Memaparkan catatan dengan label Tennis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tennis. Papar semua catatan

Rabu, 4 September 2013

Li Na bertemu Serena


LI NA mara ke separuh akhir Terbuka AS buat pertama kalinya kelmarin.


NEW YORK - Pemain pilihan kelima, Li Na dari China menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2013 buat pertama kalinya kelmarin.

Juara Terbuka Perancis 2011 berusia 31 tahun itu menewaskan Ekaterina Makarova dari Rusia 6-4, 6-7, 6-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung selama dua jam 20 minit di Stadium Arthur Ashe.

Li Na tampil dengan aksi cemerlang pada awal set pertama untuk mendahulu 4-2, namun tewas lima daripada enam mata terakhir, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke set ketiga.

"Saya sangat gembira. Selepas tewas pada set kedua, saya agak kecewa kerana saya telah mendahului 4-2 tetetapi saya sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya memberikan pukulan yang terbaik untuk meraih mata," kata Li Na.

Begitupun, Li Na berdepan tugas getir pada aksi kelompok empat pemain terbaik kerana dia perlu berdepan juara bertahan, Serena Williams yang kini mempunyai misi untuk merangkul gelaran kelima pada kejohanan Grand Slam di laman sendiri itu.

Pemain No. 1 dunia dan pilihan pertama kejohanan itu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan ke-18 dari Sepanyol, Carla Suarez Navarro 6-0, 6-0.

"Saya akan berehat dengan tenang sambil makan kentang goreng dan menonton (televisyen) selepas ini," kata Li Na ketika diminta mengulas mengenai persiapannya untuk menghadapi Serena.

Sementara itu, Makarova yang membuat kejutan dengan menewaskan Serena pada pusingan keempat Terbuka Australia tahun lalu mengakui perasaan gementar menjadikan corak permainannya lebih agresif.

"Saya gugup. Saya harap dapat bermain dengan lebih baik lagi pada kejohanan akan datang," kata Makarova.

Dalam pada itu, pemain Belarus, Victoria Azarenka mara ke suku akhir selepas menewaskan Ana Ivanovic dari Serbia 4-6, 6-3, 6-4 dalam satu perlawanan yang ditunda ekoran hujan.

Azarenka yang tewas kepada Serena pada aksi final Terbuka AS tahun lalu akan bertemu pemain Slovakia, Daniela Hantuchova bagi memburu slot separuh akhir.

"Dia (Hantuchova) bermain tenis sepanjang hidupnya. Dia bermain dengan baik dan memiliki keyakinan yang tinggi. Jika pertarungan itu menjadi sengit, ia bukan satu kejutan," ujar Azarenka. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

'Raja tanah liat' peminat Dragon Ball


JIKA ditanya siapakah 'Raja Tanah Liat' sepanjang abad dalam sejarah dunia tenis, siapa lagi kalau bukan pemain dari Sepanyol, Rafael Nadal yang memegang rekod paling lama memenangi kejuaraan di gelanggang tanah liat terkenal, Monte-Carlo Masters sebanyak lapan kali berturut-turut dari tahun 2005 hingga 2012.

Bertambah istimewa, dia merupakan pemain kedua selepas Andre Agassi yang memenangi 'Career Golden Slam' dalam dunia tenis kerana berjaya meraih empat kejohanan Grand Slam seperti Terbuka Australia, Terbuka Amerika Syarikat, Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon serta meraih pengat emas di Sukan Olimpik.

Dinilai aksi di atas gelanggang, Nadal adalah pemain yang cukup liat untuk dikalahkan kerana mempunyai kepantasan untuk membalas pukulan dan cukup rajin untuk bergerak.

Atas sebab itu, CNN pernah menggelarnya pemain berusia 27 tahun ini berasal dari planet lain kerana teknik permainan yang ortodoks dan ia ada kemungkinan ia kaitan minatnya terhadap watak Goku dalam rancangan kartun Dragon Ball yang menjadi inspirasi terbesar semasa zaman kanak-kanak.

Di sebalik kecemerlangan Nadal atas gelanggang, orang yang paling memberi sokongan di belakangnya selama ini adalah tiga wanita iaitu ibu, kekasih dan adik yang mengetahui lebih mendalam karakter Nadal apabila bersama orang tersayang.

Menurut ibunya, Ana Maria, Nadal seorang yang cukup sensitif terhadap persekitaran dan orang yang tidak dikenali selain tidak suka berada dalam persekitaran yang gelap.

"Jika mengenalinya, dia seorang yang cepat curiga dan bukan mudah untuk berbaik dengan mereka yang tidak dikenali. Selain itu, dia tidak suka tinggal dalam keadaan gelap dan pasti akan membuka televisyen atau lampu ketika sedang tidur malahan tidak selesa dengan bunyi guruh.

"Semasa kecil, dia pernah tinggal di bawah kerusi kerana terlalu takut dan sehingga sekarang, perangainya masih sama," kata ibunya.

Bagi teman wanitanya yang telah bersama semenjak 2005, Maria Francisca Perello, Nadal seorang yang mahukan lebih banyak ruang untuk bersendirian apabila bertanding di mana-mana kejohanan dan tidak gemar diganggu dengan perkara lain.

''Jika dia beraksi dalam mana-mana pertandingan, saya hanya bersikap tunggu dan lihat jika mahu keluar ke mana-mana bersamanya namun dia lebih berseorangan, jika saya seorang terlalu gemarkan mengikutnya ke mana sahaja, sudah pasti perhubungan kami telah lama berakhir," katanya

Paling menarik, Nadal adalah seorang abang yang cukup mengambil berat mengenai adiknya, Maribel Nadal, yang turut berkongsi pengalaman semasa abangnya berada di Australia yang menunjukkan Nadal bukanlah seorang yang lupa diri walaupun pelbagai kejayaan telah ditempa sepanjang bergelar pemain terhebat dalam dunia tenis.

"Pada satu hari, doktor ada menyuruh saya datang untuk melakukan sedikit ujian kesihatan, tiada apa yang serius, namun Nadal terlalu risau seolah-olah saya mendapat sakit yang teruk, jika saya menceritakan segalanya mungkin dia menarik diri daripada kejohanan yang disertainya ketika itu.

"Satu lagi, walaupun dia ada berjumpa dengan rakan- rakannya, dia pasti akan membawa saya sekali biarpun ada orang mungkin itu sebagai satu yang pelik namun itulah rahsia hubungan kami cukup erat sekali," katanya terhadap Nadal yang juga penyokong setia kelab bola sepak gergasi Inggeris, Real Madrid dan pasukan kebangsaan Sepanyol.

Sepanjang kariernya setakat ini, Nadal juga salah satu dari dua pemain di dalam sejarah yang memenangi sekurang-kurangnya dua kejohanan Grand Slam di atas tiga permukaan berbeza. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 13 Julai 2013

Nadal janji bangkit

NADAL bakal menebus kegagalannya di Wimbledon dengan berjanji untuk bangkit di Terbuka AS, Ogos ini.


STUTTGART, Jerman - Rafael Nadal (gambar) optimis akan bangkit semula pada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas tewas mengejut di pusingan pertama Wimbledon. 

Kekalahan pemain berusia 27 tahun itu kepada pemain Belgium, Steve Darcis pada hari pertama kejohanan, turut dikaitkan dengan kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini. 

Bagaimanapun, jurulatihnya, Toni Nadal menegaskan, juara grand slam 12 kali itu sudah kembali pada tahap sebenar dan akan memulakan latihan dalam masa terdekat untuk menghadapi Terbuka AS yang membuka tirai pada 26 Ogos nanti. 

"Nadal akan kembali. Dia tidak ada masalah bermain di gelanggang keras," tegas Toni yang juga merupakan pakcik kepada pemain No. 4 dunia itu. 

"Kini, Nadal hanya memberi tumpuan terhadap latihan fizikal. Tempoh berehat ini amat penting kerana dia menyertai begitu banyak kejohanan sepanjang tahun," tambah Toni. 

Toni juga menjelaskan Nadal akan kembali ke Jelajah ATP dengan menyertai Montreal Masters, diikuti Cincinnati sebelum Terbuka AS. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Murray mahu jadi United sukan tenis

andy Murray (kanan) bersalam dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron di London, semalam pada majlis meraikan kejayaannya memenangi kejohanan Wimbledon dengan mengalahkan Novak Djokovic pada final Ahad lalu. - AFP
 
LONDON - Andy Murray mahu menjadi ‘Manchester United dalam sukan tenis’ dengan bantuan Alex Ferguson.

Juara Wimbledon itu berkata: “Alex seorang yang menakjubkan. Anda boleh belajar banyak daripadanya. Dia berkata kepada saya bahawa dia membina pasukan berasaskan konsistensi dan tumpuan."

Kini Murray mahu menjadikan dirinya seperti ‘mesin trofi’ seperti mana kejayaan United sepanjang 26 tahun di bawah Fergie, sebelum bersara baru-baru ini.

Tambah Murray: “Alex mempunyai etika kerja yang menakjubkan sepanjang bersama United.
“Jika anda fokus di sepanjang perlawanan, anda akan mendapat konsistensi. Itulah yang saya cuba lakukan di sepanjang kejohanan.

“Dia melakukannya di sepanjang kariernya. Dia memenangi begitu banyak kejayaan sepanjang kariernya sebagai pengurus."

Murray berbual selama 20 minit dengan Fergie minggu lalu dan legenda Old Trafford itu menghantar ucapan tahniah kepada Murray selepas mengalahkan Novak Djokovic dalam perlawanan akhir kejohanan Wimbledon.

Murray akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat bulan depan.
Untuk kejohanan tersebut, Murray berkata: “Saya harus menggunakan kejayaan menawan Wimbledon sebagai semangat.

“Matlamat saya ialah untuk memenangi lebih banyak kejohanan Grand Slam. Anda akan dikenang kerana kejayaan memenangi kejohanan Grand Slam." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

'Jangan sia-siakan kejayaan saya'

LONDON - Andy Murray memberikan amaran kepada Persatuan Tenis Britain.

Murray, 26, berkata, Britain mungkin terpaksa menunggu selama 77 tahun lagi untuk menjulang trofi Wimbledon sekiranya mereka mempersia-siakan keuntungan yang diperoleh daripada kejohanan itu.
Murray muncul pemain pertama Britain sejak Fred Perry pada 1936 yang memenangi gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu selepas mengalahkan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic 6-4, 7-5, 6-4 kelmarin.

Namun, di sebalik sorakan dan ucapan tahniah yang diberikan bintang Hollywood kepada Ratu Elizabeth, Murray mengakui bahawa sukan tenis di Britain masih ketinggalan.

Pemain No. 2 dunia dari Scotland itu adalah satu-satunya pemain Britain yang berada dalam ranking 200 pemain terbaik dunia.

James Ward berada di kedudukan ke-219, Daniel Baker (255), manakala Alex Bogdanovic di ranking ke-275 dunia.

Hanya Ward yang berusia 26 tahun dan pemain remaja kelahiran Afrika Selatan, Kyle Edmund yang beraksi pada Wimbledon, namun kedua-duanya tersingkir di peringkat pertama lagi.

Meskipun Wimbledon mencatat keuntungan 56.2487 juta pound (RM268.826 juta) pada 2012, wang tersebut disalurkan kepada perkembangan sukan lain di negara itu.

"Saya harap, kami tidak perlu menanti selama ini lagi. Ini satu kejohanan tenis yang sukar untuk dimenangi. Jadi, masih ada kemungkinan kami terpaksa menantinya untuk satu tempoh yang lama.

"Saya rasa dengan jumlah wang yang dilaburkan dalam sukan di negara ini, ia tidak sepatutnya mengambil masa lebih 70 tahun untuk pemain Britain menjuarainya," kata Murray.

Murray menghabiskan kebanyakan masanya di luar Britain untuk menjalani latihan di Sepanyol ketika masih remaja.

Dia percaya, kejayaan di Wimbledon dan pengalamannya selama ini mengajarnya menjadi lebih tabah, rajin serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada Persatuan Tenis Britain.
"Saya rasa, saya seorang yang rajin. Itulah rahsianya dan mungkin itulah kisah hidup karier saya.

"Saya telah merasai banyak kekalahan tetapi saya rasa, saya semakin meningkat setiap tahun," kata Murray.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 5 Julai 2013

Murray berhempas pulas


Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk
mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.


LONDON - Pemain No. 2 dunia, Andy Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk menewaskan Fernando Verdasco pada aksi suku akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.

Murray menewaskan pemain ranking ke-54 dunia dari Sepanyol itu 4-6, 3-6, 6-1, 6-4, 7-5 dalam satu pertarungan yang mendebarkan selama hampir tiga jam setengah, sekali gus mencerahkan peluang menjadi pemain pertama Britain muncul juara sejak 1936.

Pemain pilihan kedua tersebut dijadualkan berdepan pemain Poland, Jerzy Janowicz pada separuh akhir hari ini selepas pemain pilihan ke-24 itu menumpaskan rakan senegara, Lukasz Kubot straight set 7-5, 6-4, 6-4.

"Saya berjaya mengharungi satu perlawanan yang sangat mencabar. Keputusan boleh menjadi sebaliknya. Saya dapat mencari jalan melepasinya dan itu sahaja yang diperlukan.

"Saya mula bermain dengan baik dan tidak terburu-buru apabila mendapat peluang.

"Pada penghujung permainan, suasana di sini sangat menakjubkan. Sesuatu yang hebat apabila berjaya melepasi halangan ini," kata Murray selaku juara Terbuka Amerika Syarikat dan Olimpik.

Selepas pencabar terdekat, Roger Federer, Rafael Nadal dan Jo-Wilfried Tsonga tersingkir awal daripada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu, para peminat dan media Britain meletakkan harapan yang besar kepada pemain berusia 26 tahun itu.

"Saya mengetahui betapa hebatnya pemain ini (Verdasco) meskipun ramai yang berkata dia tidaklah sehebat mana," kata Murray yang menganggap Verdasco sebagai pemain yang sangat berbahaya.

Pertarungan itu turut mendebarkan hati lebih daripada 15,000 penonton yang memenuhi gelanggang utama Kelab Seluruh England itu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 27 Jun 2013

'Hari gila Wimbledon'

Maria Sharapova tergelincir ketika menentang Michelle Larcher De Brito pada kejohanan Wimbledon, semalam. - REUTERS 
 
LONDON - 'Raja Wimbledon', Roger Federer dan Maria Sharapova mengalami kejutan apabila kalah pada pusingan kedua kepada lawan yang menduduki ranking di luar kelompok 100 dunia pada hari penuh dramatik yang menyaksikan tujuh pemain menarik diri.

Pilihan kedua, Victoria Azarenka, pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga malah Steve Darcis, pemain yang mencatat kejutan terbesar menyingkirkan Rafael Nadal pada hari pertama kejohanan, antara pemain yang menarik diri akibat kecederaan.

Ketika semakin ramai calon juara yang kecundang, malah sesetengahnya menarik diri sebelum memulakan perlawanan, pemain tuan rumah, Andy Murray lega apabila mengelak kejutan setelah menang pusingan kedua ke atas pemain Taiwan, Lu Yen-Hsun.

Harapan Murray untuk menjadi calon juara semakin cerah selepas ketiadaan Nadal, Federer dan pemain pilihan keenam, Tsonga.

Sehari selepas aksi yang menyaksikan Federer tergelincir, terjatuh dan mengalami sakit bahu serta lutut, juara tujuh kali itu dijangka menang mudah apabila masuk ke gelanggang menentang pemain Ukraine, Sergiy Stakhovsky.

Tiga jam kemudian, apa yang disifatkan bekas juara, John McEnroe sebagai 'hari paling gila', impian Federer untuk merangkul kejuaraan kelapan berakhir.

Melakukan servis cara lama, juga gaya pukulan voli yang sepatutnya tidak lagi dimainkan, pemain berusia 27 tahun yang menduduki ranking ke-116 dunia, menang 6-7(5), 7-6(5), 7-5, 7-6(5) untuk menyekat pilihan ketiga, Federer daripada mara ke suku akhir 36 kali berturut-turut pada kejohanan grand slam.

"Saya masih tidak percaya. Saya mempamerkan aksi terbaik dalam permainan saya. Apabila anda berdepan Roger Federer, ia umpama anda menentang dua orang pemain," kata Stakhovsky.

Pilihan ketiga, Sharapova pula kalah kepada pemain Portugal, Michelle Larcher de Brito namun gagal mengatasi pemain dari pusingan kelayakan itu akibat kerap tergelincir dan kalah 6-3, 6-4.
Sharapova memerlukan rawatan selama 10 minit akibat terjatuh dan menyifatkan permukaan gelanggang 'merbahaya'.

"Saya rasa tidak pernah terjatuh dalam perlawanan dalam karier saya, jadi ini menimbulkan keraguan," kata Sharapova.

Pilihan kesembilan, Caroline Wozniacki juga terjatuh ketika kalah kepada pemain Republik Czech, Petra Cetkovska manakala pilihan kedua, Azarenka tidak sempat untuk memulakan perlawanan menentang pemain Itali, Itali, Flavia Pennetta kerana kecederaan lutut kerana terjatuh ketika perlawanan pusingan pertama.

Tsonga pula tidak menyalahkan gelanggang akibat kecederaan lutut yang memaksa dia menghentikan perlawanan ketika menentang pemain Latvia, Ernests Gulbis manakala pemain Republik Czech, Radek Stepanek juga menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan kepada pemain Poland, Jerzey Janowicz. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 18 Jun 2013

Radwanska tidak gentar




EASTBOURNE, England - Pemain No. 4 dunia, Agnieszka Radwanska (gambar) semakin yakin untuk meraih gelaran juara pada Kejohanan Tenis Wimbledon, 24 Jun hingga 7 Julai depan.

Radwanska, 24, memperoleh keyakinan itu selepas mara ke final pada musim 2012. 

Pemain kelahiran Poland itu memberikan cabaran yang sengit kepada pemain No. 1 dunia, Serena Williams pada final tahun lalu.
"Bercakap mengenai perlawanan akhir itu, tekanan sangat tinggi dan bagi saya, ia adalah hari terbesar dalam karier saya.

"Situasinya sangat berbeza berbanding final lain yang pernah saya lalui. Saya tidak kisah sama ada menang atau kalah kerana berada di pentas final kejohanan Grand Slam adalah satu pengalaman yang menakjubkan dalam hidup saya terutama bermain di gelanggang rumput," kata Radwanska menjelang kejohanan Grand Slam di Kelab Seluruh England itu.

Radwanska mengakui, dia akan berhati-hati untuk menghadapi kejohanan tahun ini selepas mengalami sakit tekak akibat jangkitan pada final tahun lalu.
"Saya sangat gementar dan sehari sebelum perlawanan, semuanya berada dalam keadaan tertekan. Sudah tentu terlalu banyak tenaga diperlukan. 

"Bagaimanapun, kali ini saya tahu apa yang perlu difikir dan dilakukan apabila berada dalam gelanggang. Saya lebih tenang. 

"Namun, ia tidak menghalang saya untuk berada dalam keadaan sedikit tertekan kerana bukan mudah mempertahankan status sebagai pemain yang mara ke final," kata Radwanska.

Beraksi buat pertama kalinya di gelanggang rumput pada usia 16 tahun, Radwanska berjaya meraih gelaran juara remaja Wimbledon pada 2005 dan sejak itu, gelanggang rumput menjadi kegemarannya. 

"Saya sangat teruja bermain di gelanggang Kelab Seluruh England dan sebagai persediaan, saya melakukan latihan kecergasan serta lain-lain untuk menghadapi kejohanan Grand Slam ini," katanya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 12 Mei 2013

Serena belasah Sharapova


MADRID - Serena Williams mengukuhkan statusnya sebagai pemain No. 1 dunia dengan menewaskan Maria Sharapova untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Madrid. 

Pada aksi akhir semalam, Serena menundukkan pemain No. 2 dunia itu 6-1, 6-4, sekali gus melengkapkan kemenangan ke-50 dalam kariernya. 

"Terima kasih kepada semua. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini," ujar Serena yang mempertahankan rekod tanpa kalah ke atas Sharapova dalam 12 pertemuan sejak 2004. 

Sementara itu, Sharapova menyifatkan kekalahan ke atas Serena sebagai petanda untuknya untuk terus bekerja keras dalam menentang pemain No. 1 dunia itu. 

"Ia amat istimewa buat saya dan secara jujur, saya berharap dapat bermain lebih banyak pusingan. 

"Bagaimanapun, saya akan menunggu pertemuan seterusnya dalam kejohanan akan datang," ulas pemain dari Rusia itu. 

Serena yang pernah terlepas kedudukan sebagai ratu tenis dunia, menguasai gelanggang sejak permainan bermula dengan mendahului 4-0. 

Bagaimanapun, Sharapova yang enggan memberi kemenangan mudah kepada pemain dari Amerika Syarikat itu, bangkit pada permainan kelima sebelum sekali lagi hilang rentak permainan dan tewas dengan 6-1. 

Set kedua menyaksikan Sharapova berjaya mengikat kedudukan dengan 3-3 sebelum berjaya dibolosi Serena dengan corak permainan yang lebih agresif. 

Sharapova yang bermain di bawah tekanan memberi kelebihan kepada Serena untuk menamatkan saingan dengan 6-4 dalam masa satu jam 15 minit. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 18 Mac 2013

Sharapova tekad sekat Wozniacki


WOZNIACKI bersedia hadapi ancaman Sharapova.


INDIAN WELLS, California - Maria Sharapova sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan apabila turun beraksi menentang Caroline Wozniacki pada final Kejohanan Tenis Masters Indian Wells.

Wozniacki, sama seperti Sharapova, merupakan bekas pemain No. 1 dunia dan bekas juara di Indian Wells.
Pemain dari Denmark itu terkenal dengan corak permainan yang berbeza dan gemar membuat hantaran ke garisan belakang, sekali gus menyukarkan lawannya untuk melakukan pukulan balas.

"Dia seorang pemain yang sukar untuk ditewaskan," kata pemain pilihan kedua dari Rusia, Sharapova.
"Dia akan memaksa kamu bekerja keras di atas gelanggang dan banyak melakukan hantaran ke belakang serta menampilkan corak permainan yang berbeza.

"Sudah tentu saya tidak mahu memberinya ruang untuk bermain seperti itu kerana dia seorang pemain yang hebat.

"Dia amat berbahaya apabila memiliki peluang terbuka, dan dia juga akan memperdaya kamu di segenap gelanggang," katanya lagi.

Sharapova, juara edisi 2006 kejohanan ini, mara ke final selepas menang 6-4, 6-3 ke atas rakan senegara, Maria Kirilenko manakala pilihan kelapan, Wozniacki dipaksa berhempas pulas sebelum mara dengan kemenangan 2-6, 6-4, 7-5 ke atas pilihan keempat, Angelique Kerber dari Jerman.

Wozniacki, 22, yang menjuarai edisi 2011 dengan mengalahkan Marion Bartoli di final, mempunyai rekod kemenangan 2-4 yang tidak memihak kepadanya ketika ini.

"Corak permainannya sangat agresif, dia akan cuba membalas setiap pukulan," kata Wozniacki. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Li Na tetap yakin



LI NA memiliki pengalaman yang mencukupi untuk memburu gelaran Grand Slam.


HONG KONG - Finalis Terbuka Australia, Li Na yakin dia memiliki pengalaman yang mencukupi untuk mengatasi cabaran pemain generasi baharu dalam misi memburu gelaran Grand Slam.

Bekas juara Terbuka Perancis dari China itu masih segar dengan kekalahan kepada Victoria Azarenka pada final kejohanan Grand Slam pertama tahun ini di Melbourne minggu lalu.

Bagaimanapun, Li Na yakin dia mampu beraksi ditahap tertinggi selama dua tahun lagi.

Li Na yang berusia 31 tahun pada 26 Februari ini iaitu sama usia dengan juara 15 kali Grand Slam dari Amerika Syarikat, Serena Williams dianggap sudah tua dalam sukan yang dibarisi ramai pemain muda ini.

"Buat masa ini, saya sudah bermain sejak beberapa tahun lalu. Jadi, saya turut memperoleh pengalaman yang berguna.

"Saya juga tidak pernah berputus asa. Bagi saya, ini lebih penting dan sebab itu saya mampu beraksi di tahap tertinggi untuk tempoh beberapa tahun lagi," kata pemain No. 5 dunia itu.

Li Na mengetepikan cabaran Agnieszka Radwanska dan Maria Sharapova untuk menempah slot ke final di Australia.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialaminya sebanyak dua kali pada aksi final antara penyebab dia tewas kepada pemain No. 1 dunia dari Belarus itu.
 
Selain kejayaan beberapa pemain ternama, kejohanan tersebut turut menyaksikan kemunculan ramai pemain generasi baharu seperti kejutan yang dilakukan Sloane Stephens, 19, dari Amerika Syarikat ke atas rakan senegaranya, Serena pada aksi suku akhir.

Pemain Britain, Laura Robson, 19, meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga manakala Garbine Muguruza dan Madison Keys dilabel sebagai pemain yang akan menjadi bintang pada masa depan.
"Sudah tentu buat masa ini terdapat ramai pemain muda yang sedang meningkat naik. Mereka bermain dengan baik. Jadi, kamu tetap akan melihat sekumpulan pemain yang perlu bekerja keras.

"2013 sepatutnya menjadi tahun yang menarik buat semua pemain," kata Li Na yang melakar sejarah menjadi pemain pertama Asia memenangi gelaran Grand Slam dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Perancis 2011. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 14 Januari 2013

Serena pilihan terhangat



SHARAPOVA antara pemain yang turut diletakkan sebagai pencabar terkuat Serena.


MELBOURNE – Pemain Amerika Syarikat (AS) Serena Williams diletakkan sebagai pemain pilihan utama untuk bergelar juara apabila saingan kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia bermula hari ini.

Malah pencabar terdekatnya, Victoria Azarenka sendiri mengakui, Serena, 31, adalah pemain yang perlu ditewaskan mana-mana lawan yang berhasrat untuk muncul juara.

Apatah lagi, Serena ketika ini memiliki motivasi untuk bermain lebih baik kerana sedang memburu gelaran juara buat kali keenam di Melbourne nanti.

Memulakan kempen ke-13 di kejohanan ini, Serena yang masih segar daripada kejayaan merangkul kejuaraan di Brisbane minggu lalu, dijadual bertemu pemain Romania, Edina Gallovits-Hall pada perlawanan pembukaannya esok.

Namun berdasarkan prestasi semasa, tumpuan kepada Serena bukan sekadar untuk mengungguli Terbuka Australia tetapi kemampuannya untuk menyapu bersih kesemua empat kejohanan Grand Slam tahun ini.

“Ia satu matlamat yang terlalu besar untuk saya dicapai,” katanya ketika bercakap tentang memenangi kejuaraan di Terbuka Australia, Roland Garros, Wimbledon dan Terbuka AS dalam tahun yang sama seperti mana yang pernah dilakukan Steffi Graf pada 1988. 

“Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya. Mungkin orang lain boleh tetapi bagi saya, tunggu sahaja kerana ia sangat sukar diterjemahkan dengan kata-kata,” jelasnya. 

Juara Olimpik, Terbuka AS dan Wimbledon pada tahun lalu kini berada di separuh jalan untuk mengulangi semula kejayaan `Serena Slam’ yang dilakar pada 2002-2003 lalu.

“Saya rasa saya berada di tempat dan masa yang betul sekarang. Buat masa ini, saya bermain dengan baik. Saya harap dapat bermain dengan lebih cemerlang dan memperbaiki kelemahan saya,” tambah Serena. 

Juara 15 kali Grand Slam ini berada di belakang juara bertahan, Azarenka dan Maria Sharapova dalam senarai ranking dunia namun nekad mengubahnya sebaik saja musim perlawanan tahun ini bermula. 

Sementara itu, Azarenka yang menarik diri dari aksi separuh akhir Brisbane ketika menentang Serena gara-gara mengalami jangkitan pada ibu jari, gembira apabila pemain AS itu menjadi pilihan. 

“Perhatian beralih kepadanya dan ia membuatkan tekanan ke atas saya berkurangan,” ujarnya yang mengakui Serena bakal menjadi halangan terbesarnya untuk muncul juara. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Radwanska rangkul trofi kedua



RADWANSKA merangkul gelaran WTA kedua berturut-turut selepas menjuarai tenis Antarabangsa Sydney semalam.

SYDNEY - Pemain Poland, Agnieszka Radwanska merangkul gelaran WTA kedua berturut-turut selepas menewaskan Dominika Cibulkova dari Slovakia 6-0, 6-0 pada final kejohanan tenis Antarabangsa Sydney semalam.

Seminggu selepas melakar kemenangan di Auckland, Radwanska membuktikan statusnya selaku pemain pilihan pertama di Sydney dengan memenangi gelaran WTA ke-12 dalam karier.

Kemenangan itu turut membolehkannya melebarkan rekod kemenangan kepada sembilan perlawanan berturut-turut tahun ini.

Sudah pasti, kejayaan itu memberikan suntikan semangat kepada Radwanska untuk berdepan pemain kelayakan tuan rumah, Bojana Bobusic pada pusingan pembukaan Terbuka Australia, Isnin ini.

Bagaimanapun, Radwanska yang kelihatan gembira dengan kejayaan tersebut tetap menghormati lawannya itu.

Radwanska berkata, dia bersimpati dengan kekalahan Cibulkova yang menewaskan tiga pemain terbaik dunia sepanjang laluan ke final.

"Ini adalah sukan tenis dan perkara seperti ini sering berlaku," katanya.
"Begitupun, saya berasa sedih kerana dia (Cibulkova) sudah pasti tidak boleh menerima keputusan ini.
"Dua minggu yang sungguh menakjubkan. Saya memenangi dua gelaran dan masih belum tewas walaupun satu set. Sekiranya saya bermain seperti ini di Melbourne, saya akan berasa sangat gembira."

Sementara itu, pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson menempah slot ke final selepas menewaskan Julien Benneteau dari Perancis 3-6, 6-4, 7-6 (8) dalam kategori lelaki.

Anderson akan bertemu pemain Australia, Bernard Tomic yang mara ke final selepas menewaskan pemain pilihan ketiga Andreas Seppi dari Itali 7-6 (12/10), 6-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

"Kejohanan ini sudah lama dianjurkan dan saya akui ada pemain Afrika Selatan yang hampir berjaya mara ke perlawanan akhir.

"Pemain yang saya maksudkan ialah Wayne Ferreira. Jadi, saya berharap mampu mengatasi pencapaiannya pada kejohanan ini," kata Anderson. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my