Memaparkan catatan dengan label Jose Mourinho. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jose Mourinho. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Disember 2013

Hazard buat Mourinho puas


SUNDERLAND - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan Eden Hazard telah meletakkan dirinya berada dalam kelas tersendiri selepas memuji persembahan cemerlang pemain tengah itu.

Tonggak berusia 22 tahun itu muncul sebagai inspirasi The Blues ketika merakamkan kemenangan dramatik menewaskan Sunderland 4-3 pada aksi Liga Perdana England, awal pagi semalam.

Hazard berjaya menjaringkan dua gol termasuk mencipta satu peluang jaringan kepada perancang Chelsea, Frank Lampard.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan skuad kendaliannya Mourinho merapatkan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga, Arsenal yang kini memiliki kelebihan empat mata.

Sebelum ini, ramai pengkritik meragui keupayaan Chelsea untuk merebut kejuaraan Liga Perdana England selepas bermula hambar pada awal musim ini.

Mourinho berkata, Hazard berhak menerima pujian selepas muncul sebagai pemain terbaik dalam aksi menentang Sunderland.

"Kami bermain dalam satu aksi yang begitu fenomena. Saya fikir inilah permainan Chelsea paling terbaik di gelanggang lawan dan kami berjaya menjaringkan gol-gol yang menarik.

"Malah, ia mungkin persembahan terbaik dari Hazard sejak saya tiba di Chelsea. Kami mengetahui bakatnya tetapi semangat juang Hazard adalah punca kemenangan Chelsea pada hari ini (semalam).

"Inilah kali pertama saya menyaksikan prestasi cemerlang Hazard. Seperti yang saya katakan tadi, dia seorang pemain muda yang cukup berbakat," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 November 2013

11 kesilapan punca kalah: Mourinho

Berita Harian
 
11 kesilapan punca kalah: Mourinho  
 Jose Mourinho
 
London: Jose Mourinho menyalahkan dirinya sendiri ketika skuad kendaliannya tumbang 2-0 kepada Newcastle di St James Park dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Pengendali The Blues itu cukup berang namun enggan meletakkan semua kesalahan kepada pemainnya selepas rentetan enam kemenangan berturut-turut kelab itu ditamatkan menerusi jaringan pemain Perancis, Yoan Gouffran dan Loic Remy.
“Saya melakukan 11 kesalahan dengan pemilihan pasukan, 11 kesilapan,” kata Mourinho. “Itu perasaan saya apabila pasukan saya bermain begitu teruk. Kami memang patut kalah kerana dalam 45 minit kami bermain pada tahap perlawanan persahabatan.


“Keputusan itu membuktikan fakta yang satu pasukan tiada di sana. Kami tidak agresif dan kurang kekuatan. Ia adalah persembahan buruk dan membuatkan saya banyak berfikir di rumah kerana saya perlu cuba untuk memahami di mana mereka mendapat persembahan seperti ini.

“Saya amat bimbang jika mereka bermain seperti ini sekali lagi,” kata Mourinho yang sebelum ini pernah mengendali The Blues menggunakan pendekatan rapat dengan pemainnya dan cuba memahami apa yang mereka mahukan.

Chelsea yang ketika ini menduduki tangga kedua liga mempunyai rekod 100 peratus di laman sendiri namun di laman lawan, situasi cukup berbeza dengan hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan.

“Kami hanya menang sekali di tempat lawan dalam liga musim ini dan ia membimbangkan saya,” kata Mourinho. - Agensi

Ahad, 27 Oktober 2013

Pellegrini perlekeh Mourinho


LONDON - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mengakui bahawa beliau tidak berminat untuk melayan serangan psikologi yang dilancarkan pengendali Chelsea, Jose Mourinho.


Kedua-dua pengendali itu pernah bertemu pada kempen Liga Sepanyol selepas Pellegrini mengemudi Malaga dan Mourinho bersama Real Madrid.

Bagaimanapun, aksi malam ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pengendali itu di England.
Pellegrini berkata, beliau tidak mahu terlibat dengan serangan psikologi yang dilancarkan Mourinho.
"Saya tidak terlibat dengan situasi itu dan saya tidak mahu melibatkan diri.
"Saya tidak mengenali beliau (Mourinho). Dia pernah bekerja di Sepanyol manakala saya dengan kelab lain (Malaga).

"Kami pernah bertemu ketika Real menentang Malaga. Itu sahaja dan saya tidak perlu memberikan apa-apa kenyataan terhadap beliau," kata Pellegrini.

Chelsea kini menduduki tangga kedua liga selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Cardiff City manakala City menduduki tangga keempat selepas menewaskan West Ham United 3-1 hujung minggu lalu.

Selain aksi liga domestik, kedua-dua kelab itu turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara apabila skuad The Blues berjaya menewaskan Schalke 04 3-0.

Skuad The Citizens pula memperoleh kemenangan tipis 2-1 ke atas CSKA Moscow, Rabu lalu. - AFP

Isnin, 30 September 2013

Chelsea semakin terdesak


MOURINHO (kanan) memberikan arahan kepada Fernando Torres ketika Chelsea seri 1-1 dengan Tottenham Hotspurs pada aksi Liga PerdanaEngland, Sabtu lalu.


BUCHAREST - Chelsea bertekad untuk memulihkan reputasi pada aksi kedua Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest di Stadionul Ghencea, Romania awal pagi esok.

Chelsea perlu bangkit selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada FC Basel pada aksi di Stamford Bridge, 18 September lalu.

Kini, skuad The Blues terdesak untuk menewaskan Bucharest bagi meletakkan kembali pasukan itu di landasan yang tepat untuk meneruskan kemaraan di pentas Liga Juara-Juara.

Selain itu, anak-anak buah Jose Mourinho juga perlu menewaskan Schalke 04 pada 22 Oktober depan.

Chelsea melakar sejarah tersendiri musim lalu apabila menjadi juara bertahan pertama yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Mourinho berkata, aksi menentang Bucharest sangat penting dan mereka tidak boleh tewas demi kebaikan pasukan itu.

"Seri bukan satu keputusan baik buat kami. Jadi, kami perlu bersiap sedia daripada sekarang.
"Kami perlu mengutip 12 mata untuk mengelak daripada mengalami insiden yang tidak diingini berlaku. Jadi, jika kami tewas di sana (Bucharest), kami masih memiliki empat perlawanan.

"Jadi, kami harus mengutip 12 mata untuk baki perlawanan tersebut dan sudah tentu saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pasukan saya (sekiranya tewas)," katanya.

Chelsea masih dibayangi memori hitam selepas skuad The Blues tewas 0-1 pada kali terakhir mereka berkunjung ke Bucharest pada aksi Liga Europa.

Begitupun, mereka kembali menebus kekalahan itu dengan merakamkan kemenangan secara agregat 3-1 pada aksi kalah mati Liga Europa pada Mac lalu.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 18 September 2013

Chelsea dikejutkan Basel 1-2

 
Chelsea dikejutkan Basel 1-2 PEMAIN tengah Chelsea, Oscar (kiri) merembat untuk jaringan pembukaan ketika menentang Basel di sini, awal pagi tadi. - Foto AFP
 
LONDON: Perlawanan sulung Chelsea di bawah bimbingan Jose Mourinho bagi kempen Liga Juara-Juara Eropah bermula dengan kekecewaan apabila tewas 1-2 kepada Switzerland, Basel di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Chelsea yang berbelanja besar musim ini mendahului menerusi jaringan Oscar pada minit terakhir separuh masa pertama.
Namun Basel memperoleh gol penyamaan menerusi Mohamed Salah pada minit ke-71 disusuli gol kemenangan pada minit ke-84 oleh tandukan Marco Streller.


Hujung minggu lalu, Chelsea tewas kepada Everton 0-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan itu mungkin menjadi mimpi buruk Mourinho semula apabila kali pertama disingkir dari Chelsea enam tahun lalu apabila skuadnya seri 1-1 dengan Rosenborg, juga dalam saingan Liga Juara-Juara.

Isnin, 16 September 2013

Amaran keras Mourinho



MOURINHO tidak mahu pemilik kelab dan para peminat Chelsea meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk mengulangi era kegemilangan di Stamford Brigde.


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho memberikan amaran kepada pemilik kelab, Roman Abramovich dan para peminat agar tidak terlalu meletakkan harapan tinggi dalam usaha mengulangi era kegemilangan di Stamford Bridge.

Mourinho melaungkan amaran itu selepas skuad The Blues dikejutkan kekalahan tipis 0-1 kepada Everton pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

Kekalahan itu merupakan rekod paling buruk Chelsea dalam kempen awal liga domestik sepanjang era Abramovich meskipun mereka hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal.
"Tidak, ia tidak seperti era kegemilangan Chelsea pada 2004,

"Kami tewas kepada Manchester City pada Oktober (2004) dan itu sahaja kekalahan kami. Namun, apa maksud saya adalah kami bukan pasukan yang hebat. Ini adalah pasukan yang sangat berbeza.

"Saya pernah bekerja di sini (Chelsea) dan saya tidak berasa tenang kerana saya adalah individu pertama yang tidak suka bekerja dalam suasana tenang.

"Namun, kami berusaha menggilap bakat pemain-pemain dan bermain pada tahap terbaik selagi yang termampu.

"Kami perlu lebih efektif, menjadi matang dan tidak naif. Itulah yang kami perlu lakukan. Kami akan menukarkan corak permainan cantik bola sepak kepada gol-gol yang menarik," kata Mourinho.

Abramovich dan para peminat skuad The Blues dilaporkan cukup berpuas hati meskipun tewas kepada Everton kerana mereka sangat berbesar hati untuk melihat Mourinho kembali selain memberikan masa kepada bekas jurulatih Real Madrid itu memperbaiki keupayaan Chelsea.

Pada era kegemilangan Chelsea tahun 2004, Mourinho berjaya menjulang trofi liga buat pertama kalinya selepas sekadar tewas satu perlawanan kepada City.

Bagaimanapun, Chelsea kehilangan lima mata berharga sepanjang empat perlawanan pertama termasuk kekalahan tipis kepada Everton menerusi jaringan Steven Naismith di Goodison Park.
"Kami bukan sebuah kelab yang boleh menerima semua situasi buruk. Kami akan berusaha untuk mengejarnya (pendahulu liga, Arsenal).

"Permulaan musim ini sangat sukar. Kami beraksi di gelanggang lawan ketika menentang Manchester United dan Bayern Munich pada aksi Piala Super Eropah serta Everton," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

Mourinho bagi Rooney masa



ROONEY (kiri) beraksi cemerlang ketika United seri tanpa jaringan dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan bahawa skuad The Blues sudah boleh melupakan impian untuk mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.

Mourinho mengeluarkan kenyataan itu selepas Chelsea seri tanpa jaringan dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi semalam.

Chelsea telah mengemukakan dua tawaran kepada United untuk mendapatkan penyerang England itu tetapi ditolak skuad The Red Devils.

Selepas Rooney mempamer aksi yang cemerlang awal pagi semalam, pengurus skuad The Blues itu mengakui, beliau mungkin gagal untuk membawa Rooney ke Stamford Bridge.

"United adalah sebuah kelab yang hebat dan mempunyai penyokong yang istimewa. Saya rasa, mungkin sekarang dia (Rooney) akan membuat keputusan untuk terus kekal di sana.

"Kalau itu keputusan Rooney, kami akan hormatinya dan akui ia sudah berakhir. Kalau sekarang dia beritahu tidak mahu pergi, maka tiada apa lagi yang boleh kami lakukan.

"Namun, kami masih menunggu keputusannya," kata Mourinho. 

Mourinho berkata, beliau akan memberikan masa selama dua hari kepada Rooney untuk memikirkan tentang masa depannya dan mahu penyerang itu tampil memberi penjelasan.

"Orang yang memulakan cerita ini harus tampil untuk menamatkannya.
"Bagi sebuah kelab seperti kami, seorang pengurus seperti saya, kami bukannya bodoh untuk mendapatkan seorang pemain sepertinya daripada sebuah kelab ternama yang tidak akan menjual pemain bintang mereka.

"Saya rasa, sudah tiba masanya demi kebaikan semua orang, dia tampil untuk menamatkan cerita ini sama ada ia memihak kami atau mereka," tambah Mourinho.

Ketika ditanya mengapa beliau fikir Rooney mahu meninggalkan United, Mourinho berkata: "Dia telah beritahu seseorang bahawa ia (menyertai Chelsea) amat penting bagi kariernya.

"Saya akan menunggu sehingga 24 jam atau 48 jam untuk dia membuat keputusan." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 26 Ogos 2013

RM180j bidaan terakhir


LONDON - Chelsea akan melancarkan bidaan terakhir bernilai £35 juta (RM180 juta) ke atas penyerang Manchester United, Wayne Rooney selepas pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada aksi Liga Perdana England awal pagi esok.

The Blues telah 'menandatangani' pembelian terbesar pada musim panas ini selepas berjaya mengikat bekas pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian, 25, bernilai £30 juta (RM154.2 juta) minggu lalu.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Jose Mourinho pasti menjadi individu paling kecewa jika hasratnya membawa masuk Rooney ke Stamford Bridge musim ini tidak menjadi kenyataan.

Menurut Mourinho, beliau akan menyelesaikan isu Rooney sebaik sahaja selesai pertemuan antara kedua-dua pasukan di Old Trafford nanti.

Sebelum ini, pihak pengurusan United telah dua kali menolak permintaan Chelsea untuk membeli Rooney.

Dalam masa sama, United menegaskan bahawa mereka tidak akan menjual penyerang antarabangsa England itu pada sebarang harga.

"Kami akan berusaha untuk melancarkan bidaan maksimum sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 2 September depan. 

"Untuk peluang terakhir ini, kami akan berusaha habis-habisan," kata Mourinho.
Pengurus berasal dari Portugal itu juga menegaskan bahawa skuad The Blues tidak akan menjual Juan Mata.

Namun, Mourinho tidak menolak kemungkinan akan melepaskan Mata andai United membuat permintaan untuk mendapatkan perancang Sepanyol itu sebagai pertukaran dengan Rooney.

"Sehingga kini, tiada apa lagi perkembangan positif dan kami sangat menghormati keputusan mereka serta undang-undang dalam bola sepak," kata Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Mourinho tak putus asa tetap bida Rooney


WAYNE ROONEY 
 
LONDON - Jose Mourinho memberi amaran kepada Manchester United bahawa dia belum berputus asa untuk memburu Wayne Rooney dan bakal melakukan percubaan ketiga untuk membawa masuk bintang penyerang England itu ke Chelsea. 

Dalam langkah yang ditafsirkan di Old Trafford sebagai sengaja diada-adakan untuk menghangatkan suasana menjelang pertemuan Liga Perdana di antara kedua-dua pasukan, Isnin ini, Mourinho berkata, dia tidak akan mengemukakan tawaran rasmi sebelum perlawanan itu. Namun akan kembali sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September. 

"Saya tidak mahu Chelsea melakukannya sebelum kami pergi ke sana (Old Trafford) dan semua orang dalam kelab ini, termasuk ahli lembaga bersetuju dengan saya. Kami berkongsi pandangan yang sama.

"Kami masih mempunyai masa untuk melakukan beberapa perkara, kami pernah melakukannya sebelum ini dan akan melakukannya tidak lama lagi. Begitupun saya rasa dalam tempoh menjelang perlawanan, adalah sebaiknya kami pergi secara diam dan hanya memikirkan tentang pertarungan," kata Mourinho. 

Walaupun tidak menafikan kemungkinan akan ada tawaran yang datang dalam masa terdekat, namun United tetap berpegang kepada pendirian bahawa mereka akan menolak sebarang usaha untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu. 

Pengurus United, David Moyes dan Ketua Eksekutif kelab, Ed Woodward sebelum ini menegaskan bahawa Rooney tidak akan dibenarkan meninggalkan Old Trafford. 

Woodward telah menjelaskan kepada pegawai senior di Chelsea mengenai kedudukan United tetapi dengan kedua-dua pasukan akan bertemu, Isnin ini. Namun Mourinho diberi kebenaran untuk mengemukakan satu lagi tawaran dalam usaha menjejaskan persiapan United selain mengalihkan fokus Rooney menjelang perlawanan tersebut. 

Dua tawaran Chelsea untuk mendapatkan Rooney sebelum ini, iaitu 20 juta pound (RM103.11 juta) dan 30 juta pound (RM154.67) telah ditolak. Tawaran kedua dikemukakan, dua minggu lalu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

Mourinho sedia teruskan rentak kemenangan


LONDON - Selepas berjaya memastikan kemenangan sempena kepulangannya ke Chelsea Ahad lalu, Jose Mourinho perlu melakukan perkara yang sama apabila beraksi di tempat lawan menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, hari ini.

Pengendali dari Portugal itu kembali ke Stamford Bridge Ahad lalu selepas enam tahun dan cepat menyesuaikan diri dengan rutin lamanya apabila menewaskan Hull City 2-0, sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah skuad bimbingannya di tempat sendiri kepada 61 perlawanan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Frank Lampard menjaringkan gol melalui sepakan bebas pada minit ke-25 namun skuad Mourinho perlu lebih mantap apabila bertemu Villa.

Villa mengejutkan Arsenal 3-1 di Stadium Emirates Sabtu lalu ketika Christian Benteke sudah mendapat sentuhan jaringan dan dilihat bersedia untuk membuang memori bergelut dalam zon penyingkiran musim lalu.

Lampard, salah seorang daripada lapan pemain yang pernah di bawah bimbingan Mourinho sebelum ini berkata, sasaran Chelsea musim ini adalah memberi cabaran dalam perebutan kejuaraan liga selepas menamatkan saingan musim lalu pada tangga ketiga dan keenam pada 2012.

"Saingan EPL sangat sukar sejak kebelakangan ini. Perlawanan menjadi semakin sengit dan pantas, jadi kami perlu sentiasa menang minggu demi minggu, itu yang perlu kami lakukan sekali lagi.

"Apa yang perlu kami tekankan di sini ialah Aston Villa baru sahaja menewaskan Arsenal kerana mereka begitu pantas dan memiliki barisan pemain yang muda, jadi kami tidak boleh biarkan begitu sahaja tanpa usaha," kata pemain tengah England berusia 35 tahun itu, yang meraih dua kejuaraan liga di bawah Mourinho pada 2005 dan 2006.

Mourinho mungkin melakukan penggiliran pemain kerana mereka bukan sahaja akan bertemu Manchester United Isnin depan tetapi selepas itu terlibat dengan perlawanan Piala Super UEFA di Prague pada 30 Ogos.

Juan Mata akan diberi peluang beraksi selepas hanya menghuni bangku simpanan ketika menentang Hull berikutan kecederaan buku lali manakala Romelu Lukaku atau Demba Ba dijangka membantu Fernando Torres pada bahagian serangan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Lupa suasana Stamford Bridge


Jose Mourinho 
 
LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho percaya saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini lebih terbuka menjelang aksi pertamanya bersama Blues menentang Hull, hari ini.

Mourinho akan kembali ke Stamford Bridge melayan kunjungan skuad Steve Bruce, yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana, enam tahun selepas dia membawa skuad Blues ke era kegemilangan selama tiga tahun di kelab itu.

Pengurus dari Portugal itu membawa Blues memenangi Liga Perdana dua musim berturut-turut dan kepulangannya menjadikan Chelsea calon juara untuk merampas kejuaraan daripada Manchester United.

Mourinho, yang meninggalkan Real Madrid mendakwa saingan lebih terbuka berbanding musim-musim lalu.

"Saya yakin Liga Perdana sebuah liga yang hebat kerana banyak pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

"Ia hebat kerana saingannya lebih seimbang, sejak beberapa tahun lalu pasukan yang baik kini bertambah baik.

"Mungkin pada Disember atau Januari ini anda kita dapat tahu pasukan mana yang tidak cukup kuat untuk mencabar kejuaraan. Namun pada peringkat awal saingan, saya rasa enam pasukan akan bersaing," katanya.

Mourinho juga mengakui dia menjangkakan kepulangan penuh emosi di Stamford Bridge di hadapan penyokong Chelsea dan bercadang untuk mengelilingi stadium bersama para pemain sebelum sepak mula perlawanan malam ini.

Chelsea mengharungi siri jelajah pramusim di seluruh dunia namun pemain baharu termasuk Andre Schurrle dan Marco van Ginkel, belum lagi merasai pengalaman beraksi di padang sendiri.

"Bukan saya sahaja yang sudah sekian lama tidak merasai suasana di Stamford Bridge tetapi pemain baharu juga masih tidak tahu di mana letaknya bilik persalinan.

"Kami berlatih di Stamford Bridge semalam untuk pemain biasa dengan suasana stadium, di mana bilik persalinan, di mana terowong ke bilik persalinan juga bagaimana keadaan padang. Mereka tidak pernah berada di sana.

"Kembali semula ke Stamford Bridge sudah pasti satu suasana dan perasaan yang berbeza. Saya melaluinya ketika saya bersama Inter Milan," kata Mourinho.

Pertahanan dari Brazil, David Luiz tidak dapat beraksi hari ini manakala pemain tengah Sepanyol, Juan Mata mengalami kecederaan pada penghujung siri jelajah pramusim.

Van Ginkel dan Schurrle mungkin akan diturunkan serta Kevin De Bruyne yang menghabiskan masa musim lalu dipinjamkan ke Werder Bremen. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Ronaldo nafi persenda Mourinho


GAYA Ronaldo ketika meraikan jaringannya pada pertemuan menentang Chelsea dalam aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin.


LONDON - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menafikan bahawa caranya meraikan jaringan ketika membantu Real Madrid membenam Chelsea 3-1 awal pagi kelmarin ditujukan khas kepada bekas jurulatihnya, Jose Mourinho.

Ronaldo menjelaskan, tiada persengketaan antara dia dengan Mourinho meskipun pengurus The Blues itu memberi komen negatif mengenai dirinya ketika dibandingkan dengan bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

"Saya lebih suka membuktikan kata-kata saya di tengah padang. Apa yang berlaku di luar padang sama sekali tidak menjejaskan saya atau memberi kesan negatif kepada saya," jelas Ronaldo.

"Misi saya ialah membantu Real mencapai objektif yang telah ditetapkan dan apa yang berlaku selain daripada itu, langsung tidak menyakiti hati saya."

Pada aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin, Ronaldo meledak dua gol dan gayanya ketika meraikan jaringan tersebut dilihat seperti mempersendakan Mourinho yang terkenal dengan gelaran The Special One.

Mourinho pula cuba mengelak daripada menghangatkan lagi isu itu ketika sidang akhbar selepas perlawanan dengan berkata: "Saya tidak tahu apa yang Ronaldo katakan, ia bukan masalah saya. Saya telah cuba memberi yang terbaik untuk Chelsea.

"Apa yang saya beritahu sebelum ini mengenai Ronaldo (bekas penyerang Brazil) itu adalah kerana dia adalah Ronaldo yang pertama.

"Kalau kamu (pihak media) tanya saya siapa Mueller yang lebih hebat, Thomas atau Gerd, saya akan kata Gerd.

"Bagi saya siapa yang datang dahulu dia adalah pemain pertama. 

"Ini adalah wayang yang dicetuskan oleh Real kerana kelab itu memang suka bersandiwara," tambah Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

Peluang Mourinho malukan Real


MIAMI, Florida - Jose Mourinho berpeluang membuktikan penghijrahannya ke Chelsea adalah tepat dan berbaloi apabila bertemu bekas kelabnya, Real Madrid pada final Piala Juara Antarabangsa, awal pagi esok.

Walaupun perlawanan itu sekadar aksi pemanas badan menjelang musim baharu, ia dilihat tetap penting buat pengendali dari Portugal itu dalam menjawab persoalan, mengapa Real tidak begitu menyinar sepanjang eranya sebagai jurulatih sebelum ini?

Malah perasaan kecewa tidak dihormati presiden, penyokong dan pemain Real sendiri seperti Iker Casillas dan Cristiano Ronaldo, membuatkan semangatnya membuak-buak untuk 'mengajar' bekas kelabnya itu.

"Madrid adalah politik. Madrid bukan tentang bola sepak atau tentang sukan," kritik Mourinho Ahad lalu tentang mainan politik dalaman Real sepanjang eranya.

Beliau turut menyerang imej Ronaldo dengan menyifatkan pemain itu tidak sehebat mana. Ronaldo pula pantas membalas kenyataan Mourinho itu.

"Kami akan menentang Chelsea dan bukan pengurusnya. Walaupun ia sekadar persahabatan, kami tetap mahu menang.

"Saya tidak mahu meludah ke langit dan kemudian terkena ke muka sendiri. Saya lebih suka melihat sisi positif Mourinho dan perlawanan itu nanti," kata Ronaldo.

Berbekalkan pemain terbaik yang dimilikinya di Chelsea ketika ini, Mourinho juga mahu menunjukkan kepada presiden Real, Florentino Perez bahawa wang bukanlah segala-galanya untuk berjaya.

Buktinya Mourinho enggan berbelanja besar. Selepas gagal membawa masuk Radamel Falcao dan Edinson Cavani, dia hanya dilihat berminat dengan pemain lebih murah, Wayne Rooney. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

Saya nak ubah reputasi Torres

 
Indianapolis: Jose Mourinho bertekad untuk memperbaiki Fernando Torres dan mengubah penyerang bernilai 50 juta pound (RM248.9 juta) itu kembali bergelar salah seorang peledak digeruni di Eropah.

Penyerang Sepanyol berusia 29 tahun itu yang membuat penampilan pertama pada perlawanan pra musim dengan menjadi pemain gantian ketika Chelsea mencatat kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan pernah digelar penyerang paling berbahaya ketika di Liverpool, menggunakan kepantasannya ditambah umpanan tepat Steven Gerrard dan Xabi Alonso.

Pergelutan untuk mengulangi persembahannya di Stamford Bridge kekal misteri namun ramai mengatakan tugasnya selaku penyerang tunggal yang diubah kepada serba boleh menjadi punca kemerosotan bersama kelab London itu.


Kami tahu bagaimana Torres bermain, kata Mourinho. Apabila kami melihat Torres sebelum ini, menjaringkan gol sekalipun dikawal dua atau tiga pemain, kami tahu dia tidak melakukan magis. Namun inilah Torres. Kami mahu pasukan berlatih bagaimana untuk bermain dengannya.

Tak ubah corak

Kami tidak akan mengubah corak permainannya kerana ia mustahil. Namun, kami mahu mengadaptasi pasukan dan mengajar pasukan bagaimana menggunakan kualiti terbaik dimilikinya, kerana permainannya adalah permainannya.

Dia bukannya kanak-kanak, dia berada pada usia yang sukar mengubah permainannya. Dia adalah dirinya dan dia amat bagus dengan kualiti yang ada padanya. Jadi kami akan belajar dan membantu permainannya, kata Mourinho yang turut berkata kapten Chelsea, John Terry bernasib baik terlepas daripada kecederaan serius selepas menerima terjahan keras pemain Inter, Hugo Campagnaro.
Kemenangan dalam Kejuaraan Antarabangsa Guinness memastikan Mourinho mengekalkan kemenangan 100 peratus dalam perlawanan pra musim namun berkata:
Apa maknanya dengan memenangi perlawanan ini? Tidak banyak, katanya.
Agensi

Jumaat, 26 Julai 2013

Mourinho puas hati



MOURINHO berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang aksi pra-musim Jelajah Asia 2013.


JAKARTA - Pengendali Chelsea, Jose Mourinho berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang aksi pra-musim Jelajah Asia 2013.

Skuad The Blues melengkapkan tiga siri perlawanan persahabatan dengan membelasah Indonesia All-Stars 8-1 semalam selepas menewaskan Harimau Malaya 4-1 dan Singha All-Star XI di Thailand 1-0, masing-masingnya pada 21 serta 17 Julai lalu.

Penyerang Belgium, Romelo Lukaku yang dipinjamkan ke West Bromwich Albion musim lalu, paling mencuri tumpuan apabila meledak empat gol sepanjang tiga perlawanan tersebut.

Kecemerlangan Lukaku pasti melegakan Mourinho dan pengurus yang lebih dikenali dengan The Special One itu tidak perlu risau sekiranya mereka gagal mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.

"Ketika ini, seperti anda semua sedia maklum, kami telah melakukan apa yang termampu untuk mengemukakan tawaran.

"Namun, selebihnya saya hanya menunggu keputusan pihak di sana (Manchester). Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pemain-pemain yang saya miliki sekarang," jelas Mourinho.

Dalam pada itu, kunjungan Mourinho ke Bangkok, Kuala Lumpur dan Jakarta tidak disertai enam pemain senior.

Senarai pemain yang tidak menyertai siri jelajah itu ialah trio Sepanyol, Fernando Torres, Juan Mata dan Cesar Azpilicueta, dua tonggak Brazil, David Luis dan Oscar serta pemain Nigeria, John Obi Mikel.

Mourinho berkata, beliau optimis masalah jentera serangan Chelsea sudah selesai selepas menyaksikan prestasi meyakinkan yang dipamerkan oleh Lukaku dan Demba Ba.

"Saya pasti, Fernando (Torres) gembira dengan situasi tersebut. Selepas dia hanya keseorangan musim lalu, saingan untuk merebut posisi penyerang utama akan menjadi lebih sengit musim depan.

Dua pemain muda skuad The Blues yang menyinar sepanjang dua aksi sebelum ini, Andre Schurrle serta Kevin de Bruyne tidak bermain pada aksi ketiga kerana mengalami kecederaan ketika menentang Malaysia minggu lalu, namun mereka dijangka pulih minggu depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 22 Julai 2013

Pemain bola sepak perlu bijak merancang kerjaya, bina karakter, imej

KEKUATAN mental dan fizikal setiap pemain bola sepak Liga Malaysia sekali lagi akan diuji.

Persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia terus dilakukan setiap pasukan sepanjang Ramadan sebelum wisel saingan Piala Malaysia ditiup dua minggu selepas menyambut Syawal.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ini akan memberi sedikit tekanan kepada pemain ketika latihan dan menguji kebijaksanaan jurulatih menyusun program latihan ketika semua pemain-pemain beragama Islam menjalani ibadah puasa.

Tidak terkecuali, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal memanggil pemain terpilih untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Chelsea dan Barcelona di samping mempersiapkan pasukan untuk mencari ramuan taktikal dan strategik serta persefahaman pemain sebelum pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2015 diteruskan.

Namun, lebih menarik untuk saya ketengahkan ialah perbezaan 'karakter' dua jurulatih iaitu Rajagobal dan Jose Mourinho. 

Ini boleh dinilai ketika kedua-dua jurulatih melakukan sidang media beberapa hari sebelum pertemuan kedua-dua pasukan semalam. 

Sudah tentu dengan kembalinya Jose Mourinho kepangkuan Chelsea akan memberi erti kepada pemain dan peminat-peminat Chelsea di seluruh dunia. 

Kelihatan 'X faktor' dalam diri Mourinho begitu terserlah, setiap gerak-gerinya akan mendapat perhatian dan setiap perkataan daripada mulutnya juga dinanti-nantikan. 

Jawapan yang diberikan begitu yakin, termasuklah pandangan diberikan beliau tentang seseorang pemain itu perlu menunjukkan aksi yang konsisten dan kerap bermain dalam kelab layak bermain untuk pasukan kebangsaan mereka.

Begitu juga dengan sikap ketegasannya dalam ketepatan waktu, apabila meninggalkan sidang media baik sahaja masa yang diberikan tamat walaupun pada ketika itu beberapa jurugambar sedang sibuk menjalankan tugas. 

Inilah karakter yang akan memberi kesan mendalam kepada pemain-pemain apabila seseorang jurulatih itu mempunyai nilai integriti begitu tinggi.

Peluang begini perlulah diambil kesempatan oleh setiap jurulatih, pemain serta pegawai pasukan untuk dipelajari serta membuat kajian daripada seseorang yang berjaya dalam merealisasikan impian dan kerjayanya dalam urus tadbir diri.

Selain itu juga, kita boleh menjadikan satu contoh atas kejayaan seorang pemuda Vietnam, Vu Xuan Tien lebih dikenali dengan 'The Running Man' ketika berlari mengejar bas pasukan kegemaran beliau iaitu Arsenal sejauh 5 kilometer hanya untuk mendapatkan tandatangan pemain Arsenal ketika baru sahaja menjejakkan kaki di Vietnam dalam jelajah Asia yang mendapat liputan meluas media antarabangsa setelah video dimuat turun di youtube oleh penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.
Pepatah Melayu ada menyatakan 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. 

Begitulah mesej yang dapat kita pelajari daripada pemuda Vietnam ini, tidak ada kejayaan datang dengan mudah sekiranya kita tidak berusaha. 

Namun, lebih menarik tentang kejadian ini, terselindung satu nilai 'pemasaran' daripada Xuan Tien.
Setiap perancangan dan strategi dalam melakukan pemasaran amat penting. 

Ini perlu dipelajari setiap pemain-pemain bola sepak di negara kita, bagaimana cara menarik perhatian peminat, penaja dan kelab selain daripada persembahan yang konsisten, berkualiti serta bermutu. 

Mereka perlu bijak membina karakter dan imej dalam diri sendiri baik di dalam serta luar padang.
Ini akan mencerminkan seseorang pemain itu bijak merancang kerjayanya serta dipandang hormat.
Dalam era bola sepak profesional pemain perlu mengambil kesempatan di atas sambutan kemeriahan daripada peminat dan pihak media untuk menarik penaja bagi menambah pendapatan menjamin masa depan. 

Utusan Malaysia

Moyes lancar 'perang dingin'


MOYES pantang diganggu.


SYDNEY - Pengurus baharu Manchester United, David Moyes bersedia melancarkan perang dingin dengan pengendali Chelsea, Jose Mourinho selepas The Special One itu menyatakan minat kepada penyerang United, Wayne Rooney.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Mourinho bersedia menawarkan bidaan sekitar £40 juta (RM195.1 juta) untuk membawa Rooney ke Stamford Bridge namun juara Liga Perdana England itu menegaskan bahawa Rooney bukan untuk dijual.

Dalam pada itu, Moyes memenangi aksi pertamanya selaku pengurus baharu United sejak menggantikan Alex Ferguson selepas menewaskan pasukan Australian A-League All Stars di sini kelmarin.

Menurut Moyes, misi utama dalam siri jelajah pra-musim Asia itu bukanlah mencatat kemenangan tetapi mencari keserasian dalam pasukan sebelum sepak mula liga bermula Ogos depan.

Dalam sidang akhbar selepas aksi tersebut, Moyes kekal mengunci mulut berhubung situasi terkini Rooney serta hasrat kelab itu memancing arkitek Sepanyol serta Barcelona, Cesc Fabregas.
"Saya masih tiada berita terbaharu sejak kali terakhir kita bercakap sebelum ini (Jumaat).

"Saya juga sebenarnya tiada apa-apa untuk diceritakan mengenai situasi terkini sama ada positif atau negatif," kata Moyes.

Sementara itu, media Scotland turut menggesa Moyes menjelaskan mengenai hasratnya melancarkan perang psikologi dengan Mourinho.

"Loghat anda sama seperti saya dan saya pasti anda dari Glasgow. Tetapi, jika anda dari Glasgow, anda pasti suka mendengar perkara seperti ini," kata Moyes.

Sementara itu, media Britain pula melaporkan United bersedia meningkatkan tawaran untuk membawa bekas kapten Arsenal, Fabregas ke Old Trafford.

Sebelum ini, Moyes ada mengesahkan bahawa bersedia membida £26 juta (RM126.8 juta) bagi membawa pemain tengah Barcelona yang sentiasa memanaskan bangku simpanan musim lalu itu.
Esok, United dijadual bertemu kelab Jepun, Yokohama F. Marinos dalam rangka jelajah ke negara Matahari Terbit itu. - AFP

Sabtu, 20 Julai 2013

Jose Mourinho memiliki potensi

MOURINHO (tengah) mengendalikan sesi latihan Chelsea di Stadium Shah Alam semalam. Chelsea akan menentang Harimau Malaya malam ini.


PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho bersedia untuk mengisi tempat Alex Ferguson sebagai pengurus terulung dalam saingan Liga Perdana England.

Ketika menjejakkan kaki ke England, Mourinho diibaratkan seorang pengurus hingusan yang tidak tahu apa-apa.

Bagaimanapun, kepulangan semula ke Chelsea musim ini menyebabkan Mourinho yakin bahawa hanya beliau sahaja yang mampu menggantikan reputasi yang telah dicipta bekas pengurus Manchester United itu.

"Saya akan menjadi pengurus terulung dalam saingan Liga Perdana England.
"Perubahan besar dalam liga ialah pengurus terhebat (Ferguson) sudah tidak ada lagi.

"Beliau adalah pengurus yang sangat dihormati, dikagumi dan dipandang tinggi semua orang seperti bapa kepada liga di negara ini.

"Namun, beliau sudah tiada dan bagi saya, ini adalah masa untuk mengubahnya.
"Kini, saya adalah antara pengurus yang banyak menghabiskan masa dalam bola sepak, satu-satunya pengurus yang telah memenangi trofi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana England.

"Jadi, saya ada lebih banyak tanggungjawab untuk dipikul sebagai seorang pengurus yang berpengalaman.

"Begitupun, dalam aspek lain iaitu kelakuan, sokongan di UEFA, saya rasa sikap hormat dan tanggungjawab saya semakin kuat serta ia perlu dibawa ke arah lebih positif," ujarnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 16 Julai 2013

Chelsea sedia hadapi gelora Asia



DARI kiri, Ramires, Victor Moses, Mourinho dan Ivanovic memberi penghormatan kepada peminat Chelsea sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok minggu lalu.


TONGGAK pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic mengakui Jelajah Asia 2013 menjadi medan terbaik buat skuad The Blues bagi menghadapi kempen Liga Perdana England musim depan.

Justeru, Ivanovic, 29, berkata, pertemuan menentang beberapa pasukan dalam jelajah tersebut sudah pasti memberi gambaran awal buat pengurus, Jose Mourinho membentuk skuad yang mantap.

"Kami harus melakukan persiapan yang lebih baik sebelum saingan Liga Perdana England bermula bulan depan.

"Apa yang kami ikuti dalam setiap sesi latihan amat penting kerana ia akan membantu kami lebih bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan nanti," kata Ivanovic pada sidang akhbar di Hotel Shangri-La, Bangkok semalam.

Chelsea akan memulakan aksi pertama Jelajah Asia 2013 dengan menentang Singha All Stars dari Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok hari ini sebelum bertemu Harimau Malaya di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kemudian anak-anak buah Mourinho dijadual menentang skuad Pilihan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Julai.

"Kami harus bekerja dengan lebih keras untuk menghadapi perlawanan-perlawanan dalam Jelajah Asia kali ini bagi memantapkan lagi mutu permainan kami," jelas Ivanovic.

Mengulas mengenai latihan sejak tiba di Bangkok Jumaat lalu, Ivanovic mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya segera menyesuaikan diri terutama dengan keadaan cuaca.

"Ini bukan kali pertama kami berada di Thailand dan semuanya berjalan dengan lancar, cuma kami masih sukar dengan keadaan cuaca," tambahnya.

Sementara itu, Mourinho memuji kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya ketika sesi latihan sejak beliau tiba di Stamford Bridge minggu lalu.

"Sudah seminggu kami menjalani latihan bersama dan ini bermakna sudah 14 sesi latihan. Jadi sudah 21 jam kami bekerja keras dengan latihan yang berintensiti tinggi.

"Memang pemain-pemain nampak letih tetapi kami tidak risau kerana ia perkara biasa yang dialami mereka selepas seminggu berlatih. Waktu ini memang nampak sukar tetapi tidak ada seorang daripada mereka mahu berhenti dan berehat.

"Para pemain menunjukkan semangat mereka. Bagi saya jika ia berterusan, mereka mampu mengejar apa yang mereka mahukan," jelas Mourinho.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Ahad, 14 Julai 2013

Ingat Chelsea, ingat Mourinho


LONDON - Bekas tonggak pertahanan Manchester United, Gary Neville melaungkan amaran terhadap kesemua pencabar utama Chelsea dalam saingan Liga Perdana England (EPL) musim depan.

Menurut Neville, dia percaya The Blues bakal tampil lebih hebat selepas kembali dikendalikan Jose Mourinho.

Justeru, Neville menasihatkan kesemua pencabar kelab London itu termasuk United supaya tidak keciciran mata pada permulaan musim.

"Mana-mana pasukan tidak boleh ketinggalan jauh di belakang Chelsea kerana Mourinho bijak mengendalikan tekanan sedemikian seperti mana ketika musim 2004-2005.

"Meskipun mula mencipta nama bersama Porto, Mourinho kini memiliki skuad yang terbaik bersama Chelsea," kata Neville.

Kali ini, Mourinho dikatakan lebih menumpukan perhatian terhadap pembangunan pemain muda Chelsea.

Beliau hanya mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Mark Schwarzer, Andre Schurrle dan Marko van Ginkel.

Namun, Neville percaya Chelsea mampu mencabar jika berjaya memburu seorang lagi penyerang prolifik.

"Chelsea sentiasa menjadi pencabar utama sejak beberapa musim kebelakangan ini.
"Namun dengan kehadiran Mourinho, saya percaya mereka pasti lebih hebat.

"United telah mempelajari sesuatu ketika Chelsea dikendalikan Mourinho sebelum ini, jadi kami tidak harus mengulangi kesilapan kali ini," kata Neville. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my