LONDON - Louis Saha (gambar) mengumumkan persaraannya daripada arena
bola sepak pada ulang tahun kelahirannya yang ke-35 semalam.
Penyerang kelahiran Perancis itu pernah mengalami musim sensasi
bersama kelab Liga Perdana England seperti Newcastle United, Fulham,
Manchester United, Everton, Tottenham Hotspur dan Sunderland.
"Saya membuat keputusan untuk bersara dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain muda.
"Saya harap mereka gembira bermain bola sepak seperti mana saya selama ini," kata Saha menerusi Twitter peribadinya semalam.
Saha yang mula beraksi sebagai pemain pinjaman Newcastle pada 1998
berhijrah dari satu kelab ke satu kelab sebelum mengakhiri kariernya
bersama Sunderland musim lalu.
Dia dilihat cukup menyinar semasa beraksi bersama United pada 2004
dan ia diakui bekas rakan sepasukannya di Old Trafford, Wayne Rooney.
"Saha merupakan gandingan terbaik saya setakat ini kerana mampu
memberikan ruang kepada penyerang lain menjaringkan gol meskipun dia
bertindak sebagai penyerang," kata Rooney.
Saha berjaya menjaringkan empat gol sepanjang 20 penampilan bersama skuad antarabangsa Perancis. - Agensi