Memaparkan catatan dengan label Harimau Malaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harimau Malaya. Papar semua catatan

Ahad, 10 November 2013

Misi hidup mati Harimau Malaya



PERTAHANAN Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) mengekang gerakan pemain Bahrain, Sami Mohamed Saeed Alhusaini pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam bulan lalu.


TUGAS getir menanti Harimau Malaya ketika berdepan Bahrain dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini.

Pengkritik bola sepak, Reduan Abdullah berkata, situasi kali ini pastinya berbeza buat skuad kendalian Datuk K. Rajagobal berbanding ketika seri 1-1 dengan pasukan yang sama di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober lalu.

Menurut beliau, Bahrain yang dikendalikan Anthony Hudson kini kembali diperkuatkan dengan pemain utama yang diketepikan ketika di Shah Alam tempoh hari gara-gara kecederaan.

"Pada masa sama, faktor bermain di depan penyokong sendiri juga dilihat memberikan kelebihan buat Bahrain.

"Saya percaya perlawanan ini pastinya lebih sukar berbanding di Shah Alam namun itu bukan alasan buat Harimau Malaya mengaku kalah sebelum berjuang kerana ini misi hidup mati kita untuk layak ke Piala Asia," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan empat mata selepas tiga perlawanan, ketinggalan di belakang Bahrain dan Qatar yang mengutip tujuh dan enam mata.

Selain seri 1-1 dengan Bahrain, Malaysia terlebih dahulu tumpas 0-2 kepada Qatar sebelum kembali bangkit menewaskan Yemen 2-1 di laman sendiri, Mac lalu.

Selepas berdepan Bahrain, Malaysia bakal melayan kunjungan Qatar di Stadium Shah Alam empat hari kemudian sebelum berdepan Yemen di tempat lawan dalam aksi penutup tirai kumpulan pada 5 Mac tahun depan.

Justeru, Reduan mendesak Rajagobal supaya merencana strategi terbaik ketika berdepan Bahrain kelak.

"Hanya Rajagobal yang memiliki jawapan mengenai kemampuan kita mengatasi Bahrain atau tidak.
"Bagi saya, skuad kebangsaan tidak sewajarnya mempamerkan corak taktikal yang mudah dibaca lawan terutamanya hantaran jauh yang tidak berkesan.

"Sebaliknya, hantaran pendek yang efektif wajar dipamerkan kali ini bagi menjerat Bahrain sekali gus membawa pulang tiga mata berharga," jelas beliau.

Pada masa sama, Reduan juga kekal optimis mengenai kemampuan Harimau Malaya melangkah lebih jauh pada kempen kelayakan kali ini.

"Kita harus bersikap patriotik... pandangan dan kritikan sebelum ini juga bukan bersifat menghentam semata-mata.

"Pada masa sama, saya juga menyokong tindakan Rajagobal yang dilihat gemar menguji lawan seperti Kuwait sebelum berdepan Bahrain.

"Ini kerana aksi persahabatan sedemikian mampu mengenal pasti kelemahan pasukan.
"Jadi, sepatutnya tiada lagi eksperimen pemain ketika berdepan Bahrain nanti, sebaliknya kita perlu mempamerkan corak taktikal yang lebih berkesan supaya tidak mudah dibaca lawan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 13 Oktober 2013

Raja optimis

Wan Fakhrul Bakar | wanfakhrul@bh.com.my
Raja optimis 
Rajagobal (kiri) mengendalikan sesi latihan Harimau Malaya di Padang FAM, petang semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Yakin mampu jinak Bahrain di Shah Alam malam esok

Kelana Jaya: Meskipun skuad Harimau Malaya hanya menang dua daripada 16 perlawanan diharungi sepanjang tahun ini, pengendalinya, Datuk K Rajagobal tetap yakin pemainnya mampu menumbangkan pasukan ranking ke-121 dunia, Bahrain pada aksi ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam esok.


Lawan lebih baik


Bagi Rajagobal, beberapa kekalahan dialami itu bukan disebabkan skuad kebangsaan lemah tetapi bertemu dengan lawan yang ternyata lebih baik seperti ketika tewas kepada Iraq 3-0, Qatar 2-0, Arab Saudi 4-1, Palestin 2-0, China 2-0 dan terbaru UAE 3-1 pada aksi persahabatan di Shenzhen, China, Rabu lalu.

“Kita kena faham, kekalahan yang dialami itu kerana kita bukannya bermain dengan pasukan yang setaraf dengan kita. Mereka antara pasukan terbaik di Asia.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Apa yang pasti pemain sudah menunjukkan permainan bagus ketika bertemu pasukan berkenaan.

“Jadi saya mahu pemain turun dengan berani dan bermain dengan keyakinan tinggi untuk mengutip tiga mata penuh ketika bertemu Bahrain,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang semalam.
Sepanjang 16 perlawanan tahun ini, skuad Rajagobal hanya menang dua kali - menewaskan Yaman 2-1 pada aksi kedua kelayakan di Stadium Shah Alam, 22 Mac lalu dan Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan di Sydney, Australia, 11 Jun lalu selain seri sekali dan tewas 13 kali.

Namun, Rajagobal tetap optimis Harimau Malaya mampu mencabar untuk mengisi slot terakhir ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia selaku pasukan tempat ketiga terbaik di kalangan lima kumpulan saingan kelayakan ini.

“Kita kena fikir dari sudut positif. Malaysia kini sudah mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan, masih berpeluang sekurang-kurangnya muncul pasukan tempat ketiga terbaik jika tidak layak secara automatik sebagai dua pasukan teratas.

“Selagi belum habis kempen, kita tak boleh nak kata apa-apa sangat,” tegas pengendali berusia 57 tahun itu.


Sementara itu, kedudukan pemain bek kanan, Mahalli Jasuli untuk beraksi, malam esok masih tidak menentu selepas pemain Selangor itu sekadar menjalani latihan ringan akibat kecederaan pangkal paha yang dialaminya, dua hari lalu.

Pada sesi latihan, petang semalam, Rajagobal dilihat meletakkan pemain Tentera, K Reuben untuk posisi Mahalli itu manakala Aidil Zafuan Abd Radzak bergandingan dengan Amirizdwan Taj Tajudin di posisi bek tengah dan Asraruddin Putra Omar di bek kiri.

Sabtu, 12 Oktober 2013

Pening lagi!

Mohd Fitrie Muhamad | mfitrie@bh.com.my 
Berita Harian 
 
Pening lagi!
Rajagobal gelisah kecederaan tonggak Harimau sebelum temu Bahrain

Kuala Lumpur: Berbaki dua hari sebelum perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, Selasa ini jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal terus dihantui dengan masalah kecederaan pemain.

Selepas kehilangan khidmat Nik Shahrul Azim Ab Halim di posisi pertahanan, Rajagobal sekali lagi pening kepala apabila seorang lagi tonggak benteng Mahalli Jasuli disahkan cedera pangkal paha ketika latihan petang kelmarin.
“Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Razak sudah kembali menjalani latihan dan mereka tidak menunjukkan kecederaan yang serius. Tetapi saya perlu lihat perkembangan mereka pada sesi latihan hari ini (semalam).



Mahalli pasrah


“Ini berita baik buat pasukan tetapi tadi saya dimaklumkan Mahalli pula cedera dan doktor menasihatkan supaya dia berehat. Tetapi saya yakin Mahalli akan dapat kembali menyertai pasukan dan diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain,” katanya pada sesi latihan semalam.

Sementara itu, Mahalli yang ditemui jelas pasrah dengan kecederaan yang melanda dirinya, tetapi menaruh harapan untuk kembali menyertai pasukan.
“Kecederaan ini tidak membolehkan saya menyertai latihan. Saya tidak pasti tahap kecederaan ini, tetapi doktor suruh saya berehat untuk latihan hari ini (semalam) dan esok (hari ini).

“Kalau lepas itu masih ada rasa sakit, saya terpaksa lupakan hasrat untuk beraksi pada perlawanan menentang Bahrain. Namun, saya berdoa dan berharap dapat pulih segera sekali gus beraksi dalam perlawanan itu,” katanya.

Rabu, 2 Oktober 2013

Amri tidak mahu Harimau Malaya patah semangat


PENYERANG veteran, Mohd. Amri Yahyah mengakui kehilangan dua tonggak muda - Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Fadhli Shas - memberikan impak kepada Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Begitupun, Amri berharap masalah itu tidak akan mengganggu persiapan Harimau Malaya yang kini mempunyai tugas penting bagi memburu slot automatik pada pusingan akhir Piala Asia 2015.

"Memang terasa kekurangan (ketiadaan Wan Zack dan Fadhli) dalam pasukan," jelas Amri ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Agak sedikit kelam-kabut apabila hanya 11 pemain yang menjalani sesi latihan ketika ini selepas 17 lagi pemain masih terlibat dengan tugasan bersama pasukan masing- masing dalam saingan Piala Malaysia."

Amri berkata, buat masa ini, dia dan 10 lagi pemain menjalani latihan seperti biasa di bawah pengawasan pengendali, Datuk K. Rajagobal.

Menurutnya, kehadiran 17 lagi pemain selepas tamat aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad nanti mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal bagi mengatur strategi.

Sebelum aksi menentang Bahrain, Harimau Malaya dijadual bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan persahabatan di Shenzhen, China, Rabu depan.

"Paling penting, jurulatih (Rajagobal) dapat mengumpul semua pemain ketika aksi menentang UAE nanti.

"Pertemuan menentang UAE sangat penting kerana ia adalah ujian terakhir kami untuk menguji kekuatan pasukan sebelum bertemu Bahrain," katanya.

Mengulas aksi menentang Bahrain, Amri yakin Harimau Malaya memiliki kelebihan bagi meraih tiga mata berharga.

"Sebenarnya kami memiliki kelebihan kerana akan beraksi di tempat sendiri.
"Sudah tentu kali ini kami tidak boleh mengulangi lagi kesilapan lalu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rajagobal tenang hadapi musibah


BARISAN pelatih Harimau Malaya mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (gambar kecil) tidak rela lagi kehilangan khidmat tonggak utama menjelang aksi menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Terdahulu, Rajagobal kehilangan tiga pemain – Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas dan Azamud- din Akil – yang ditimpa masalah kecederaan.

Justeru Rajagobal berkata, beliau akan cuba mencari pengganti tempat Wan Zack yang dijangka berehat sekurang-kurangnya enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan.

“Sebelum ini, Fadhli mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) dan terbaharu, Wan Zack pula ditimpa kecederaan ACL.

“Sudah tentu ia mengganggu perancangan pasukan selepas kehilangan dua tonggak utama ini.
“Namun, saya kena fikir pemain mana mampu menggantikan tempat mereka pada perlawanan menentang Bahrain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal berkata, beliau juga masih memantau perkembangan Azamuddin yang dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha.

“Kita masih ada Khyril (Muhymeen Zambri), Fakri Saaraani dan saya akan tengok siapa yang sesuai ganti (tempat) Wan Zack. 

“Saya mahu bagi kelonggaran kepada pemain-pemain (beraksi pada suku akhir Piala Malaysia) kerana saya tidak mahu lagi kehilangan pemain utama.

“Sebaik mereka kembali bersama pasukan, baru saya akan lihat siapa yang mampu beraksi menentang Bahrain nanti,” tambahnya.

Ketika ini, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pelatih bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya.

Ini kerana 17 lagi pemain masih mempunyai tugasan bersama pasukan masing-masing bagi mengharungi aksi suku akhir Piala Malaysia.

Ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk mengadakan latihan bersama skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee, Rajagobal memberitahu: “Saya ada cara tersendiri untuk mengatasi situasi tersebut.

“Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pasukan. Bukan kita tidak mahu main (dengan Harimau Muda) tetapi saya ada perancangan tersendiri.

“Kecederaan bila-bila masa boleh berlaku. Saya tidak mahu gangguan kepada para pemain dan cukuplah latihan ini buat sementara.”

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Saya tidak rugi apa-apa: Piya

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor 
Berita Harian 
 
Kota Bharu: “Saya tidak rugi apa-apa dan kali ini tidak kecewa sama sekali dengan tindakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal tidak memanggil saya menyertai skuad kebangsaan,” kata kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi semalam.

Beliau yang lebih dikenali dengan Piya percaya mungkin corak permainannya tidak menepati cita rasa pengendali berusia 57 tahun itu dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.
Perkara biasa

Mungkin corak permainan saya tidak menepati cita rasa Raja dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain" Mohd Badhri Radzi, Kapten Kelantan


“Tiada perasaan kecewa langsung, malah menganggap perkara seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan bagi seorang pemain profesional seperti saya.


“Seharusnya ketiadaan saya dalam skuad itu tidak perlu dijadikan isu,” katanya ketika mengulas namanya tiada dalam senarai 28 pemain yang diumumkan badan induk itu kelmarin.

Piya berharap peminatnya tidak akan mempertikaikan tindakan Rajagobal mengenepikannya kali ini, sebaliknya harus sentiasa memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya dalam menjamin tempat ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.
“Saya tidak perlu mengusutkan fikiran memikirkan perkara ini, sebaliknya harus fokus 100 peratus kepada pasukan Kelantan dalam menghadapi pertemuan getir suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini,” katanya.

Selasa, 17 September 2013

Troussier pengganti Rajagobal?


JAWATAN ketua jurulatih Harimau Malaya kembali hangat diperkatakan apabila bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier dilapor semakin hampir mengambil alih tempat Datuk K. Rajagobal.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memujuk Troussier, 58, untuk mengemudi skuad Harimau Malaya dengan menawarkan gaji bulanan sebanyak AS$18,000 (RM59,000).

Begitupun, Troussier dikatakan hanya akan menerima jawatan itu jika ditawarkan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) yang menyaksikan dia bakal meraih gaji bulanan berjumlah AS$126,805 (RM416,000).

Begitupun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu sambil memberitahu: "Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan enggan memberikan komen lanjut.

"Senarai (permohonan jurulatih) terus bertambah (dan) sehingga kini, kami telah menerima 37 permohonan yang mana semakin ramai berminat membuatkan kita rasa gembira.

"Namun ingin saya tegaskan, itu adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan," kata Hamidin pada sidang akhbar selepas Kursus Persediaan Fizikal Jurulatih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Masa depan Rajagobal terus menjadi tanda tanya apabila FAM dilapor telah menerima 30 permohonan daripada pengendali tempatan mahupun luar negara yang berminat untuk mengambil alih skuad Harimau Malaya.

Antara nama-nama yang disebut sebagai pengganti Rajagobal ialah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan juga bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan.

Rajagobal kini masih mempunyai tugasan bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Beliau yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Disember depan diletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan membantu Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015. 

Hamidin menegaskan, buat masa ini FAM belum memberi kata putus mengenai masa depan Rajagobal yang berkemungkinan akan dilanjutkan kontraknya jika beliau berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.

"Sebenarnya, FAM tidak pernah membuka jawatan ini (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan mungkin ramai (jurulatih) telah mengetahui bahawa kontrak Rajagobal akan tamat pada 31 Disember depan.

"Oleh sebab itu, mereka yang terdiri dari jurulatih tempatan mahupun luar negara telah menghantar surat permohonan tersebut tetapi FAM akan menilai terlebih dahulu dan belum membuat sebarang keputusan.

"Ini kerana perlawanan terakhir menentang Yemen bakal menjadi penentu nasib Harimau Malaya dalam pentas Piala Asia, selepas itu baru FAM akan tampil membuat satu kenyataan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal atau sebaliknya.

"Semua ini adalah hak FAM sebagai majikan dan kami akan menentukan apabila tiba masanya. Buat masa ini, KPI Rajagobal adalah layak ke Piala Asia," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 10 September 2013

Giliran China buat Rajagobal lemas

Berita Harian 
 
Kuala Lumpur: Harimau Malaya terus ditimpa malang apabila mencatat kekalahan keenam berturut-turut tahun ini selepas tumbang 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang China, semalam.

Pada perlawanan di Stadium Olimpik Tianjin itu, barisan bimbingan Datuk K Rajagobal dilihat gagal bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan kapten China, Zhi Zheng pada minit ke-42.
Kebangkitan yang diharapkan pada babak kedua juga tidak menjelma apabila China yang gah menewaskan Singapura 6-1, Jumaat lalu terus garang dengan gol kedua menerusi pemain tengah, Xuri Zhao pada minit ke-57.


Kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan tahun ini ialah ketika menentang pasukan kelab, Sydney Olympic 3-0 di Australia.

Pertemuan persahabatan terakhir skuad negara menentang pasukan bertaraf kebangsaan ialah dengan Palestin di Stadium Shah Alam, Mac lalu apabila tumpas 2-0.

Selasa, 3 September 2013

Sani bakal cabar Farizal

Sani Anuar Kamsani giat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
 
PETALING JAYA - Kecederaan pangkal paha yang melanda Khairul Fahmi Che Mat dan kemerosotan prestasi Norazlan Razali bersama pasukan Selangor nyata memberi hikmah tersendiri kepada penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani apabila namanya kembali dipanggil untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Berusia 30 tahun, Sani sebenarnya bukanlah satu nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan dan pemilihannya menganggotai skuad kebangsaan dilihat sebagai satu keputusan tepat setelah dengan apa yang dipamerkan bersama skuad Bujang Senang sepanjang saingan Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Bagi jurulatih penjaga gol negara, Mohd. Faozi Mukhlas, dia melihat kehadiran Sani akan memberikan saingan kepada pilihan utama di gawang negara ketika ini, Farizal Marlias, selain penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid yang turut dipanggil untuk menggantikan Khairul Fahmi.

‘‘Daripada segi saiz, dia (Sani) tidak banyak beza dengan penjaga gol lain, namun dia ada perwatakannya yang tersendiri serta tidak boleh dibandingkan dengan Farizal atau Khairul Fahmi.

‘‘Kita tidak boleh jadikan Sani seperti Khairul Fahmi kerana dia ada kualiti yang berbeza dengan kedua-dua pemain ini.

“Saya sendiri melihat dia seorang penjaga gol yang baik ketika pernah mewakili Harimau Muda beraksi pada kejohanan Bawah 19 tahun suatu ketika dahulu. Kejohanan itu turut disertai Brazil, Paraguay dan Korea Selatan.

‘‘Dia seorang penjaga gol yang pantas daripada segi refleks dan cepat mengambil kembali posisi asal setelah menyelamatkan bola daripada kawasan berbahaya, " katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM selepas sesi latihan pasukan kebangsaan, semalam.

Sementara itu, Sani mengakui terkejut apabila namanya dipanggil kerana tidak pernah terlintas dalam fikirannya mampu memecah penguasaan tiga dominasi Khairul Fahmi, Farizal dan Norazlan.

‘‘Mungkin aksi saya bersama Sarawak dalam Piala Malaysia membuatkan jurulatih terfikir mahu memanggil saya dan peluang ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mencuri hati mereka.

‘‘Semua orang ada keinginan untuk mewakili negara dan saya harap dapat akan ada ‘cap’ pertama saya bersama Harimau Malaya, dah lama saya impikan peluang ini.

‘‘Walaupun sedar sukar bersaing dengan Farizal untuk tempat dalam kesebelasan utama kerana dia sudah lama berbanding saya, itu bukan alasan buat saya berasa takut, " kata bekas penjaga gol Negeri Sembilan dan Selangor ini.

Malaysia akan bertemu China dalam aksi persahabatan, 10 September ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 15 Ogos 2013

'Tidak timbul soal berkecil hati'



AKSI Nik Shahrul (kanan) ketika skuad Harimau Malaya menentang Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu.


PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee kekal bersikap gentlemen. Kehilangan dua tonggak pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Edstal menjelang Pestabola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang Darul Makmur bulan depan tidak sedikitpun membuatkan pengendali berusia 43 tahun itu berkecil hati.

Sebaliknya, Kim Swee nekad membantu Harimau Muda memberikan yang terbaik pada kejohanan itu sebagai sebahagian daripada persiapan memburu pingat emas hatrik pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Menurut Kim Swee, beliau telah mengenal pasti beberapa pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nik Shahrul dan Junior.

"Tidak timbul soal kecil hati dan sebagainya, isu seperti ini sewajarnya tidak lagi perlu disensasikan.
"Sebenarnya, saya sudah memiliki dua atau tiga pemain pengganti bagi menggantikan mereka (Nik Shahrul dan Junior).

"Memanglah saya akan memiliki lebih banyak alternatif pemain jika memiliki Nik Shahrul dan Junior tetapi saya percaya masih ramai pemain lain sehebat mereka, sekali gus memberikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke final Pestabola Merdeka," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan tindakan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyenaraikan Nik Shahrul dan Junior sebagai persiapan berdepan China dalam satu aksi persahabatan pada 10 September depan.

Tindakan Rajagobal itu jelas mengundang polemik dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan yang menyifatkan Nik Shahrul dan Junior sepatutnya menyertai Harimau Muda mengharungi Pestabola Merdeka.

Ini kerana Harimau Muda dilihat agak tempang di bahagian benteng pertahanan ekoran kecederaan yang dialami Shahrul Saad dan Mohd. Amir Saiden semasa 'berguru' di Eropah tempoh hari.

Namun, Harimau Muda tetap menerima perkhabaran gembira apabila kembali diperkuatkan dengan beberapa muka lama seperti Muhamad Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd. Zubir Azmi dan perancang muda, Nazmi Faiz Mansor bagi mengharungi Pestabola Merdeka kelak.

Skuad Harimau Muda bakal membuka tirai Pestabola Merdeka berdepan skuad bawah 23 Tahun (B-23) Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 September depan sebelum melayan cabaran B-23 Myanmar (9 September) dan B-23 Thailand dua hari kemudian.

Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di stadium yang sama pada 14 September.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 14 Ogos 2013

Tidak ada sentimen peribadi


JUNIOR (gambar kecil) dan Nik Shahrul dua dari kanan akan menyarung jersi skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang China, 10 September depan.


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan bahawa tiada sentimen peribadi antara ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Hamidin memberikan kenyataan itu berhubung pemilihan dua pemain muda, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Eldstal yang akan menyertai skuad kebangsaan bagi mengharungi aksi persahabatan menentang China, 10 September depan.

Hamidin memberitahu, pemilihan tonggak pertahanan Kelantan dan Sarawak itu mendapat persetujuan kedua-dua jurulatih tersebut.

Jelasnya, FAM sentiasa mencari pendekatan terbaik buat kedua-dua pasukan negara kerana pihaknya menyedari Harimau Malaya kini berusaha untuk memburu slot automatik ke Piala Asia 2015 di Australia, manakala Harimau Muda berdepan dengan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar, Disember depan.

“Tiada sebarang sentimen antara Rajagobal mahupun Kim Swee kerana FAM telah bersetuju untuk membenarkan Nik Shahrul dan Junior menyertai Harimau Malaya yang akan beraksi di China.

“Selepas berbincang dengan kedua-dua jurulatih (Rajagobal dan Kim Swee), FAM tiada masalah untuk melepaskan kedua-dua pemain ini menyertai Harimau Malaya.

“Berdasarkan situasi sekarang, FAM telah bersetuju dan perlawanan menentang China dianggap penting buat Harimau Malaya bagi memperbaiki ranking.

“Begitu juga dengan Harimau Muda yang bakal mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka pada masa yang sama tetapi kedua-dua pengendali ini memiliki tugasan berat tersendiri. Saya percaya pemilihan dua pemain ini tidak akan memberikan masalah besar kepada skuad kendalian Kim Swee.
“Lebih penting adalah Penunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka memburu slot automatik ke Piala Asia dan mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemilihan Nik Shahrul dan Junior mencetuskan persoalan kepada pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat skuad negara apabila masing-masing mempertikaikan pemilihan itu.

Ia dikatakan akan menjejaskan perancangan Kim Swee selepas kehilangan dua tonggak penting dalam pasukannya untuk aksi kejohanan Pestabola Merdeka.

Ini kerana mereka menganggap kejohanan tersebut dianggap lebih penting berbanding aksi persahabatan biasa, sekali gus mencetuskan tanda tanya kepada peminat-peminat bola sepak tempatan.

Begitupun, Hamidin sekali lagi memberikan respons pantas dengan memberitahu bahawa, pemilihan tersebut tiada kena mengena dengan sentimen yang diwar-warkan oleh mana-mana pihak.

“Seperti yang saya katakan tadi, tiada sebarang sentimen berlaku. Kedua-dua jurulatih telah mencapai kata sepakat dan perkara ini tidak harus disensasikan oleh mana-mana pihak.

“Skuad Rajagobal akan berusaha untuk memperbaiki ranking, manakala skuad Kim Swee akan bersaing dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka. Jadi, kedua-dua pasukan ini memiliki peluang terbaik dalam usaha merealisasikan KPI mereka,” katanya.

Rajagobal melepaskan pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Noor dan pemain tengah Mohamad Nazmi Faiz Mansor untuk menyertai skuad muda negara itu dengan memberi alasan Nik Shahrul dari Kelantan dan Junior adalah tonggak penting bahagian pertahanan Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang meskipun dilihat beliau berdepan situasi sukar apabila mengalami kepincangan di posisi pertahanan selepas Shahrul Saad dan Mohd. Amer Saiden masih ditimpa kecederaan sejurus ‘kehilangan’ Nik Shahrul dan Junior.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh Rajagobal dan saya akan menggunakan pemain yang sedia ada bagi membentuk skuad terbaik untuk menghadapi Pestabola Merdeka nanti,” kata Kim Swee.
Dalam saingan Pestabola Merdeka, Harimau Muda bakal berdepan skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura, Thailand dan Myanmar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

Harimau beri Barca persiapan positif


KUALA LUMPUR - Jurulatih Barcelona, Gerardo Martino menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Malaysia dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin sebagai 'persiapan positif pramusim'.

Menurutnya, secara keseluruhan dia berpuas hati walaupun tidak dapat meneruskan pesta gol ke atas Malaysia seperti mana ketika membelasah Thailand 7-1 dan kelab Brazil, Santos 8-0 sebelum ini.
"Mengalahkan Pilihan Malaysia memberikan makna yang besar dalam siri Jelajah kami.
"Ini bukanlah persembahan terbaik kami, saya belum melihat versi terbaik permainan Barca," katanya.

Barcelona ternyata menguasai 81 peratus perlawanan dan melakukan 22 percubaan tepat ke sasaran sepanjang perlawanan dan meraih jaringan menerusi Cesc Fabregas pada minit ke-34, Neymar (minit ke-42) dan Gerard Pique pada minit ke-74.

Dia juga menyifatkan siri jelajah pramusim kelabnya membantunya mempersiapkan skuad yang mantap dalam menghadapai saingan La Liga musim ini.

"Sepanjang siri jelajah pramusim ke Palestine, Israel, Thailand dan Malaysia, ia adalah siri jelajah yang amat bagus. Walaupun saya bertukar komitmen dan kelab, siri jelajah itu membantu saya membuat persiapan lebih baik," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Apek mengaku silap

CESC Fabregas melakukan tandukan yang gagal ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin. - Utusan/ASWAD YAHYA 
 
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Barcelona selama setengah jam dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin, namun tandukan Cesc Fabregas pada minit ke-33 sedikit merencatkan cerita indah tersebut malah ada peminat bola sepak mengatakan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Malah di laman sosial, Facebook juga perkara tersebut hangat diperdebatkan, dengan ada yang mengutuk kelalaian Khairul Fahmi dan ada yang mempertahankannya dengan memberi alasan ia munasabah kerana Malaysia berdepan pasukan terbaik dunia.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan nama timangan 'Apek' , memberi penjelasan tentang gol pertama pasukan gergasi Eropah itu dan dia mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri kerana gagal menepis dengan kemas bola yang terlebih dahulu melantun ke tanah sebelum menerjah ke dalam gawang Malaysia.

"Dalam perlawanan apa sahaja boleh berlaku termasuk kesilapan, saya akui tidak dapat menepis bola tersebut dengan baik sehingga menyebabkan mereka (Bacelona) memperoleh gol sulung. Saya bukan tidak cuba malah telah mencuba untuk menepisnya dan saya berasa sedikit kecewa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah memberikan persembahan sebaik mungkin namun hanya perkataan maaf dapat diungkapkan kepada rakan-rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia kerana melepaskan dua gol yang membolehkan pasukan Catalan itu mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

"Secara keseluruhannya untuk perlawanan semalam (kelmarin) kami telah buat yang terbaik, kita sudah cuba bertahan untuk tidak dibolosi namun ada beberapa kesilapan termasuk gol pertama tersebut. Bagaimanapun kita harus sedar bertemu dengan sebuah pasukan terbaik dunia.

"Sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu daripada mereka. Pasukan hebat yang lain pun sukar untuk mengalahkan mereka apatah lagi kita pasukan yang kecil ini. Bagi saya taktikal kita menjadi, jurulatih juga sudah memberitahu kepada kami supaya memberi persembahan terbaik," kata penjaga gol Kelantan itu.

Selepas ketinggalan 1-0 melalui jaringan Fabregas, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar petak penalti, Amri Yahyah pada minit ke-41 namun Barcelona kembali mendahului dengan jaringan pemain dari Brazil, Neymar dua minit kemudian.

Khairul Fahmi digantikan dengan Farizal Marlias pada separuh masa kedua dan skuad bimbingan Gerardo Martino itu berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Gerard Pique pada minit ke-75.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Khairul Fahmi berkata, semua pemain kebangsaan akan kembali ke pasukan negeri dan kelab masing-masing untuk memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia termasuk dirinya sendiri.

"Kami berada dalam kumpulan yang bukan mudah, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan trofi Piala Malaysia terus kekal di bumi Kelantan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Amri layak dijadikan pemain contoh



AMRI antara pemain paling senior yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal dalam skuad Harimau Malaya.


KAPTEN Selangor, Mohd. Amri Yahyah cukup teruja selepas berjaya menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Amri berkata, bekerja keras semasa latihan, memberi komitmen kepada pasukan pada setiap masa, mengikut arahan jurulatih dan sentiasa bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan menjadi kunci utama dia berjaya mengekalkan prestasi terbaik sehingga kini.

Amri, 32, antara pemain paling senior yang masih mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, sekali gus dianggap sebagai role model terbaik kepada pemain-pemain muda yang lain.

Dia masih mampu menampilkan aksi konsistensi dalam setiap perlawanan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) dan ketika bersama skuad Harimau Malaya.
"Saya akan sentiasa bekerja keras bersama pemain-pemain lain, memberi komitmen yang tinggi dalam latihan dan menuruti setiap arahan jurulatih bagi memastikan saya berada dalam prestasi terbaik.

"Mengenai perlawanan dengan Barcelona ini, jaringan yang saya hasilkan adalah hadiah istimewa buat para penyokong setia Harimau Malaya.

"Saya melihat semua pemain negara bermain dalam satu pasukan dan kami beraksi dengan penuh disiplin serta memberi komitmen penuh pada perlawanan ini.

"Saya juga menganggap jaringan saya pada malam ini (kelmarin) tidak banyak beza dengan jaringan saya ketika bertemu Manchester United pada 2009 dahulu, namun kali ini ia terhasil menerusi serangan balas yang pantas dan kami menghukum kelalaian benteng pertahanan Barcelona," kata Amri dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Dalam aksi persahabatan menentang kelab gergasi England, United pada 18 Julai 2009 lalu, Amri meledak dua gol ketika pasukan negara tewas tipis 2-3.

Amri yang mula menyarung jersi kebangsaan pada Sukan SEA 2003 di Hanoi menegaskan, rakan-rakan sepasukan perlu bangkit dalam perlawanan-perlawanan selepas ini terutama ketika menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober depan.

Amri berkata, sesiapa sahaja yang menjadi pilihan jurulatih 'wajib' memberikan persembahan terbaik dan menetapkan dalam fikiran untuk menang demi maruah negara.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Saya hanya 'cuit' kaki Fabregas - Wan Zack



NEYMAR (tengah) cuba menghalang Fabregas (kiri) daripada menyerang Wan Zack (kanan) pada aksi di Stadium Shah Alam kelmarin.


ADA satu lagi cerita menarik di sebalik persembahan positif skuad Harimau Malaya meskipun tewas 1-3 kepada Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sudah tentu peminat-peminat tidak dapat melupakan insiden tegang antara pemain tengah skuad The Catalan, Cesc Fabregas dan pemain sayap FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor pada aksi tersebut.
Keberanian anak kelahiran Maran, Pahang itu bertikam lidah dengan pemain bertaraf dunia itu kini menjadi topik utama perbualan hangat peminat-peminat bola sepak tempatan termasuk menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memuji semangat juang Wan Zack.

Begitupun, situasi itu terkawal apabila Fabregas ditenangkan oleh rakan sepasukan, Neymar dan perlawanan diteruskan seperti biasa.

Mengulas lanjut, pemain berusia 22 tahun itu memberitahu, dia tidak menduga bekas pemain Arsenal itu cuba menyerangnya selepas melakukan terjahan.

"Situasi ketika itu, saya sedang merebut bola dengan dia (Fabregas). Benar, dia berjaya memegang bola tetapi saya hanya 'tercuit' sedikit sahaja kakinya.

"Tiba-tiba dia meluru ke arah saya dan sudah tentu saya perlu mempertahankan diri tetapi saya bersyukur kerana tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku kerana perlawanan diteruskan seperti biasa.

"Ia bukan satu tindakan yang boleh dibanggakan (bergaduh dengan Fabregas) kerana bola sepak memupuk semangat setiakawan dan saya berharap insiden ini tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Jepun pada 23 Julai lalu, Wan Zack akan pulang ke Okinawa hari ini sebelum menyertai skuad Harimau Muda untuk aksi Pesta Bola Merdeka di Kuantan, Pahang bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

'Gol saya untuk semua'

'Gol saya untuk semua' Barisan bintang Barcelona meraikan kemenangan menentang skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan, malam tadi. Barcelona menang 3-1.
Amri harap jaringan tunggal beri semangat untuk Harimau Malaya bangkit, khasnya bagi baki kempen Kelayakan Piala Asia 2015

Penyerang veteran berusia 32 tahun, Amri Yahyah terus membuktikan dirinya harus menjadi contoh kepada pemain muda lain di negara ini menerusi sikap dan kesungguhannya di atas padang.

Selepas mencipta sejarah menjaringkan dua gol ketika skuad kebangsaan tewas 3-2 kepada Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2009, Amri mengulangi sentuhan magisnya itu di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Biarpun keputusan sepenuh masa, skuad Harimau Malaya tewas 3-1 kepada kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, rembatan kencang Amri pada minit ke-39 gagal diselamatkan penjaga gol, Victor Valdes untuk seketika mengikat kedudukan 1-1.


Gol untuk semua

“Bagi saya tiada beza sangat jaringan tadi (semalam) dengan dua jaringan ketika bertemu United, empat tahun lalu. Gol terhasil ketika satu serangan balas dan kita berjaya menggunakan sepenuhnya peluang terhidang selepas kelekaan dua pertahanan kiri dan kanan Barcelona yang naik ke atas.

“Gol ini saya adalah untuk semua. Apa yang berlaku ini memberi satu semangat untuk pasukan terus bangkit pada perlawanan akan datang. Cuma pasukan jangan lalai dan fokus meneruskan perjuangan,” kata Amri pada sidang media selepas perlawanan.

Penyerang Selangor itu turut memuji rakan sepasukannya yang lain dengan berkata: “Untuk perlawanan ini, semua pemain memberi kerjasama tinggi dan bermain secara berpasukan. Harap semua ini diteruskan untuk baki kempen Kelayakan Piala Asia 2015.”

Misi 33 masih 'menyala'


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad Gergasi Merah berhak untuk dinobatkan sebagai juara pada kempen Piala Malaysia 2013.

Irfan menyuarakan keyakinan itu berdasarkan tiga faktor utama.
“Kami berjaya membuktikan kualiti sebenar kami pada saingan Liga Super musim ini. Selangor menjadi pasukan yang merekodkan kekalahan paling sedikit iaitu dua kali sepanjang kempen tersebut.

“Kedua, selaku juara 32 kali pada kempen Piala Malaysia, Selangor berjaya menewaskan pasukan yang menduduki kelompok empat teratas pada saingan Liga Super musim ini termasuk juara, Lions XII.

“Selain itu, Selangor juga mahu menyahut cabaran pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sekali gus memberikan ‘hadiah’ istimewa kepada bekas Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan penggantinya, Rosman Mohd. Ibrahim.

“Kami mahu menamatkan kempen Liga Malaysia tahun ini dengan mendakap sekurang-kurang satu trofi iaitu Piala Malaysia 2013,” kata Irfan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Irfan berkata, akan-anak buahnya berada dalam motivasi terbaik untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirainya pada 20 Ogos depan.

“Jika tanya saya kenapa Selangor patut dinobatkan sebagai juara, itulah jawapannya.

“Kami sentiasa optimis tetapi skuad Gergasi Merah sebenarnya boleh dikatakan seperti harimau yang ‘terluka’ pada kempen edisi ke-87 Piala Malaysia kali ini.

“Sebenarnya, Selangor patut menjulang trofi Liga Super musim ini tetapi tuah tidak menyebelahi kami apabila kami mencatat keputusan seri paling banyak (10 kali) selain terkandas di aksi suku akhir pada kempen Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT).

“Oleh sebab itu, kami tidak rela kempunan lagi dan saya optimis bahawa skuad kendaliannya saya akan berjuang habis-habisan untuk mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan meraih sekurang-kurang satu trofi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Perak itu menegaskan, skuad Gergasi Merah tetap meneruskan ‘Misi 33’ yang sering menjadi matlamat utama mereka pada kempen Piala Malaysia.

“Sudah tentu, kami telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali dan ‘Misi 33’ itu akan diteruskan sehingga kami berjaya merangkul kejuaraan tersebut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Selangor semakin terdesak untuk menjulang trofi Piala Malaysia dan kami akan fokus satu demi satu perlawanan,” ujarnya.

Untuk rekod, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor untuk aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2013.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Peminat kesal penganjur tukar venue perlawanan



TIGA penyokong Barcelona melihat pengumuman penganjur mengenai perlawanan menerusi sehelai kertas yang ditampal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


TINDAKAN penganjur menukarkan lokasi perlawanan antara Harimau Malaya dan Barcelona malam tadi mengundang kemarahan peminat sukan bola sepak di negara ini.

Keputusan untuk menggunakan Stadium Shah Alam berbanding lokasi asal iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil hanya dibuat lewat malam kelmarin, sekali gus mengakibatkan maklumat itu tidak sampai kepada para peminat.

Tinjauan Kosmo! Ahad di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapati masih terdapat ratusan penyokong yang berpusu-pusu memasuki pekarangan stadium secara berperingkat seawal pukul 9 pagi kerana tidak mengetahui perkara tersebut.

Kekecewaan jelas dilihat pada raut wajah masing-masing sejurus melihat beberapa keping kertas di pintu masuk stadium yang tertera mesej memberitahu penukaran venue perlawanan antara pasukan Harimau Malaya dan Barcelona.

Bukan itu sahaja, wakil penganjur perlawanan itu iaitu BSC Soccer (M) Sdn. Bhd. juga tidak kelihatan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menerangkan kepada orang ramai tentang perkara tersebut.

Rata-rata peminat berpendapat, perkara itu tidak seharusnya berlaku terutamanya pada hari perlawanan dijadualkan berlangsung.

Ahmad Afendy Mansor, 25, berkata, dia dan rakan-rakannya dari Batang Kali, Selangor hanya mengetahui perkara tersebut sejurus sampai ke stadium pada pukul 2 petang.

“Memang benar kita hidup pada zaman teknologi canggih, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur kena juga fikir ada kalanya tidak semua maklumat akan sampai kepada orang ramai dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Dzulfitri Mohd. Azmi, 22, pula berpendapat, pihak penganjur patut mengemukakan permintaan maaf secara terbuka kepada orang ramai kerana telah menyusahkan mereka ekoran keputusan tersebut.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohd. Azhar Musa, 37, berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM3,000 ekoran penukaran lokasi perlawanan tersebut.

Sementara itu, Perbadanan Nasional Malaysia mengesahkan semalam bahawa kualiti padang Stadium Nasional, Bukit Jalil telah mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Teknikal Penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Ahmad Halmi Harun berkata, padang tersebut telah dibaiki sejak dua bulan lalu selepas mendapat teguran jawatankuasa tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut telah menegur keadaan padang yang pada ketika itu tidak sekata dan tindakan telah diambil bagi meratakan permukaan padang tersebut.

“Seminggu sebelum perlawanan ini berlangsung, jawatankuasa tersebut juga telah mengesahkan padang itu boleh digunakan.

“Oleh itu, kami agak sedih apabila secara tiba-tiba Barcelona membuat keputusan yang sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini, Barcelona ada mengadakan latihan di Stadium Shah Alam dan mungkin selepas itu mereka membuat perbandingan keadaan padang di kedua-dua stadium tersebut.

Harimau Malaya 'dibaham' Barcelona



AMRI (kanan) menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona di Stadium Shah Alam malam tadi.


MESKIPUN beraksi tanpa kelibat bintang sensasi, Lionel Messi, aksi Barcelona masih mampu memukau hampir 40,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Shah Alam malam tadi.

Diketuai kapten Xavier Hernandez selain barisan bintang lain antaranya Andres Iniesta, Cesc Fabregas, Gerard Pique serta permata baharu Neymar, Barcelona ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kemenangan 3-1.

Biarpun tumbang, Harimau Malaya boleh menghela nafas lega kerana tidak diratah kelab gergasi Sepanyol itu yang sebelum ini membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 dan skuad Bawah 23 tahun Thailand, 7-1.

Pada aksi malam tadi, skuad The Catalan terlebih dahulu menguji kekebalan benteng pertahanan Harimau Malaya menerusi percubaan Sergio Busquets tetapi berjaya digagalkan oleh penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ke-17.

Berselang dua minit kemudian, skuad negara hampir berjaya mengejutkan pasukan gergasi Eropah itu sebaik Norshahrul Idlan Talaha berjaya melepasi pertahanan Barcelona yang diketuai oleh Gerard Pique tetapi percubaan penyerang Johor Darul Takzim itu sekadar terkena tiang gol lawan.

Barcelona akhirnya membuka jaringan menerusi Fabregas apabila bekas pemain Arsenal itu tidak bermasalah memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri, Jordi Alba pada minit ke-33.

Bintang Selangor, Mohd. Amri Yahyah menceriakan peminat-peminat Harimau Malaya apabila menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-40.

Begitupun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Barcelona sekali lagi berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan Neymar pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The Catalan terus mengasak benteng pertahanan skuad negara dan hasilnya mereka berjaya meledak gol ketiga menerusi Pique pada minit ke-75.

Skuad negara yang terdesak untuk mengurangkan defisit jaringan, gagal menjelmakan gol kedua apabila keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas menentang Barcelona, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal bertemu China untuk aksi pemanas badan pada 10 September depan.

Wan Zack teruja beraksi lawan Barca

Bukit Jalil: Pemain sayap muda negara, Wan Zack Haikal Wan Norpasti antara pemain skuad Harimau Malaya yang begitu teruja untuk turun beraksi menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ini kerana Wan Zack Haikal, 22, tiada dalam skuad ketika Harimau Malaya tewas 4-1 kepada Chelsea, 21 Julai lalu memandangkan dia ketika itu sedang menjalani proses pemulihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun.
Kecederaan buku lali sudah pulih

Namun ketika skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu berkunjung ke Tokyo, Jepun untuk siri tiga aksi persahabatan di sana, dua minggu lalu, Wan Zack Haikal dipanggil menyertai pasukan dan beraksi pada dua perlawanan terakhir bertemu Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

“Saya cukup gembira dan teruja untuk turun menentang Barcelona ini kerana ia bakal menjadi perlawanan ketiga saya selepas berehat tiga bulan kerana kecederaan buku lali. Persiapan saya ketika ini okey, tiada masalah.

“Semangat saya untuk skuad kebangsaan masih sama dan agak lebih juga kerana saya sendiri pun lama tak beraksi,” kata Wan Zack Haikal ketika ditemui selepas latihan, petang semalam.