Memaparkan catatan dengan label Mahali Jasuli. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahali Jasuli. Papar semua catatan

Selasa, 5 Februari 2013

Harimau Malaya elak malu besar



SKUAD Harimau Malaya turun dengan misi melakar kejutan ketika berdepan Qatar pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam ini.


ATAS kertas, keupayaan skuad Harimau Malaya dan Qatar boleh diibaratkan sebagai ‘langit dan bumi’.
Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan pada 17 Januari lalu, skuad Asia Timur itu kini menduduki tangga ke-106 dunia, jauh meninggalkan Malaysia (158).

Biarpun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi, barisan pemain negara tetap dituntut supaya berjuang habis-habisan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Hamad, Doha malam ini (11.30 malam waktu Malaysia).

Memang benar, kita perlu berpijak di bumi nyata. Namun, sekurang-kurangnya pemain Harimau Malaya perlu sedar betapa kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar malam ini hanya akan berterusan mengundang prestasi skeptikal peminat setia tempatan.

Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal juga tidak lagi memiliki masa untuk ‘bereksperimen’ berhubung barisan pemain yang diturunkan malam ini, sebaliknya perlu menyenaraikan skuad terkuat biarpun tempang tanpa kehadiran beberapa pemain utama.

Bukan apa, ‘sudah terang lagi bersuluh’ betapa ‘eksperimen’ yang diterapkan Rajagobal dilihat tidak menjadi sebaik gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Justeru, aksi berkualiti perlu dipamerkan anak-anak buah beliau supaya tidak terlalu mudah diperkotak-katikkan Qatar malam ini.

Mungkin peminat negara masih boleh menerima kekalahan Harimau Malaya asalkan mereka tewas dengan cara bermaruah.

“Kita perlu sedar Qatar dan kita cukup berbeza. Bukan mahu memberikan alasan tetapi itu hakikat yang perlu kita terima.

“Jadi, saya akan menerangkan kepada pemain berhubung strategi permainan supaya memberikan cabaran kepada Qatar,” kata Rajagobal ketika ditemui media tempatan kelmarin.

Malam ini, Rajagobal dijangka mempertaruhkan gandingan Amri Yahyah dan Khyril Muhymeen Zambri membentuk sentuhan penyudah berkesan sambil dibantu Norfarhan Muhammad, Azamuddin Akil, Shakir Saari dan Abdul Shukor Jusoh dari bahagian tengah.

Kapten pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak pula dilihat perlu bekerja keras mengemudi benteng pertahanan negara sambil dibantu Amiridzwan Taj Tajuddin, Mohamad Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar.

Pada masa sama, Qatar juga pastinya enggan pulang dengan tangan kosong malam ini, sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jurulatih baharu Qatar, Fahad Thani yang mengambil alih tugas jurulatih kelahiran Brazil, Paulo Autuori yang dipecat bulan lalu juga dilihat sudah ‘lulus ujian pertama’ sebaik anak-anak buahnya mengatasi Lubnan dengan kemenangan tipis 1-0 dalam satu aksi persahabatan minggu lalu.

Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain, masing-masing pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Ujian buat Rajagobal


RAJAGOBAL (kanan) akan meletak jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya sekiranya skuad kendaliannya gagal menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


TAHUN lalu, misi Harimau Malaya mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi mereka pada 2010, akhirnya terkubur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.

Disebabkan itu, nama Datuk K. Rajagobal tiba-tiba ‘panas’ apabila bertubi-tubi didesak supaya meletak jawatan oleh sebahagian besar peminat sukan bola sepak yang tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau selaku pengendali skuad kebangsaan.

Enggan tunduk kepada tekanan, Rajagobal sebaliknya mahu membantu merealisasikan sasaran skuad negara supaya layak ke pentas Piala Asia 2015 terlebih dahulu.
“Jika gagal membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, saya sendiri akan meletak jawatan,” kata Rajagobal ketika itu.

Begitupun, nasib seolah-olah tidak menyebelahi Rajagobal rentetan musibah kecederaan pemain negara menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar di Doha, 6 Februari ini.
Tempang tanpa nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Bunyamin Omar, situasi itu jelas meletakkan masa depan Rajagobal dalam keadaan bahaya.

Sedar atau tidak, kemampuan anak-anak buah Rajagobal mengekang ancaman Iraq dalam satu aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini pastinya menjadi peluang terakhir bagi menilai kemampuan sebenar beliau sama ada mampu atau tidak membantu skuad negara menyambar slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jika diikutkan, Rajagobal dilihat hanya menunggu masa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan ekoran strategi mahupun taktikal yang direncanakannya dilihat serba tidak menjadi pada kempen Piala Suzuki AFF yang lalu.

Keputusan Rajagobal yang enggan menyenaraikan arkitek Kelantan, Mohd. Bahri Radzi atau Piya biarpun dilanda krisis kecederaan pemain kali ini juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Bukan apa, peluang yang diberikan kepada Rajagobal sebenarnya bukan sedikit tetapi hasilnya tetap mengecewakan.

Justeru, persoalan sama ada Rajagobal bakal mengotakan janjinya atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my