Memaparkan catatan dengan label Badhri Radzi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Badhri Radzi. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Oktober 2013

Kelantan ke pentas final kali keempat

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
Kelantan ke pentas final kali keempat  
AHMAD Fakri Saarani (kanan) bersama Dickson Nwakaeme (20) meraikan gol kedua Kelantan jaringan Mohd Badhri Radzi (kiri) pada separuh akhir kedua bertemu Tentera. - Foto Fathil Asri
TRW bangkit pada saat akhir mara menerusi agregat 4-3

Kota Bharu: Kelantan memang gah apabila bangkit pada saat akhir untuk mengikat Tentera dengan keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) mara ke pentas final menerusi agregat 4-3.

Ikuti berita penuh kerancakan demam Piala Malaysia dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Rabu, 2 Oktober 2013

Saya tidak rugi apa-apa: Piya

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor 
Berita Harian 
 
Kota Bharu: “Saya tidak rugi apa-apa dan kali ini tidak kecewa sama sekali dengan tindakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal tidak memanggil saya menyertai skuad kebangsaan,” kata kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi semalam.

Beliau yang lebih dikenali dengan Piya percaya mungkin corak permainannya tidak menepati cita rasa pengendali berusia 57 tahun itu dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.
Perkara biasa

Mungkin corak permainan saya tidak menepati cita rasa Raja dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain" Mohd Badhri Radzi, Kapten Kelantan


“Tiada perasaan kecewa langsung, malah menganggap perkara seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan bagi seorang pemain profesional seperti saya.


“Seharusnya ketiadaan saya dalam skuad itu tidak perlu dijadikan isu,” katanya ketika mengulas namanya tiada dalam senarai 28 pemain yang diumumkan badan induk itu kelmarin.

Piya berharap peminatnya tidak akan mempertikaikan tindakan Rajagobal mengenepikannya kali ini, sebaliknya harus sentiasa memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya dalam menjamin tempat ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.
“Saya tidak perlu mengusutkan fikiran memikirkan perkara ini, sebaliknya harus fokus 100 peratus kepada pasukan Kelantan dalam menghadapi pertemuan getir suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini,” katanya.

Ahad, 1 September 2013

Mana Piya?

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
Mana Piya? Badhri Radzi
 
Rajagobal akui kapten Kelantan tiada dalam perancangan temu China

Kelana Jaya: Selepas mencetuskan kontroversi apabila gagal melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan 11 Julai lalu, nama Badhri Radzi langsung tidak tersenarai dalam senarai 24 pelatih skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China di Tianjin, Selasa depan.
Malah, jurulatih skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tidak menyenaraikan kapten Kelantan yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu dalam kalangan 14 pemain dalam senarai menunggu.


Ketika diajukan persoalan mengapa Piya tidak dipanggil dan berada dalam senarai menunggu, Rajagobal mengakui betapa Badhri memang tiada dalam perancangannya untuk perlawanan persahabatan itu.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Selasa, 13 Ogos 2013

Kelantan ukur keupayaan jumpa ATM

Oleh YATIMIN ABDULLAH

Bojan Hodak memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini menjelang sepak mula Piala Malaysia Selasa depan. 
 
KOTA BHARU - Aksi persahabatan antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini menjadi medan terbaik buat pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak mengukur keupayaan sebenar pasukannya.

Hodak berkata, pertemuan dengan ATM itu cukup penting buatnya untuk melihat segala kelemahan dan kekuatan pasukan menjelang sepak mula Piala Malaysia 20 Ogos ini.

Dia mengakui barisan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya pada pertemuan tersebut kerana ia merupakan persiapan terakhir pasukan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi tahun ini.

"Walaupun ia hanya aksi pemanas badan, namun saya yakin dan percaya pertemuan ini bakal berlangsung sengit dan para penonton bakal dihidangkan dengan corak permainan menarik sama ada dari Kelantan mahupun ATM.

"Mereka pasti akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan ini, begitu juga dengan The Red Warriors. Ini medan terbaik buat saya menguji sepenuhnya kekuatan pasukan untuk menghadapi saingan kali ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hodak memberitahu, perlawanan hari ini akan memberikan bayangan kepadanya untuk menyediakan ramuan terbaik bagi mengharungi kempen Piala Malaysia selepas mendapat semula khidmat beberapa tonggak utama yang bersama skuad negara baru-baru ini.

Katanya, dia berharap kesemua tonggak yang sebelum ini beraksi bersama pasukan kebangsaan bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya akan uji enam tonggak yang bermain bersama pasukan kebangsaan. Dari situlah saya akan buat penilaian siapakah yang betul-betul layak berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan," ujarnya.
Enam pemain tersebut ialah Azizi Mat Rose, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Mohd. Nor Farhan Mohamad, Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, The Red Warriors menerima khabar gembira apabila kaptennya Mohd. Badhri Radzi telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

"Saya gembira dia (Mohd. Badhri) sudah pulih. Dia cukup bersemangat ketika menjalani latihan dan bermain dengan cemerlang ketika menumbangkan T-Team 2-1 dalam aksi persahabatan sebelum ini.

"Jadi saya akan meletakkannya sebagai pemain utama untuk perlawanan malam esok (ini). Selain itu beberapa pemain yang sebelum ini cedera sudah pulih dan bersedia untuk diturunkan termasuk Indra Putra Mahyuddin, Zairul Fitree Ishak dan beberapa tonggak yang lain," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 17 Julai 2013

Pertembungan maruah

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PIYA optimis Kelantan mampu memberikan persembahan terbaik ketika menentang Tampines Rovers di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menganggap pertembungan menentang Tampines Rovers pada Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mirip kepada perhitungan maruah antara dua negara iaitu Malaysia dengan Singapura.

Badhri atau Piya berkata, meskipun bakal berdepan cabaran sengit daripada juara Piala FA Singapura itu, Kelantan akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada The Red Warriors.

"Kalau boleh, kami mahu jaga maruah negara. Saya melihat pertembungan ini bukan sekadar aksi antara kelab, malah ia lebih kepada mengembalikan semula maruah negara selepas kita menyerahkan kejuaraan Liga Super kepada Lions XII.

"Jadi, inilah peluang terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan tersebut dengan merangkul kejuaraan ini, sekali gus mengembalikan semula reputasi bola sepak negara," katanya semalam.
Kejohanan yang julung kali diperkenalkan oleh FAM dan FAS itu akan berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos depan.

Selain Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggalas tugas negara dan akan berdepan dengan juara Piala Singapura, Warriors FC.

Pertemuan antara Kelantan dengan Tampines Rovers akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan bakal kehilangan enam tonggak utamanya yang menggalas tugas bersama skuad Harimau Malaya iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Mat Rose, Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Shakir Shaari, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim dan Mohd. Nor Farhan Mohammad.

Mengulas mengenai kehilangan enam tonggak berkenaan, Piya mengakui, ia mungkin menjejaskan sedikit persiapan pasukan pada pertemuan tersebut.

Namun, dia optimis pengendali Kelantan, Bojan Hodak mempunyai ramuan tersendiri untuk mengekang asakan Tampines Rovers.

"Kita masih mempunyai beberapa tonggak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain tersebut. Inilah peluang terbaik buat pemain yang jarang beraksi untuk membuktikan kemampuan kepada jurulatih," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 15 Julai 2013

Piya lega FAM terima penjelasan

Mohd. Badhri 
 
KOTA BHARU - Ketua pasukan bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menarik nafas lega selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima alasan kecederaan dialaminya.

Isu kelewatan Badhri melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan selesai selepas doktor dan ahli fisioterapi FAM yang memeriksa mengesahkan dia mengalami kecederaan pangkal paha.

Mohd. Badhri atau Piya ketika dihubungi mengakui lega apabila isu itu selesai selepas mengemukakan laporan perubatan dan alasan kepada FAM.

Menurut Piya, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kerana dapat menerima penjelasan berhubung kecederaan dialaminya.

"Alhamdulillah isu ini telah selesai sepenuhnya. Saya harap tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul berhubung isu ini.

"Hasil pemeriksaan oleh doktor dan ahli fisioterapi FAM mendapati sememangnya terdapat kecederaan hamstring. Jadi doktor nasihatkan saya supaya berehat dan kembali menyambung rawatan selanjutnya di Kota Bharu," katanya ketika dihubungi semalam.

Isu Mohd. Badhri yang lewat melapor diri ke kem latihan skuad negara, hanya akan dianggap selesai setelah doktor dan ahli fisioterapi FAM memeriksa dan memastikan keadaan kecederaan ketua pasukan Kelantan itu.

Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin, sekali gus melupuskan kemungkinan sebarang tindakan tatatertib ke atasnya.

Perancang tengah Kelantan itu mengalami kecederaan itu pada perlawanan terakhir Liga Super antara Kelantan dengan Lions XII di sini yang menyaksikan dia terpaksa di usung keluar.

Dia yang memakai jersi nombor 16 ketika mewakili The Red Warriors bagaimanapun tetap memasang impian untuk menggalas tugas mengemudi jentera tengah Harimau Malaysia.
"Insya-Allah sekiranya kecederaan yang dialami ini pulih saya bersedia sepenuhnya untuk memerah keringat membantu pasukan kebangsaan.

"Saya bertekad mahu membuktikan bahawa pemilihan untuk mengemudi jentera tengah bukanlah satu kesilapan dengan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut," ujarnya.

Tambah Piya, dia begitu teruja dengan sokongan peminat yang mahu melihatnya mengemudi jentera tengah pasukan kebangsaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rajagobal izin Piya balik kampung



RAJAGOBAL kini dalam persiapan membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi beberapa aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal telah memberi kebenaran kepada kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi untuk pulang meneruskan rawatan terhadap kecederaannya di Kota Bharu, Kelantan.

Rajagobal memberitahu, beliau tidak akan menyenaraikan Badhri atau Piya untuk menjalani latihan di Jepun bermula 25 hingga 31 Julai ini.

Ini kerana pemain berusia 31 tahun itu mengalamai kecederaan hamstring sehingga memaksa dia berehat sekurang-kurang tiga minggu.

"Kami mengambil keputusan dengan membenarkan Piya menjalani rawatan di Kota Bharu di bawah pengawasan doktor yang pernah merawatnya sebelum ini.

"Pihak fisioterapi telah mengesahkan Piya mengalami kecederaan hamstring dan dia memerlukan rehat selama tiga minggu untuk pulih.

"Jadi saya telah membenarkan Piya pulang ke Kelantan. Saya tidak boleh mengambil sebarang risiko dengan membawanya menjalani latihan di Jepun bermula 25 Julai depan," kata Rajagobal kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, Rajagobal berharap aksi persahabatan menentang kelab Thailand, Chonburi FC bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain Harimau Malaya.

Beliau mahu skuad kendaliannya mencari rentak terbaik sebelum melayani kunjungan Chelsea di Stadium Shah Alam pada 21 Julai nanti.

Untuk rekod, Chonburi FC memiliki enam pemain kebangsaan Thailand iaitu Sinthaweechai Hathairattanakool, Adul Lahso, Anucha Kitpongsri, Natthaphong Samana, Jetsadakorn Hemdaeng dan Arthit Sunthornpit.

"Chonburi FC merupakan pasukan yang cukup kuat. Mereka memiliki ramai pemain kebangsaan Thailand.

"Sudah tentu mereka ghairah untuk menewaskan pasukan bertaraf kebangsaan dan mereka akan memberikan saingan sengit kepada kami.

"Jadi, saya mahu para pemain memberikan aksi terbaik malam esok (hari ini) dan ia adalah persiapan terbaik sebelum menentang Chelsea nanti," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 14 Julai 2013

Piya kemuka surat tunjuk sebab


BADHRI (kiri) bersama penolong pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar (kanan) memeriksa surat tunjuk sebab dan laporan perubatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di LTSIP, Pengkalan Chepa di Kota Bharu semalam.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu disalaherti oleh mana-mana pihak.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya semalam.

Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan tersebut.

"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.

"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.

Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.

Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.

Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.

"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata Piya.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Kecederaan hamstring punca tidak lapor diri Piya sedia jawab


PIYA bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM

berhubung kegagalannya melapor diri pada sesi latihan bersama skuad kebangsaan, Khamis lalu.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melapor diri pada sesi latihan bersama skuad kebangsaan, Khamis lalu.

Piya berkata, dia akan mengemukakan surat tunjuk sebab tersebut bersama dengan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super bertemu Lions XII pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan hamstring dan menasihatinya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan.

"Jika mahu surat tunjuk sebab, saya bersedia mengemukakannya bersama dengan laporan perubatan yang dibuat sebelum ini termasuk laporan pegawai fisioterapi pasukan.

"Sebelum ini, saya telah menghubungi penolong jurulatih (Tan Cheng Ho) bagi memaklumkan kecederaan yang dialami. Namun, dalam masa yang sama dia (Cheng Ho) menyuruh saya hadir dan membuat laporan.

"Namun, mengikut kata doktor yang membuat pemeriksaan sebelum ini, beliau menyuruh saya mengikuti sesi rawatan di sini (kota Bharu)," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sekiranya FAM masih belum puas hati dengan laporan itu, dia bersedia ke Kuala Lumpur untuk melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan.

Kosmo! semalam melaporkan, Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya bakal berdepan tindakan daripada FAM ekoran kegagalannya melapor diri untuk sesi latihan skuad Harimau Malaya yang bermula kelmarin.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, perancang The Red Warriors itu akan diberikan surat tunjuk sebab kerana masih tidak menyertai kem latihan tanpa memberi sebarang alasan.

Menurut Subahan, setiap pemain yang disenaraikan bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal wajib melaporkan diri meskipun mengalami kecederaan.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Pemain yang terkenal dengan 'hantaran maut' itu berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan pertama yang mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pemain kelahiran Kampung Atas Paloh itu membantu Kelantan merangkul kejuaraan trabel musim lalu dan mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.

"Apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian."

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 12 Julai 2013

Piya berada dalam zon bahaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

PIYA mengangkat sembah kepada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra ketika aksi final Piala FA, 29 Jun lalu.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kegagalannya melaporkan diri untuk sesi latihan Harimau Malaya yang bermula kelmarin.

Pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, perancang The Red Warriors itu akan diberikan surat tunjuk sebab kerana masih tidak menyertai kem latihan tanpa memberi sebarang alasan.

Menurut Subahan, setiap pemain yang disenaraikan bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal wajib melaporkan diri meskipun ditimpa masalah kecederaan.

"Mana-mana pemain cedera, harus melaporkan diri terlebih dahulu dan pegawai fisioterapi pasukan akan memeriksa tahap kecederaan mereka.

"Apabila isu ini timbul, ramai yang menuding jari kepada kami kenapa tidak memanggil pemain ini (Badhri).

"Ada beberapa kali kami panggil pemain ini tetapi kadang-kadang mereka tidak mahu datang tetapi kami tidak guna kuasa yang ada, sebab kami hanya mahu pemain yang benar-benar berminat (menyertai Harimau Malaya).

"Namun, kami akan gunakan peruntukan sedia ada untuk mengambil tindakan kepada pemain yang tidak hadir tanpa alasan kukuh.

"Bagi kes Badhri, kami masih berlaku adil dan akan menghantar surat tunjuk sebab kepada dia esok (hari ini)," kata Subahan ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya tidak melaporkan diri mengikuti kem latihan Harimau Malaya sejak Khamis lalu.

Difahamkan, Piya ditimpa masalah hamstring selain mengalami masalah kelewatan penerbangan yang menjadi punca mengapa pemain berusia 31 tahun itu tidak bersama Harimau Malaya ketika ini.
Piya turut tidak menyertai Harimau Malaya ketika menjalani siri perlawanan persahabatan di Australia bulan lalu gara-gara masalah kecederaan.

Untuk rekod, Piya sekadar membuat dua penampilan bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Arab Saudi (17 Mac) dan mengalahkan Yemen 2-1 (22 Mac).

Dalam perkembangan sama, Rajagobal memberitahu: "Kita mahu tahu apa sebab kenapa Piya tidak hadir sebelum buat sebarang kesimpulan.

"Saya akan meminta penjelasan daripada Piya atau Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana itu adalah polisi FAM," katanya.

Selasa, 9 Julai 2013

Piya nafi dipancing JDT RM100,000 sebulan

Oleh YATIMIN ABDULLAH

Mohd. Badhri Radzi
KOTA BHARU - Meskipun saingan Piala Malaysia musim ini belum bermula, namun sudah timbul khabar angin mengatakan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya menerima tawaran lumayan untuk beraksi dengan Johor Darul Takzim.

Khabar angin yang tersebar luas di laman sosial facebook mengatakan ‘jeneral’ Kelantan itu bakal menerima gaji bulanan berjumlah RM100,000, selain pasukan berkenaan bersedia membayar wang perpindahan bernilai RM3juta.

Bagaimanapun, Piya yang dihubungi Utusan Malaysia menafikan khabar angin tersebut dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan mereka yang terlibat dalam penyebaran spekulasi berkenaan.

Menurutnya, ekoran spekulasi berkenaan, ramai pihak telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menerima tawaran tersebut sebagaimana yang digembar-gemburkan di laman sosial facebook, termasuklah dari pasukan-pasukan lain. 

“Jadi saya berharap mereka yang membuat spekulasi ini supaya menghentikan tindakan ini kerana dikhuatiri ia akan mengeruhkan keadaan.

“Apa yang penting, mahu fokus dan membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, lagipun dia masih mempunyai dan menghormati kontraknya bersama Kelantan.

Mohd. Badhri ternyata berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pencapaian membanggakan anak kelahiran Kampung Atas Paloh itu ialah dengan menjulang Kelantan merangkul kejuaraan treble musim lalu serta mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut tahun ini.

Malah Piya pernah dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik Asia tahun lalu oleh lawan web bola sepak antarabangsa goal.com.

Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat untuk menjalani latihan persediaan ke kelayakan Piala Asia bulan ini akibat kecederaan pangkal paha.

Beliau berkata, kecederaan tersebut dialami ketika Kelantan beraksi di pentas final Piala FA, namun ia tidak begitu serius.

“Begitu juga ketika menentang Perak, saya hanya beraksi 30 minit sahaja. Ketika menentang Lions XII, kesakitan memang ada, namun saya ketepikan demi membantu pasukan menumpaskan lawan demi imej bola sepak negara.

“Alhamdulillah saya dan rakan-rakan berjaya melakukannya pada perlawanan tersebut. Saya akui sedikit terkilan kerana tidak bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.

“Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian," ujarnya.

Tambahnya, dia perlu berehat selama tiga minggu, bagi membolehkan kecederaan yang dialaminya pulih sepenuhnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 2 Julai 2013

Piya pemain serba boleh

Oleh KHAIRI MOHAMAD

JENERAL padang Kelantan, Mohd. Badhri Radzi sepatutnya menyertai skuad kebangsaan sejak lima tahun lalu dan beliau perlu diberi tugas mengemudi jentera tengah Harimau Malaya.

Demikian luah legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang bersetuju dengan pandangan bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Datuk M. Karathu seperti yang dilaporkan Kosmo! semalam yang mahu pemain berusia 31 tahun itu diberi peluang untuk membuktikan kehebatan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, berjaya meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri apabila memiliki segala kelebihan yang diperlukan sebagai seorang pemain tengah dalam sesebuah pasukan.

“Pemain tengah ini ada pelbagai kategori, ada yang beraksi sebagai pemain tengah hanya untuk melengkapkan kesebelasan utama, ada juga pemain tengah yang disenaraikan dalam pasukan kerana mempunyai kelebihan lain seperti sepakan percuma tetapi tidak mampu untuk memberi impak.

“Tetapi, Piya melengkapkan kesemua kriteria yang perlu ada untuk menjadi seorang pemain tengah yang baik. Kawalan bola, hantaran, sepakan percuma, membaca pergerakan rakan sepasukan dan menjaringkan gol adalah aset yang cukup bernilai untuk seorang yang bernama Piya ini,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, enam musim beraksi pada perlawanan akhir termasuk membantu Kelantan menjulang kejuaraan trebel musim lalu, serta mempertahan kejuaraan Piala FA untuk musim kedua berturut-turut selain dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir, sudah cukup buat Piya melengkapkan resume untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan.

Katanya, dalam sesebuah pasukan bola sepak, mencari dan menghasilkan seorang pemain tengah yang baik adalah cukup sukar berbanding pemain di posisi lain kerana posisi tersebut memerlukan pemain berkenaan untuk mengawal keseluruhan pasukan.

“Pemain tengah harus mempunyai kemampuan memegang bola, berani membawa masuk bola ke kawasan lawan kerana dalam bola sepak, jika anda mampu untuk memegang bola dan membawa masuk ke kawasan lawan sejauh 20 meter itu adalah sudah cukup baik.

“Lihat apa yang dilakukan Piya, dia mampu menggelecek pemain lawan, membawa masuk bola, mampu melakukan hantaran dan membuka gerakan. Apa lagi yang diperlukan oleh seorang jurulatih jika bukan pemain tengah sepertinya.

“Perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu menyaksikan Piya menjadi arkitek untuk ketiga-tiga gol yang dihasilkan Kelantan dan malam Sabtu lalu, dia sekali lagi membuktikan betapa Kelantan antara pasukan yang bertuah kerana memiliki pemain sepertinya apabila bola hantarannya disudahkan dengan baik oleh Mohd. Norfarhan Muhammad,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Piya hanyalah seorang 'jaguh kampung' kerana berjaya membuktikan kehebatannya ketika beraksi bersama Kelantan sahaja dan gagal memberikan aksi terbaik di peringkat yang lebih tinggi, Dali menjawab: “Piya ‘wajib’ diberikan peluang untuk berada dalam pasukan seperti mana pemain regular lain dalam skuad kebangsaan. Jika dia hanya diberi peluang untuk beraksi untuk tempoh 45 minit atau kurang, kemudian anda cuba untuk kritik corak permainannya, itu adalah tidak adil.

“Jika dia (Piya) mahu dibandingkan dengan Safiq (Rahim), dia perlu diberi ruang seperti mana yang diperoleh Safiq dan kemudian barulah anda boleh komen atau kritik aksinya. 

“Harimau Malaya perlu mengekalkan Shakir Shaari dan membawa masuk Piya untuk melihat perubahan dan saya yakin impaknya nanti pasti akan positif.

“Soal menang atau kalah adalah perkara yang berbeza tetapi, untuk kita melihat perubahan dalam permainan skuad kebangsaan, senaraikan Piya dalam kesebelasan utama kerana saya fikir dia sudah bersedia untuk menggalas tugas baharu itu,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 1 Julai 2013

Pengakuan Karathu

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

PIYA layak memainkan watak penting dalam skuad Harimau Malaya.


“PIYA (Mohd. Badhri Mohd. Radzi) telah membuktikan keupayaannya dan sudah tiba masanya untuk dia diberikan peluang mengemudi jentera tengah skuad Harimau Malaya.”

Demikian tegas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu (gambar kecil) selepas menyaksikan kapten Kelantan itu membantu The Red Warriors (TWR) mempertahankan Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Piya muncul watak penting dengan melakukan banyak hantaran tepat kepada jentera serangan Kelantan dan umpanan pertamanya kepada Mohd. Norfarhan Muhammad telah berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.

Kelincahan yang dipamerkan pemain tengah kelantan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.

“Piya merupakan seorang ‘jeneral padang’ yang hebat. Lihat sahaja gandingannya dengan Mohd. Shakir Shaari yang berjaya menguasai bahagian tengah berbanding Johor DT.

“Sebenarnya, saya juga hairan dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Johor DT. Dalam aksi sebelum ini, pemain-pemain tengah mereka lebih banyak pegang bola.

“Namun, pada aksi semalam (kelmarin), mereka dilihat lebih kerap turun dan melakukan serangan melalui bahagian tepi.

“Piya dilihat semakin selesa dengan gaya permainannya. malah mampu melepasi dua tiga pemain tengah Johor DT. Ini bermakna Johor DT memberikan ruang yang selesa kepada Kelantan untuk bergerak.

“Hasilnya, Kelantan berjaya mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala FA,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Tambah bekas pengendali Perak itu, beliau menepis dakwaan bahawa Piya hanya mampu menyinar dengan Kelantan dan tenggelam ketika bersama Harimau Malaya.

Ini kerana Karathu menganggap pemain berusia 31 tahun itu memiliki kelebihan dari sudut pengalaman beraksi di pentas final dan Piala AFC.

“Sebenarnya, perkara itu bergantung kepada jurulatih dan saya pernah membimbing Piya dan saya tahu keupayaan pemain ini.

“Sudah tiba masanya dia diberikan peluang untuk mengemudi pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Misi sukar Kelantan - Badhri



BADHRI (depan) akui yang Kelantan berdepan kesukaran dalam misi mempertahankan trofi Piala FA musim ini.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi meramalkan aksi final Piala FA 2013 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada 29 Jun ini bakal menjanjikan suatu perlawanan yang mendebarkan.

Namun, Badhri yang juga mesra disapa sebagai Piya turut mengakui skuad The Red Warriors kini berdepan kesukaran dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.
Piya yang membantu Kelantan muncul juara Piala FA dengan menewaskan Sime Darby 1-0 musim lalu menegaskan, mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar berbanding merebut trofi.

‘Arkitek’ Kelantan itu menegaskan, Johor DT memiliki beberapa kelebihan termasuk bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya yang dikatakan ‘masak’ dengan corak permainan skuad kendalian Bojan Hodak.

Piya menganggap dua bekas pemain Kelantan, Norshahrul yang dikenali sebagai Mat Yo dan Nurul Azwan (Awe) mampu menjadi duri dalam daging buat skuad The Red Warriors.
“Mahu menjadi juara memang senang tetapi sukar untuk mempertahankan mana-mana kejuaraan buat semua pasukan.

“Pertembungan menentang Johor DT merupakan aksi yang dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak Malaysia dan saya percaya, aksi final ini lain daripada yang lain berbanding dengan edisi lalu.
“Johor DT merupakan salah sebuah pasukan cukup kuat. Mereka memiliki ramai bintang seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Mat Yo dan Awe serta beberapa lagi pemain handalan lain.

“Saya fikir Mat Yo dan Awe memberikan ancaman cukup besar kepada Kelantan dan kelibat mereka harus diberikan perhatian lebih rapi untuk aksi final itu.

“Begitupun, kami terdesak untuk mengekalkan trofi Piala FA dan apa yang pasti, kami berusaha mati-matian untuk muncul juara Piala FA sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Piya menggesa rakan-rakan sepasukan mengambil iktibar selepas kekalahan 0-2 kepada Harimau Selatan itu dalam saingan Liga Super pada 22 Mei lalu.

Piya mengakui, Kelantan yang dilihat gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super akan berjuang habis-habisan untuk menjulang sekurang-kurang satu trofi pada musim ini.

“Dalam saingan liga musim ini, Kelantan dilihat tidak memiliki keberkesanan di bahagian serangan selepas Mat Yo dan Awe berhijrah ke Johor DT.

“Kejuaraan Liga Super kami gagal pertahankan tetapi seperti saya katakan sebelum ini, kami mahu menjulang Piala FA sebagai pengubat kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan Liga.
“Apa yang pasti, kami mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada penyokong-penyokong skuad The Red Warriors dengan menjulang Piala FA musim ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 4 April 2013

Kelantan waspada ancaman Sarawak



BADHRI (tengah) mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah aksi menentang Sarawak di Kota Bharu malam esok.


KELANTAN perlu mempamerkan corak permainan seperti ketika mereka membenam cabaran SHB Da Nang pada aksi Piala AFC, Selasa lalu apabila dijadualkan melayan kunjungan Sarawak pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Ketua pasukan, Badhri Radzi memberitahu, atas kertas, The Red Warriors selaku penyandang juara sudah pastinya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun beliau tidak mahu rakan-rakan lain terlalu dibuai dengan pencapaian musim lalu.

Menurutnya, berada dalam kelompok dua pasukan teratas Liga Premier dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini, membuktikan bahawa Sarawak merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah terutama ketika saingan memasuki peringkat suku akhir.

“Walaupun beraksi dalam Liga Premier, tahap permainan Sarawak setanding dengan pasukan Liga Super, tidak mudah untuk menundukkan mereka. Sebelum ini kita telah beberapa kali menentang mereka, dan setiap kali pertemuan, ia perlawanan yang sukar untuk kita.

“Mengambil mudah cabaran Sarawak ketika aksi di tempat sendiri bermakna kita menempah laluan sukar kerana mereka cukup kebal apabila bermain di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balas. Saya fikir semua pemain perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Sarawak selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika bertandang ke Kuching nanti.

Katanya, beliau dan rakan sepasukan kini sedang fokus untuk menyingkirkan Sarawak terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.

“Sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu yang akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan perlawanan satu persatu. 

“Saya fikir Sarawak akan turun dengan aksi terbaik mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat musim ini terutama dengan kombinasi pemain yang ada seperti Joseph Kalang Tie, Mafri Balang, dan ketua pasukan mereka, Guy Bwele,” ujarnya.

Jelasnya, Joseph Kalang mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama menghidupkan jentera tengah selain mampu melakukan percubaan yang berbahaya selain penyerang import Sarawak, Ivan Babic yang belum diketahui sejauh mana keupayaan yang mampu memusnahkan impian Kelantan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 2 April 2013

Piala AFC: Kelantan belasah Da Nang 5-0



NWAKAEMI (kanan) menyumbat gol pertama Kelantan ketika menewaskan Da Nang 5-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


KELANTAN tampil dengan kelas tersendiri ketika mengejutkan pendahulu Kumpulan G, SHB Da Nang FC 5-0 pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia, (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Anak-anak buah Bojan Hodak membuktikan kehebatan jentera
serangannya selepas empat bulan melalui tempoh yang sukar pada musim 2013.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Red Warriors memperoleh gol pembukaan menerusi pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaemi pada minit keempat.

Indra Putra Mahayuddin meledakkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit keenam sebelum Mohd. Faiz Subri dan Dimitri Pertratos (ke-59) turut mencipta nama selaku penjaring apabila
menjaringkan gol ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-23 serta 59.

Kapten Kelantan, Badhri Radzi melengkapkan malam bergaya apabila menyumbat gol kelima pada minit ke 86. 

The Red Warriors sekadar mencatat keputusan seri 1-1 di hadapan penyokong sendiri pada perlawanan pertama menentang Maziya SRC dari Maldives pada 6 Mac sebelum menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady 3-1 pada 13 Mac lalu.

Kemenangan itu cukup bermakna kerana ia memberi ruang kepada Kelantan untuk merampas kedudukan teratas Kumpulan G selepas mengumpul tujuh mata, satu mata di depan Da Nang.
Skuad kendalian Hodak akan bertandang ke Vietnam bertemu Da Nang pada 10 April depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Ujian buat Rajagobal


RAJAGOBAL (kanan) akan meletak jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya sekiranya skuad kendaliannya gagal menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


TAHUN lalu, misi Harimau Malaya mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi mereka pada 2010, akhirnya terkubur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.

Disebabkan itu, nama Datuk K. Rajagobal tiba-tiba ‘panas’ apabila bertubi-tubi didesak supaya meletak jawatan oleh sebahagian besar peminat sukan bola sepak yang tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau selaku pengendali skuad kebangsaan.

Enggan tunduk kepada tekanan, Rajagobal sebaliknya mahu membantu merealisasikan sasaran skuad negara supaya layak ke pentas Piala Asia 2015 terlebih dahulu.
“Jika gagal membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, saya sendiri akan meletak jawatan,” kata Rajagobal ketika itu.

Begitupun, nasib seolah-olah tidak menyebelahi Rajagobal rentetan musibah kecederaan pemain negara menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar di Doha, 6 Februari ini.
Tempang tanpa nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Bunyamin Omar, situasi itu jelas meletakkan masa depan Rajagobal dalam keadaan bahaya.

Sedar atau tidak, kemampuan anak-anak buah Rajagobal mengekang ancaman Iraq dalam satu aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini pastinya menjadi peluang terakhir bagi menilai kemampuan sebenar beliau sama ada mampu atau tidak membantu skuad negara menyambar slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jika diikutkan, Rajagobal dilihat hanya menunggu masa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan ekoran strategi mahupun taktikal yang direncanakannya dilihat serba tidak menjadi pada kempen Piala Suzuki AFF yang lalu.

Keputusan Rajagobal yang enggan menyenaraikan arkitek Kelantan, Mohd. Bahri Radzi atau Piya biarpun dilanda krisis kecederaan pemain kali ini juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Bukan apa, peluang yang diberikan kepada Rajagobal sebenarnya bukan sedikit tetapi hasilnya tetap mengecewakan.

Justeru, persoalan sama ada Rajagobal bakal mengotakan janjinya atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 21 Januari 2013

Kelantan mahu elak seri



BADHRI RADZI (kanan) memainkan peranannya dengan berkesan mengemudi jentera tengah skuad Kelantan musim ini.


KELANTAN sudah tidak rela lagi untuk meraih keputusan seri kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Hari ini, The Red Warriors itu akan turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan misi untuk meraih kemenangan.

Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak sedar bahawa perlawanan malam ini cukup penting buat para pemainnya membuktikan keupayaan selain mengelak daripada terus tercicir mata dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga.

Menurutnya, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan lalu bukan suatu yang positif untuk pasukannya mempertahankan gelaran trebel ketika saingan Liga Super dilihat semakin mencabar dengan peningkatan beberapa pasukan baharu.

“Kita perlu tampil berhabis-habisan malam esok (malam ini) untuk mendapatkan tiga mata. Saya fikir, peluang beraksi di laman sendiri merupakan satu kelebihan kepada kami dan saya harap kami mampu menghasilkan keputusan yang positif nanti.

“Saya tidak fikir pasukan ini mempunyai masalah yang besar, cuma kami gagal memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan barisan hadapan kami kelihatan seperti agak tumpul.
“Saya berharap perlawanan malam esok (malam ini) adalah penutup kepada aksi hambar yang kami pamerkan sebelum ini,” katanya semalam.

Tambahnya, walaupun situasi terkini menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga tercorot liga, namun beliau tidak mahu para pemainnya mengambil mudah perlawanan tersebut kerana lawan mereka itu sentiasa menjadi pesaing paling hebat setiap kali mereka bertemu. 

Katanya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, namun beliau tidak nampak sebarang sebab kenapa pemainnya melepaskan mata berharga pada setiap perlawanan, sedangkan prestasi mereka kini berada pada tahap terbaik.

“Kita harus sempurnakan setiap peluang dengan baik. Bola sepak tidak memerlukan anda bermain dengan cantik atau sebagus mana pemain tengah dan pertahanan anda beraksi tetapi bola sepak adalah sebanyak mana anda mampu menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.

“Pada perlawanan sebelum ini, barisan pertahanan bermain dengan baik dan di jentera tengah, Piya (Badri Radzi) dan Shakir (Shaari) juga cukup cemerlang, namun pada akhirnya kita tetap mempunyai masalah untuk menjaringkan gol,” ujarnya.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami dua penggempurnya, Norfarhan Muhammad dan Keita Mandjou, Hodak berkata: “Norfarhan sudah mula menjalani latihan ringan tetapi saya tidak fikir dia sedia untuk diturunkan malam esok (malam ini).

“ Jika ada pun, mungkin saya akan guna khidmatnya dalam 30 minit terakhir manakala Mandjou juga semakin pulih.

“Haris (Safwan Kamal) dan Indra Putra (Mahayuddin) sudah tentu berada dalam perancangan saya termasuk seorang lagi pemain muda, Khairul Izuan Rosli yang semakin menunjukkan peningkatan.”

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Januari 2013

Kelantan mahu tebus kecewa



KEITA Mandjou (kiri) masih belum memperlihatkan sengatnya mengemudi jentera serangan Kelantan.


SELEPAS memulakan kempen 2013 dengan agak hambar selepas tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan merebut Piala Sumbangsih, Sabtu lalu, Kelantan nekad mahu mencari kemenangan pertama musim ini apabila dijadualkan berdepan PKNS FC di Kota Bharu malam esok.

Ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan tiga mata penuh pada aksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan momentum selain menebus kekecewaan peminat.

Menurutnya, kekalahan kepada ATM tidak memberikan kesan dan melunturkan semangat para pemain dan menganggapnya sebagai nasib tidak menyebelahi The Red Warriors biarpun banyak peluang dicipta, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

"Kita cukup serius dan bersedia untuk turun menentang PKNS malam Rabu ini. Saya cukup optimis kita mampu untuk memenangi perlawanan tersebut dan perlu mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad IV sejak tahun lalu.

"Bagaimanapun, menentang PKNS bukan tugas mudah. Mereka memiliki pemain berbakat, malah musim lalu kita hanya mencatat keputusan seri di sini (Kota Bharu). Saya fikir kita perlu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pertama ini sebagai suntikan semangat," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, PKNS berjaya mendapat khidmat bintang import Sime Darby musim lalu, Patrick Ronaldinho selain diperkuat seorang lagi pemain import, Helmi Loiseaif yang perlu dirantai pergerakan kerana kedua-dua mereka mampu memusnahkan impian pasukan.

Dalam pada itu, jeneral padang The Red Warriors itu berharap penggempur import mereka dari Guinea, Keita Mandjou mampu menemui sentuhan untuk menajamkan lagi jentera hadapan pasukannya dan menggunakan peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol.

Dia mengakui bahawa Kelantan kini berdepan sedikit masalah di posisi penyerang, namun percaya ia bukan suatu masalah yang besar dan mampu diatasi dalam sedikit masa lagi selepas para pemain mula merasai kehangatan cabaran Liga Super musim ini.

"Keita (Mandjou) seorang penyerang yang bagus tetapi penyudahnya belum begitu sempurna dan dia juga belum berada pada tahap terbaik. 

"Sekiranya dia menggunakan peluang yang ada, saya fikir keputusan saingan Piala Sumbangsih mungkin berbeza dan kita mampu menjaringkan lebih banyak gol.

"Jadi, saya berharap dia mampu membuktikan sesuatu pada perlawanan pertama di Kota Bharu. Kita juga kembali mendapatkan khidmat Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol manakala benteng pertahanan kita juga sudah semakin baik," ujarnya.

Sementara itu, Badri berpandangan bahawa Kelantan lebih sesuai beraksi dengan formasi 4-4-2 berbanding formasi 4-3-3 yang digunakan semasa tewas menentang ATM, Sabtu lalu dengan menggunakan khidmat Keita Mandjou sebagai penyerang tunggal.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 5 Januari 2013

Hajat besar dua kapten

-Kosmo

JADI REBUTAN... Hairuddin (kanan) dan Badhri memegang Piala Sultan Ahmad Shah yang menjadi rebutan pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


BAGAIKAN beraksi di pentas final, itu janji kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.

Biarpun aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 itu tidak menghadiahkan sebarang mata buat kedua-dua pasukan, Hairuddin yang mesra disapa Hai-O enggan mengambil mudah pertemuan tersebut.

Sebaliknya, Hai-O percaya perlawanan itu menjadi titik tolak kemampuan pasukannya mencabar mana-mana pasukan elit dalam saingan Liga Super musim ini.

"Perlawanan Sumbangsih tetap menjadi keutamaan kami sebagai penyuntik semangat sebelum berdepan Lions XII dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (9 Januari) nanti.

"Jika kami berjaya menewaskan Kelantan, ini bermakna ATM sudah bersedia mengharungi Liga Super," kata Hai-O pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada masa sama, Hai-O juga menyifatkan kejayaan menewaskan Kelantan mampu merealisasikan sasaran awalnya membantu ATM untuk sekurang-kurangnya mendakap satu trofi musim ini.
"Saya idam satu trofi, jadi Piala Sultan Ahmad Shah merupakan peluang pertama saya. Sudah tentu saya enggan mensia-siakan peluang itu," katanya.

Dalam pada itu, Badhri yang mesra dengan panggilan Piya mengakui, ATM bukan calang-calang pencabar seperti mana yang dibuktikan ketika aksi final Piala Malaysia, Oktober lalu.

Biarpun beberapa keputusan perlawanan persahabatan Kelantan sebelum ini kurang memuaskan, Piya optimis rakan-rakan sepasukannya kembali bangkit mempamerkan karakter selaku sang juara malam ini.

"Tekanan selaku juara trebel sentiasa ada, jadi kami perlu membuka buku baharu dan melupakan kejayaan lalu.

"Biarpun bukan mudah, terutamanya tanpa Apexs (Khairul Fahmi Che Mat), saya harap kami mampu mengekang serangan ATM dengan cukup baik.

"Saya juga tidak terlalu tertekan memburu gol kerana percaya dengan kemampuan jentera serangan Kelantan yang masih tajam biarpun tanpa Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar," katanya.