Memaparkan catatan dengan label David Moyes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label David Moyes. Papar semua catatan

Selasa, 3 Disember 2013

Moyes akui United masih terkial-kial



MOYES (kanan) berharap sekembalinya Robin van Persie daripada kecederaan dapat membantu United menemui rentak.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui pasukannya masih tercari-cari momentum sebenar dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England, musim ini.

Moyes berkata demikian menjelang aksi pertemuan menentang Everton di Old Trafford, awal pagi esok.

The Red Devils kini tergelincir di tangga kelapan liga selepas sekadar seri 2-2 ketika menentang Cardiff City dan Tottenham Hotspur baru-baru ini.

Justeru, Moyes menganggap ia masih terlalu awal untuk mengatakan pasukannya dianggap sebagai pasukan pilihan biarpun United dijadualkan menentang kelab bawahan seperti Aston Villa, Stoke City, Hull City dan Norwich City selepas aksi bertemu Everton.

"Kami juga bimbang kerana United dilihat terlalu jauh (dengan pendahulu Liga Perdana England, Arsenal) tetapi kami juga ingin mengatakan perjalanan liga masih jauh.

"United masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan itu dan tanpa disangkal, prestasi kami bertambah bagus.

"Saya berharap United berjaya menemui rentak sebenar. Saya turut sedar bahawa masih banyak perlawanan menanti kami dengan harapan United masih berada dalam keadaan terbaik ketika itu.
"Spurs bukan satu lawan yang mudah dan mereka berjaya mempamerkan aksi cemerlang, baru-baru ini.

"Kini kami memiliki masa seminggu yang mana United ada dua perlawanan di laman sendiri dan tiga aksi di gelanggang lawan.

"Kami berjaya menang (menewaskan Bayer Leverkusen 5-0) pada aksi Liga Juara-Juara, Mungkin prestasi United tidak konsisten tetapi ianya tidak begitu teruk," ujarnya.- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 November 2013

United masih belum sempurna


MOYES (kanan) berjabat tangan dengan van Persie selepas tamat perlawanan semalam.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya meskipun mereka berjaya membenam pendahulu Liga Perdana England, Arsenal 1-0 di Old Trafford awal pagi semalam.

Gol tunggal bekas penyerang The Gunners, Robin van Persie pada minit ke-27 sudah cukup untuk memisahkan buat United pulang dengan tiga mata berharga.

Dengan kemenangan itu, United yang mengutip 20 mata kini hanya dibezakan lima mata di belakang Arsenal selepas ditewaskan Liverpool, Manchester City dan West Bromwich Albion sebelum ini.

Kekalahan pencabar terdekat United, Manchester City dan Tottenham Hotspur selain Chelsea sekadar melakar keputusan seri juga menghidupkan semula peluang The Red Devils mempertahankan trofi liga musim ini.

Namun, Moyes menegaskan betapa perjuangan mereka masih belum selesai dan banyak perkara perlu diambil kira selepas ini.

"Bagi saya, ini merupakan satu lagi langkah untuk kembali ke landasan sebenar.

"Namun, perjalanan liga masih panjang dan saya memerlukan sedikit masa untuk memastikan segala-galanya memihak kepada kami," kata Moyes.

Moyes juga mengakui berpuas hati dengan kedudukan United sejurus sebelum saingan liga berhenti seketika bagi aksi persahabatan antarabangsa selepas ini.

"Masih banyak ranjau berliku menanti kami selepas ini.

"Pada permulaan musim, ramai sudah menjangkakan kami tidak akan bermula selesa gara-gara pertukaran pengurus.

"Saya juga percaya pasukan lain tidak akan memberikan laluan mudah buat kami, ini membuktikan United bukan lagi memonopoli saingan liga," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 5 Oktober 2013

Moyes tekad mantapkan skuad


MOYES lebih berminat untuk memberi tumpuan memantapkan rentak persembahan United.


LONDON - Pengurus Manchester United, David Moyes menjelaskan bahawa pengambilan pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan Januari depan masih belum berupaya untuk menyelamatkan prestasi hambar skuad kendaliannya musim ini.

Biarpun memiliki dana untuk berbelanja besar musim ini, Moyes tetap gagal untuk mendapatkan pemain baharu yang mereka inginkan.

Namun, Moyes mendedahkan, beliau akan mengekal dan memberikan perhatian dengan skuad sedia ada sekiranya beliau tidak berjaya untuk mendapatkan pemain-pemain yang diidamkan sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Januari depan.

"Saya akan mengkaji sama ada mahu membeli pemain baharu pada jendela perpindahan pemain Januari nanti, tetapi saya tidak mahu para peminat memberikan jangkaan tinggi sama ada United akan menandatangani pemain-pemain yang hebat.

"pada masa yang sama, saya juga tidak memikirkan untuk mendapatkan pemain baharu, sebaliknya akan terus membentuk skuad yang mantap dengan barisan pemain yang kami ada sekarang.

"Jika kamu berada dalam zon bahaya, kamu mungkin terdesak untuk melakukan sesuatu tetapi saya fikir, lebih baik fokus dengan skuad sekarang.

"Sebenarnya, saya telah memiliki ramai pemain hebat untuk meneruskan perjuangan pasukan musim ini.

"Buat masa ini, kami masih mencari rentak sebenar untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dan ia sudah menjadi sebahagian daripada tugas saya.

"Saya akan pastikan pasukan ini menikmati perubahan dan mungkin memberi pertimbangan untuk mendapatkan khidmat pemain baharu jiia keadaan memaksa," kata Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 3 Oktober 2013

Ferguson pertahankan Moyes



FERGUSON (kiri) yakin dengan kemampuan Moyes untuk mengembalikan semula kegemilangan United.


LONDON - Bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson yakin David Moyes akan mengembalikan semula kegemilangan skuad The Red Devils.

Meskipun Moyes gagal melakukannya, Ferguson yang dilabel sebagai pengurus paling berjaya di Britain tidak akan mengambil-alih semula jawatan itu.

Moyes menempuh pengalaman 'ngeri' Old Trafford apabila United melakukan permulaan yang buruk dalam saingan Liga Perdana England sejak 1989 apabila Ferguson tertekan untuk mengumpul trofi dalam kabinetnya.

Bagaimanapun, keputusan seri 1-1 dengan Shakhtar Donetsk pada aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara di Donbass Arena awal pagi semalam dianggap sebagai satu petanda yang baik buat Moyes selepas selepas mengalami kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana England.

Ferguson berkata, beliau yakin bekas pengurus Everton ini akan membuktikanya.

"Moyes akan menjalankan tugas yang baik untuk United. Saya yakin mengenai perkara itu.

"Beliau adalah pilihan saya untuk menggantikan tempat saya dan sudah tentu saya menyokongnya 100 peratus.

"Kelab juga akan memberikan sokongan penuh dan beliau akan melakukannya dengan baik. United dibimbing seorang pengurus yang tepat," kata Ferguson.

Ferguson memenangi 13 gelaran Liga Perdana England dan dua trofi Liga Juara-Juara sepanjang 27 tahun di Old Trafford.

Bagaimanapun, Ferguson berkata, pada usia 71 tahun, beliau tidak berpeluang untuk keluar daripada persaraan.

Sementara itu, Moyes mengakui berpuas hati apabila skuad The Red Devils bangkit daripada kekalahan kepada 1-2 kepada West Bromwich Albion di Old Trafford, Sabtu lalu dengan mencuri satu mata pada aksi menentang Donetsk.

Moyes berkata, keputusan seri itu sudah memadai meskipun mereka mendahului menerusi jaringan Danny Welbeck pada minit ke-18 sebelum Taison mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-76. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 2 Oktober 2013

Moyes enggan letak harapan terlalu tinggi



PEMAIN-PEMAIN United menjalani latihan bagi menghadapi aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk awal pagi esok.


LONDON - Pengendali Manchester United, David Moyes tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi pada aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk awal pagi esok.
Moyes berkata, perlawanan di Donbass Arena itu merupakan masa yang sesuai untuk bangkit daripada prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana England musim ini.

United mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga domestik dan dijangka berdepan cabaran sengit pada aksi menentang Donetsk.

Moyes yang dihimpit tekanan selepas kekalahan mengejutkan 1-2 kepada West Bromwich Albion di Old Trafford, Sabtu lalu mengakui bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya lima pemain berkelas dunia jika mahu menjulang trofi Eropah musim ini.

Meskipun United memulakan kempen dengan kejayaan 4-2 ke atas Bayer Leverkusen, Moyes sedar skuad The Red Devils akan berdepan ujian getir dalam aspek karakter dan mentaliti apabila berdepan juara Ukraine itu.

"Saya rasa kami perlu turun ke sana dengan skuad terbaik. Beraksi di Ukraine selalunya sukar kerana Donetsk memiliki rekod yang hebat.

"Saya tahu mereka telah menjual seorang atau dua pemain tetapi mereka masih ada lima atau enam pemain Brazil yang pernah beraksi di beberapa negara Eropah.

"Pertandingan Eropah ini menjadi semakin sukar untuk dimenangi setiap tahun dengan beberapa pasukan berbelanja besar termasuklah Paris Saint Germain (PSG).

"Jadi, ia satu situasi yang agak sukar buat United dan saya tidak boleh memberikan jaminan yang kami akan mara ke pusingan seterusnya," kata Moyes.

Sementara itu, perancang United, Anderson mahu rakan sepasukannya bangkit daripada kekalahan kepada West Brom dengan menewaskan Donetsk.

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dalam semua pertandingan. Jadi, untuk melakukannya kami perlu lupakan kekalahan minggu lalu dan fokus kepada perlawanan seterusnya.

"Kami akan terus bekerja kuat di atas padang dan juga dalam sesi latihan kerana inilah yang harus dilakukan jika mahu menjadi pemain United," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 30 September 2013

Moyes tak dengar cakap


DAVID Moyes (kiri) tidak mempedulikan nasihat Alex Ferguson agar tidak memecat pembantunya ketika beliau menjadi pengurus Manchester United.
 
LONDON - Alex Ferguson menasihatkan David Moyes agar tidak menyingkirkan barisan jurulatih yang telah membantunya membawa Manchester United merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, malangnya permintaan Ferguson tidak diendahkan oleh Moyes. 

Ferguson telah mengadakan perbincangan dengan Moyes sebelum menyerahkan tugas kepada bekas pengendali Everton itu, dan dengan jelasnya memberitahu agar tidak sesekali membuang pasukan kejurulatihan yang sedia ada. 

Bagaimanapun sebaik diumumkan sebagai pengurus baharu Red Devils, Moyes menyingkirkan pembantu Ferguson, Mike Phelan, jurulatih, Rene Meulensteen dan jurulatih penjaga gol, Eric Steele. 

Beliau kemudian melantik Steve Round sebagai orang No. 2 United, selain Phil Neville dan Jimmy Lumsden dalam barisan kejurulatihan. Chris Woods pula bertanggungjawab melatih penjaga gol. 

Tindakan Moyes nyata memakan diri apabila United kini mengharungi musim terburuk dalam tempoh 24 tahun. Mereka menghuni tangga ke-12 ekoran tiga kekalahan daripada enam perlawanan.
“Dia (Moyes) memberitahu saya, Mick dan Rene bahawa kami tidak diperlukan.

“Saya beritahu dia, ini adakah keputusan yang berani.

“Saya tidak mahu pergi, kenapa saya patut pergi?. Saya sedar, David akan masuk dan saya tertanya-tanya, siapakah yang akan dibawa dalam pasukan ini," kata Steele kepada majalah Inside United.

Steele mengakui, sebagai pengurus tindakan Moyes tidak salah, namun secara logiknya apakah wajar untuk menyingkirkan sebuah pasukan yang telah membawa kelab merangkul kejuaraan. 

“Itu ironik bukan? Anda sebahagian daripada barisan yang jurulatih membantu pasukan mengharungi musim terbaik dan merangkul Liga Perdana." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 29 September 2013

United tiada taring - Moyes


Pemain Manchester United, Adnan Januzaj (kiri) diasak pemain West Bromwich Albion, Youssouf Mulumbu dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, kelmarin. West Bromwich menang 2-1. - REUTERS
 
MANCHESTER - Pengendali Manchester United, David Moyes mengakui, jentera serangan pasukannya yang kurang menyengat menimbulkan kebimbangan besar dan menjadi punca mereka kalah mengejut 1-2 kepada West Brom di tempat sendiri pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, kelmarin. 

Menurut Moyes, sejak mencatat kemenangan 4-1 ke atas Swansea City dalam aksi pembukaan liga, kebanyakan gol United diperoleh sama ada menerusi situasi bola mati atau gerakan yang berpunca daripada sepakan percuma dan sudut. 

Anak-anak buah Moyes gagal untuk menghasilkan gol daripada permainan terbuka, dan keadaan tersebut amat membimbangkan pengurus kelahiran Scotland itu, terutama selepas ia berulang lagi dalam pertemuan dengan West Brom.

Kekalahan kelmarin menyebabkan penyandang juara itu mencatat permulaan terburuk liga dalam sejarah kelab sejak 1989, malah sejak Moyes mengambil alih pasukan daripada Alex Ferguson, mereka telah mengalami tiga kekalahan musim ini.

“Saya sangat bimbang, bukan hanya kerana kami tidak bermain dengan baik (menentang West Brom) tetapi ada faktor lain yang menganggu pasukan daripada mencatat kemenangan. Ada banyak perlawanan lagi menunggu selepas ini, jadi kami harus segera memperbaiki kelemahan itu. 

“Masalah utama kami bukan kurangnya percubaan dibuat atau ketiadaan pemain penyerang dalam pasukan. Kami ada ramai penyerang, tetapi mereka tidak beraksi seperti yang diharapkan dan kami kena buat lebih baik daripada sekarang.

“Kami hilang faktor peledak yang boleh membawa pasukan ke atas, kalau benda itu ada ia sudah tentu membawa perbezaan. Kalau kami berjaya menghasilkan lebih gol, keadaan akan berubah. 

“Tiada persoalan lagi, West Brom memang berhak memenangi perlawanan ini," kata Moyes. 

Moyes sebelum ini merungut tentang kempen pembukaan United yang sukar apabila mereka terpaksa berdepan tiga kelab gergasi, Chelsea, Liverpool dan Manchester City dalam tiga daripada lima perlawanan pertama liga.

United seri tanpa jaringan dengan Chelsea di Old Trafford, sebelum kalah 0-1 kepada Liverpool dan dibelasah 4-1 oleh City. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 4 September 2013

Moyes pertahan Fellaini


FELLAINI (kanan) akan membuat penampilan pertama dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Tarford menentang Crystal Palace pada 14 September depan.


LONDON - David Moyes yakin Marouane Fellaini akan melakar kejayaan cemerlang dengan Manchester United selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford pada saat-saat akhir kelmarin.
Moyes yang membawa Fellaini ke Everton ketika membimbing kelab tersebut sebelum ini, berjaya mendapatkan perancang Belgium itu dengan harga £27.5 juta (RM141 juta) selepas beberapa tawarannya ditolak.

Jumlah tersebut adalah lebih £4 juta (RM20.5 juta) daripada harga penebusan kontrak Fellaini yang akan berakhir hujung Julai ini, sekali gus menjadikan dia pemain keempat termahal yang dibeli United selepas Dimitar Berbatov, Rio Ferdinand dan Wayne Rooney.

Setelah menghabiskan masa empat tahun bersama Fellaini di Everton, Moyes yakin pemain berusia 25 tahun itu mampu memantapkan skuad The Red Devils.

"Fellaini merupakan seorang pemain yang serba boleh.

"Dia memiliki sifat-sifat yang tidak ada dalam diri pemain lain. Berdasarkan kualiti yang ada padanya, saya jamin dia akan menjadi tonggak penting United," kata Moyes.

Persaraan Paul Scholes dan Darren Fletcher yang masih dibelenggu kecederaan menyebabkan United menghadapi krisis di posisi tengah.

Bagaimanapun, kehadiran Fellaini bakal memberi pengurus The Red Devils itu lebih banyak pilihan di posisi tersebut.

"Dia boleh bermain di posisi tengah jika kami memerlukannya, iaitu di belakang penyerang utama.
"Dia juga boleh bermain sebagai perancang. Malah, dia sebenarnya boleh diberi tugas dalam mana-mana posisi di bahagian tengah," kata Moyes. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

Moyes 'kunci mulut' isu Bale

Berita Harian
 
Manchester: Pengurus Manchester United, David Moyes terus mengunci mulut mengenai cakap-cakap mahu membida bintang ternama Tottenham Gareth Bale selepas skuad kendaliannya seri 0-0 menentang Chelsea, awal pagi semalam.

Bale dilihat lebih menjurus menyertai Real Madrid tetapi selepas Tottenham mendakwa terdapat kelab kedua yang menawarkan tawaran ke atas pemain sayap The Wales itu kelmarin, Moyes ditanya mengenai minatnya itu.
Pengurus dari Scotland itu memberitahu Sky Sports: Saya sudah berkata sejak mula betapa Manchester United akan sentiasa berminat dengan pemain terbaik dan kami selalu cuba untuk membangunkan lagi pasukan.


Pemilik kelab sudah memberi saya segala peluang untuk mendapatkan siapa yang saya mahukan, jadi kami akan terus mencari pemain itu. Ia sukar pada perpindahan jendela tetapi kami selalu mencari pemain yang terbaik.

Tingkat tawaran Fellaini

Mengenai perlawanan menentang The Blues, Moyes berkata: Saya fikir kami sudah bermain dengan baik dan saya kecewa kami tidak dapat menyumbat jaringan. Mungkin kami kekurangan dari segi hantaran.

Saya fikir pertahanan Chelsea bermain dengan sangat baik. Jika sesiapa yang mempunyai peluang, ia sudah tentunya daripada kami. Kami memasuki padang dengan tiga penyerang tengah dan kami cuba untuk memenangi perlawanan.
Kami sudah mencuba sedaya upaya dan mungkin sebab bola jarang diterima Robin van Persie atau Wayne Rooney menyebabkan peluang jaringan itu kurang. Anda boleh bermain bola sepak dengan banyak cara.

Sementara itu, Moyes sudah bersiap sedia menawarkan tawaran baru bernilai 25 juta pound (RM129.62 juta) ke atas bekas pemainnya dari Everton, Marouane Fellaini dalam tempoh 24 jam ini. - Agensi

Jumaat, 23 Ogos 2013

Fellaini dedah hasrat ke United


SELEPAS Everton dan United terus berbalah, Fellaini (kiri) mula membuka mulut tentang keinginannya yang sebenar untuk musim ini.


LONDON - Marouane Fellaini dilaporkan mahu meninggalkan Everton untuk menyertai Manchester United sebelum tag harganya meningkat lebih tinggi pada tahun depan.

Perancang Belgium itu kini dianggarkan bernilai lebih dari £23 juta (RM118 juta) oleh The Toffes yang sebelum ini telah menolak bidaan United sebanyak £28 juta (RM144 juta) untuk Fellaini dan Leighton Baines.

Selepas Everton enggan menjual Fellaini kepada bekas pengurus, David Moyes yang kini bertugas sebagai pengendali Manchester United untuk musim ini, The Red Devils dilihat berdepan cabaran sukar untuk mendapatkan pemain utama pada musim panas ini.

Begitupun, difahamkan Fellaini melihat peluangnya akan berakhir jika tidak menyertai kelab gergasi Eropah sebelum pentas Piala Dunia 2014 yang dijangka memberikan impak kepada nilai harganya.

Ini kerana Belgium yang dibarisi pemain bintang seperti Fellaini, Eden Hazard dan Vincent Kompany, dijangka akan layak untuk kejohanan yang bakal berlangsung di Brazil itu.

Justeru, Fellaini bimbang kejayaan pasukan kebangsaan itu akan memaksa nilai meningkat lebih tinggi dan dia dikatakan mahu meninggalkan Everton demi kebaikan kariernya.

Ini kerana pemain berusia 24 tahun itu berpendapat, dia telah memberikan khidmat terbaik sepanjang menyarungkan jersi The Toffes selama lima tahun.

Dia tidak mahu menyulitkan usaha pengurus baharu Everton, Roberto Martinez pada peringkat ini sebagaimana Fellaini menuntut penghijrahan secara formal.

Begitupun, Martinez dijangka tidak akan melayan tuntutan Fellaini sebagaimana beliau mengesahkan tidak akan menerima sebarang bidaan.

"Mungkin 'bunyinya' sedikit kurang selesa tetapi kami tidak berminat untuk menerima atau membuat sebarang bidaan,

"Saya tidak pernah melihat United bekerja dengan penuh sopan sebelum ini. Jadi, jika kamu mahukan pemain, lakukan mengikut prosedur," ujarnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

United 'bermain api'


BAINES (depan) dan Fellaini (belakang) sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke United musim ini.


LONDON - Manchester United dilaporkan cuba mencetuskan kemarahan Everton.
Skuad The Red Devils dijangka mengemukakan tawaran baharu bagi mendapatkan dua pemain Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines.

Everton menganggap tawaran bernilai £28 juta (RM144.5 juta) daripada juara bertahan Liga Perdana England itu sebagai satu ejekan dan bersifat kurang ajar.

Everton berang setelah United cuba menggandingkan semula Fellaini dan Baines dengan bekas pengurusnya, David Moyes yang membeli kedua-dua pemain tersebut ketika berada di Goodison Park.

"Kedua-dua tawaran tersebut telah ditolak serta merta.
"Kelab ini tidak akan memberi maklumat lanjut secara terbuka kerana kami mahu memastikan persiapan Roberto Martinez (pengurus) pada awal saingan Liga Perdana England ini tidak terjejas," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Everton kelmarin.

Tawaran yang dikemukakan United itu turut disertakan dengan syarat tambahan iaitu pertukaran seorang pemain United.

Ketua Eksekutif United, Ed Woodward mengemukakan tawaran bernilai £16 juta (RM82.6 juta) kepada Fellaini dan £12 juta (RM61.9 juta) untuk Baines minggu lalu.

Meskipun Everton menolak tawaran tersebut serta merta, ia bukan satu halangan buat United yang mempunyai dana sekitar £70 juta (RM361 juta).

Moyes juga terdesak untuk memperkuatkan posisi tengah terutamanya menjelang aksi bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford, Isnin depan.

Moyes berharap untuk membawa Fellaini ke Old Trafford secepat yang mungkin.

Sebelum ini, The Red Devils telah mencetuskan kemarahan Everton dengan melantik Moyes sebagai pengganti Alex Ferguson dan kali ini, mereka dijangka tidak akan bekerjasama sekali lagi untuk melepaskan kedua-dua pemain tonggak itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 15 Ogos 2013

Rooney tunjuk petanda positif



ROONEY (kanan) beraksi ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi semalam.


LONDON - Pengendali Manchester United, David Moyes teruja selepas penyerang kontroversi, Wayne Rooney diturunkan ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa awal pagi semalam.

Moyes berkata, penampilan Rooney di Stadium Wembley itu dianggap sebagai sesuatu yang positif buat skuad The Red Devils.

Bagaimanapun, Moyes masih merahsiakan tarikh sebenar Rooney akan disenaraikan dalam skuad utamanya.

Rooney yang berhasrat untuk meninggalkan Old Trafford bagi berhijrah ke Chelsea, beraksi selama 45 minit ketika United menghadapi aksi persahabatan tertutup menentang Real Betis awal bulan ini kerana mengalami kecederaan hamstring dan bahu.

Meskipun dia tidak diturunkan ketika United menewaskan Wigan Athletic 2-0 pada Piala Piala Komuniti, jurulatih England, Roy Hodgson mendedahkan penyerang itu sebenarnya telah cergas beberapa hari sebelum perlawanan persahabatan menentang Scotland.

Rooney beraksi selama 67 minit di Stadium Wembley awal pagi semalam sebelum digantikan penyerang Southampton, Rickie Lambert.

Begitupun, Moyes enggan memberikan jaminan untuk menurunkan Rooney pada aksi pembukaan tirai Liga Perdana England menentang Swansea City awal pagi esok.

"Saya rasa, perkara paling penting ialah dia kembali beraksi di atas padang. Jadi, ia satu petanda yang baik buat kami.

"Saya harap, perlawanan ini (awal pagi semalam) dapat membantunya menjadi lebih bersedia apabila dia sudah cergas dan boleh diturunkan nanti," kata Moyes.

Moyes masih berkeras untuk tidak menjual Rooney setelah United menolak dua tawaran yang dikemukakan Chelsea ke atas bekas penyerang Everton itu.

"Semua orang mahu melihat Rooney bermain dengan baik. Dia telah berlatih dengan baik sejak awal jelajah pra-musim lalu," kata Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Wigan uji kredibiliti Moyes



MOYES (dua dari kanan) memberikan tepukan kepada Ferdinand (dua dari kiri) pada aksi persahabatan menentang Sevilla

di Old Trafford awal pagi semalam.


LONDON - Kredibiliti David Moyes selaku pengurus baharu Manchester United akan diuji malam ini.

Moyes akan menghadapi perlawanan kompetitif pertamanya apabila juara bertahan Liga Perdana England itu menghadapi juara Piala FA, Wigan Athletics pada aksi Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley.

Moyes, 50, dilantik menjadi pengurus United secara rasminya pada 1 Julai lalu selepas Alex Ferguson mengumumkan persaraannya secara mengejut akhir musim lalu.

Kewibawaan Moyes turut teruji apabila bekas pengurus Everton itu gagal mendapatkan bintang Barcelona dan Sepanyol, Cesc Fabregas yang menjadi sasaran utama perpindahan ke United.

Selain itu, usaha United untuk mengekalkan Wayne Rooney juga dilihat semakin sukar apabila penyerang utama England itu berkali-kali mendesak untuk dilepaskan.

Pada aksi pra-musim pula, United sekadar mencatat dua kemenangan daripada tujuh aksi persahabatan pemanas badan itu.

Bagaimanapun, pada aksi Piala Perisai Komuniti malam ini, skuad The Red Devils tetap menjadi pilihan utama untuk menjulang piala itu yang kali terakhir dimenangi pada musim 2011.
Kejayaan menewaskan Wigan juga bakal memberikan satu semangat baharu buat Moyes dan kem United dalam menghadapi kempen musim baharu, sekali gus mengekalkan mahkota Liga Perdana England.

"Saya akan mencuba sebaik mungkin untuk memenangi trofi pertama saya bersama kelab ini tetapi, jika kami menang, ia merupakan hasil usaha pengurus (Ferguson) pada musim lepas.

"Itu kerana, beliau melaksanakan tugas dengan sempurna pada musim lalu bagi membolehkan kami beraksi pada saingan Piala Perisai Komuniti musim ini.

"Bagaimanapun, saya akan berusaha keras untuk menjulang trofi ini, namun saya tetap berikan kredit kepada Ferguson," kata Moyes.

United telah menjual 47,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan klasik pembuka tirai Liga Perdana itu.

Rata-rata peminat tegar United yang hadir ke Stadium Wembley pasti ingin menyaksikan sejauh mana kehebatan taktikal Moyes yang banyak melakukan eksperimen sepanjang aksi jelajah pra-musim baru-baru ini.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

Rooney dijangka tinggalkan Man. United minggu ini


Wayne Rooney
ENGLAND - Wayne Rooney dilaporkan akan menghantar permohonan untuk perpindahannya kepada Manchester United dalam minggu ini.

Ketika ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan bintang Three Lions itu akan meninggalkan United dalam beberapa hari lagi.

Sungguhpun pengurus baharu United, David Moyes tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa Rooney tidak akan dijual, namun rakan sepasukan pemain itu percaya pada kali ini, juara Liga Perdana Inggeris tersebut perlu akur dengan keputusan penyerang berkenaan.

Rooney dikatakan akan meneruskan kariernya bersama Chelsea yang ketika ini dibimbing oleh Jose Mourinho, namun United pula seakan merancang untuk menjual pemain itu kepada kelab luar selain daripada Liga Perdana Inggeris.

"Kini sudah jelas bahawa Wayne akan meninggalkan United.

"Malah, tiada apa yang boleh dilakukan oleh David Moyes. Dia mungkin merasakan pemain tersebut memerlukan cabaran baharu.

"Perbincangan dengan kelab mungkin akan dilakukan pada minggu depan," kata sumber dalaman United. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

United semakin diulit resah


LONDON – Manchester United bakal mengalihkan tumpuan mereka untuk memburu perancang Bayern Munich, Bastian Schweinsteiger sekiranya tawaran ketiga mereka memburu khidmat Cesc Fabregas sekali lagi ditolak Barcelona.

Ketika ini, United bersedia mendapatkan khidmat Schweinsteiger sebagai pelan kedua sekiranya mereka gagal mendapatkan ‘lampu hijau’ dari Barcelona untuk melepaskan Fabregas.

Ketika ini, United bersedia membuat tawaran terakhir sebanyak £35 juta (RM174 juta) bersama tambahan £5 juta (RM24.8 juta) bagi mendapatkan Fabregas.

Perancang Everton, Marouane Fellaini juga berpotensi diburu pengendali United, David Moyes namun mereka keberatan menebus klausa pelepasan kontrak pemain kelahiran Belgium itu yang bernilai £23.5 juta (RM116.8 juta).

Impian mereka memburu Luka Modric juga menemui jalan buntu ekoran perancang itu enggan dilepaskan Real Madrid.

Biarpun telah berusia 29 tahun, harga Schweinsteiger dijangka mencecah £25 juta (RM124.3 juta) kerana turut menarik perhatian Arsenal dan Chelsea.

Dia dikatakan tidak lagi berada dalam perancangan pengendali Bayern, Pep Guardiola musim ini.
Kehadiran Thiago Alacantara dan Mario Gotze di Allianz Arena musim ini juga menjejaskan peluang Schweinsteiger beraksi dalam kesebelasan utama The Bavarians. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Moyes buntu isu Fab, Roon

 
Barcelona: Jurulatih Barcelona, Tata Martino memberi tamparan hebat kepada hajat besar Manchester United untuk menambat bintang tengah, Cesc Fabregas.

United menawarkan 35 juta pound (RM174.2 juta) untuk pemain berusia 26 tahun yang meledak dua kali ketika Barca membelasah kelab Brazil, Santos 8-0 pada Kejuaraan Gamper Tournament, kelmarin.

Sejurus kemenangan itu, Martino berkata: Saya lebih gemar Cesc kekal dengan kami. Malah saya cukup berani untuk mengatakan dia akan kekal. Saya tidak mahu terlalu yakin namun hanya berharap ia akan berlaku.


Alexis Sanchez, Pedro dan Lionel Messi masing-masing meledak jaringan pada babak pertama untuk Barcelona di Nou Camp manakala jaringan sendiri daripada Leo, ledakan Adriano dan Jean Marie Dongou diikuti dua jaringan Fabregas melengkapkan jumlah jaringan.

Rooney, Moyes berbincang

United yang pada itu akan menentang kelab Sepanyol, Real Betis dalam perlawanan tertutup begitupun masih gagal untuk membawa nama baru di bawah pengurusan David Moyes.

Wayne Rooney dijangka akan diturunkan dalam perlawanan itu namun bertekad untuk berpindah dengan pilihan utama adalah Chelsea, namun United kekal dengan keputusan tidak akan menjual penyerang antarabangsa England itu.

Chelsea yang sebelum ini menawarkan 23 juta pound (RM114.5 juta) untuk memancing Rooney sudah pun ditolak namun menambah jumlah tawaran itu.

Penyerang itu dijangka akan berbincang sekali lagi bersama Moyes mengenai masa depannya di Old Trafford minggu depan menjelang pertemuan persahabatan menentang AIK di Stockholm.

Dalam pada itu, Barcelona turut meningkatkan minat untuk mendapatkan pertahanan Chelsea, David Luiz dan Liverpool, Daniel Agger. Chelsea mahukan 35 juta pound (RM174.2 juta) untuk Luiz membuatkan Barca memilih Agger yang hanya bernilai sekitar 20 juta pound (RM99.5 juta).
Agensi

Rabu, 31 Julai 2013

Nani mahu kekal di Old Trafford


 
Manchester: Nani memberi isyarat dia mahu kekal di Old Trafford bersama Manchester United walaupun Monaco berminat mendapatkan khidmatnya.

Pemain sayap Portugal berusia 26 itu masuk tahun terakhir dalam kontraknya bersama juara Inggeris berkenaan dan Monaco bersedia menawarkan sejumlah 8.5 juta (RM42.5 juta) berserta kontrak tiga tahun.

Moyes kenal kami

Bagaimanapun Nani seperti berat untuk meninggalkan Old Trafford dan mula menyuarakan hasratnya untuk kekal dengan mengatakan yang dia berminat untuk bermain di bawah pengendali baru, David Moyes.

“Memang ada perubahan tetapi kami berharap pengurus baru tampil dengan lebih banyak idea segar dan akan membantu kami menang lagi,” kata Nani berkenaan Moyes yang menggantikan Alex Ferguson.

“Pemain perlu membuktikan kemampuan mereka kerana kini pengurus berbeza. Dia tahu selok-belok Liga Perdana Inggeris dan dia kenal sebahagian besar daripada kami.” - Agensi 
 
Berita Harian

Isnin, 29 Julai 2013

Moyes henti bida Fabregas


Cesc Fabregas 
 
LONDON - Selepas dua bidaan untuk mendapatkan Cesc Fabregas ditolak, Manchester United bersedia untuk menghentikan pemburuan mendapatkan pemain tengah Barcelona itu.

Pengurus United, David Moyes mula menunjukkan tanda berputus-asa untuk mendapatkan pemain kebangsaan Sepanyol itu apatah lagi jurulatih baharu Barcelona, Gerardo Martino memberitahu Fabregas tidak akan dijual.

"Saya tidak boleh memberitahu bahawa akan ada lagi bidaan selepas ini. Saya juga tidak pernah kata akan mendapatkan pemain itu, sebaliknya saya cuma kata kami akan membuat tawaran tetapi mereka menolaknya," kata Moyes.

United sudah membuat dua kali tawaran untuk mendapatkan Fabregas menerusi bidaan 26 juta pound (RM128 juta) dan 31 juta pound (RM153 juta) tetapi ditolak.

Moyes dalam usaha memperkukuhkan bahagian tengah skuadnya dan turut menolak tawaran Borussia Dortmund untuk mendapatkan Shinji Kagawa.

Sementara itu, Moyes memberitahu tidak akan terburu-buru untuk mendapatkan pemain baharu dalam tempoh terdekat.

"Kami tetap berharap mampu mendapatkan pemain baharu tetapi mungkin dalam masa terdekat ini.
"Bagi saya skuad ketika ini terdiri daripada pemain yang bagus," kata Moyes. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Moyes sangkal spekulasi


MOYES (kiri) menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau melancarkan persengketaan dengan Mourinho.


LONDON - Pengurus Manchester United, David Moyes menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau melancarkan persengketaan dengan pengendali Chelsea, Jose Mourinho.

Moyes mendedahkan mengenai perkara itu selepas Mourinho yang membimbing skuad The Blues buat kali kedua mengesahkan bahawa beliau berazam untuk mendapatkan khidmat penyerang United, Wayne Rooney.

Penyerang antarabangsa England itu menjadi sasaran utama bekas jurulatih Real Madrid itu musim depan.

Mourinho dilaporkan melancarkan perang psikologi apabila mendakwa rakan sejawatannya, Moyes merupakan pengurus yang cukup bertuah kerana mewarisi pasukan hebat daripada bekas pengendali, Alex Ferguson.

Perang psikologi itu tercetus selepas Moyes mendakwa beliau tidak gentar dengan situasi itu.
Begitupun, Moyes tampil dengan nada berbeza apabila beliau menegaskan bahawa tiada sebarang konflik berlaku dan perang mulut adalah situasi normal buat pengurus-pengurus pasukan.

"Mourinho merupakan seorang pengendali yang cukup hebat. Beliau telah membuktikannya pada aksi Liga Perdana England.

"Ketika beliau dipecat (pada 2007), saya telah menulis surat kepadanya.

"Jadi, mana-mana pihak menganggap kami mengalami persengketaan, tanggapan itu silap.

"Perkara ini (perang mulut) sudah biasa bagi pengurus-pengurus tetapi saya cukup meminati pencapaian Mourinho sebagai pengurus," tambah Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 24 Julai 2013

Rooney beraksi di Stockholm: Moyes

 
Rooney beraksi di Stockholm: Moyes Moyes (kanan) ulangi kenyataan tidak akan jual Rooney dan akan turun penyerang itu dalam aksi terakhir siri jelajah pra-musim.
Yokohama: David Moyes memberitahu bintang bermasalah Wayne Rooney dijangka beraksi dalam perlawanan terakhir jelajah pra-musim Manchester United di Stockholm, awal bulan depan.

Rooney menjadi bahan bidaan bernilai 30 juta pound (RM146.51 juta) daripada Chelsea, yang mengharapkan pemain itu akan beraksi dalam perlawanan terakhir bersama Manchester United pada perlawanan itu.
Penyerang England itu terpaksa diketepikan daripada jelajah pra-musim kelab itu selepas mengalami kekejangan otot dalam sesi latihan pertama di Bangkok.


Kekalahan kedua

Tetapi apabila ditanya sama ada Rooney akan kembali cergas untuk berdepan AIK Fotball di Stockholm 6 Ogos ini, Moyes berkata: “Sudah pasti. Dia sudah kembali sembuh dan sudah menjalani larian ringan sekarang ini.

“Maklum balas yang saya terima setakat ini dia sedang beransur pulih. Kami sudah mengatakan sebelum ini bahawa dia bukan untuk dijual dan itu sama sekali tidak akan berubah.”

Moyes berkata demikian selepas menyaksikan skuad bimbingan tewas 2-3 kepada Yokohama F-Marinos - kekalahan kedua gergasi Inggeris itu dalam perlawanan pra-musim. Sebelum ini, United tunduk 1-0 kepada Singha All Stars di Bangkok sebelum menang 5-1 ke atas A-League All Stars di Sydney. Agensi 
 
BERITA HARIAN