Memaparkan catatan dengan label Bayern Munich. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bayern Munich. Papar semua catatan

Isnin, 4 November 2013

Bayern samai rekod 30 tahun liga

Berita Harian
 
Berlin: Bayern Munich bergelut sebelum menewaskan Hoffenheim 2-1 untuk mendaki semula kedudukan teratas Bundesliga Jerman, kelmarin dan menyamai rekod 30 tahun liga selepas mengharungi 36 perlawanan tanpa kalah.

Thomas Mueller menjadi wira Bayern selepas jaringannya 15 minit sebelum permainan tamat mengesahkan kemenangan buat juara ‘treble’ itu yang mengumpul 29 mata, kelebihan satu mata di depan Borussia Dortmund yang sebelum ini merampas kedudukan teratas dengan kemenangan 6-1 ke atas VfB Stuttgart.

“Ia sudah tentu bukan persembahan terbaik kami namun kami menang,” kata pengurus Bayern, Pep Guardiola. “Bukan semuanya berjalan baik yang bermakna ada yang perlu kami betulkan. Ia perlawanan yang sengit menentang Hoffenheim dan beberapa perlawanan sebelum ini namun hari ini kami bernasib baik.”

Bayern yang akan berdepan Viktoria Plzen dalam Liga Juara Eropah pertengahan minggu ini jauh daripada prestasi terbaik namun masih mampu menyamai rekod Hamburg SV yang dicatat pada musim 1982/83 dengan kekalahan terakhir adalah pada Oktober 2012 kepada Bayer Leverkusen. - REUTERS

Khamis, 3 Oktober 2013

Bayern laung amaran awal



PEMAIN-PEMAIN Bayern meraikan kejayaan membelasah City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola boleh mendabik dada selepas pasukan itu mudah membelasah Manchester City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kemenangan juara bertahan itu itu dianggap sebagai satu amaran awal kepada pencabar-pencabar lain bahawa merekasudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan tersebut musim ini.

Pada aksi di Stadium Etihad itu, Bayern lebih banyak menguasai bola dan barisan serangan kelab juara Jerman itu dilihat sangat merbahaya, sekali gus menenggelamkan kehebatan skuad The Citizens.

Selepas mendahului 3-0 melalui jaringan Franck Ribery pada minit ketujuh, Thomas Muller (56) dan Arjen Robben (59), Bayern mula memperlahankan rentak permainan dan kesempatan itu diraih sepenuhnya oleh anak-anak buah Manuel Pellegrini menyumbat gol saguhati menerusi Alvaro Negredo pada minit ke-79.

Bagaimanapun, kemenangan Bayern itu sedikit tercemar selepas Jerome Boateng dilayangkan kad merah pada minit ke-86.

Guardiola yang diberi amanah untuk mempertahankan gelaran trebel yang dimenangi di bawah kendalian bekas jurulatih, Jupp Heynckes musim lalu tidak mudah panik.

Selain itu, beliau juga sudah berjaya menerapkan corak permainan tersendiri ke dalam skuad Bayern.
"Saya sangat bertuah berada di sini, melatih pemain-pemain hebat di sini.

"Mereka menunjukkan prestasi terbaik sejak empat tahun kebelakangan ini dan berjaya menjejakkan kaki ke final Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali," kata bekas pengendali Barcelona itu.

Guardiola berkata, mereka akan cuba bermain seperti biasa dan mahu terus mendominasi saingan Liga Jerman musim ini.

Beliau turut memuji persembahan anak-anak buahnya pada pertemuan menentang City itu terutamanya apabila melakar kemenangan di gelanggang keramat pasukan lawan.

"Bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati dalam beberapa perkara dan kami akan perbaiki perkara tersebut.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dan ini bukan yang terakhir buat kami kerana perjalanan masih lagi jauh," kata Guardiola. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 16 September 2013

Ujian sulung Guardiola



GUARDIOLA (tengah) bakal berdepan ujian sulung di pentas Eropah pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.


MUNICH - Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola bakal berdepan ujian sulung di pentas Eropah apabila melayan kunjungan CSKA Moscow pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi esok.

Skuad The Bavarians berjaya melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Hanover 96 untuk kekal di tempat kedua Liga Jerman kelmarin.

Bayern memerlukan jaringan pada separuh masa kedua daripada penyerang Croatia, Mario Mandzukic dan pemain sayap Perancis, Franck Ribery untuk menewaskan Hanover, sekali gus melakar kemenangan keempat daripada lima perlawanan pertama musim ini.

Bagaimanapun, selepas melakar sejarah menjadi pasukan pertama daripada Jerman yang memenangi gelaran trebel iaitu Liga Juara-Juara, Piala Jerman dan Liga Jerman di bawah bimbingan Jupp Heynckes musim lalu, Bayern gagal untuk mendominasi saingan di bawah kendalian Guardiola musim ini.

Situasi itu nyata tidak memuaskan hati Pengarah Sukan Bayern, Matthias Sammer.
"Kami perlu keluar daripada zon selesa dengan kadar segera.

"Apa yang saya perhatikan, pasukan kami seolah-olah tidak beraksi seperti biasa seperti mana yang dilakukan musim lalu," kata Sammer.

Ketika ini, Guardiola lebih gemar menggunakan formasi 4-1-4-1 berbanding ketika Bayern dikendalikan Jupp Heynckes.

Situasi itu menyebabkan mereka sering kehilangan penguasaan bola di bahagian tengah sehingga mengundang kritikan Sammer.

"Sejujurnya, saya tidak suka dengan perubahan ini," katanya.

Guardiola dijangka kembali menagih khidmat Bastian Schweinsteiger yang baru pulih daripada kecederaan pergelangan kaki untuk menghadapi CSKA ekoran kecederaan yang dialami dua tonggak utama, Mario Goetze dan Thiago Alcantara. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 28 Ogos 2013

Freiburg kekang Bayern sebelum temu Chelsea

Berita Harian
 
Berlin: Juara Eropah, Bayern Munich terlepas mata penuh pertama mereka dalam saingan Bundesliga musim ini selepas sekadar seri 1-1 dengan Freiburg awal pagi semalam - menjelang pertembungan menentang Chelsea pada aksi Piala Super awal pagi Sabtu ini.

Anak didik Pep Guardiola pada awalnya dilihat di landasan terbaik meraih tiga mata apabila Xherdan Shaqiri membuka tirai jaringan pada minit ke-33 namun dipadamkan Nicolas Hofler yang menyamakan kedudukan buat Freiburg empat minit sebelum tamat perlawanan.
Schweinsteiger ditimpa musibah


Bayern bukan saja sekadar mengutip satu mata malah dihantui kecederaan buku lali membabitkan pemain tengah mereka, Bastian Schweinsteiger sekali gus bakal terlepas pertembungan dengan Chelsea.

Dia akan diperiksa di Munich, kami harap dia boleh beraksi menentang Chelsea, kata Pengarah Media Bayern, Markus Hoerwick.

Ketika ini, Bayern kekal di tangga teratas liga dengan 10 mata tetapi kedudukan itu akan berubah sekiranya Mainz, Borussia Dortmund dan Bayer Leverkusen berjaya mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing hujung minggu ini.
AFP

Sabtu, 10 Ogos 2013

Sentuhan Guardiola mula menjadi

Berlin: Pep Guardiola memulakan cabarannya sebagai jurulatih Bayern Munich dengan kemenangan 3-1 ke atas Borussia Moenchengladbach dalam Bundesliga yang memulakan liga musim baru, kelmarin.

Ia permulaan cerah buat kelab itu dalam liga Jerman berbanding ketika bersama Barcelona di La Liga, apabila pengurus berumur 42 tahun itu tewas perlawanan pertama 1-0 kepada CD Numancia pada musim 2008-09 sebelum memenangi 14 lagi gelaran dalam masa empat tahun.
“Kami berpuas hati dapat menang perlawanan pertama. Kami perlukan keputusan baik dalam tiga atau empat perlawanan pertama kerana beberapa pemain masih belum berada di tahap kecergasan sepenuhnya.


“Kami perlu mengawal permainan dengan lebih baik dalam 15 minit pertama babak kedua, tetapi ia akan berubah.”

Membaharui rekod 25 kemenangan dalam kempen Bundesliga musim lalu dengan 25 mata, juara bertahan Bayern memiliki tiga mata pertama mereka musim baru ini di laman sendiri dengan jaringan Arjen Robben dan Mario Mandzukic. - AFP

Selasa, 6 Ogos 2013

Hatrik Mueller bantu Bayern ratah Rehden

Berlin: Thomas Mueller melakukan hatrik pada aksi pertama Bayern Munich dalam misi mempertahankan Piala Jerman apabila membelasah pasukan divisyen empat, BSV Rehden 5-0, awal pagi semalam.

“Sama seperti perlawanan lain ia sentiasa menghadirkan bahaya. Jadi saya gembira dengan kemenangan ini,” kata jurulatih Bayern, Pep Guardiola.
Xherdan Shaqiri membuka tirai jaringan Bayern pada minit ke-18 sebelum Mueller menanduk masuk hantaran Rafinha pada penghujung babak pertama. Mueller menjadikan kedudukan 3-0 hasil sepakan penalti pada minit ke-58 dan melengkapkan hatriknya menerusi tandukan minit ke-64.


Belum sempurna

Arjen Robben melengkapkan pesta Bayern dengan gol kelima ketika permainan berbaki dua minit. “Kami masih belum lagi sempurna. Kami belum pada tahap seratus peratus tetapi itu perkara biasa. Kami sudah bersedia untuk memulakan kempen Liga Jerman bertemu Borussia Monchengladbach, Jumaat ini,” kata Robben.

Pada satu lagi perlawanan, Klaas-Jan Huntelaar menjaringkan satu gol dan mencetuskan jaringan kedua pasukannya oleh Leon Goretzka untuk Schalke mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasukan divisyen lima, FC Noettingen 2-0. - AP

Jumaat, 2 Ogos 2013

Bayern kurang menyengat


Pemain Bayern Munich, Arjen Robben (kanan) mengelak terjahan pemain Sao Paolo, Jadson pada kejohanan pramusim Piala Audi di Munich, semalam. - AFP 
 
MUNICH, Jerman - Bayern Munich mengalahkan kelab Brazil, Sao Paulo 2-0 dalam kejohanan pramusim, Piala Audi semalam untuk bertemu Manchester City dalam perlawanan akhir di Allianz Arena.

Bos Bayern, Pep Guardiola sewajarnya merancang sesuatu memandangkan lawan mereka pada pentas akhir nanti, City garang selepas mengalahkan AC Milan 5-3.

Bayern tidak mampu melenyapkan terus cabaran Sao Paulo sebaliknya terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol.

Mario Mandzukic menjaringkan gol pertama dan pemain muda Mitchell Weiser menambah satu lagi jaringan.

Bayern menguasai perlawanan dan memiliki banyak peluang gol dengan Arjen Robben dan Franck Ribery sering melancarkan serangan manakala percubaan Claudio Pizzaro dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain pertahanan, Rafael Toloi.

Penjaga gol veteran Sao Paulo, Rogerio Ceni terlepas peluang mendapatkan gol apabila sepakan penalti yang dilakukannya diselamatkan Manuel Neuer. 

Sementara itu, City menguasai permainan ketika menentang Milan dan mendahului seawal minit ketiga menerusi David Silva.

Micah Richards menambah gol kedua City pada minit ke-19 sebelum Aleksandar Kolarov memberikan jaringan ketiga dan Edin Dzeko meledak dua gol dalam tempoh empat minit bagi meletakkan City di hadapan 5-0.

Milan cuba memberi tentangan apabila bangkit menerusi dua jaringan daripada Stephan El Shaarawy dan Andrea Petagna sebelum rehat. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 31 Julai 2013

Luiz: Chelsea pasang RM300j jerat Bayern


 
London: Bagi mematikan hasrat Bayern Munich memancing David Luiz, Chelsea meletakkan harga 60 juta pound (RM300 juta) ke atas pertahanana Brazil itu.

Bos baru Bayern, Pep Guardiola berminat mendapatkan pemain 26 tahun itu untuk memperkuat bentengnya, dan dia menyediakan pakej 40 juta pound (RM200 juta) berserta tambahan 5 juta pound (RM25 juta) untuk mengumpan Blues.
Harga terlalu tinggi


Tetapi Chelsea berkeras mereka tidak akan menjual Luiz dan memberitahu kelab juara Eropah itu: “Harganya 60 juta pound atau kami tidak berminat.”

Bagi Bayern jumlah itu terlalu tinggi untuk pemain seperti Luiz - yang bernilai 21.3 juta pound (RM106.5 juta) ketika berpindah dari Benfica pada Januari 2011 – dan membuat keputusan untuk menarik diri daripada pembidaan. - Agensi 
 
Berita Harian

Isnin, 29 Julai 2013

Bayern sedia tawar RM198.2j dapatkan Luiz

 
Munich: Bayern Munich bersedia menawarkan £40 juta (RM198.2 juta) kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmat David Luiz, 26.

Jurulatih Bayern, Pep Guardiola mahukan bintang Brazil itu sejak berada di Barcelona dan kini selepas berpindah ke pasukan juara Eropah itu, Guardiola sedia untuk kembali menyambar Luiz selepas tertarik dengan peranannya membantu Brazil menjuarai Piala Konfederasi, bulan lalu.
Luiz, baru kembali untuk latihan pra-musim bersama Chelsea di bawah kendalian pengurus baru, Jose Mourinho tetapi kekalahan 4-2 Bayern kepada Borussia Dortmund pada Piala Super Jerman, Sabtu lalu membimbangkan Guardiola untuk mengukuhkan barisan pertahanannya.


“Persembahan Bayern pada perlawanan itu mendedahkan beberapa kelemahan yang membuatkan Guardiola percaya ia mampu diselesaikan jika dia membawa masuk Luiz,” kata sumber dalaman kelab itu.

Agensi

Berita Harian

Dortmund tebus kecewa



PEMAIN-PEMAIN Dortmund meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Super Jerman selepas menewaskan Bayern 4-2 di Westfalenstadion awal pagi semalam.


DORTMUND - Borussia Dortmund menewaskan Bayern Munich 4-2 untuk menjulang trofi Piala Super Jerman awal pagi semalam.

Kekalahan di Westfalenstadion itu merupakan yang pertama buat Pep Guardiola sejak membimbing juara Eropah itu.

Marco Reus muncul wira pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol seawal minit keenam dan 86, manakala dua lagi gol Dortmund dicetak oleh Ilkay Gundogan (57) dan gol sendiri pemain Bayern, Daniel van Buyten pada minit ke-56.

Kedua-dua gol saguhati Bayern pula diperoleh menerusi Arjen Robben pada minit ke-54 dan 64.

Kekalahan itu juga mencalar rekod bersih Bayern yang melakar kemenangan dalam kesemua sembilan aksi persahabatan di bawah kendalian Guardiola.

"Saya tidak menganggap Dortmund lebih hebat daripada kami semata-mata kerana kemenangan ini.
"Inilah lumrah dalam bola sepak dan apa jua kemungkinan boleh berlaku termasuk kekalahan," kata Guardiola.

Guardiola yang mengambil alih tugas Jupp Heynckes yang bersara berkata, anak-anak buahnya perlu segera melupakan kekalahan tersebut.

"Kami beraksi dengan baik, namun nasib tidak menyebelahi kami.

"Berdepan dengan pasukan yang kuat seperti Dortmund sememangnya bukan mudah tetapi saya tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buah saya.

"Ia pengajaran yang berguna buat kami dan sejujurnya, saya tetap gembira dengan persembahan kami dalam perlawanan itu," kata Guardiola.

Dalam pada itu, rakan sejawatan Guardiola, Juergen Klopp gembira dengan keputusan yang dianggap bakal menyuntik semangat Dortmund kembali merampas trofi Liga Jerman daripada Bayern musim depan.

"Kami berjaya mempamerkan aksi sebenar dan kemenangan ini benar-benar menakjubkan," kata Klopp.

Sementara itu, kapten Bayern, Philipp Lahm jelas kecewa dengan kekalahan itu.
"Kami mahu menang, namun segala-galanya serba tidak menjadi," katanya. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 23 Julai 2013

Barca uji kredibiliti Guardiola



GUARDIOLA bakal berdepan bekas kelabnya apabila Bayern Munich melayan kunjungan Barcelona pada satu aksi persahabatan di Allianz Arena esok.


BERLIN - Pep Guardiola bakal berdepan bekas kelabnya apabila Bayern Munich melayan kunjungan Barcelona pada satu aksi persahabatan di Allianz Arena esok.

Begitupun, Barcelona dijangka tiba di Munich tanpa kehadiran jurulatih selepas Tito Vilanova meletak jawatan atas faktor kesihatan minggu lalu.

Barcelona mencapai persetujuan untuk melantik Gerardo Martino sebagai pengurus selama dua tahun semalam.

Guardiola yang menerajui skuad The Bavarians bulan lalu juga pastinya tidak dapat melupakan kenangan manis semasa mengendalikan Barcelona memenangi 14 gelaran dari 2008 hingga 2012.

Beliau turut berjaya membeli pemain muda Barcelona, Thiago Alcantara bagi memantapkan jentera tengah Bayern yang dibarisi pemain berkaliber seperti Arjen Robben dan Franck Ribery.

Namun, Guardiola dilihat masih belum dapat melupakan sengketa lama dengan pihak pengurusan skuad The Catalan yang didakwa menuduh beliau tidak pernah melawat Vilanova ketika menjalani pembedahan tekak di New York, Amerika Syarikat pada Disember lalu.

"Mereka sengaja menjadikan isu tersebut untuk memburukkan imej saya.
"Tuduhan saya tidak bertemu dengan Vilanova semasa di New York sememangnya mengarut," tegas Guardiola.

Dalam pada itu, kedua-dua pasukan dijangka tidak menurunkan barisan terkuat masing-masing.
Bayern dijangka tempang tanpa kehadiran Bastian Schweinsteiger dan Mario Goetze yang belum pulih daripada kecederaan.

Skrip yang sama juga menimpa Barcelona apabila masih belum dapat menagih khidmat kapten, Carles Puyol yang bergelut untuk mengembalikan semula tahap kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut, Mac lalu.

Pada masa sama, Barcelona juga pasti mahu menjadikan perlawanan itu sebagai medan membalas dendam apabila dimalukan Bayern dengan agregat 0-7 pada aksi separuh akhir kempen Liga Juara-Juara musim lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 15 Julai 2013

Pemain 'pening' formasi Guardiola


BERLIN - Gara-gara sukar menyesuaikan diri dengan sistem baharu Pep Guardiola, Bayern Munich dikerah sebelum menang 4-0 ke atas kelab Divisyen Tiga Jerman, Hansa Rostock dalam aksi persahabatan semalam.

Bayern yang menewaskan Borussia Dortmund 2-1 di Wembley pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Mei lalu lebih selesa menggunakan formasi 4-2-3-1 ketika di bawah bekas jurulatih Jupp Heynckes.

Bagaimanapun, apabila bekas jurulatih Barcelona, Guardiola mengambil alih tugas Heynckes bulan lalu, formasi lama tidak digunakan lagi sebaliknya memperkenalkan formasi 4-1-4-1.

Formasi baharu tersebut menyebabkan kelab gergasi Jerman itu memerlukan masa untuk mengadaptasi sistem tersebut dalam kalangan pemain.

Dalam pada itu, pemain sayap Perancis, Franck Ribery menggambarkan sistem tersebut sebagai satu formasi yang amat kuat.

"Formasi tersebut jauh berbeza dengan apa yang biasa kami gunakan, tambahan pula sistem yang sebelum ini kami gunakan membolehkan kami meraih beberapa kejuaraan," kata Ribery.

Sementara itu, Guardiola memberitahu Bayern adalah pasukan yang hebat dan mampu menerima sistem baharu tersebut dengan baik.

"Pemain dalam kelab ini amat bijak, mereka telah memenangi tiga gelaran pada musim lepas. Kini mereka masih dalam proses untuk menerima sistem baharu.

"Pada separuh masa kedua tidak begitu baik namun kami masih mempunyai beberapa ujian lagi terutama ketika bertemu BVB (Borussia Dortmund) sebelum memulakan aksi musim Bundesliga," kata Guardiola.

Bayern dijadual menentang Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman pada 27 Julai ini manakala saingan Bundesliga bakal bermula 9 Ogos ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Thiago milik Bayern


THIAGO akan menandatangani kontrak selama empat tahun dengan Bayern.


MADRID - Juara Eropah, Bayern Munich menambah kekuatan di posisi tengah apabila bersetuju mengikat pemain tengah Barcelona, Thiago Alcantara dengan yuran perpindahan 25 juta euro (RM104 juta).

Menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi Bayern kelmarin, Thiago, 22, akan menjalani ujian perubatan dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum menandatangani kontrak selama empat tahun, sekali gus memintas Manchester United untuk mengikat bintang skuad Bawah 21 (B-21) Sepanyol itu.

Jika semuanya berjalan lancar, Thiago akan bekerjasama semula dengan bekas pengendali Barca, Pep Guardiola yang kini menjadi jurulatih Bayern.

Dalam pada itu, Barca turut mengesahkan perkara itu dan mereka menjelaskan, perjanjian itu bakal menjadikan hubungan dua hala antara skuad The Catalan dan Bayern menjadi lebih mesra.

Bayern akan menjelaskan 5 juta euro (RM20.8 juta) daripada yuran perpindahan yang diasingkan menerusi gajinya dan separuh lagi daripada persetujuan Thiago sendiri untuk dijadikan sebahagian upah beberapa proses perpindahannya.

"Thiago merupakan pemain yang sangat diidamkan jurulatih baharu Bayern. Aksinya sangat mengagumkan dan dia bakal menambah kekuatan kelab itu.

"Kami sangat mengalu-alukan kehadiran pemain berbakat besar itu dan dia merupakan pembelian terbesar serta terbaik kami," kata Ketua Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Thiago yang lahir daripada Akademi Remaja Barcelona dilihat sebagai prospek besar bagi menggantikan Xavi di posisi tengah kelab gergasi Sepanyol itu.

Beberapa laporan media Sepanyol menyebut, Thiago kecewa kerana dia kurang diberi peluang beraksi, sekali gus memaksa dia berhijrah ke Jerman bersama kelab yang menghargai bakatnya.

Untuk rekod, Thiago yang menjadi kapten skuad B-21 Sepanyol membantu pasukan itu menjadi juara Eropah.

Pada aksi final itu, Thiago meledak hatrik untuk membantu kemenangan 4-2 Sepanyol ke atas Itali, sekali gus dipilih sebagai pemain paling berharga oleh Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Ironinya, Thiago lahir di Bari, Itali dan bapanya, Mazinho merupakan bekas pemain tengah Brazil serta pernah menganggotai skuad Samba itu ketika menjadi juara Piala Dunia 1994.
Adiknya, Rafinha juga bermain di bahagian tengah dengan skuad Barcelona B. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 13 Julai 2013

Guardiola cuba potong jalan United


LONDON - Jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola sedang bersaing dengan Manchester United dalam usaha mendapatkan khidmat pemain tengah Barcelona, Thiago Alcantara.

Sebelum ini, pemain berusia 22 tahun itu dikatakan semakin hampir untuk menyarungkan jersi United pada musim depan.

Namun, Alcantara kini memiliki satu lagi pilihan apabila bekas jurulatih The Catalan, Guardiola mahu membawa dia ke Jerman pada musim depan.

"Saya mahu (khidmat) Alcantara. Saya telah meminta kepada Bayern untuk mendapatkannya tetapi saya tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Hanya Alcantara sahaja pemain yang saya mahu, itulah yang saya beritahu kepada pihak pengurusan Bayern.

"Hanya dia atau tiada pemain lain baharu akan masuk. Ini kerana kami telah memiliki ramai pemain tetapi kami perlu kualiti tambahan yang istimewa dari Alcantara.

"Saya cukup mengenali Alcantara dan saya tidak fikir menambah seorang pemain tengah akan memberikan masalah kepada kami.

"Saya telah berbincang dengan Bayern mengenai pencaturan saya selain sebab mengapa saya mahu mendapatkan Alcantara.

"Saya telah memberikan pandangan saya tetapi saya tetap mematuhi pihak atasan Bayern. Sekiranya mereka enggan, ia tidak mengapa," ujar Guardiola. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 18 Jun 2013

Guardiola sesuai untuk generasi baru Bayern

BERLIN - Pep Guardiola akan mengadakan sidang akhbar pertama sebagai jurulatih baharu Bayern Munich Isnin depan ketika bekas bos Barcelona itu diumumkan sebagai individu paling layak untuk menerajui generasi baru pemenang Liga Juara-Juara Eropah itu.

Jupp Heynckes menamatkan tugasnya sebagai jurulatih Bayern Jun setelah membawa kelab Bavaria itu mencatat sejarah kejuaraan treble apabila muncul kelab Jerman pertama memenangi kejuaraan liga, Piala Jerman dan kejuaraan Eropah dalam musim yang sama.

Hanya generasi terhebat Bayern pada era 1970-an yang menyamai pencapaian tersebut apabila memenangi tiga kejuaraan Eropah berturut-turut mulai 1974-1976.

Heynckes menyokong Guardiola untuk membina kejayaan Bayern dengan menegaskan pelantikan jurulatih dari Sepanyol itu 'adalah keputusan tepat untuk generasi baru'.

"Saya ucapkan selamat berjaya kepada Guardiola dan semoga menjulang banyak kejayaan, kerana pasukannya pernah menjadi pasukan saya.

"Saya gembira jika Bayern sekali lagi menang Bundesliga dan Liga Juara-Juara," kata Heynckes.
Memenangi 14 kejuaraan sepanjang empat musim di Barcelona, ini merupakan pelantikan pertama Guardiola setelah berehat selama setahun bersama keluarganya di New York, di mana menurut abangnya, jurulatih itu belajar bahasa Jerman.

Bayern berkata, sidang akhbar pertama Guardiola akan diadakan di Allianz Arena Isnin ini di mana jurulatih itu akan menunjukkan keupayaannya bertutur dalam bahasa Jerman.

"Pep belajar bahasa Jerman empat jam setiap hari," kata abangnya, Pere Guardiola.

Guardiola akan memulakan latihan pertama bersama skuad Bayern pada 26 Jun ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Heynckes mahu 'bercuti panjang'



HEYNCKES memegang trofi yang dimenangi bersama Bayern Munich musim ini.


MUNICH - Pengendali vete- ran, Jupp Heynckes menitis- kan air mata ketika mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh pegawai, pemain dan peminat Bayern Munich kelmarin.
Heynckes, 68, akan meninggalkan Bayern selepas melalui satu musim yang sangat gemilang bersama pasukan gergasi Jerman itu.

Heynckes yang menghadiahkan gelaran trebel kepada Bayern musim ini menegaskan, beliau masih belum memikirkan untuk membimbing mana-mana pasukan pada musim depan.

Beliau memerlukan rehat selepas 'bergelut' dengan satu musim yang sangat memenatkan bagi membantu Bayern menjulang gelaran trebel iaitu Liga Jerman, Piala Jerman dan Liga Juara- Juara.
Bagaimanapun, beliau turut mengesahkan ada menerima tawaran daripada beberapa kelab luar Jerman termasuk 'kelab-kelab kaya'.

Heynckes berkata, ketika ini beliau tidak berminat untuk mendengar sebarang tawaran itu kerana hanya berfikir untuk berehat sepuas- puasnya.

"Ingin saya memberitahu anda, ketika ini saya dalam tempoh 'bercuti'.

"Namun, saya tidak mahu menggunakan perkataan bersara terus kerana saya masih tidak tahu tentang masa depan saya selepas ini," tegas Heynckes.

Sebelum ini, Heynckes dikaitkan dengan Real Madrid yang juga bekas kelab yang pernah dibimbingnya suatu ketika dahulu dan beliau berjaya menjulang gelaran Liga Juara-Juara bersama kelab gergasi Liga Sepanyol tersebut.

Tempat Heynckes di Bayern bakal diisi oleh bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola manakala pengurus Real, Jose Mourinho kembali ke pangkuan Chelsea.

Pengerusi Bayern, Karl- Heinz Rummenigge dan presiden kelab, Uli Hoeness telah melahirkan penghargaan tertinggi buat Heynckes.

Mereka menganggap kejayaan Heynckes menjulang kejuaraan trebel akan menjadi suatu sejarah. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 31 Mei 2013

Mampukah Bayern cipta sejarah?



INILAH trofi yang bakal menobatkan Bayern Munich sebagai juara trebel sekiranya berjaya menewaskan Stuttgart pada final Piala Jerman, awal pagi esok.


BERLIN - Bayern Munich akan turun beraksi pada final Piala Jerman awal pagi esok dengan misi untuk mencipta sejarah menjadi kelab Jerman pertama berjaya meraih gelaran juara trebel.

Selepas menjuarai Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah, Piala Jerman dilihat bakal melengkapkan kejayaan gemilang mereka musim ini sekiranya berjaya mengatasi Stuttgart.

Atas kertas, Bayern dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang sebagai hadiah paling bermakna buat jurulatih mereka, Jupp Heynckes yang akan meninggalkan kelab itu untuk memberi laluan kepada Pep Guardiola selepas ini.

"Kami masih dahagakan kemenangan kerana kami mahu diingati sampai bila-bila. Piala Jerman ini menjadi penting bukan sahaja untuk dibawa pulang tetapi untuk kami mencatat sejarah baharu," kata pemain tengah, Thomas Mueller.

Dengan tinggal Stuttgart menjadi penghalang, kejayaan menjulang Piala Jerman akan menjadikan Bayern kelab ketujuh di Eropah yang berjaya meraih juara trebel.

Bayern akan menyertai kelab yang pernah mencipta sejarah yang sama seperti Celtic pada 1967, Ajax (1972), PSV Eindhoven (1988), Manchester United (1999), Barcelona (2009) dan Inter Milan (2010).

"Dalam kalangan kami (pemain Bayern), sudah 100 kali rasanya kami bercakap tentang juara trebel ini. Ini kami tidak pernah berada dalam keadaan seperti sekarang.

"Peluang yang tidak selalu datang seperti ini perlu digunakan sebaiknya untuk mencipta sejarah dan ia menjadi motivasi kepada setiap pemain," tambah Mueller. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 25 Mei 2013

Aksi panas ‘merah kuning’




LONDON – Stadium keramat bola sepak Inggeris bakal bergema dengan sorakan suara Jerman apabila menemukan dua kelab gergasi Liga Jerman, Bayern Munich serta Borussia Dortmund dalam final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, awal pagi esok.

Untuk rekod, di stadium inilah dua tahun lalu, Barcelona telah mencipta sejarah apabila menumbangkan gergasi England, Manchester United 3-1 untuk merangkul piala yang sama.
Tetapi, tahun ini Bayern dan Dortmund ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila membuktikan kuasa bola sepak Jerman ternyata tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara lain.

Cemerlang pada aksi separuh akhir, Bayern telah menunjukkan jalan keluar buat Barcelona apabila mereka menang besar 7-0 menerusi agregat manakala Dortmund juga turut mengesahkan tiket ke pentas final ini dengan menumbangkan satu lagi gergasi Sepanyol, Real Madrid 4-1.

Tanpa mengambil kira siapa pun juara musim ini, bola sepak Jerman seharusnya berbangga kerana berjaya mendominasi pentas final peringkat Eropah musim ini namun yang pastinya kedua-dua pasukan itu bakal berentap dalam pacuan motivasi berbeza.

Untuk Bayern yang sinonim dengan jersi merah, mereka mempunyai misi peribadi untuk mencari penawar kedukaan apabila tewas di pentas final 2010 kepada Inter Milan dan begitu juga pada final 2012, kalah menerusi sepakan penalti kepada Chelsea.

Bagi Dortmund yang sinonim dengan warna kuning, mereka sudah lama menanti saat ini selepas kali terakhir muncul juara pada 1997 di samping mempunyai misi peribadi untuk dibuktikan pada Bayern.
Mereka mahu menjadi kuasa baharu bola sepak Jerman di samping ingin memalukan Bayern yang bertindak menyambar pemain tengah berpengaruh mereka, Mario Goetze dengan harga £31.7 juta (RM145.1 juta) musim depan.

Bagaimanapun, kecederaan hamstring yang menimpa Goetze memberi sedikit keceriaan buat Bayern tetapi mereka harus sedar bahawa Dortmund tidak hanya bergantung kepada Goetze seorang kerana kelibat peledak berbisa Poland, Robert Lewandowski, Marcel Schmelzer, Lukasz Piszczek, Marco Reus serta Sebastian Kehl juga harus diberi perhatian.

Menurut penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller, mereka tidak sedikit pun terkesan dengan ketiadaan Goetze dan perkara itu telah dibuktikan dalam pentas final Piala Jerman 2012 apabila mereka menewaskan Bayern 5-2 tanpa kehadiran Goetze.

“Saya berani jamin bahawa kami mampu beraksi dengan baik walaupun tanpa kehadirannya. Kami tidak bergantung pada seorang pemain.

“Pada final DFB-Pokal 2012 Mario juga tidak beraksi. Tetapi kami tetap muncul juara,” tegas Weidenfeller.

Menurut jurulatih Bayern, Jupp Heynckes, 68, kedua-dua pasukan sangat memahami corak permainan masing-masing.

“Kedua-dua jurulatih sangat mengenali pemain lawan dan antara kami tiada rahsia.
“Kami sangat memahami corak permainan masing-masing. Cuma pentas final itu yang berbeza,” kata Heynckes yang bakal meninggalkan Bayern selepas berakhir perlawanan dan diganti oleh Pep Guardiola. – AFP

Jumaat, 3 Mei 2013

Lewandowski ke Bayern bukan Old Trafford


LONDON - Robert Lewandowski bersedia menuju ke Bayern Munich dan bukannya Manchester United walaupun Alex Ferguson beria-ria mahu mendapatkan penyerang Borussia Dortmund itu.

Pemain berasal dari Poland dan dianggarkan bernilai RM119 juta itu dalam proses untuk berhijrah ke Bayern dengan tawaran bayaran RM760,000 seminggu selama lima tahun.

Reputasi Lewandowski naik mendadak selepas dia menyumbat kesemua empat gol ketika pasukannya membelasah Real Madrid 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 24 tahun itu masih memiliki baki kontrak setahun bersama Dortmund.

United sebelum ini terlalu yakin mereka akan membawa Lewandowski ke Old Trafford selepas Bayern menandatangani perjanjian membeli rakan sepasukan Lewandowski, Mario Goetze.

Namun, Lewandowski sebenarnya lebih menunjukkan minat menyertai pasukan yang menyingkirkan Barcelona daripada kancah Eropah. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Kekalahan paling dahsyat


David Villa
BARCELONA - Pengurus Barcelona, Tito Vilanova mempertahankan keputusan tidak menurunkan Lionel Messi ketika menyaksikan kelab itu tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, semalam.

Kata Vilanova keputusan tersebut dibuat kerana Messi belum cukup cergas untuk aksi perlawanan separuh akhir itu.

Berikutan keputusan merehatkan Messi, Barcelona terpaksa membayar harga yang tinggi apabila tewas dengan kiraan agregat 7-0.
Keputusan itu juga adalah adalah yang paling dahsyat buat kelab gergasi Sepanyol tersebut musim ini.

Dalam pada itu, Vilanova turut menafikan Barcelona terlalu bergantung kepada Messi untuk meraih kemenangan.

“Dia bermain di Bilbao pada Sabtu lalu kerana dia merasa amat baik, namun selepas tamat perlawanan penyerang tersebut mula mengalami kekejangan otot.

“Pada semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) dia menjalani latihan bersama kami, namun pemain tersebut masih lagi merasa kurang selesa dan dia tidak dapat diturunkan bagi membantu pasukan.

“Setiap tahun jika kami bermain tanpa Messi, kami berupaya memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan yang kecil namun pada tahun ini dalam saingan liga kami telah menang perlawanan dengan keputusan 5-0 dan 3-0 tanpa penyerang tersebut.

“Ketika anda mempunyai pemain yang hebat sebegini adalah normal jika dia menjadi tumpuan.

“Jika Bayern beraksi tanpa (Franck) Ribery atau (Arjen)
Robben sudah tentu mereka tidak berupaya mencapai keputusansebegini," kata Vilanova.

Sementara itu, Vilanova turut mengakui kelebihan fizikal yang dimiliki Bayern menjadi faktor utama kemenangan mereka pada dua saingan separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Semua pasukan akan memperkukuhkan skuad mereka pada setiap musim berbanding kami yang tidak melakukan banyak melakukan perubahan. 

“Bayern telah sampai di tahap sebegini kerana pemain mereka dan pemain kami ramai yang keluar.

“Sungguhpun mempunyai pasukan yang hebat anda masih belum berupaya memenangi kesemua gelaran," kata Vilanova. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my