Memaparkan catatan dengan label real Madrid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label real Madrid. Papar semua catatan

Ahad, 8 Disember 2013

Real hilang sengat tanpa Ronaldo



RONALDO tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Olimpic Xativa, kelmarin gara-gara menerima kad merah.


MADRID - Ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale dilihat menjejaskan rentak Real Madrid apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Olimpic Xativa dalam aksi pertama pusingan keempat Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.

Ronaldo tidak beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah semasa tewas kepada Atletico Madrid pada perlawanan akhir musim lalu sementara Bale diketepikan kerana menghidap selesema.

Dengan ketiadaan kedua-dua pemain itu, pengendali The Galacticos, Carlo Ancelotti mempertaruhkan gandingan penyerang muda, Alvaro Morata dan Jese Rodriguez.

Biarpun gagal memberikan impak yang diharapkan, Ancelotti tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Pemain tetap mempamerkan aksi yang baik, jadi saya tidak begitu bimbang dengan ketumpulan jentera penyudah.

"Namun, permukaan padang tiruan menjejaskan rentak permainan kami kerana kami tidak biasa beraksi di atas permukaan itu," kata Ancelotti.

Kedua-dua pasukan bakal berentap semula dalam aksi kedua di Santiago Bernabeu pada 19 Disember depan.

Dalam pada itu, juara bertahan, Atletico Madrid tidak berdepan masalah mengatasi Sant Andreu 4-0 dalam satu lagi aksi semalam.

Dalam perlawanan itu, dua gol jaringan Arda Turan serta satu gol masing-masing jaringan Raul Garcia dan David Villa sudah cukup untuk menjamin kemenangan selesa Atletico.

"Pemain berjaya memberikan komitmen yang cukup bagus, kami berjaya menguasai permainan dan kemenangan selesa ini benar-benar melegakan.

"Saya juga gembira dengan kemampuan pemain seperti Turan dan Garcia yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini," kata pengendali Atletico, Diego Simeone. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 November 2013

Ronaldo luar biasa


MADRID - Cristiano Ronaldo meledak hatrik kali ketiga musim ini ketika membantu Real Madrid membelasah Real Sociedad 5-1 pada aksi Liga Sepanyol di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.

Ronaldo membuka tirai jaringan pada minit ke-12 sebelum membantu penyerang Perancis, Karim Benzema menjaringkan gol kedua Real enam minit kemudian.

Bintang Portugal itu kemudian menambah gol ketiga Real menerusi sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum Gareth Bale membuka peluang kepada Sami Khedira untuk menjadikan kedudukan 4-0 berselang sepuluh minit kemudian.

Ronaldo melengkapkan aksi cemerlangnya di depan ribuan penyokong sendiri dengan gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-76, sekali gus menambah koleksi 24 jaringan dalam 17 perlawanan setakat ini.

Antoine Griezmann pula menjaringkan gol tunggal Soceidad pada minit ke-61.

Kemenangan itu menyaksikan Real kini ketinggalan dua mata di belakang jiran setempat, Atletico Madrid dan tiga mata mengekori pendahulu, Barcelona.

"Kami mendapat gol dengan pantas dan semuanya berjalan dengan baik. Selepas mendahului 4-0, kami beraksi lebih tenang dan perlahan pada babak kedua.

"Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan cara permainan kami meskipun kami gagal mengekalkan rekod kemenangan sepenuhnya, namun kami masih tetap mencipta kejayaan," jelas Ronaldo.

Sementara itu, jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata: "Ronaldo seorang pemain luar biasa. Dia tenang menjaringkan gol dan sukar untuk mencari pemain sepertinya di dunia ini.

"Saya rasa kami bermain dengan sempurna pada babak pertama. Kami beraksi dengan kepantasan serta efisyen di depan gol. 

"Babak kedua kami memperlahankan sedikit tempo permainan, kami berdepan beberapa masalah di bahagian belakang, namun keseluruhannya, pemain pertahanan kami masih bagus," jelas Ancelotti. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 30 Oktober 2013

Ronaldo bengang komen Blatter


MADRID - Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo ternyata berang dengan kenyataan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter yang melabelkannya sebagai seorang 'komander di tengah padang'.

Bercakap dalam satu majlis di Universiti Oxford minggu lalu, Blatter menjelaskan, beliau lebih menggemari Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi berbanding Ronaldo yang disifatkannya lebih mementingkan gaya rambut.

Ronaldo juga berada di belakang Messi dalam tiga daripada empat undian anugerah Ballon d'Or, meskipun bintang Portugal itu pernah memenanginya sekali ketika bersama Manchester United pada 2008.

Ronaldo dan Messi sekali lagi tersenarai dalam senarai pendek 23 calon pemain bagi anugerah tersebut bagi tahun 2013.

"Video itu jelas menunjukkan tanggapan dan tahap rasa hormat FIFA kepada kepada saya, kelab saya dan juga negara saya.

"Semuanya telah terbukti sekarang. Saya harap Blatter akan terus sihat dan panjang umur supaya dia dapat menyaksikan kejayaan pasukan dan pemain kegemarannya," jelas Ronaldo dalam laman sosial Facebook miliknya.

Kenyataan Blatter itu jelas mencetuskan kemarahan Real dan Persekutuan Bola Sepak (FA) Portugal yang menghantar surat aduan kepada FIFA atas sikap Blatter.

Begitupun, Blatter mempertahankan kenyataannya itu sambil menjelaskan, beliau percaya Ronaldo memiliki kehebatan yang sama dengan Messi sebagai seorang pemain bola sepak.

"Saya mahu jelaskan bahawa bagi saya, Cristiano adalah sama hebat dengan Messi dan kedua-duanya adalah pemain luar biasa di dunia dalam cara tersendiri.

"Bukan niat saya untuk menimbulkan kemarahan atau tidak menghormati sesiapa termasuk pemain, peminat dan kelab Real Madrid," kata Blatter. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 27 Oktober 2013

Neymar gegar El-Clasico

BARCELONA - Gol jaringan Neymar dan Alexis Sanchez berjaya membantu Barcelona mengatasi seteru utama, Real Madrid 2-1 dalam aksi Liga Sepanyol di Nou Camp awal pagi semalam.

Dalam perlawanan itu, Neymar berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-19 apabila bijak memanfaatkan hantaran Andres Iniesta.

Neymar sekali lagi bertindak cemerlang apabila hantarannya berjaya disempurnakan Sanchez pada minit ke-78.

Gol saguhati Real pula dicetak oleh pemain gantian, Jese Rodriguez pada masa kecederaan.
"Berjaya menjaringkan gol dalam aksi 'El-Clasico' sememangnya cukup indah.

"Ia satu perlawanan yang dinanti-nantikan semua pemain dan ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat saya," kata Neymar.

Kecemerlangan Neymar dalam perlawanan itu juga membayangi kehebatan Lionel Messi dan Gareth Bale yang tampak tidak menjadi.

"Neymar berjaya membuktikan keupayaannya, cuma saya rasa dia pernah beraksi lebih bagus sebelum ini.

"Bagi saya, kemampuan Messi yang banyak membantu benteng pertahanan dalam perlawanan ini lebih wajar dipuji," kata pengendali The Catalan, Gerardo Martino. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 13 Oktober 2013

Bale disah cedera tulang belakang


REAL mengesahkan kecederaan Bale (kiri) tidak serius dan mampu beraksi menentang Juventus pada 23 Oktober dan Barcelona pada 26 Oktober ini.


MADRID - Pemain sayap bernilai £86 juta (RM433 juta), Gareth Bale disahkan mengalami kecederaan tulang belakang, demikian dedah kelabnya, Real Madrid semalam.

Namun Real menafikan bahawa Bale terpaksa menjalani pembedahan gara-gara kecederaan itu.
Tahap kecergasan Bale mula mengundang tanda tanya apabila hanya tampil sebagai pemain gantian The Galacticos dalam beberapa perlawanan Liga Sepanyol musim ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Bale mengalami kecederaan discal hernia sehingga menyebabkan dia gagal diturunkan sepenuh masa oleh pengendali Real, Carlo Ancelotti musim ini, namun ia disangkal pihak pengurusan Real.

"Bale tidak mengalami discal hernia sehingga memerlukan pembedahan, sebaliknya dia hanya mengalami kecederaan kecil pada disk spinal tulang belakang yang tidak akan menjejaskan peluangnya beraksi," kata Real dalam satu kenyataan semalam.

Ejen Bale, Jonathan Barnett juga membidas laporan media berkenaan dan menyifatkannya sesuatu yang tidak masuk akal.

"Bale pemain termahal dalam sejarah bola sepak. Jika ada sebarang masalah, sudah tentu Real menghentikan usaha mendapatkan khidmatnya sebelum ini," katanya.

Pemain sayap kelahiran Wales itu dijangka cergas sepenuhnya menjelang dua perlawanan getir berdepan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara pada 23 Oktober depan sebelum berdepan Barcelona dalam aksi liga domestik tiga hari kemudian. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 29 September 2013

Bale bermula dengan kekalahan


MADRID - Penantian panjang Gareth Bale untuk membuat penampilan sulung di Santiago Bernabeu berakhir dengan kekecewaan semalam, apabila Real Madrid kalah mengejut 0-1 kepada Atletico Madrid dalam perlawanan Liga Sepanyol.

Ini merupakan kekalahan pertama Los Blancos kepada musuh berjiran itu dalam tempoh 14 tahun, sekali gus ditinggalkan dengan lima mata di belakang dua pasukan teratas La Liga, Barcelona dan Atletico. 

Bale sekadar memanaskan bangku simpanan pada awal permainan dan hanya mampu melihat Koke melakukan hantaran untuk disempurnakan Diego Coasta, bagi meletakkan Atletico mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Pemain antarabangsa Wales itu kemudian dibawa masuk oleh Carlo Ancelotti pada babak kedua, namun dia tidak mampu memberi impak besar ketika Atletico mengekalkan rekod bersih 100 peratus pada kempen musim baharu. 

Atletico kini mengumpul 21 mata daripada tujuh perlawanan, hanya dipisahkan dengan perbezaan gol di belakang Barcelona, yang turut mencatat kemenangan ketujuh dengan menumpaskan Almeria 2-0, kelmarin. 

Biarpun memulakan musim dengan cemerlang, namun Koke menegaskan, Atletico masih belum memikirkan tentang kejuaraan kerana perjalanan liga masih panjang. 

"Kami sangat gembira dengan keputusan yang dicatat hari ini, ia adalah usaha bersama seluruh pasukan.

"Kami sedang mengharungi detik yang cemerlang dan mahu ia berterusan begini. Pengurus memberi beberapa arahan dan kami berjaya menjaringkan gol pembukaan dengan baik," ujar Koke. 

Ketua pasukan Real, Sergio Ramos pula mengakui, pasukannya perlu bangkit daripada kekalahan pertama musim ini dengan menunjukkan reaksi yang tepat. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 26 September 2013

Gol Ronaldo penyelamat

Berita Harian
 
Pertahanan Elche berasa mereka seperti kena rompak

Madrid: Cristiano Ronaldo menyumbat dua gol pada babak kedua untuk membantu Real Madrid mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Elche pada aksi Liga Sepanyol di gelanggang lawan, awal pagi semalam.

Gol pendahuluan Real hadir pada minit ke-50 menerusi sepakan percuma Ronaldo sebelum penyerang pinjaman dari Juventus, Richmond Boakye menyamakan kedudukan buat Elche pada minit pertama masa kecederaan.
Namun seminit kemudian Real dianugerahkan sepakan penalti kontroversi yang diberi pengadil selepas Pepe dikasari pemain Elche, Carlos Sanchez di dalam kotak penalti sewaktu sepakan percuma.



Sepakan penalti

Ronaldo yang mengambil sepakan penalti itu mudah menyempurnakannya untuk gol kemenangan Real.

“Kami perlu realistik tetapi dua gol mereka itu daripada dua tindakan yang pada pandangan saya sepatutnya tidak menghukum kami. Seharusnya kami harus mendapat seri dengan pasukan cukup hebat ini, saya berasakan kami seperti dirompak,” kata pemain pertahanan Elche, Eduardo Albacar.
Sementara itu, jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata: “Sukar untuk komen kerana kedudukan saya di bangku simpanan tidak begitu baik. Tapi saya bertanya kepada Pepe, katanya itu memang penalti.” - AP

Selasa, 17 September 2013

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah

Berita Harian
 
 
Man United 4-2 Leverkusen

Plzen 0-3 Man City
Bayern 3-0 CSKA Moscow


Benfica 2-0 Anderlecht

Copenhagen 1-1 Juventus

Galatasaray 1-6 Real Madrid

Olympiakos 1-4 PSG
Real Sociedad 0-2 Shakhtar

Real Madrid benam Galatasaray 6-1

 
ISTANBUL: Cristiano Ronaldo mencipta hatrik dalam perlawanan pembukaan Real Madrid pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menewaskan Galatasaray 6-1 di Ali Sami Yen, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu nyata mendominasi perlawanan di gelanggang lawan dengan mendahului pada minit ke-33 menerusi Isco.
Karim Benzema pula meledak dengan dua gol pada minit ke-54 dan 81.


Cristiano Ronaldo yang baru memperbaharui kontrak dengan Real pula merakam hatrik pertamanya musim ini dengan jaringan pada minit ke-63, 66 dan 92.

Galatasaray sekadar memperoleh jaringan tunggal oleh Umut Bulut pada minit ke-84.

Isnin, 16 September 2013

Ronaldo 'tak pandang' United


KECERIAAN jelas terpampang di wajah Cristiano Ronaldo (kiri) dan Presiden Real Madrid, Florentino Perez selepas pemain itu menandatangani kontrak baharu yang amat lumayan di Santiago Bernabeu, Madrid semalam. - AFP 
 
LONDON - Bekas bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menegaskan, dia mempunyai masa depan yang amat cerah di Real Madrid dan tidak mungkin kembali ke Manchester selepas menandatangani kontrak baharu bernilai 270,000 pound (RM1.41 juta) seminggu.

Kontrak tersebut bukan saja akan mengekalkan bintang sayap Portugal itu di Madrid sehingga 2018, malah membolehkannya menikmati gaji yang lebih tinggi berbanding sensasi baharu Real, Gareth Bale.

Malah yang paling penting, United sudah boleh melupakan sebarang hajat untuk membawa pulang bekas bintang mereka itu ke Old Trafford kerana Ronaldo menegaskan bahawa Real Madrid adalah masa depannya.

"Semua orang tahu saya pernah bermain untuk Manchester United selama enam tahun, tetapi Manchester adalah masa lampau saya. 

"Sekarang kelab saya adalah Real Madrid. Ini rumah saya, keluarga saya juga berada di sini dan saya sangat gembira tinggal di Madrid," katanya yang menerima gaji tahunan 14.25 juta pound (RM 74.80 juta). 

Menurut Ronaldo, 28, dia menghormati semua kelab yang pernah menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk United tetapi dia percaya semua pasukan itu tahu apa yang dimahukan dalam kariernya.

"Mereka tahu apa keputusan saya. Satu-satunya sasaran saya adalah untuk bermain dan berada di sini (Madrid) selama yang mungkin, malah barangkali saya akan menghabiskan seluruh karier saya di sini," katanya lagi.

Pendapatan mingguan Ronaldo bernilai hampir 100,000 pound (RM524,000) lebih tinggi daripada yang dinikmati oleh Bale, yang berjaya mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol dalam penampilan sulung bersama Real, Sabtu lalu.

Malah, angka tersebut tidak termasuk bonus yang bakal dinikmati sekiranya dia berjaya membantu Real Madrid muncul juara La Liga atau Liga Juara-Juara. 

Ronaldo merupakan pemain yang menerima gaji tertinggi di dunia ketika ini.

Rekod terdahulu dipegang oleh bintang penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang menerima 14 juta pound setahun (RM73.49 juta) daripada kelab Perancis, Paris Saint-Germain. 

Bintang penyerang Argentina, Lionel Messi pula menerima 11.8 juta pound (RM61.94 juta) daripada Barcelona. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Real dapat suntikan moral



RONALDO (kanan) dan Bale (kiri) menjadi sandaran Real pada aksi menentang Galatasaray di Telekom Arena, Turki awal pagi esok.


MADRID - Real Madrid dijangka memperoleh petunjuk pertama dalam misi memburu trofi ke-10 pada kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Bagaimanapun, kemampuan sebenar skuad The Galaticos akan diuji Galatasaray pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Telekom Arena, Turki itu.

Real telah membelanjakan lebih 600 juta euro (RM2.6 bilion) bagi memburu beberapa pemain terkemuka dunia sejak lima tahun lalu termasuk mendapatkan Gareth Bale dengan yuran perpindahan sebanyak 100 juta euro (RM436.8 juta) pada hari terakhir musim perpindahan pemain awal September lalu.

Selain itu, penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo yang dibeli dengan harga 94 juta euro (RM413.4 juta) daripada Manchester United pada 2009 bersetuju untuk kekal di Stadium Santiago Bernabeu sehingga 2018 selepas menandatangani kontrak selama lima tahun kelmarin.

Pemain sayap Wales itu menjaringkan gol sulung bersama Real, manakala Ronaldo meledakkan gol yang ke-203 ketika seri 2-2 dengan Villarreal pada aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Kali terakhir Real menjulang trofi Liga Juara-Juara adalah pada musim 2002.

Namun, skuad kendalian Carlo Ancelotti masih belum mempamerkan karakter sebenar.

Pada aksi menentang Villarreal, Ancelotti turut mengetepikan kapten, Iker Casillas apabila kekal menaruh kepercayaan kepada penjaga gol kedua, Diego Lopez.

"Saya telah membuat keputusan berhubung polisi penggiliran pemain.

"Casillas dan Lopez sudah mengetahui perkara itu, jadi tiada masalah," kata Ancelotti.
Skrip yang sama juga menimpa rakan sejawatan Ancelotti, Fatih Terim apabila anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Antalyaspor minggu lalu.

"Kami tidak suka keciciran mata tetapi aksi berdepan Real sesuatu yang berbeza.
"Beraksi di depan penyokong sendiri pastinya memberikan kelebihan buat kami," kata Terim.

Terim dijangka kekal menaruh kepercayaan terhadap gandingan Didier Drogba dan Burak Yilmaz mengemudi jentera serangan pada aksi menentang Real. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 11 September 2013

Real tunggu Januari buru Suarez



REAL masih tidak jemu mahu memburu Suarez (kiri). Selepas gagal pada musim perpindahan yang tamat 2 September lalu, mereka kini menanti Januari pula.


LONDON - Real Madrid akan meneruskan usaha mencari seorang penyerang baharu pada musim perpindahan Januari depan dengan pemain Liverpool, Luis Suarez dan Radamel Falcao dari Monaco berada dalam senarai utama mereka.

Kelab gergasi Sepanyol itu telah menjual dua penyerang, Gonzalo Higuain dan Jose Callejon kepada Napoli musim panas ini, sekali gus menyaksikan hanya Karim Benzema dan pemain remaja, Alvaro Morata sahaja yang menggalas tugas di jentera hadapan.

Meskipun bintang Portugal, Cristiano Ronaldo boleh beraksi di posisi tersebut, jurulatih Real, Carlo Ancelotti tetap mahu melabur wang yang diperolehi mereka hasil penjualan Mesut Ozil ke Arsenal pada hujung musim perpindahan lalu.

Presiden Real, Florentino Perez dilaporkan bersedia membelanjakan £42.5 juta (RM218.2 juta) yang diterima itu ke atas seorang daripada dua penyerang buruan mereka itu pada Januari depan bagi memastikan Ronaldo terus kekal bersama mereka.

Ronaldo sebelum ini dikatakan amat berang dengan keputusan Perez yang melepaskan Ozil ke England baru-baru ini.

Falcao pula sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real, namun membuat keputusan menyertai kelab berbelanja besar, Monaco awal musim panas lalu untuk bersama bintang Eropah lain seperti James Rodriguez, Joao Moutinho, Eric Abidal dan Geoffrey Kondogbia.

Sebaik sahaja berhijrah ke kelab Liga Perancis itu, bekas penyerang Atletico Madrid tersebut dilaporkan mula menerima tawaran daripada kelab-kelab gergasi Eropah lain selepas dia berdepan masalah mengenai pembayaran cukainya di Monaco.

Suarez turut dikaitkan dengan skuad The Galacticos itu awal musim panas ini, namun media melaporkan bahawa kelab tersebut mula hilang minat ke atasnya setelah berjaya mendapatkan Gareth Bale dari Tottenham Hotspur.

Penyerang Uruguay itu berhasrat meninggalkan Liverpool untuk menyertai Real, namun pengurus The Reds, Brendan Rodgers dan pemilik kelab menolak semua tawaran ke atas pemain bintang mereka itu, termasuk £40 juta (RM205.5 juta) daripada Arsenal. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 September 2013

Spurs dedah kenapa jual Bale


PEMBELIAN Bale (kiri) antara penyumbang utama kos pembelian pemain
di Liga Sepanyol meningkat dan tertinggi di dunia musim ini.


LONDON - Pengendali Tottenham Hotspur (Spurs), Andre Villas-Boas mengakui pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada menjual Gareth Bale ke Real Madrid.

Penyerang berusia 24 tahun itu melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai £85.3 juta (RM438.4 juta) ke Santiago Bernabeu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, Isnin lalu.
"Kami menerima tekanan daripada pelbagai pihak untuk melepaskan Bale.

"Pengaruh yang dimiliki Real cukup besar, jadi tiada apa yang boleh kami lakukan berhubung perkara itu," jelas Villas-Boas.

Namun, Villas-Boas enggan berterusan memikirkan kehilangan Bale selepas ini.
"Sejujurnya, kami gembira dengan yuran perpindahan berkenaan.

"Saya percaya Bale memasang impian untuk beraksi bersama kelab yang besar seperti Real.
"Segala-galanya terpulang kepada pemain sama ada mahu kekal ataupun tidak," katanya.

Pada masa sama, Villas-Boas juga mempertikaikan tempoh perpindahan pemain yang dilihat mengganggu persiapan mana-mana pasukan.
"Ia sepatutnya ditutup lebih awal. Sebagai pengurus, saya memerlukan lebih masa untuk memperkuatkan pasukan.
"Tetapi ia sukar dilakukan jika mana-mana pemain mahu dibeli pasukan lain," katanya.
- AGENSI

Rabu, 4 September 2013

Gareth Bale

Nama Lengkap : Gareth Frank Bale
Tempat Lahir : Cardiff, Wales
Tanggal Lahir : 16 Juli 1989
Kebangsaan : Wales
Posisi : Bek kiri
Bermain di Kelab : Real Madrid

Gareth Frank Bale lahir 16 Julai 1989 adalah seorang pemain bola sepak yang berasal dari wales dan ketika ini dia bermain di Liga Premier bersama kelab Tottenham Hotspur selain itu dia juga merupakan pemain Pasukan Wales. Posisi sebenar  Bale adalah sebagai wingback kiri, namun baru-baru ini ia sering digunakan sebagai winger kiri. Bale memulai karier profesionalnya di Kejuaraan liga  Southampton pada tahun 2005 dan telah dipindahkan ke Tottenham dua tahun kemudian.

Karier Junior:
2005–2006 : Southampton

Karier Senior:
2006–2007 : Southampton
2007–2013 : Tottenham
2013-           : Real Madrid

Karier Antarabangsa:
2005–2006 : Wales U-17
2006 : Wales U-19
2006–2008 : Wales U-21
2006–Sekarang : Wales

Selasa, 3 September 2013

Wenger kotakan janji



OZIL menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Arsenal semalam.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengotakan janjinya untuk menandatangani seorang pemain berkelas dunia apabila melengkapkan pemain tengah kreatif Real Madrid, Mesut Ozil ke Stadium Emirates semalam.

Ozil, 24, menandatangani kontrak selama empat tahun untuk mencatat rekod perpindahan tertinggi kelab iaitu berjumlah £42.5 juta (RM216.4 juta).

Harga tersebut mengatasi jumlah £17.5 juta (RM89.2 juta) yang dibayar The Gunners ketika membeli Jose Antonio Reyes daripada Sevilla pada Januari 2004.

Ia juga merupakan rekod bayaran kedua tertinggi dalam saingan Liga Perdana England selepas dilakukan Chelsea ketika membeli Fernando Torres dari Liverpool dengan harga £50 juta (RM254.8 juta) pada 2011.

Selain itu, Ozil mengatasi rekod perpindahan tertinggi pemain Jerman milik Mario Gotze dari Bayern Munich yang berpindah dari Borussia Dortmund dengan harga 37 euro (RM159 juta), Julai lalu.

Arkitek Jerman itu juga muncul pemain yang menerima gaji paling tinggi di Stadium Emirates iaitu sekitar £140,000 (RM713,526) seminggu.

"Saya tidak sabar lagi untuk meneruskan masa depan saya bersama Arsenal.

"Ketika bercakap dengan Wenger, saya terus memperoleh sesuatu yang telah lama hilang dalam diri saya, iaitu kepercayaan yang diberikan terhadap saya.

"Saya akan membalas segala kepercayaan kelab dan peminat Arsenal dalam setiap perlawanan. Kini, saya hanya mahu membantu kelab itu menamatkan kemarau trofi mereka," kata Ozil.

Kehadiran Ozil memberikan sedikit kegembiraan kepada peminat-peminat skuad The Gunners selepas mereka gagal untuk mendapatkan Luis Suarez, Wayne Rooney, Karim Benzema dan Gonzalo Higuain.

"Ozil merupakan seorang pemain yang hebat dan memiliki kualiti di peringkat kelab serta antarabangsa.

"Kami telah lama meminatinya kerana dia mempunyai segala kriteria yang saya cari sebagai seorang pemain Arsenal.

"Saya telah beritahu bahawa kami sedang berusaha membawa seorang pemain berkualiti ke sini. Ozil seorang pemain berkelas dunia yang akan memperkuatkan lagi barisan pemain yang sedia ada.
"Kami tidak sabar untuk melihat dia menyertai kami sebaik sahaja selesai menjalani tugasan antarabangsa dengan Jerman minggu ini," kata Wenger. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 1 September 2013

Dua gol Isco julang Real


MADRID - Real Madrid mengekalkan rekod kebal tanpa kalah musim ini apabila mengecewakan Athletic Bilbao dengan kemenangan bergaya 3-1 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Santiago Bernabeu semalam.

Skuad kendalian Carlo Ancelottti membuka tirai jaringan menerusi ledakan Isco seawal minit ke-25 sebelum menggandakan kelebihan menerusi jaringan Cristiano Ronaldo pada masa kecederaan babak pertama.

Isco sekali lagi bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol ketiga buat The Galacticos apabila tenang menyempurnakan hantaran Karim Benzema pada minit ke-72.

Pasukan pelawat akhirnya memperoleh jaringan saguhati menerusi jaringan Ibai Gomez kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Dengan keputusan itu, Real kini berkongsi sembilan mata dengan peneraju liga, Villarreal namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Terdahulu, Villarreal menambah derita Osasuna selepas melakar kemenangan selesa 3-0 dalam satu lagi aksi liga di Stadium El Sadar awal pagi semalam.

Gol jaringan Jeremy Perbet pada minit ke-22, Javier Aquino (28) dan Ikechukwu Uche (75) sudah cukup untuk menjamin kemenangan bergaya pelawat.

Dengan kemenangan itu, Villarreal yang mengutip sembilan mata maksimum kini menerajui Liga Sepanyol sementara Osasuna kekal di tangga tercorot liga selepas tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan setakat ini.

"Kami berjaya mempamerkan aksi yang menakjubkan.
"Kreativiti pemain wajar dipuji apabila berjaya membawa pulang tiga mata berharga sekali gus menerajui liga," kata pengendali Villarreal, Marcelino Garcia

Sementara itu, gol tunggal jaringan pemain pertahanan, Marc Valiente pada minit ke-47 sudah cukup untuk membantu Real Valladolid mengatasi Getafe 1-0.

Celta de Vigo pula sekadar seri 1-1 dengan Granada setelah jaringan awal Rafinha pada minit ke-29 berjaya dipadam penyerang Granada, Piti yang meledak gol penyamaan pada minit ke-62. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

Benzema julang Real



Benzema (tengah) meledakkan gol kemenangan Real ketika menewaskan Granada 1-0 pada aksi Liga Sepanyol di Stadium Nuevo Los Carmenes awal pagi semalam.


MADRID - Real Madrid mencatat kemenangan kedua di bawah bimbingan jurulatih baharu, Carlo Ancelotti selepas menewaskan Granada 1-0 pada aksi Liga Sepanyol di Stadium Nuevo Los Carmenes awal pagi semalam.

Begitupun, skuad The Galacticos terpaksa berhempas pulas sebelum memperoleh tiga mata berharga itu.

Meskipun spekulasi mengenai perpindahan Gareth Bale membayangi pertemuan dua pasukan tersebut, ia tidak menjejaskan rentak pasukan pelawat yang memperoleh gol kemenangan menerusi Karim Benzema pada minit ke-10.

Percubaan Mesut Ozil dibatalkan, manakala tendangan Isco pula mengenai tiang gol pada babak kedua, sekali gus memaksa Ancelotti berpuas hati dengan kemenangan tipis itu.

"Saya tetap gembira. Ia satu kejayaan yang penting.

"Pada babak pertama, kami beraksi sangat baik dengan rentak yang pantas. Pasukan ini bertahan dengan baik meskipun menurunkan ramai jentera serangan.

"Rentak permainan kemudian diperlahankan pada babak kedua dan situasi itu menyebabkan permainan menjadi lebih sukar buat kami," kata Ancelotti.

Pada perlawanan pertama minggu lalu, Real turut menang tipis 2-1 ke atas Real Betis, namun Ancelotti menegaskan, sangat penting untuk terus mencipta kemenangan dalam usaha menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkannya.

"Saya lihat perlawanan Barca semalam (kelmarin) dan mereka juga bergelut sebelum mencatat kemenangan.

"Kami sedang berusaha mengubah beberapa perkara dalam permainan dan buat masa ini, sangat penting bagi kami untuk terus mengutip mata," katanya lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Moyes 'kunci mulut' isu Bale

Berita Harian
 
Manchester: Pengurus Manchester United, David Moyes terus mengunci mulut mengenai cakap-cakap mahu membida bintang ternama Tottenham Gareth Bale selepas skuad kendaliannya seri 0-0 menentang Chelsea, awal pagi semalam.

Bale dilihat lebih menjurus menyertai Real Madrid tetapi selepas Tottenham mendakwa terdapat kelab kedua yang menawarkan tawaran ke atas pemain sayap The Wales itu kelmarin, Moyes ditanya mengenai minatnya itu.
Pengurus dari Scotland itu memberitahu Sky Sports: Saya sudah berkata sejak mula betapa Manchester United akan sentiasa berminat dengan pemain terbaik dan kami selalu cuba untuk membangunkan lagi pasukan.


Pemilik kelab sudah memberi saya segala peluang untuk mendapatkan siapa yang saya mahukan, jadi kami akan terus mencari pemain itu. Ia sukar pada perpindahan jendela tetapi kami selalu mencari pemain yang terbaik.

Tingkat tawaran Fellaini

Mengenai perlawanan menentang The Blues, Moyes berkata: Saya fikir kami sudah bermain dengan baik dan saya kecewa kami tidak dapat menyumbat jaringan. Mungkin kami kekurangan dari segi hantaran.

Saya fikir pertahanan Chelsea bermain dengan sangat baik. Jika sesiapa yang mempunyai peluang, ia sudah tentunya daripada kami. Kami memasuki padang dengan tiga penyerang tengah dan kami cuba untuk memenangi perlawanan.
Kami sudah mencuba sedaya upaya dan mungkin sebab bola jarang diterima Robin van Persie atau Wayne Rooney menyebabkan peluang jaringan itu kurang. Anda boleh bermain bola sepak dengan banyak cara.

Sementara itu, Moyes sudah bersiap sedia menawarkan tawaran baru bernilai 25 juta pound (RM129.62 juta) ke atas bekas pemainnya dari Everton, Marouane Fellaini dalam tempoh 24 jam ini. - Agensi

Isnin, 26 Ogos 2013

48 jam lagi 'episod Bale' berakhir: AVB

Berita Harian

London: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menegaskan perpindahan pemainnya, Gareth Bale ke Real Madrid masih belum dimuktamadkan tetapi menjangkakan rundingannya itu akan selesai dalam tempoh 48 jam.

Bale berada di Madrid ketika rakan sepasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Swansea di White Hart Lane, malam kelmarin untuk Tottenham meraih enam mata maksimum selepas menang dengan jaringan sama ke atas Crystal Palace, minggu lalu.
Sama ada perpindahan Bale terjadi atau tidak, harap ada berita mengenainya dalam tempoh beberapa hari ini dan buat masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan.


Kami benarkan dia (Bale) cuti dua hari. Ini bukan kali pertama. Kami tak pernah paksa pemain yang tidak disenaraikan untuk hadir menonton perlawanan kami. Latihan akan kembali bersambung Selasa (hari ini) dan saya jangka dia akan berada di sana, kata Villas-Boas.

Mentaliti baru

Usaha Tottenham mencari pengganti Bale terjejas apabila hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian tidak kesampaian apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Chelsea meskipun sudah menjalani ujian perubatan bersama Tottenham.

Lantas Villas-Boas dipercayai cuba mendapatkan penyerang Zenit St Petersburg, Hulk serta pemain pertahanan tengah Steaua Bucharest, Vlad Chiriches.
Biarpun tanpa Bale, Tottenham meraih tiga mata penuh ke atas Swansea menerusi sepakan penalti Roberto Soldado, jaringan keempat pemain Sepanyol itu dalam tiga perlawanan bersama Tottenham. - AFP

Bale menanti detik bersejarah


BALE dilapor hampir pasti menjadi milik Real musim ini.


MADRID - Bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale telah bersetuju dengan tawaran kontrak bernilai £97 juta (RM498.7 juta) untuk menyertai Real Madrid.

Kelab gergasi Sepanyol itu dilapor telah bersedia membuat pengumuman rasmi untuk mengikat Bale dengan nilai perpindahan sebanyak £86 juta (RM442.1 juta).

Jumlah itu sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan Bale menyertai Real ialah £183 juta (941 juta).
Real juga bersedia membayar gaji sebanyak £310,000 (RM1.59 juta) seminggu buat Bale bagi melengkapkan perpindahannya dari White Hart Lane dan dia akan menyarung jersi No. 11.

Dengan cukai pendapatan sekitar 52 peratus di Sepanyol, Bale bakal mendapat gaji bersih berjumlah £150,000 (RM771,330) seminggu.

Dengan jumlah itu, Bale bakal menerima gaji kedua tertinggi di Santiago Bernabeu setakat ini di belakang kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang masih lagi berusaha meminta pihak pengurusan Real menaikkan lagi gajinya.

Dalam pada itu, pentas juga sudah disiapkan di Santiago Bernabeu bagi memperkenalkan Bale kepada para peminat kelab gergasi Sepanyol tersebut sedikit masa lagi.

Ketika ini, Spurs berusaha keras bagi mendapatkan pengganti Bale selepas mereka terlepas peluang mendapatkan pemain tengah Brazil, Willian apabila pemain itu memilih menyertai Chelsea.

Spurs kemudiannya beralih tumpuan kepada penyerang AS Roma, Erik Lamela dan mereka bersedia mengeluarkan belanja bernilai £25.8 juta (RM132.6 juta).

Spurs juga berhasrat mendapatkan pemain pertahanan Romania dan Steaua Bucharest, Vlad Chiriches dengan nilai £8 juta (RM41.1 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my