Memaparkan catatan dengan label B. Sathianathan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label B. Sathianathan. Papar semua catatan

Ahad, 13 Oktober 2013

'Mungkin silap saya'


"IA kemahuan para pemain dan kami perlu menghormati kemahuan mereka."
Itu reaksi jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan ketika diminta mengulas isu pertukaran venue aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan pada 18 Oktober ini.

Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) yang pada mulanya meminta aksi tersebut diadakan di Stadium Shah Alam.

Namun, disebabkan banyak rungutan daripada barisan pemain ATM, PBAT meminta aksi itu kembali diadakan di gelanggang asal mereka - Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sathianathan mengakui kesilapannya sebelum ini yang terburu-buru mahu mengadakan perlawanan itu di stadium lebih besar dan selesa serta memiliki aspek kawalan keselamatan lebih bagus.

"Mungkin silap saya kerana sebaik sahaja kami melangkah ke separuh akhir, saya ada berbincang dengan pengurusan tertinggi pasukan dan mereka mencadangkan untuk mencari venue yang lebih besar dan selamat untuk aksi separuh akhir pertama itu.

"Saya tanpa berfikir panjang terus mengemukakan permohonan kepada FAM untuk kami bermain di Shah Alam. 

"Namun, pemain-pemain meluahkan kepada saya mereka tidak mahu bermain di Shah Alam kerana lebih selesa di Selayang.

"Saya terus mengemukakan perkara itu kepada pihak pengurusan dan mereka minta saya memohon untuk kami bermain di Selayang," kata Sathianathan kelmarin.

Sathianathan berkata, beliau telah menuruti segala kemahuan para pemainnya dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik ketika melayan kunjungan Kelantan di Selayang nanti.

"Kami akan menjalani latihan seperti biasa dan saya hanya memberi para pemain pelepasan sehari untuk Hari Raya Aidiladha dan selepas itu, kami akan kembali berlatih sebelum menentang Kelantan Jumaat ini.

"Saya lihat motivasi para pemain sangat baik dan saya harap ia dikekalkan sehingga sepak mula separuh akhir nanti," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

Semangat ATM berkobar-kobar




SELEPAS hanya mampu menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam menjulang Piala Malaysia musim ini.

Semangat ATM untuk mengucup Piala Malaysia semakin berkobar-kobar selepas skuad The Gladiators itu terlepas peluang muncul juara apabila tewas 2-3 kepada Kelantan pada aksi final di Stadium Shah Alam musim lalu.

Ibarat tampil dengan misi 'serampang dua mata', ATM kini mencongak peluang terbaik mereka untuk bergelar juara, sekali gus menebus dua kekecewaan tersebut.

Menurut pengendali ATM, B. Sathianathan (gambar), sasaran memburu Piala Malaysia tidak mustahil untuk direalisasikan selepas anak-anak buahnya bebas daripada masalah kecederaan.
"Selepas sekadar memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim ini, kami kini tiada pilihan selain perlu memenangi Piala Malaysia sebagai hadiah kepada pihak pengurusan serta penyokong ATM.
"Dalam saingan Liga Super, kami pada awalnya selesa berada dalam kelompok tiga teratas tetapi prestasi kami mula merudum pada penghujung musim.

"Situasi itu berpunca daripada masalah kecederaan pemain-pemain utama dan ia sangat mengecewakan saya," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sathianathan berkata, beliau turut berpuas hati dengan pengundian Piala Malaysia kali ini apabila ATM diletakkan dalam Kumpulan A bersama naib juara Liga Super, Selangor selain Sime Darby serta Johor.
Sebelum mencongak langkah lebih jauh, Sathianathan berkata, The Gladiators harus terlebih dahulu 'melangsaikan' aksi peringkat kumpulan sebelum menghidu slot suku akhir, separuh akhir mahupun final.

"Jika diberi pilihan, sudah pasti saya memilih untuk menentang Kelantan pada aksi final sekali lagi.
"Ini kerana musim lalu kami begitu hampir untuk mendakap Piala Malaysia tetapi dikecewakan dengan jaringan pada masa tambahan oleh (penyerang Kelantan) Indra (Putra Mahayuddin).

"Sejak saya membimbing pasukan, setiap musim saya layak ke final (Piala Malaysia). Pada 2009 dan 2010, saya bersama Kelantan.

"Namun, pada 2011 saya telah digantung dan tidak membimbing mana-mana pasukan sebelum saya membimbing Kelantan mara ke final musim lalu.

"Jadi saya berharap tuah akan sekali lagi memihak kepada saya untuk beraksi pada final Piala Malaysia musim ini," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 14 Julai 2013

Medan terbaik uji mental pemain - Sathianathan


JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan menganggap Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menjadi medan terbaik untuk menguji skuad kendaliannya.

Sathianathan berkata, kejohanan itu dilihat sebagai alternatif untuk menguji para pemain terutamanya barisan pemain muda skuad The Gladiators sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia tahun ini.
ATM selaku wakil kedua negara selepas Kelantan akan menentang juara Piala Singapura, Warriors FS (SG) pada 13 Ogos depan.

Bekas jurulatih Kelantan itu berkata, beliau tidak mahu barisan pemainnya mengambil mudah biarpun aksi itu dianggap sebagai medan pemanas badan untuk Piala Malaysia.

"Sudah tentu kami bangga sebab terpilih sebagai salah satu wakil negara beraksi dalam Kejuaraan FAM dan FAS itu.

"Apa yang pasti, ia merupakan satu ujian buat ATM sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia yang akan bermula pada 17 Ogos depan.

"Mungkin saya akan tumpukan kepada pemain-pemain muda untuk diketengahkan pada aksi ini, tetapi dalam masa yang sama, saya menuntut satu sikap serius, komitmen dan kesungguhan daripada setiap pemain ATM.

"Saya mahu mereka menang satu piala dan kami berharap persiapan ATM akan berjalan dengan baik untuk kejohanan itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Sathiantahan mengakui cabaran lebih sukar menanti The Gladiators kerana beliau yakin persembahan skuad kendaliannya akan terjejas apabila bermain atas padang rumput tiruan.

"Jika main di Stadium Jalan Besar, kemungkinan kami akan berdepan kesukaran kerana susah untuk beraksi di atas padang rumput tiruan.

"Kami anggap kejohanan ini sebagai sebahagian daripada sesi latihan kami sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia.

"Saya harap kepulangan Hairuddin Omar dan Marlon Alex James yang baharu pulih dari kecederaan, mampu memberikan keputusan positif kepada pasukan ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 14 April 2013

ATM sasarkan satu lagi piala



BARISAN pemain yang menggalas cabaran skuad ATM dalam saingan Liga Super musim ini.


MUSIM lalu, hasrat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memburu ‘bonus tambahan’ sebaik muncul juara Liga Premier tidak kesampaian apabila dijinakkan Kelantan pada final Piala Malaysia.

Berjaya menepati sasaran awal layak ke saingan Liga Super musim ini, impian pengendali The Gladiators, B. Sathianathan tidak terhenti setakat itu.

Buktinya, mereka berjaya melunas dendam terhadap Kelantan apabila menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) pada awal musim ini.

Selain berhasrat mahu menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini, Sathianathan tidak menyembunyikan hasrat untuk sekurangkurangnya mendakap satu lagi trofi musim ini.

Dalam aksi Liga Super, ATM yang kini di tangga keempat dengan 18 mata masih ketinggalan lima mata di depan peneraju liga, Lions XII (sebelum aksi malam tadi).

Namun, mereka boleh melupakan impian menjulang trofi Piala FA apabila terkandas seawal pusingan pertama selepas tumpas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Selangor dalam aksi yang penuh kontroversi sebelum ini.

Ternyata, kekalahan itu terpaksa dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh ATM apabila terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak utama seperti Shukor Adan, Fitri Omar, G. Jeevananthan dan R. Surendran dalam beberapa perlawanan liga selepas didapati bersalah bertelagah dengan pemain Selangor ketika itu.

Mahu atau tidak, hanya Piala Malaysia sahaja yang tinggal untuk dikucup barisan skuad The Gladiators musim ini sekiranya gagal mengejar kedudukan Lions XII di singgahsana liga.

“Selain satu trofi, saya juga berharap kami berjaya menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana saya percaya barisan pemain ATM pastinya mahu menjadikan ia bukan sekadar impian,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

‘Kuda Tua’ kekal jadi taruhan Sathianathan

BIARPUN tidak lagi dibarisi beberapa pemain utama seperti Zaquan Adha Abdul Razak, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim yang berhijrah ke Johor Darul Takzim musim ini, Sathianathan tidak mudah melatah.

Sebaliknya, resipi kejayaan beliau yang menaruh keyakinan terhadap ‘kuda tua’ seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar, Rezal Zambery Yahya dan Irwan Fadzli Idrus tampak menjadi.

Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof, 33, juga dikhabarkan bakal menyarung jersi The Gladiators sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup 22 April ini.

“Saya percaya Nizaruddin masih mempunyai sentuhan penyudah berkesan dan bakal menjadi antara watak penting kami musim ini.

“Ketika ini, proses mendapatkan Nizaruddin dilihat berjalan lancar dan jika tiada aral dia akan menyertai kami dalam masa terdekat,” kata Sathianathan.

Selain magis yang dimiliki pemain veteran, sentuhan pemain muda ATM seperti Affizie Faisal Mamat, K. Reuben dan Amirizwan Taj Tajuddin juga mampu memastikan hasrat Sathianathan bukan sekadar mimpi indah musim ini.

Kerapuhan benteng ATM meresahkan

BEGITUPUN, Sathianathan tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya terhadap kerapuhan benteng pertahanan ATM yang bolos sebanyak 13 kali dalam saingan liga musim ini.
Menurutnya, ia satu perkembangan negatif dan wajar diperbaiki segera jika enggan berputih mata kali ini.
“Ia sesuatu yang cukup berbeza berbanding musim lalu, ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya enggan menyalahkan mana-mana pemain secara individu berhubung perkara ini, jadi ia perlu diatasi secara menyeluruh dengan kerjasama sepasukan.

“Kami perlu memastikan benteng pertahanan tidak lagi goyah seperti mana yang kami buktikan musim lalu,” kata Sathianathan.

Sathianathan memberitahu, kekuatan ATM sewajarnya seimbang dalam segenap posisi dan ia perlu dikekalkan secara konsisten dalam setiap perlawanan.

ATM dekati peminat

DALAM pada itu, Sathianathan juga gembira dengan komitmen yang dipamerkan anak-anak buahnya menunaikan tanggungjawab sosial mendekati peminat seperti mana di Bagan Datoh, Perak baru-baru ini.
“Apabila pemain mendekati peminat dalam mana-mana klinik bola sepak, ia secara tidak langsung memupuk semangat barisan pemain pelapis.

“Komitmen yang ditunjukkan kesemua pemain yang terlibat wajar dipuji, saya cukup bangga dengan mereka.

“Ia akan diteruskan dari semasa ke semasa, mungkin selepas ini akan diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan sebaik saingan liga tamat,” jelasnya.

Ahad, 10 Februari 2013

ATM tidak gemar 'goyang kaki'



ZULKIFELI (tengah) bergambar bersama pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sebelum aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur kelmarin.


BIARPUN saingan Liga Super dihentikan seketika buat masa ini, barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap tidak ‘goyang kaki’ semata-mata.

Kelmarin, anak-anak buah B. Sathianathan dilihat cukup garang apabila membenam cabaran Platun Media Rejimen 515 Wataniah (Platun Media) 8-1 dalam satu aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ternyata, kemenangan itu mampu menjadi sebagai penyuntik moral terbaik buat The Gladiators menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebaik saingan Liga Super bersambung Sabtu ini.

Kapten ATM, Hairuddin Omar memberitahu, aksi pemanas badan itu merupakan yang pertama buat mereka selepas saingan Liga Super dihentikan seketika dua minggu lalu.
“Biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan, kami tetap tidak memandang mudah cabaran Platun Media dan memberikan yang terbaik.
“Aksi sebegini penting buat kami kerana ia dapat membantu kami mengekalkan kecergasan selepas berehat panjang,” kata Hairuddin.
Dalam perlawanan itu, Hairuddin yang mesra dengan panggilan Hai-O membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila meledak dua gol.

Tidak ketinggalan turut mencatatkan nama selaku penjaring ATM dalam perlawanan itu termasuklah Marlon Alex James (dua gol), Rezal Zambery Yahya (dua gol) sementara dua lagi gol dijaringkan sendiri oleh pemain Platun Media.

Gol saguhati Platun Media pula dijaringkan oleh Noor Asrekuzairey Salim pada awal babak kedua.

Terdahulu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin merasmikan perlawanan persahabatan itu.

Kapten Platun Media, Mohd. Naim Aziz mengakui perasaan gugup sebahagian besar rakan-rakan sepasukannya yang pertama kali berdepan finalis Piala Malaysia itu sedikit sebanyak menjejaskan persembahan mereka.

“Begitupun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk menguji mana-mana pasukan dari Liga Super selepas ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my