Memaparkan catatan dengan label azmi Muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label azmi Muslim. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Januari 2013

Bintang Johor DT tenggelam



AIDIL (kiri) menanduk masuk gol kemenangan Johor Darul Takzim ketika menentang Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.


BARISAN pemain bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) masih belum menyinar.
Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu Piala FA setakat ini, kelibat mereka masih menjadi tanda tanya.

Prestasi mereka masih berada pada tahap yang meragukan, tidak setanding dengan reputasi selaku pemain bintang.

Senario tersebut mula mengundang resah ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad yang menyifatkan sebahagian besar pemain bintangnya belum menemui rentak yang diharapkan.

Itu kebimbangan Fandi walaupun skuad kendaliannya berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.
Fandi secara terbuka mendedahkan, barisan pemain-pemain bintangnya masih belum menemui keserasian bersama pemain-pemain yang lain.

"Secara keseluruhannya kita gembira (dengan kejayaan mengalahkan Perak) tetapi kita masih perlu memperbaikinya kerana komunikasi (sesama pemain) sangat teruk," katanya selepas aksi menentang Perak itu.

Musim ini, skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu membariskan pemain-pemain berstatus bintang yang diketuai oleh kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Mohd. Safee Sali.

Turut menyarung jersi Johor DT ialah pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad serta Nurul Azuan Roya.

Melengkapkan koleksi pemain bintang dalam pasukan itu ialah bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain Serie A, Simone Del Nero dari Itali.

"Ia bukan mudah, kita dengar ada (pemain) yang mengatakan kita tak boleh buat ini, serang dan bertahan, kita hanya perlu menyerang. Jadi, saya merasakan mereka perlu mengubah sikap dan minda masing-masing.
"Dalam permainan bola sepak kamu tidak boleh katakan yang tugas kamu hanya menyerang dan kawan yang lain pula bertahan. Sikap seperti ini tidak boleh diamalkan, kamu perlu menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan, sekarang (permainan) perlu dilakukan bersama," jelasnya.

Mengulas mengenai aksi menentang Perak itu, Fandi mengakui dia berpuas hati dengan prestasi pemain terutama pada babak kedua yang menyaksikan anak-anak buahnya lebih banyak melakukan serangan dan tidak mudah kehilangan bola.

"Sokongan antara pemain sangat bagus, Mat Yo pegang bola, sementara Safiq dan Azwan menyokong, dan di situ kita telah banyak membuka ruang.

"Percaturan membawa Mohd. Zaquan juga menjadi apabila dia bersama Nurul Azwan bermain dengan baik dan bukan mudah untuk bermain dengan sembilan barisan pertahanan dalam kotak penalti yang mana memerlukan kita melakukan sesuatu," ulasnya.

Pemain di bangku simpanan, Muhammad Akram Mahinan, turut menunjukkan aksi yang cemerlang selepas dia dibawa masuk menggantikan Guiza pada separuh masa kedua.

"Saya berharap, semua pemain terus bekerja keras untuk mengembalikan prestasi masing-masing selain meningkatkan keserasian dalam pasukan.

"Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana ia akan membawa padah kepada pasukan," jelas Fandi.
Sepanjang saingan liga yang berehat seketika selepas ini, Johor DT akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab dari negara jiran, Singapura seperti Geylang United, Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) dan Young Lions.
Tarikhnya masih belum diputuskan lagi.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 5 Januari 2013

Ujian sebenar Kelantan bermula



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Shah Alam musim lalu.


“TUNGGU sahaja perlawanan malam esok (malam ini).” Demikian reaksi ringkas yang cukup bermakna oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi Sumbangsih menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.
Biarpun sedar harapan menggunung peminat fanatik The Red Warriors dalam memburu trofi sulung itu musim ini, Bojan tetap optimis anak-anak buahnya mampu pulang dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Cuma pada masa sama, Bojan tetap menuntut anak-anak buahnya supaya mengelak daripada dibuai sikap terlalu yakin sehingga mengundang padah.

Keupayaan sebenar pasukannya yang kehilangan beberapa pemain utama musim ini seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu dan Mohammad Ghaddar, jelas beliau, juga bakal teruji sepenuhnya malam ini.

“Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama musim ini, jadi sudah tentu perlawanan malam esok (malam ini) cukup mencabar.
“Kehebatan ATM juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka berjaya ke final Piala Malaysia.
“Jadi, saya harap dapat membantu Kelantan melakar sejarah kerana belum ada mana-mana pasukan trebel berjaya menjulang trofi keempat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Bojan memberitahu, beliau percaya rakan sejawatannya, B. Sathianathan juga ‘pening kepala’ memikirkan formula terbaik bagi menghadapi aksi malam ini kerana turut kehilangan beberapa pemain utama seperti Azmi Muslim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak.

“Saya harap, pemain saya dapat memberikan yang terbaik sebagai penyuntik semangat sebelum aksi sulung menentang PKNS (9 Januari),” tambah Bojan.

Pada masa sama, Bojan turut mempertahankan kredibiliti penyerang import baharu, Keita Mandjou biarpun penyerang kelahiran Guinea itu belum cergas sepenuhnya selepas tidak beraksi selama enam bulan sebelum ini.

“Lihat sahaja Marlon (Alex James), semasa dia menyertai ATM musim lalu, ramai yang meragui kemampuannya atas faktor usia.

“Sebaliknya, Marlon berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa, jadi saya percaya Keita juga mampu melakukannya,” katanya optimis.

Pertemuan kedua-dua pasukan ibarat aksi final Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan Kelantan muncul juara selepas meraih kemenangan 3-2 pada aksi di Stadium Shah Alam.
Perlawanan Sumbangsih merupakan aksi pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Rabu, 26 Disember 2012

Aidil kekok beralih posisi (Berita Harian)

'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD 'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD
 
Johor Bahru: Selepas sekian lama mendominasi posisi pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak bakal memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bersama kelab Johor Darul Takzim di posisi pertahanan kanan.

Pemain pertahanan Harimau Malaya mengakui dirinya agak kekok selepas ketua jurulatih skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad meletakkannya beraksi di posisi itu buat pertama pada sesi latihan pertama bersama skuad itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.
"Ini adalah pertama kali dalam karier bola sepak saya beraksi di posisi pertahanan kanan dan saya akui agak kekok pada sesi latihan pertama namun sebagai pemain profesional masalah itu mampu diatasi dan saya yakin segala kerumitan yang dihadapi akan dapat diselesaikan.


"Apapun semuanya bergantung kepada jurulatih (Fandi Ahmad) yang mencorakkan taktikal pasukan, dan dengan adanya latihan sebelum saingan Liga Super bermula sudah pasti saya akan bersedia menggalas tugas di posisi baru," kata Aidil Zafuan.

Bagi Fandi perubahan itu perlu dilakukan memandangkan pasukan itu sudah ada pemain pertahanan tengah yang mantap gandingan Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad malah tindakan itu juga bagi memastikan posisi pertahanan kanan memerlukan pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan.

"Salah satu faktor yang menyebabkan saya mengubah posisi Aidil Zafuan lebih terarah kepada perlu pemain pertahanan kanan yang mampu melakukan larian pantas untuk membuat serangan di posisi sayap kanan dan saya lihat beliau amat sesuai untuk diletakkan di posisi itu.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan posisi baru itu dan bakal bergandingan bersama kembarnya, Zaquan Adha (Abd Radzak) yang akan beraksi di posisi sayap kanan," katanya.
Fandi juga berpuas hati dengan komitmen dari lima pemain kebangsaan, Safee Sali, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Azmi Muslim dan Norshahrul Idlan Talaha yang memulakan latihan pertama bersama skuad Harimau Selatan yang tampak bersemangat tatkala masih perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan Johor Darul Takzim.

"Kita akan harungi saingan empat penjuru yang bermula malam esok namun kelima-lima pemain mempunyai tempoh singkat untuk menyesuaikan diri.

Bagaimanapun sebagai pemain profesional dan pernah beraksi dengan beberapa pasukan, saya yakin tidak timbul masalah buat mereka mempraktikkan corak permainan yang saya terapkan," kata Fandi.