-Kosmo
LAMPARD (kiri) dijangka akan mengikut jejak langkah Anelka (kanan) dan Drogba (tengah) ke Shanghai Shenhua di China.
http://kakibola.forumado.net/t1240-perpindahan-tidak-berbaloi#1784
SHANGHAI, China - Sekiranya Frank Lampard mahu berkelana ke China,
dia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman 'pahit manis' dua bekas
rakan sepasukan di Chelsea, Nicolas Anelka dan Didier Drogba.
Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pemain tengah England itu.
Tidak hanya gaya kehidupan di luar padang tetapi perbezaan budaya
yang begitu ketara menyebabkan ramai bintang bola sepak asing,
terutamanya dari Eropah yang bermain pada saingan Liga Perdana China,
kecundang separuh jalan.
Mereka terpaksa mencari jalan keluar dan ada yang hanya baru tiba
beberapa bulan sahaja terpaksa meninggalkan China kerana tidak mampu
menyesuaikan diri.
Bekas penyerang Perancis, Anelka menjadi antara pelopor pemain
bertaraf bintang yang berhijrah ke China dan dia telah ditawarkan gaji
£175,000 (RM865,198) seminggu oleh kelab Shanghai Shenhua kira-kira 10
bulan lalu.
Pada musim panas lalu, penyerang 'kembarnya' di Chelsea, Drogba turut
menyertainya di Shanghai dengan bayaran gaji £200,000 (RM988,849)
seminggu.
Anelka, 33, tekad untuk meninggalkan Shanghai dan dia telah
menyuarakan perkara itu kepada pihak pengurusan kelab serta satu sumber
juga memberitahu, Drogba bakal mengikut jejak langkah sahabat baiknya
itu.
Oriental Sports Daily melaporkan bahawa Drogba masih belum menerima
gaji pada bulan Disember kerana krisis pihak lembaga pengarah dan
Shenhua juga dikatakan dalam proses bagi membatalkan kontrak Anelka.
Dalam pada itu, aksi Drogba di atas padang tetap tidak mengecewakan
apabila dia menjaringkan lapan gol daripada 11 penampilan musim ini dan
membantu Shanghai berada di kedudukan kesembilan liga daripada 16
pasukan.
Bagaimanapun, aksi Anelka sedikit menghampakan apabila sekadar meledak tiga gol sepanjang musim ini.
Apa yang pasti, kedatangan Anelka ke China seperti tidak dirasai dan
dia juga dilihat gagal menambat hati peminat-peminat di sana sejak tiba
pada Februari.
Namun, Anelka menegaskan, dia berpindah ke China bukan kerana wang
dan perkara-perkara yang menjadi persoalan itu akan terlerai tidak lama
lagi.
Ketua jurulatih Shenhua, Jean Tigana yang juga merupakan bekas
pengurus Fulham telah dipecat selepas mengendalikan pasukan itu untuk
lima perlawanan kerana pemberontakan pemain-pemain.
Anelka yang terkenal dengan sikap pendiam serta tidak mesra media
mungkin terkejut dengan keputusan memecat Tigana sebagai ketua jurulatih
Shenhua.
Beberapa minggu selepas Anelka membuat pengumuman mengugut untuk
meninggalkan Shenhua, para pemilik kelab itu seperti mahu memujuk Anelka
dan berjanji akan membawa bekas pengurus Argentina, Sergio Batista ke
kelab tersebut.
Sementara itu, terdapat satu lagi kes pelik membabitkan pemain dari Argentina, Dario Conca.
Conca dipilih sebagai pemain terbaik Liga Brazil selama dua tahun
berturut-turut ketika beraksi untuk Fluminense apabila dia kemudian
membuat keputusan menyertai juara China, Guangzhou Ever- grande.
Penyerang tengah itu menyertai Guangzhou pada musim panas 2011 dengan
rekod perpindahan China sebanyak AS$10 juta (RM30 juta) dengan kontrak
selama tiga tahun dengan gaji AS$1.3 juta (RM3.98 juta) sebulan.
Sekarang, dia juga dilihat sedang berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kelab itu.
Pada bulan lalu, dia meninggalkan satu nota yang tertulis perkataan bahawa dia telah pergi dan tidak akan kembali.
Conca memberitahu bahawa dia tidak gembira berada di kelab itu dan
banyak perkara pelik yang sentiasa berlaku, namun dia enggan menyata-
kan sebab-sebab tersebut.
Untuk rekod, antara kes yang sama pernah dihadapi pemain-pemain
Eropah yang berkelana ke negara lain terutama di Asia adalah bekas
bintang England, Spurs dan Lazio, Paul Gascoigne yang menyertai Gansu
Tianma pada 2003 tetapi hanya bermain empat perlawanan sebelum bertindak
meninggalkan kelab itu atas alasan tidak dibayar gaji.
Lampard, 34, ketika ini masih belum menerima tawaran kontrak baharu
bersama Chelsea dan dia dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke China
pada musim depan dan mungkin dia ingin bersama bekas penjaga gol Spurs,
Ian Walker yang kini melatih Shanghai Shenhua.
Walker secara terbuka mengkritik kesukaran untuk memulakan kehidupan
baharu di China dengan perbezaan cara hidup, budaya dan makanan.
"Perkara paling merumitkan adalah makanan. Saya masih belum
dihidangkan dengan menu anjing lagi. Mereka berkata tidak akan berbuat
demikian, namun saya beberapa kali dihidangkan dengan burger yang sangat
meragukan.
"Saya menghabiskan masa duduk di rumah. Saya bertuah kerana dapat
duduk di rumah sambil menonton televisyen walaupun hanya terdapat satu
saluran sukan," kata Walker. - AFP