka turut mendesak Benitez supaya mengekalkan perancang utama, Frank Lampard yang kini berada dalam fasa terakhir kontraknya.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan persembahan kami," ujar pemain pertahanan The Blues, Gary Cahill.

"Kebiasaannya, kami sukar tewas di laman sendiri. Kini kami harus bekerja keras untuk mengekalkan konsistensi.

"Kami menguasai sebahagian besar perlawanan namun ia tidak memberi sebarang makna sekiranya kami gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

"Pada aksi menentang Swansea, kami telah mencipta banyak gerakan tetapi gagal berbuat demikian. Begitu juga ketika menentang QPR, perkara sama yang berlaku." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 5 Januari 2013

Chelsea berjaya ikat Demba Ba


 
London: Chelsea semalam mengumumkan sudah menandatangani Demba Ba dari Newcastle United, menamatkan tempoh 18 bulan bersama Magpies di mana dia membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga kelima.

Kelab barat London itu berkata, pemain 27 tahun itu menyertai Chelsea atas kontrak tiga setengah tahun pada yuran yang tidak didedahkan dan layak bermain untuk Blues pada pusingan ketiga Piala FA menentang Southampton hari ini.
Saya gembira berada di sini dan bangga, kata pemain kebangsaan Senegal kelahiran Perancis itu. Penting bagi saya, dan juga Newcastle, untuk menguruskan masa depan saya dan bergerak ke hadapan.


Mereka kini mempunyai tempoh sebulan untuk mencari pemain baru dan bagi saya pula, lebih cepat lebih baik. Sekarang saya sudah di sini dan hanya perlu menyesuaikan diri.

Pengendali sementara Chelsea, Rafael Benitez tidak berselindung dalam usahanya mencari pilihan tambahan di barisan depan, dan dengan 16 gol liga dalam musim pertamanya dan 13 keseluruhan musim ini, Ba mampu memberi kelebihan buat Blues.
AFP

Jumaat, 4 Januari 2013

Chelsea mahu ubati rasa kecewa

-Kosmo


BENITEZ (tengah) memandang serius aksi pusingan ketiga Piala FA menentang
Southampton di Stadium St. Mary's malam ini.


SOUTHAMPTON - Pengendali sementara Chelsea, Rafael Benitez memandang serius aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Southampton di Stadium St. Mary's malam ini.

Kemenangan sangat penting bagi mengembalikan semula keyakinan skuad The Blues yang tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) pada aksi Liga Perdana England di Stamford Brigde, Rabu lalu.

Kekalahan mengejut kepada pasukan tercorot liga itu menyebabkan Chelsea ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Kini, anak-anak buah Benitez memerlukan sedikit keajaiban untuk merampas semula gelaran juara liga musim ini.

Benitez mengakui, beliau tidak menyesal dengan keputusannya merehatkan beberapa pemain utama kerana mereka perlu berehat selepas menghadapi jadual perlawanan yang padat pada Disember lalu.

"Agak sukar terutama selepas kami menghadapi banyak perlawanan kompetitif.
"Kami perlu bijak mengurus pemain dan apabila anda melakukan kesilapan ia bakal memberi kesan buruk kepada pasukan," kata Benitez lagi.

Impian Chelsea untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara tidak kesampaian selepas terkandas pada peringkat kumpulan dan kini, mereka mengalihkan tumpuan bagi kempen Liga Europa.

Selain itu, Chelsea juga akan bertemu Swansea City pada aksi separuh akhir Piala Liga minggu depan dan Benitez sedar skuad The Blues memberi fokus pada aksi menentang Southampton malam ini sebelum memikirkan mengenai perkara lain.

Rekod Chelsea pada kempen Piala FA sangat menakjubkan apabila memenangi tiga perlawanan akhir sepanjang empat tahun termasuk ketika menewaskan Liverpool musim lalu.

Selepas melalui musim yang tidak menentu tahun ini, kejayaan melangkah ke Stadium Wembley pada Mei depan pasti akan mengubat kekecewaan mereka.

Dalam pada itu, Benitez turut membuktikan bahawa beliau mampu menaikkan semula prestasi Chelsea selepas dilantik sebagai pengurus sementara bagi menggantikan Roberto Di Matteo.

Bagaimanapun, Chelsea dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Southampton yang bergelut dalam zon penyingkiran selepas menghuni tangga ke-17 liga selepas mengumpul 18 mata. - AFP

Jumaat, 28 Disember 2012

Benitez bakal pengurus tetap

http://kakibola.forumado.net/t1254-benitez-bakal-pengurus-tetap#1798

Rafael Benitez mungkin dilantik sebagai pengurus tetap ekoran daripada kebangkitan Chelsea sejak kebelakangan ini yang banyak dibantu keupayaan Fernando Torres menjaringkan gol. - AFP 
 
LONDON - Pengendali sementara, Rafael Benitez berada pada kedudukan untuk dilantik sebagai pengurus tetap di Chelsea.

Berita tersebut pastinya mengejutkan penyokong yang mengkritik bekas bos Liverpool itu sejak dia dipilih sebagai pengurus sementara bulan lalu.

Sumber dalaman di Stamford Bridge berkata, Rafa berada pada landasan untuk menjadi pengurus sepenuh masa selepas kelabnya mencatat beberapa keputusan yang memuaskan.

Pemilik kelab, Roman Abramovich tertarik dengan keupayaan Blues mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan, di mana Chelsea meledak 26 gol.

Benitez, 52, dibantu oleh Fernando Torres yang kembali menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan tujuh gol daripada tujuh perlawanan.

Malahan Bentinez juga mendapat peruntukkan untuk membeli pemain bagi menguatkan pasukan.
Sasaran utama Chelsea, Pep Guardiola dikaitkan akan kembali ke Barcelona selepas bercuti panjang.

Bos Barca ketika ini, Tito Vilanova disahkan mengidap barah dan wujud kebimbangan mengenai kemampuannya untuk jangka masa panjang.

Jose Mourinho juga mungkin kembali ke Chelsea dan dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Manchester City atau Paris St-Germain apabila dia meninggalkan Real Madrid musim panas ini. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 26 Disember 2012

Benitez intai kelibat Villa

-Kosmo

http://kakibola.forumado.net/t1241-benitez-intai-kelibat-villa#1785 

LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafa Benitez dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Barcelona, David Villa sebaik musim perpindahan dibuka, Januari depan.
Chelsea dijangka akan mengemukakan tawaran lumayan berjumlah £12 juta (RM59.3 juta) kepada skuad The Catalan bagi mendapatkan pemain Sepanyol itu.

Benitez mendedahkan bahawa mereka sedang bekerja keras untuk mendapatkan beberapa pemain yang hebat.

Percubaan skuad The Blues untuk mendapatkan Villa bakal mencetuskan pertembungan empat penjuru antara Manchester City, Liverpool dan Arsenal sebaik sahaja pintu perpindahan pemain dibuka bulan depan.
Begitupun, Benitez optimis mengenai peluang Chelsea kerana Villa lebih berminat untuk bermain bersama-sama rakan senegaranya, Fernando Torres.
Sebelum ini, Villa, 31, mengakui bahawa dia dan Torres akan beraksi cemerlang sekiranya digandingkan bersama.

"Saya dan Torres saling melengkapi, kami sentiasa bekerjasama," kata Villa.
Villa tidak gembira selepas lebih banyak menghabiskan masa dibangku simpanan selepas direhatkan selama lapan bulan akibat patah kaki.

Perpindahan Daniel Sturridge ke Liverpool pada Januari depan juga menyaksikan kekurangan pilihan di posisi serangan Chelsea, sekali gus kehadiran Villa menjadi keutamaan.
Pada masa sama, Benitez turut bercadang untuk meminjam Villa, namun pengarah bola sepak Barcelona, Andoni Zubizaretta memberitahu bahawa mereka tidak menerima tawaran untuk perpindahan pemain berstatus bintang pada Januari ini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Blues mula tunjuk belang sebenar - Benitez


-Utusan Malaysia

NORWICH - Rafael Benitez menyifatkan Chelsea sudah mula menunjukkan potensi sebenar mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika pasukannya bersiap sedia untuk berdepan Norwich di Carrow Road, hari ini.

Skuad Benitez memberikan persembahan terbaiknya musim ini apabila membelasah Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge selepas membenam Leeds 5-1 pada suku akhir Piala Liga.

Chelsea hanya kurang satu gol bagi menyamai rekod jaringan kemenangan terbesar mereka, dengan tujuh pemain berbeza menjaringkan gol ketika berdepan Aston Vill tempoh hari.
Sebelum itu, Villa belum tewas dalam enam perlawanan terakhir.

Kemenangan itu membawa Chelsea kembali merampas tempat ketiga, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United di samping kurang satu perlawanan.

Kini, Benitez yang merupakan pengurus sementara Chelsea yakin dapat mengekalkan prestasi yang sama apabila menjaringkan 13 gol dalam dua perlawanan sejak kalah kepada Corinthians pada final Piala Dunia Kelab di Jepun.

"Perkara paling utama ialah kami memenangi setiap perlawanan, pasukan ini boleh melakukannya jika mempamerkan peningkatan.

"Jika prestasi sebegitu dikekalkan dalam setiap perlawanan, tiada masalah kami akan menang selalu.
"Lihatlah mentaliti para pemain, walaupun selesa mendahului 6-0, mereka masih menyerang dan mahu menjaringkan gol.

"Pasukan ini tidak bergantung kepada satu atau dua pemain semasa menyerang, itu memang satu perkara yang positif mengenai pasukan ini.

"Diharapkan kami dapat mengekalkan momentum ini dan jika rentak kemenangan berterusan, ia adalah satu mesej kepada semua pencabar bahawa kami mampu mencabar kejuaraan, " katanya
.
Pertahanan Brazil, David Luiz dijangka meneruskan tugasannya pada bahagian tengah apabila bertemu Norwich nanti, bagi memburu kemenangan kali ketiga berturut-turut.
John Terry masih tidak dapat diturunkan dan Branislav Ivanovic bakal bergandingan dengan Gary Cahill pada bahagian pertahanan sekali lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 24 Disember 2012

8-0 gagal ubati duka Lampard

-Kosmo


FRANK Lampard (no. 8) dikerumuni rakan-rakan sepasukannya sebaik menjaringkan gol untuk Chelsea ketika pasukan itu membelasah Aston Villa 8-0 kelmarin.


LONDON - Frank Lampard mengakui yang masa depannya bersama Chelsea masih tidak menentu meskipun pemain tengah itu meletakkan dirinya sebagai penjaring ketika menewaskan Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge kelmarin.

Lebih menarik, Lampard turut melakarkan sejarah peribadi selepas menjaringkan gol ke-130 pada penampilannya yang ke-500 liga domestik, sekali gus mengatasi rekod yang dilakukan pemain legenda Chelsea, Bobby Tambling.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan berakhir pada penghujung musim ini dan sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang tawaran perjanjian baharu daripada kelab tersebut.

"Saya tidak mahu memikirkannya lagi kerana saya masih terikat dengan kontrak. Saya suka beraksi di sini, jadi saya akan terus bermain dan berharap kecergasan saya akan kekal dengan baik.

"Saya menikmati perlawanan ini dan harapan saya pun sama juga untuk menikmati karier bola sepak saya. Saya percaya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

"Posisi kelab sekarang milik mereka, saya tidak mahu terlalu melibatkan diri. Saya di sini untuk bermain bola sepak dan mahu membuktikan kepada semua pihak yang saya boleh melakukannya (beraksi dengan baik)," ujar Lampard.

Ditanya mengenai rekod yang dilakukan, Lampard berkata: "Ia sangat bermakna. Permulaan yang hebat, saya sangat bernasib baik kerana dapat beraksi dengan kelab yang hebat dan memiliki pengurus-pengurus serta rakan-rakan sepasukan seperti sekarang.

"Jumlah jaringan yang dilakukan juga memberi makna yang besar kerana saya dapat mengatasi rekod pemain seperti Bobby Tambling. Dia seorang legenda dan pemain yang hebat."
Antara pemain yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut ialah Fernando Torres, David Luiz, Branislav Ivanovic, Oscar, Ramires (dua) dan Eden Hazard.

"Seluruh pasukan melakukan serangan dan kami tidak hanya mengharapkan seorang atau dua orang pemain sahaja," kata pengurus Chelsea, Rafael Benitez.

"Ini merupakan berita yang baik dan saya berharap pasukan akan dapat melakukan perkara yang sama pada Rabu ini di Norwich.

Benitez turut mengakui yang pasukan kendaliannya itu kini sudah bersedia untuk merampas gelaran musim ini selepas berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ketiga.

"Perkara utama sekarang, memenangi setiap perlawanan. Kami mampu melakukannya. Selepas perkembangan yang dipamerkan, saya pasti kami semakin menghampirinya (gelaran musim ini)," kata Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Disember 2012

Benitez sasar Piala Liga

(Utusan Malaysia)

 
http://kakibola.forumado.net/t1229-benitez-sasar-piala-liga#1773
Pemain Chelsea, Branislav Ivanovic (kanan) diasak hebat pemain pertahanan Leeds United dalam saingan Piala Liga, kelmarin . - REUTERS 
LEEDS - Rafael Benitez meletakkan sasaran mahu memenangi Piala Liga sebagai trofi pertama bersama Chelsea selepas menyaksikan pasukan bimbingannya membelasah Leeds 5-1, semalam untuk menempah pertembungan dengan Swansea di separuh akhir.

Benitez yang merupakan pengurus sementara Chelsea terdesak mahu meraih sebarang gelaran bagi mendapatkan jawatan secara tetap di Stamford Bridge, namun pengurus dari Sepanyol itu memberikan amaran bahawa mereka berdepan tugasan berliku untuk ke Wembley.
Biarpun kebanyakan pemain masih mengalami masalah mabuk penerbangan selepas pulang dari Jepun selama 13 jam berbanding waktu di England, lima jaringan yang dihasilkan untuk menang besar ke atas Leeds di Elland Road.

"Mana-mana kejohanan utama di peringkat separuh akhir pasti sukar. Kami tahu yang kami akan berdepan sebuah pasukan yang mahu bermain bola sepak dan sentiasa mahu menguasai bola sepanjang perlawanan.
"Prestasi mereka cukup baik pada masa sekarang dan itu satu perkara yang menarik, motivasi kedua-dua pasukan pada masa sekarang berada di tahap terbaik," kata Benitez.

Benitez masih dalam usaha memenangi hati penyokong Chelsea yang berterusan mempersoalkan keputusan memecat Roberto Di Matteo dan mengambil bekas pengurus Liverpool itu sebagai pengganti.
Jika dia berjaya meraih sebarang trofi walaupun sekadar Piala Liga dijangka sudah cukup baik kepada Benitez.

''Memenangi sebarang trofi adalah cukup penting kepada mana-mana pengurus, kami semakin hampir ke Wembley dan kami mahu memberikan fokus kepada perlawanan seterusnya.
''Pasukan yang bagus sentiasa mahu mencuba memenangi setiap pertandingan dan kami mahukan kejuaraan ini," katanya.

Chelsea terlebih dahulu ketinggalan apabila Luciano Becchio meletakkan Leeds di hadapan sebelum Juan Mata, Branislav Ivanovic, Victor Moses, Eden Harzard dan Fernando Torres yang menjaringkan gol ke-13 pada musim ini memastikan kemenangan besar 5-1.
Sementara itu, pengurus Leeds, Neil Warnock tetap memberikan pujian kepada pemain Leeds walaupun keputusan itu dianggap terlalu berat untuk diterima oleh mereka. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/