Memaparkan catatan dengan label Khairul Fahmi Che Mat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khairul Fahmi Che Mat. Papar semua catatan

Ahad, 27 Oktober 2013

Kelantan, Pahang lonjak gelora



BARISAN pemain Kelantan meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Jumaat lalu.


"FINAL paling ditunggu-tunggu musim ini."
Demikian jelas pengkritik bola sepak negara, Reduan Abdullah menjelang aksi final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam pada 3 November depan.

Menurut beliau, rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini tidak wajar dijadikan ukuran, memandangkan saingan di pentas final adalah sesuatu aksi yang cukup berbeza.

"Kedua-dua pasukan dilihat memiliki kekuatan dan kekurangan yang seimbang.

"Biarpun saya percaya pemenang tidak akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, ada baiknya kita tunggu aksi sebenar di atas padang nanti," kata Reduan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelantan yang tampil selaku juara bertahan mara ke pentas final selepas mengecewakan finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi agregat 4-3.

Pahang pula mengakhiri penantian selama 16 tahun untuk mara ke pentas final selepas mengatasi cabaran juara Liga Premier, Sarawak dengan agregat 4-2.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam aksi pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia 20 Ogos lalu.

Bagaimanapun, skuad The Red Warriors berpesta gol membelasah Pahang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 21 September lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai sentuhan yang dimiliki pengendali Pahang, Dollah Salleh, Reduan mengakui, bekas penyerang skuad kebangsaan itu memiliki karisma tersendiri bagi menjulang Tok Gajah kali ini.

Ia bersandarkan kepada kejayaan Dollah yang mendakap gelaran yang sama ketika membimbing Selangor MBPJ pada 2003 dan Selangor dua tahun kemudian.

"Sebagai jurulatih, Dollah pastinya mahu menamatkan penantian penyokong Pahang yang kali terakhir melihat Piala Malaysia diarak ke Kuantan pada 1992 selepas Pahang dikecewakan Selangor di pentas final 1997.

"Cuma kredibiliti (jurulatih Kelantan) Bojan Hodak juga tidak boleh dipandang sebelah mata, beliau pastinya mahu mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia selepas terlepas trofi Liga Super musim ini," kata beliau.

Reduan juga percaya mana-mana pasukan yang paling sedikit membuat kesilapan bakal membawa pulang trofi paling berprestij edisi yang ke-87 itu.

"Aksi final pastinya berbeza, jadi pemain harus bijak mengawal perasaan dan tidak terlalu gemuruh.
"Apa yang pasti, saya percaya ia satu final yang ditunggu-tunggu terutamanya bagi peminat dari Pantai Timur," katanya.

Pada final Piala Malaysia musim lalu, Kelantan mengecewakan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Apek akui prestasi menurun


 
Khairul Fahmi Che Mat menunjukkan koleksi terbaharu jam tangan jenama Mido di Kota Bharu, semalam. 
 
KOTA BHARU - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui prestasinya menurun sejak kebelakangan ini menyebabkan dia gagal memberikan persembahan terbaik terutamanya ketika perlawanan persahabatan menentang Barcelona baru-baru ini sehingga melepaskan gol mudah.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya dan menganggap ia sebagai cabaran yang harus ditempuhinya sebagai seorang pemain bola sepak.

"Saya akan berusaha lebih keras untuk kembali ke prestasi sebenar. Impian saya tahun ini ialah untuk membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu dan terus mengalas tanggungjawab sebagai penjaga No. 1 negara," katanya pada pelancaran koleksi terkini jam berjenama Mido di sini, semalam.

Khairul mengakui Kelantan bakal berdepan tugas sukar dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila diundi bersama tiga pasukan Liga Super iaitu Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan pada kempen kali ini.

Ujarnya, kesemua pasukan tersebut mampu memberikan tentang sengit kepada The Red Warriors kerana mereka memiliki ramai pemain hebat dan menggalas tugas dengan baik sekiranya diturunkan pada setiap perlawanan.

Katanya, The Red Warriors tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka kerana setiap pasukan pasti akan bermain mati-matian untuk menumpaskan Kelantan dan merupakan satu motivasi jika berjaya berbuat demikian.

Menurutnya, bagaimanapun dia akan rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk mengalas cabaran dalam saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung pada 20 Ogos ini.

"Sebagai pemain, saya dan rakan-rakan akan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi bagi memastikan Kelantan tidak keciciran mata.

"Ini penting, bagi memastikan Kelantan mampu mengulangi pencapaian musim lalu sekali gus mempertahankan kejuaraan tersebut sekali lagi musim ini," katanya.

Penjaga gol kebangsaan itu mengakui, Piala Malaysia berbeza dengan saingan Liga Super mahupun Piala FA kerana setiap pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini pasti mempamerkan aksi luar biasa.

"Itulah uniknya Piala Malaysia. Kadang kala, sukar untuk meramalkan pasukan mana yang akan layak ke pusingan seterusnya kerana mereka menjadikan kejohanan ini untuk memulihkan semula reputasi pasukan," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

Apek mengaku silap

CESC Fabregas melakukan tandukan yang gagal ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin. - Utusan/ASWAD YAHYA 
 
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Barcelona selama setengah jam dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin, namun tandukan Cesc Fabregas pada minit ke-33 sedikit merencatkan cerita indah tersebut malah ada peminat bola sepak mengatakan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Malah di laman sosial, Facebook juga perkara tersebut hangat diperdebatkan, dengan ada yang mengutuk kelalaian Khairul Fahmi dan ada yang mempertahankannya dengan memberi alasan ia munasabah kerana Malaysia berdepan pasukan terbaik dunia.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan nama timangan 'Apek' , memberi penjelasan tentang gol pertama pasukan gergasi Eropah itu dan dia mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri kerana gagal menepis dengan kemas bola yang terlebih dahulu melantun ke tanah sebelum menerjah ke dalam gawang Malaysia.

"Dalam perlawanan apa sahaja boleh berlaku termasuk kesilapan, saya akui tidak dapat menepis bola tersebut dengan baik sehingga menyebabkan mereka (Bacelona) memperoleh gol sulung. Saya bukan tidak cuba malah telah mencuba untuk menepisnya dan saya berasa sedikit kecewa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah memberikan persembahan sebaik mungkin namun hanya perkataan maaf dapat diungkapkan kepada rakan-rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia kerana melepaskan dua gol yang membolehkan pasukan Catalan itu mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

"Secara keseluruhannya untuk perlawanan semalam (kelmarin) kami telah buat yang terbaik, kita sudah cuba bertahan untuk tidak dibolosi namun ada beberapa kesilapan termasuk gol pertama tersebut. Bagaimanapun kita harus sedar bertemu dengan sebuah pasukan terbaik dunia.

"Sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu daripada mereka. Pasukan hebat yang lain pun sukar untuk mengalahkan mereka apatah lagi kita pasukan yang kecil ini. Bagi saya taktikal kita menjadi, jurulatih juga sudah memberitahu kepada kami supaya memberi persembahan terbaik," kata penjaga gol Kelantan itu.

Selepas ketinggalan 1-0 melalui jaringan Fabregas, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar petak penalti, Amri Yahyah pada minit ke-41 namun Barcelona kembali mendahului dengan jaringan pemain dari Brazil, Neymar dua minit kemudian.

Khairul Fahmi digantikan dengan Farizal Marlias pada separuh masa kedua dan skuad bimbingan Gerardo Martino itu berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Gerard Pique pada minit ke-75.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Khairul Fahmi berkata, semua pemain kebangsaan akan kembali ke pasukan negeri dan kelab masing-masing untuk memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia termasuk dirinya sendiri.

"Kami berada dalam kumpulan yang bukan mudah, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan trofi Piala Malaysia terus kekal di bumi Kelantan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 8 Januari 2013

Sukan Khairul Fahmi 'bersuara' TRW mampu atasi PKNS

Kota Bharu: Penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yakin The Red Warriors (TRW) mampu mempamerkan aksi terbaik sekali gus mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama Liga Super menentang Selangor PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Penjaga gawang kebangsaan berusia 24 tahun itu mengakui kekecewaan gagal memenangi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu lalu mampu memberikan semangat baru kepada TRW untuk memulakan kempen dengan langkah kanan.

Dia juga tidak sabar untuk turun beraksi buat kali pertama bersama TRW bagi musim ini selepas tidak dapat beraksi ketika perlawanan sumbangsih kerana majlis persandingannya.


Saya yakin dengan semangat yang ada pada pemain TRW, kami dapat mengutip tiga mata penuh terutama apabila beraksi di tempat sendiri. Kita hanya perlu fokus kepada perlawanan seterusnya yang lebih sukar.

Kegagalan perlu dijadikan pembakar semangat mencipta kejayaan, katanya.

Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak pula meminta pemainnya segera melupakan rekod gemilang musim lalu, sebaliknya perlu bermula kosong untuk mengelak tekanan.
 -Berita Harian

Ahad, 6 Januari 2013

Pertratos milik sah Kelantan

KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menegaskan penyerang import mereka, Dimi Pertratos adalah sah milik pasukan Kelantan.
Annuar berkata, Dimi Pertratos adalah pemain yang sudah mempunyai kontrak rasmi dengan KAFA, jadi tidak timbul persoalan yang mengatakan bintang Australia itu di lamar oleh sebuah pasukan di England. 

Namun sekiranya perkara tersebut benar, pihaknya tidak keberatan untuk berunding mengenainya.
"Saya yakin soal perundingan melibatkan kelab-kelab luar negara terutamanya di Eropah tidak akan timbul soal curi atau pemain lari seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.

"Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan di media. Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting dia mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November ini," katanya.

Annuar menghadiri majlis perkahwinan penjaga gol utama The Red Warriors Khairul Fahmi Che Mat atau Apek di Kampung Cherang, di sini semalam.

Utusan Malaysia 4 Januari lalu melaporkan seperti dipetik portal bola sepak espnstar.my bahawa penyerang muda skuad Bawah 21 Socceroos itu kini sedang diintai oleh sebuah kelab di England.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khairul Fahmi nyala impian baharu



KHAIRUL FAHMI (kiri) bersalaman dengan Annuar pada majlis perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.


PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek mahu menjadikan musim 2013 sebagai tahun terbaik dengan membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan trebel yang diraih musim lalu.

Apek berkata, selain membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam kempen domestik, dia juga berazam untuk merebut semula tempat sebagai penjaga gol No. 1 Harimau Malaya.

“Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dengan memberikan aksi terbaik setiap perlawanan yang diharungi bagi memastikan kedua-dua azam sempena tahun baru ini dapat dicapai.

“Saya juga bertekad untuk membantu pasukan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya.

Apek berkata demikian kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.

Dalam majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 1,000 tetamu itu, Apek dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, atau Leuniey tampil anggun mengenakan persalinan warna biru firus sedondon.

Majlis kenduri Apek turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Annuar berkata, penyerang import baharu, Dimi Pertratos mempunyai kontrak rasmi dengan KAFA.

“Saya yakin tidak akan timbul soal curi atau pemain lari seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.

“Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan di media.

“Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting, dia (Pertratos) mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November ini,” kata Annuar.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita pemain kelahiran Australia itu yang dilapor dilamar oleh sebuah pasukan di England baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 28 Disember 2012

'Perkahwinan tidak jejas prestasi saya'

http://kakibola.forumado.net/t1252-perkahwinan-tidak-jejas-prestasi-saya#1796

Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar selepas majlis pernikahan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Wakaf Baru, semalam. - UTUSAN/Shahril Azman Zain
 
TUMPAT - Penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, menegaskan perkahwinannya dengan pemilik butik dan model Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, tidak akan menjejaskan prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak negara dan Kelantan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, perkahwinan tersebut harus dipandang positif kerana ia akan membangkitkan lagi semangatnya untuk beraksi di atas padang.

"Insya-Allah prestasi saya tidak akan terjejas, kita kena ambil positif, lihat David Beckham sebelum ini biarpun sudah berkahwin tetapi prestasinya tidak menurun malah semakin meningkat. 

"Saya akan cuba kekalkan prestasi yang terbaik kerana ini adalah karier saya dan saya amat bertuah kerana Leuniey amat memahami karier saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya dalam sidang media selepas majlis pernikahan beliau di Wakaf Bharu di sini semalam. 

Apek dan Nur Eilunie atau Leuniey selamat diijabkabulkan pada pukul 10 pagi semalam di rumah keluarga Leuniey di Wakaf Bharu dekat sini. 

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kedua mempelai di rumah keluarga Leuniey di sini.
Pada majlis tersebut, Khairul Fahmi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan Leuniey membalas dengan tujuh dulang.

Apek yang mengenakan persalinan berwarna kuning muda sah menjadi suami kepada Leuniey dengan sekali lafaz dan lebih 2,000 tetamu termasuk peminat setia mereka hadir pada majlis pernikahan tersebut.

Khairul Fahmi ketika ditemui bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
"Alhamdulillah majlis pernikahan ini berlangsung dengan baik. Saya memilih Leuniey kerana dia memahami karier saya yang terlalu sibuk. Sebagai contoh, saya hanya pulang untuk membuat persediaan sehari sebelum majlis ini berlangsung.

"Perasaan saya sebelum majlis akad nikah gementar, tetapi ia tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana hari ini semua memberi sokongan kepada saya dan Leuniey," katanya.

Dia menyerahkan kepada Allah sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini dan berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang anak.

Dalam pada itu, Leuniey berharap suaminya akan menjadi 'kapten' kepada keluarga mereka dengan baik meskipun pelbagai kontroversi dikaitkan dengan mereka sebelum ini.

"Saya bersedia sepenuhnya, dalam masa bercinta pelbagai cerita keluar dalam akhbar dan blog. Saya sentiasa berbincang dengan suami bila cerita seperti ini keluar.

"Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my