Memaparkan catatan dengan label Datuk Hamidin Mohd. Amin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Hamidin Mohd. Amin. Papar semua catatan

Selasa, 3 September 2013

Tiga FA negeri ada masa seminggu



HAMIDIN menjawab pertanyaan pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merupakan tiga daripada ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberitahu, ketiga-tiga persatuan tersebut telah diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan jawatankuasa tersebut.

“FAP diberi kelonggaran dalam menubuhkan jawatankuasa itu memandangkan mereka baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agung bagi pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu.

“Mereka sudah mempunyai kerangka kerja mengenai penubuhan jawatankuasa ini dan telah mengenal pasti calon-calon jawatankuasa.

“Sarawak dan Johor pula mengesahkan mereka sudah membentuk Jawatankuasa Integriti secara tidak rasmi, namun mereka meminta sedikit masa kepada FAM bagi memuktamadkan penubuhan jawatankuasa itu dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas FAM bersama anggota gabungan yang dihadiri hampir 20 Setiausaha Agung negeri dan kelab di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberikan amaran kepada setiap persatuan bola sepak (FA) negeri agar mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi menangani kes rasuah yang dipercayai berlaku dalam saingan arena bola sepak tempatan.
“Sebenarnya kita (FAM) telah menulis surat kepada setiap FA negeri berhubung perkara yang sama pada tahun lepas. Selain tiga daripada 16 persatuan tersebut, mereka telah lama mewujudkan Jawatankuasa Integriti. 

“Dalam kes FAP, mereka dijangka mewujudkan jawatankuasa itu minggu depan.
“Dua lagi persatuan (FAS dan PBNJ), mereka akan mengambil tindakan cepat untuk menjadikan Jawatankuasa Integriti sebagai satu tugas yang rasmi.

“Mungkin status jawatan dua persatuan tersebut kita akan dapat tahu hari ini (semalam) atau esok (hari ini),” tambah Hamidin.

Hamidin berkata, sehingga kini 12 anggota gabungannya sudah membentuk Jawatankuasa Integriti masing-masing iaitu Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Untuk rekod, FAM telah mewujudkan Jawatankuasa Intergriti pada 2010 dan kempen integriti diperkenalkan secara rasmi dalam aksi final Piala FA 2011 yang menemukan Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan, Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri harus mengemukakan laporan kepada FAM pada setiap bulan.

“Mereka harus menghantar laporan pada setiap bulan berdasarkan aduan (kes) yang diterima oleh jawatankuasa tersebut.

“Ketua jabatan FAM, Osman Bakar akan memantau Jawatankuasa Integriti peringkat negeri dan beliau akan membawa (laporan) itu ke peringkat FAM yang dipengerusikan oleh (Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM) Tan Sri Aseh Che Mat,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 14 Ogos 2013

Tidak ada sentimen peribadi


JUNIOR (gambar kecil) dan Nik Shahrul dua dari kanan akan menyarung jersi skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang China, 10 September depan.


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan bahawa tiada sentimen peribadi antara ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Hamidin memberikan kenyataan itu berhubung pemilihan dua pemain muda, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Eldstal yang akan menyertai skuad kebangsaan bagi mengharungi aksi persahabatan menentang China, 10 September depan.

Hamidin memberitahu, pemilihan tonggak pertahanan Kelantan dan Sarawak itu mendapat persetujuan kedua-dua jurulatih tersebut.

Jelasnya, FAM sentiasa mencari pendekatan terbaik buat kedua-dua pasukan negara kerana pihaknya menyedari Harimau Malaya kini berusaha untuk memburu slot automatik ke Piala Asia 2015 di Australia, manakala Harimau Muda berdepan dengan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar, Disember depan.

“Tiada sebarang sentimen antara Rajagobal mahupun Kim Swee kerana FAM telah bersetuju untuk membenarkan Nik Shahrul dan Junior menyertai Harimau Malaya yang akan beraksi di China.

“Selepas berbincang dengan kedua-dua jurulatih (Rajagobal dan Kim Swee), FAM tiada masalah untuk melepaskan kedua-dua pemain ini menyertai Harimau Malaya.

“Berdasarkan situasi sekarang, FAM telah bersetuju dan perlawanan menentang China dianggap penting buat Harimau Malaya bagi memperbaiki ranking.

“Begitu juga dengan Harimau Muda yang bakal mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka pada masa yang sama tetapi kedua-dua pengendali ini memiliki tugasan berat tersendiri. Saya percaya pemilihan dua pemain ini tidak akan memberikan masalah besar kepada skuad kendalian Kim Swee.
“Lebih penting adalah Penunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka memburu slot automatik ke Piala Asia dan mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemilihan Nik Shahrul dan Junior mencetuskan persoalan kepada pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat skuad negara apabila masing-masing mempertikaikan pemilihan itu.

Ia dikatakan akan menjejaskan perancangan Kim Swee selepas kehilangan dua tonggak penting dalam pasukannya untuk aksi kejohanan Pestabola Merdeka.

Ini kerana mereka menganggap kejohanan tersebut dianggap lebih penting berbanding aksi persahabatan biasa, sekali gus mencetuskan tanda tanya kepada peminat-peminat bola sepak tempatan.

Begitupun, Hamidin sekali lagi memberikan respons pantas dengan memberitahu bahawa, pemilihan tersebut tiada kena mengena dengan sentimen yang diwar-warkan oleh mana-mana pihak.

“Seperti yang saya katakan tadi, tiada sebarang sentimen berlaku. Kedua-dua jurulatih telah mencapai kata sepakat dan perkara ini tidak harus disensasikan oleh mana-mana pihak.

“Skuad Rajagobal akan berusaha untuk memperbaiki ranking, manakala skuad Kim Swee akan bersaing dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka. Jadi, kedua-dua pasukan ini memiliki peluang terbaik dalam usaha merealisasikan KPI mereka,” katanya.

Rajagobal melepaskan pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Noor dan pemain tengah Mohamad Nazmi Faiz Mansor untuk menyertai skuad muda negara itu dengan memberi alasan Nik Shahrul dari Kelantan dan Junior adalah tonggak penting bahagian pertahanan Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang meskipun dilihat beliau berdepan situasi sukar apabila mengalami kepincangan di posisi pertahanan selepas Shahrul Saad dan Mohd. Amer Saiden masih ditimpa kecederaan sejurus ‘kehilangan’ Nik Shahrul dan Junior.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh Rajagobal dan saya akan menggunakan pemain yang sedia ada bagi membentuk skuad terbaik untuk menghadapi Pestabola Merdeka nanti,” kata Kim Swee.
Dalam saingan Pestabola Merdeka, Harimau Muda bakal berdepan skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura, Thailand dan Myanmar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

FAM terkena tempias


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi penganjur perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya pada masa akan datang.

Hamidin berkata, mereka perlu lebih peka dengan persiapan-persiapan seperti venue, isu kandungan kontrak dan sebagainya.

Bagi mengelak penganjur 'memijak kepala' badan induk bola sepak negara itu, Hamidin menegaskan bahawa mereka akan memperkenalkan satu perjanjian dengan pihak terbabit supaya tidak melanggari kuasa FAM.

FAM akan lebih berhati-hati dan tidak memandang ringan mengenai insiden pertukaran venue yang berlaku pada aksi menentang Barcelona yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 1-3 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Situasi itu senada dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahukan pihak-pihak penganjur melakukan kajian secara terperinci.

"FAM perlu bertegas dengan penganjur pada masa depan. Malah, kami sealiran dengan Khairy yang mahu penganjur peka dengan persiapan venue dan isi kandungan kontrak.

"Mereka tidak boleh membuat perjanjian yang melanggari kuasa FAM. Ada beberapa elemen yang perlu dibuat. Jika dulu, sepatutnya jurulatih luar mesti mengadakan sesi pengajaran dan berkongsi pengalaman dengan jurulatih-jurulatih tempatan yang mana ia memberikan faedah kepada FAM.

"Namun, perkara itu berlaku kali ini. Saya akan pastikan semua penganjur mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh FAM. FAM hanya membantu dari aspek teknikal dan pengadil. 

"Tak pasal-pasal FAM kena tempias sedangkan pihak penganjur yang bertanggungjawab dalam kes ini. Kami tidak boleh memandang ringan perkara ini tetapi ia menjadi satu pengalaman kepada FAM dan pihak penganjur itu sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Shah Alam semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, ramai pihak tidak berpuas hati dengan keputusan penganjur yang mengubah venue perlawanan pada saat-saat akhir.

Barcelona sebelum ini bersetuju untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun disebabkan padang tidak berkualiti, kelab gergasi Sepanyol itu mengambil keputusan untuk bertukar venue ke Stadium Shah Alam.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut mengulas mengenai isu pertukaran stadium yang menjadi kecaman pelbagai pihak selain pertikaian kualiti padang sebagai stadium utama negara.

"Sebelum perlawanan, Barcelona dah lihat beberapa kali padang di Stadium Nasional bukit Jalil. Dalam masa yang sama, mereka turut tengok keadaan di Stadium Shah Alam.

"Ketika menjalani sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka berpendapat permukaan padang di sana tidak rata.

"Jadi, mereka tidak mahu meneruskan aksi di stadium tersebut dengan meminta perlawanan diadakan di Stadium Shah Alam.

"Selepas berbincang dengan pihak penganjur, kami bersetuju untuk menukar demi kebaikan semua dan dari segi teknikal, FAM tidak bersalah serta pihak penganjur yang harus disalahkan tetapi nama FAM juga yang 'busuk'.

"Kami tidak rugi tetapi ia memberikan kesan dari segi moral tetapi jika tanya saya, pertukaran venue itu adalah keputusan terbaik meskipun ada beberapa kelemahan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 24 Julai 2013

Tindakan 'tidak beri muka' kepada Raja satu keputusan bijak

 
Tindakan 'tidak beri muka' kepada Raja  satu keputusan bijak Rajagobal memilih perlawanan persahabatan dengan kelab Chonburi FC dan mempersiakan peluang mengutip mata menentang lawan lebih baik seperti Arab Saudi dan Iraq, awal tahun ini. mempersiakan peluang mengutip mata ketika menentang lawan lebih baik seperti Arab Saudi dan Iraq, awal tahun ini. KUALA LUMPUR 16 Julai 2013. Ahmad Fakri Shaari (jersy 13) mengasak bola dengan pemain Chonburi FC perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Hasriyasyah Sabudin
 
Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘tidak memberi muka’ kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal membatalkan aksi persahabatan antarabangsa berstatus kelas A mulai tahun depan, adalah satu keputusan bijak.

Selepas mempersiakan peluang mengutip mata ketika menentang lawan lebih baik seperti Arab Sa udi dan Iraq, awal tahun ini, pendirian tegas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin itu sepatutnya dilihat dari sudut positif dalam usaha meningkatkan kualiti dan ranking skuad kebangsaan.
Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata setiap peluang harus digunakan sebaik mungkin bagi memperkasakan prestasi Harimau Malaya.


“Kalau lawan kelab, ia lebih kepada kepuasan peminat yang mahu menyaksikan bintang dunia beraksi tetapi kalau menentang pasukan negara lain, ia ada kepentingan buat pasukan kebangsaan kita. Lupakan soal keputusan dan sekurang-kurangnya ia boleh memperbaiki kedudukan negara dalam ranking dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Namat sependapat

Semalam, Hamidin dilaporkan berkata tiada lagi keistimewaan untuk Rajagobal membatalkan sewenang-wenangnya perlawanan antarabangsa berstatus kelas A dan menukar kepada perlawanan ujian yang tidak menawarkan mata kepada ranking skuad negara, mulai tahun depan.

FAM sudah menghantar surat kepada beberapa negara dari rantau Asia Tenggara, Afrika serta Eropah untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa itu.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah yang sependapat dengan Raja Ahmad Zainuddin berkata, Rajagobal seharusnya tidak mempersia-siakan peluang yang ada.

“Jangan siakan peluang yang ada dan gunakan setiap peluang itu dengan sebaik mungkin sekali gus dapat membantu meningkatkan ranking pasukan negara,” katanya
 
 
BERITA HARIAN

Isnin, 22 Julai 2013

FAM dituntut baiki ranking

Oleh Mohd Amin Jalil | bhsukan@mediaprima.com.my 
Seremban: Mahu atau tidak, pengurus dan jurulatih Harimau Malaya - Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk K Rajagobal - mulai hari ini harus segera mengubah pendirian serta falsafah mereka mengenai kedudukan ranking.

Ini kerana selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan ranking penting, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut senada.
Khairy menegaskan mana-mana pasukan di dunia jelas memburu kedudukan terbaik dari segi ranking kerana itu adalah penilaian sebenar terhadap sesebuah pasukan kebangsaan.


"Kita dapati mana-mana pasukan kebangsaan yang berjaya di kejohanan besar menduduki tangga atau ranking yang tinggi di dunia, jadi tidak boleh kita katakan bahawa kedudukan kita dalam ranking dunia tidak penting.

"Saya setuju bahawa kedudukan itu bukan segala-galanya kerana jika dapat ranking nombor satu tidak semestinya menang Piala Dunia, tetapi ia ada persamaannya iaitu negara yang tinggi ranking akan berjaya dalam kejohanan besar atau bertaraf antarabangsa.

Eksperimen ranking

“Jadi kalau kita menafikan ranking tidak penting, saya nampak ia bukan perkara yang produktif," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rakan Muda Ihya Ramadan Peringkat Negeri Sembilan 2013, di Masjid At-Taqwa Paroi, malam kelmarin.
Khairy turut berharap FAM merumuskan formula terbaik ketika membuat eksperimen antara beraksi menentang kelab atau perlawanan kelas A kerana pada akhirnya rakyat akan menilai pasukan kebangsaan melalui ranking.

“Takkan kita boleh berbangga dengan kedudukan ranking 150 hingga 160 itu.
Jadi kita carilah pendekatan yang lebih seimbang ketika membuat eksperimen antara bermain dengan kelab atau pasukan berstatus amatur dan kelas A.

"Pada masa sama kita juga haruslah kerap bermain dalam perlawanan persahabatan berstatus A, sebab penanda kita dengan pasukan negara lain bukannya dengan pasukan kelab, apalagi kelab berstatus amatur," katanya. 
 
Berita Harian

Selasa, 9 Julai 2013

'Sang juara' terima habuan hari ini



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain serta pegawai skuad Pulau Pinang meraikan kejayaaan muncul juara Liga FAM 2013 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Jun lalu.


KESEMUA pemenang Liga Malaysia (Liga M) meliputi juara Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM akan menerima hadiah kemenangan serta insentif tahunan yang akan dikreditkan ke dalam akaun pasukan masing-masing hari ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, selain hadiah kemenangan serta insentif berkenaan yang berjumlah RM5.132 juta, pasukan tuan rumah yang mendapat liputan perlawanan secara langsung daripada Astro sepanjang musim ini turut akan menerima bayaran pampasan berjumlah RM950,000.

"Bayaran kepada pegawai perlawanan kejohanan bawah umur seperti bawah 17 tahun dan bawah 14 tahun hampir RM200,000 turut akan dikreditkan esok (hari ini) termasuk subsidi untuk Liga Futsal Kebangsaan 2012 yang turut berjumlah RM700,000 dan kesemua bayaran ini melibatkan wang tunai berjumlah RM8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan perpisahan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mempersoalkan wang penajaan RM30 juta setahun yang diterima FAM daripada Astro untuk hak penyiaran Liga M yang sepatutnya diagihkan kepada pasukan tempatan yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata, FAM tidak akan berganjak dengan keputusan asal mereka untuk tidak membenarkan mana-mana pasukan yang layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia meminjam pemain pasukan lain.

Katanya, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan pasukan bola sepak tempatan melalui beberapa seminar dan taklimat yang diadakan oleh FAM pada awal tahun ini.

"Keputusan yang sama turut dicapai oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sejak awal tahun ini selain mengurangkan kerenah birokrasi di FAM yang mempunyai beberapa sekretariat.
"Pasukan hanya boleh menguatkan pemain menerusi dua pintu perpindahan pemain yang dibuka pada Januari dan April lepas," kata Hamidin.

Ahad lalu, penolong pengurus T-Team, Mohamed Sekanther Abdul Hamed dilapor sebagai berkata, wakil kelab Terengganu itu berhasrat meminjam tiga pemain yang beraksi di posisi penyerang, pemain tengah dan penjaga gol untuk memperkuatkan skuad The Titans bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Hamidin paling layak ambil alih tempat saya'



IMBAS... Hamidin (kanan) dan Azzuddin pernah saling bekerjasama di Wisma FAM.


"SAYA yakin beliau (Datuk Hamidin Mohd. Amin) tidak berdepan masalah dalam usaha merapatkan hubungan sesama ahli gabungan pada masa akan datang."

Demikian reaksi mantan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang menganggap Hamidin sebagai individu paling layak bagi menggantikan tempatnya.

Azzuddin yang kini dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkata, beliau percaya dengan pengalaman Hamidin yang terlibat dengan pengurusan bola sepak tempatan hampir 20 tahun mampu memberi impak lebih berkesan terhadap struktur pengurusan FAM pada masa akan datang.

"Saya memiliki latar belakang ketenteraan dan beliau (Hamidin) pula mempunyai pengalaman mentabdir dunia bola sepak tempatan hampir 20 tahun.

"Berbekalkan pengalamannya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Naib Presiden FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, saya yakin beliau tahu untuk menguruskan perkara-perkara yang sepatutnya.

"Tiada seorang yang sempurna termasuk saya. Mungkin ada kelemahan pada diri saya sendiri yang saya tidak dapat lihat tetapi mungkin ahli gabungan FAM di luar sana tahu kelemahan saya.

"Namun, saya tetap percaya kredibiliti Hamidin untuk memberikan penambah baikan kepada FAM di peringkat yang lebih tinggi," kata Azzuddin.

Terdahulu, Azzuddin yang mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah diraikan pada majlis perpisahan beliau sebagai Setiausaha Agung FAM di Wisma FAM semalam.

Sepanjang bertugas bersama FAM selama enam tahun, Azzuddin kerap menjadi tumpuan, baik dalam kalangan peminat, pemerhati bola sepak mahupun rakan-rakan beliau dalam badan induk itu terutama membabitkan Artikel 88.

Antara individu-individu yang pernah berdepan dengan Statut FAM itu ialah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin turut mengumumkan Australia bakal dilantik secara rasmi sebagai ahli gabungan AFF ke-12 pada 25 Ogos depan.

"Saya akui ada kebimbangan yang disuarakan ahli gabungan AFF seandainya mereka (Australia) berminat untuk menyertai Piala AFF 2014. 

"Namun, apa yang boleh saya sahkan adalah mereka tidak bercadang untuk menyertai kejohanan itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 18 Jun 2013

FAM terima teguran, kritikan




PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menerima kritikan dan pandangan pihak luar demi kebaikan semua pihak.

Bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar), beliau secara peribadi berpendapat FAM bukanlah sebuah badan yang ‘kebal’ sehingga tidak boleh ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak.

“Selaku Naib Presiden FAM, saya memandang setiap perkara daripada sudut positif yang mana kami harus menerima semua pandangan.

“Saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sebelum ini bertitah bahawa FAM perlu sikap lebih terbuka dan menerima segala kritikan.
“Ini kerana di sebalik perkara itu (kritikan), ada kemungkinan penambahbaikan yang perlu dilakukan demi kebaikan bersama,” jelas Hamidin kepada pemberita ketika ditemui di Istana Alam Shah, Klang semalam.

Terdahulu, Hamidin diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin yang seakan-akan ‘patah hati’ dengan FAM sehingga tidak lagi berminat menegur polemik yang terus melanda badan induk bola sepak negara itu.

Ketika itu, Khairy diajukan soalan oleh wartawan berhubung kemelut terbaharu FAM membabitkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri.

Perkara itu dipersoalkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menuntut jawapan daripada FAM mengenai wang tajaan berjumlah RM30 juta setahun yang diterima badan induk itu berhubung hak penyiaran perlawanan Liga M.

Pada masa sama, Khairy turut menegaskan bahawa FAM sepatutnya mendengar pendapat ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.

“Sudah tentu, (Khairy) sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai pandangan dan sebelum ini, beliau pernah menjadi Timbalan Presiden FAM.

“Kita kena terima kritikan dan bukan hanya FAM tetapi seluruh persatuan harus berubah kepada yang lebih baik.

“Saya anggap apa-apa masalah boleh selesai. Mungkin pada masa akan datang, kami akan mengadakan perjumpaan dengan Khairy bagi menerangkan situasi terkini atau perancangan program FAM untuk masa depan,” kata Hamidin.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my