Memaparkan catatan dengan label David Villa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label David Villa. Papar semua catatan

Selasa, 16 Julai 2013

Villa teruja sertai Atletico



VILLA (tengah) diserbu para peminat sebaik diperkenalkan sebagai pemain Atletico di Stadium Vicente Calderon, Madrid semalam.


LONDON - Penyerang buruan Tottenham Hotspur, David Villa akhirnya sah menyarung jersi Atletico Madrid semalam.

Villa, 31, turut diserbu peminat fanatik Atletico pada sesi perkenalan bersama peminat di Stadium Vicente Calderon itu.

Villa mengakui pernah mempertimbangkan hasrat untuk berhijrah ke England sebelum bertukar fikiran sebaik dilamar Atletico.

Dia melengkapkan perpindahan daripada Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak 2.1 juta euro (RM8.72 juta).

Jumlah itu meningkat kepada 5.1 juta euro (RM21.1 juta) sekiranya Villa menghabiskan kontrak selama tiga tahun dengan Atletico.

"Saya sepatutnya telah berhijrah ke England sekarang.

"Namun segala-galanya berubah selepas dilamar Atletico dan selesai dalam tempoh tiga hari.
"Bagi saya, Atletico pasukan yang hebat apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Sepanyol musim lalu serta layak ke kempen Liga Juara-Juara.

"Mereka juga berjaya mengecewakan Real Madrid pada final Piala Raja Sepanyol.

"Mulai sekarang, Atletico merupakan kelab terbaik di dunia bagi saya," kata Villa.

Kini, Villa terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai peledak utama Atletico yang kehilangan Radamel Falcao selepas menyertai Monaco secara mengejut bulan lalu.

Untuk rekod, Falcao berjaya mencetak 52 gol sepanjang dua musim bersama Atletico sebelum ini.
"Saya telah mengadakan perbincangan bersama jurulatih (Diego Simeone).

"Falcao cukup disayangi di sini tetapi saya memberi jaminan bahawa kehilangannya tidak akan dirasai.

"Saya datang ke sini untuk beraksi sebanyak mungkin, sesuatu yang tidak dapat saya lakukan ketika bersama Barcelona," kata Villa. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Atletico beli David Villa

 

MADRID 9 Julai - Atletico Madrid mencapai persetujuan untuk membeli penyerang Sepanyol, David Villa daripada Barcelona.

Penyerang berusia 31 tahun itu akan meninggalkan kelab dengan yuran yang dijangka mencecah 5.1 juta euro. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 25 Mac 2013

Amaran buat La Roja



PEMAIN-PEMAIN Perancis diketuai Olivier Giroud (tengah) giat menjalani latihan kelmarin menjelang perlawanan tumpuan kelayakan Piala Dunia menentang Sepanyol awal pagi Rabu ini.


PARIS - Atas kertas, Sepanyol memiliki reputasi selaku juara bertahan Piala Dunia dan juga pasukan terbaik di Eropah selepas menjulang trofi Euro 2012.

Namun, prestasi semasa La Roja dilihat meragukan menjelang pertemuan menentang Perancis dalam aksi Kumpulan I, kempen kelayakan Piala Dunia di Stadium Stade de France, Paris awal pagi Rabu ini.
Sekadar seri 1-1 kelmarin dengan pasukan tercorot, Finland juga seolah-olah amaran awal buat Sepanyol selepas Perancis selesa mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Georgia dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Ketinggalan dua mata di belakang Perancis yang selesa menerajui kumpulan dengan 10 mata, kekalahan pastinya menyukarkan skuad kendalian Vicente del Bosque menyambar slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

"Kami sudah tahu bagaimana untuk berdepan Sepanyol dan kini terpulang kepada kami sama ada mahu melakukan perkara yang sama atau tidak," kata pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 1-1 di Madrid, Oktober tahun lalu.
Awal pagi Rabu ini, Sepanyol bakal kehilangan David Silva yang menjalani hukuman penggantungan manakala Jordi Alba juga masih dibelenggu kecederaan.

Namun, del Bosque masih enggan menekan 'butang panik' menjelang pertemuan menentang Perancis.
"Ada empat perlawanan lagi perlu diharungi dan situasi masih memihak kepada kami.

"Kami tidak seharusnya bersikap pesimistik. Kami akan pergi ke Paris dan berusaha untuk membawa pulang tiga mata berharga.

"Ini satu perlawanan yang cukup menarik memandangkan Perancis pastinya tidak sekadar tampil dengan corak permainan bertahan di depan penyokong sendiri," kata del Bosque. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 18 Mac 2013

Villa cemerlang bantu Barca



VILLA (kanan) meraikan jaringan golnya bersama Messi ketika menentang Rayo Vallecano kelmarin. Barcelona menang 3-1.


MADRID - David Villa melahirkan kegembiraan apabila dia kembali menemui sentuhan gol serta mendapatkan semula prestasi terbaiknya ketika membantu kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Rayo Vallecano dalam aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Villa menjaringkan satu gol serta membantu dua jaringan Lionel Messi, sekali gus menjadikan Barca selesa menerajui carta liga dengan 13 mata.

"Saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan serta menjaringkan gol. Saya gembira kerana itu yang sepatutnya saya lakukan sebelum ini kerana saya seorang penyerang.

"Saya ingin meneruskan prestasi cemerlang ini dalam setiap perlawanan selepas ini," kata Villa.

Terdahulu, dalam perlawanan minggu lalu ketika Barca menewaskan AC Milan 4-0, Messi dan Villa turut menjadi watak penting di sebalik kemenangan bergaya mereka itu.

Bagaimanapun, Villa menafikan skuad The Catalans itu telah goyah akibat tiga kekalahan beberapa minggu lalu sebelum mereka mempamerkan kebangkitan ketika membenam Deportivo La Coruna dan AC Milan.

"Saya gembira digandingkan dengan Messi dalam mengetuai jentera serangan pasukan. Hari ini (kelmarin) kami telah menghasilkan tiga gol dan kami akan meneruskan gandingan mantap ini.

"Saya tidak rasa kami telah kehilangan keyakinan. Bola sepak adalah sukan yang memerlukan anda menang, seri atau kalah dan kami sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan," jelas Villa.

Akibat kecederaan Xavi dan Carles Puyol serta penggantungan Victor Valdes, penolong pengurus Barca, Jordi Roura terpaksa merombak skuadnya itu bagi menghadapi minggu yang padat dengan perlawanan penting selepas ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Rabu, 26 Disember 2012

Benitez intai kelibat Villa

-Kosmo

http://kakibola.forumado.net/t1241-benitez-intai-kelibat-villa#1785 

LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafa Benitez dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Barcelona, David Villa sebaik musim perpindahan dibuka, Januari depan.
Chelsea dijangka akan mengemukakan tawaran lumayan berjumlah £12 juta (RM59.3 juta) kepada skuad The Catalan bagi mendapatkan pemain Sepanyol itu.

Benitez mendedahkan bahawa mereka sedang bekerja keras untuk mendapatkan beberapa pemain yang hebat.

Percubaan skuad The Blues untuk mendapatkan Villa bakal mencetuskan pertembungan empat penjuru antara Manchester City, Liverpool dan Arsenal sebaik sahaja pintu perpindahan pemain dibuka bulan depan.
Begitupun, Benitez optimis mengenai peluang Chelsea kerana Villa lebih berminat untuk bermain bersama-sama rakan senegaranya, Fernando Torres.
Sebelum ini, Villa, 31, mengakui bahawa dia dan Torres akan beraksi cemerlang sekiranya digandingkan bersama.

"Saya dan Torres saling melengkapi, kami sentiasa bekerjasama," kata Villa.
Villa tidak gembira selepas lebih banyak menghabiskan masa dibangku simpanan selepas direhatkan selama lapan bulan akibat patah kaki.

Perpindahan Daniel Sturridge ke Liverpool pada Januari depan juga menyaksikan kekurangan pilihan di posisi serangan Chelsea, sekali gus kehadiran Villa menjadi keutamaan.
Pada masa sama, Benitez turut bercadang untuk meminjam Villa, namun pengarah bola sepak Barcelona, Andoni Zubizaretta memberitahu bahawa mereka tidak menerima tawaran untuk perpindahan pemain berstatus bintang pada Januari ini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Disember 2012

Villa jadi sasaran Gunners

(Utusan Malaysia)

LONDON - Asenal bersedia membuat tawaran berani dengan cuba mendapatkan bintang penyerang Barcelona, David Villa bagi mengukuhkan jentera pasukan.
Malah, kedudukan Wojciech Szczesny sebagai penjaga gol utama Gunners juga semakin tidak menentu selepas kelab London itu menyuarakan minat untuk mendapatkan penjaga gol Sunderland, Simon Mignolet apabila pasaran perpindahan dibuka, bulan depan.
Usaha untuk mendapatkan bintang penyerang Sepanyol, Villa paling menggembirakan peminat Arsenal ketika ini kerana mereka mengharapkan ada nama besar dibawa masuk pada pasaran perpindahan nanti.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan barisan kejurulatihan sudah membincangkan mengenai kemungkinan mendapatkan Villa, pemain yang digemari Wenger sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun Gunners lebih berminat untuk mendapatkan pemain berusia 31 tahun secara pinjaman sehingga musim ini berakhir, dan ia bergantung kepada bagaimana kedudukan mereka dalam Liga Perdana Inggeris ketika itu.
Namun begitu jika harga yang diletakkan Barcelona munasabah, Arsenal mungkin bersedia mengikat Villa menerusi kontrak jangka panjang bulan depan.
Sumber di Sepanyol memberitahu, Barcelona sedia melepaskan Villa kerana pemain itu kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan sejak akhir-akhir ini.
Mengukuhkan jentera serangan merupakan keutamaan Wenger apabila saingan memasuki tahun baru. Klass-Jan Huntelaar, Adrian Lopez dan Edin Dzeko antara yang berada dalam senarai Wenger, manakala bekas bintang mereka, Thierry Henry dijangka membuat kemunculan ketiga bersama kelab, bulan depan.
Wenger mencari penjaga gol baru untuk mencabar Szczesny dan dia melihat Mignolet sebagai calon terbaik untuk mengisi kuota tersebut.
Pengurus Arsenal itu tidak gembira dengan standard permainan yang ditunjukkan Szczesny ketika ini dan mahu pemain lebih berpengalaman memberi tekanan berterusan kepada penjaga gol muda Poland itu, malah tidak mustahil menggantikannya.
Pepe Reina, Asmir Begovic dan Michel Vorm antara calon penjaga gol yang dikehendaki Wenger.
Szczesny tidak gembira dengan prospek dia mungkin disisihkan di bangku simpanan andai penjaga gol baharu mengambil alih tempatnya dalam kesebelasan utama.
Sementara itu bintang baru Crystal Palace, Wilfried Zaha sedang mempertimbangkan perpindahan ke Manchester United atau Arsenal, bulan depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my