Memaparkan catatan dengan label Nur Fathia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nur Fathia. Papar semua catatan

Ahad, 25 Ogos 2013

Fathia lebarkan sayap di Uzbekistan


FATHIA menggayakan kostum rekaan Albert King ketika sesi fotografi di Samarkand, Uzbekistan.


PENDIRIAN Nur Fathia Abd. Latiff dan Aiman Hakim Ridza Abdoh untuk tidak mengesahkan gosip percintaan mereka sebenarnya menjadikan nama dua pelakon muda itu semakin 'panas.' 

Nama Fathia, 25, dan Aiman, 24, mula dikaitkan apabila sebuah blog gosip mendakwa mereka berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 April lalu.

Biarpun sudah pelbagai jawapan diberikan Fathia bagi menafikan gosip tersebut, isu berkenaan masih disebut-sebut dan seolah-olah ia seperti kelihatan benar-benar bercinta.

Namun, menerusi drama bersiri berjudul Diandra yang kini hangat ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam menerusi slot Lestary, mereka sememangnya berlakon sebagai pasangan yang saling bercinta. 

Mula ditayangkan pada 20 Ogos lalu, naskhah tersebut menampilkan Fathia sebagai Diandra, seorang gadis lasak yang menjadi pengawal peribadi kepada seorang pelakon terkenal yang berlagak iaitu Adam Fahmi, lakonan Aiman. Mereka akhirnya saling jatuh cinta. 

Menjawab persoalan tentang kenapa sukar sangat untuk dia mengaku bercinta dengan Aiman, ujar Fathia: "Saya tak mahu kalau banyak gosip cinta akan menyebabkan saya digelar artis sensasi sedangkan karier (lakonan) tidak ke mana.

"Biarlah buat masa ini, cukup saya katakan bahawa diri ini dan Aiman serasi bersama dan masih dalam peringkat mengenali hati budi."
FATHIA bergambar kenangan bersama beberapa pemuda Uzbekistan lengkap dengan kostum pahlawan negara itu.


Jimmy Choo

Bukan sekadar cakap-cakap kosong, Fathia telah membuat perancangan untuk membuat anjakan bagi menjadi insan seni yang lebih berkaliber.

Misi Fathia itu bakal menghubungkan budaya dan kesenian antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.

Pada bulan Oktober ini, Fathia dijadual menjejakkan kaki buat kali kedua di Uzbekistan. Kedatangannya kali ini memikul tanggungjawab yang cukup besar.

"Uzbekistan menganjurkan pelbagai acara berkaitan seni sepanjang bulan Oktober. 

"Saya dijadualkan ke sana bermula 22 hingga 27 Oktober bagi menghadiri Festival Filem Antarabangsa Tashkent 2013 dan Pertunjukan Fesyen Style.uz 2013 yang diadakan bersempena Minggu Fesyen Uzbekistan pada tahun ini.

"Jika tiada aral melintang, saya akan menjadi salah seorang penyampai anugerah pada festival filem mega tersebut. 

"Pada pertunjukan Style.uz 2013, saya akan muncul sebagai model bagi memperaga busana rekaan pereka fesyen ternama Malaysia, Albert King yang dilengkapi aksesori eksklusif jenama tersohor, Rafflesia. 

"Fathia dan Albert umpama wakil delegasi Malaysia pada Style.uz yang pada setiap tahun dihadiri oleh delegasi dari pelbagai negara. 

"Antara yang pernah menyertai Style.uz termasuklah jenama-jenama terkenal seperti Hugo Boss dan Versace.

"Selebriti bertaraf dunia yang pernah menghadiri Style.uz termasuklah bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan bintang legenda, Sting," tutur Fathia.

Tambahnya: "Melengkapkan wakil delegasi Malaysia sebagai tetamu kenamaan Style.uz tahun ini ialah pereka kasut bertaraf dunia, Datuk Jimmy Choo yang sudah mengesahkan kehadirannya."
GULNARA KARIMOVA (tengah) merupakan kunci kepada kemajuan tentang aspek seni dan budaya di Uzbekistan.


Anak presiden
Ditanya bagaimanakah dia meraih peluang keemasan tersebut yang berpotensi melebarkan popularitinya di Uzbekistan, Fathia memberitahu, ia ekoran kunjungan kali pertamanya ke sana pada April lepas. 

Kehadiran Fathia ketika itu disambut oleh bukan calang-calang orang tetapi Gulnara Karimova iaitu anak sulung kepada Presiden Uzbekistan, Islam Karimov. 

"Pada awal Mei lalu, saya terbang ke Uzbekistan buat kali pertama selama enam hari yang dibawakan oleh pemilik Rafflesia, Sin Cheong Loong dan Winnie Sin.

"Kami menghadiri acara seni yang dikenali sebagai Festival Arslar Sadorsi 2013," ujarnya yang telah dibawa melawat ke beberapa buah bandar di Uzbekistan seperti Samarkand, Tashkent, Bukhara dan Navoi dengan menaiki jet peribadi milik kerajaan negara itu.

Ujar Fathia, dia mengalami pengalaman baharu yang sangat hebat di negara yang kaya dengan nilai budaya tersebut. 

"Saya sangat kagum kerana nilai dan tradisi lama di Uzbekistan begitu terpelihara dan dipandang tinggi.

"Malah, ia diangkat menjadi sesuatu yang sangat hebat dan menarik menerusi festival dan seumpamanya sehingga menimbulkan rasa kagum masyarakat luar Uzbekistan," katanya.

Apa yang menarik, kunjungan Fathia ke negara tersebut lebih bermakna apabila dia meraih peluang untuk muncul dalam majalah terkenal Uzbekistan, Bella Terra edisi Julai tahun ini.

"Saya berpeluang menjalani sesi fotografi untuk enam muka surat majalah Bella Terra dengan menggayakan enam kostum moden rekaan Albert King serta perhiasan koleksi eksklusif Rafflesia.

"Walaupun agak meletihkan kerana mula disolek pada pukul 3 pagi, saya berasa puas kerana bukan mudah untuk meraih peluang tersebut," ujar Fathia penuh teruja.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

Ya, kami memang rapat! - Fathia




IBARATNYA, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang! Analogi kisah cinta Fathia dan Aiman itu sehingga kini masih tersimpan dalam kotak rahsia dua pelakon muda itu.

Kuncinya tergenggam erat antara Fathia atau Aiman. Kalau sebelum ini Aiman enggan mengulas lanjut mengenai gosip kisah cintanya bersama Fathia ekoran enggan memalukan kedua-dua belah keluarga, Kosmo! mendapatkan respons daripada Fathia pula.

Jawapan lebih mendalam dan utuh disertakan Fathia untuk menjawab teka-teki yang bersarang di minda peminatnya selama ini. 

Ironi, baru hujung minggu lalu si empunya badan mengaku memang bercinta dengan jejaka tinggi lampai tersebut dalam sebuah akhbar mingguan. Bagaimanapun, apabila diminta penjelasan lanjut agar khalayak tidak keliru dengan 'sandiwara cinta' mereka, Fathia tetap menegaskan hubungannya dengan Aiman masih berada dalam fasa perkenalan yang memerlukan masa untuk duduk selesa dalam sebuah hubungan cinta.

"Bercinta atau tidak, itu tidak penting. Yang penting kami dapat keserasian bila bergabung bersama. Jodoh itu di tangan Tuhan.

"Sebelum ini pun banyak gosip keluar pasal saya dan tidak pernah reda, sudah menjadi perkara normal untuk saya menerima gosip-gosip ini sampaikan kalau saya beritahu perkara betul pun tetap jadi gosip. Jadi lebih baik saya berdiam diri," jelasnya yang ditemui ketika sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini.
FATHIA dan Farhana memilih bidang perundangan sebagai jaminan masa depan mereka.


Aiman yang jujur
Menghuraikan lebih jelas maksud keakraban antaranya dan Aiman sejak kali pertama dilihat intim ketika sama-sama ke Paris, Perancis bulan April lalu, Fathia akui Aiman sering menemaninya keluar.
"Kami selalu lepak bersama, malah kami juga banyak digandingkan bersama sekarang. Hubungan yang terbentuk dalam setiap lakonan kami adalah selesa dan tidak kekok. 

"Jujur saya akui dia ialah pelakon lelaki yang paling selesa untuk saya berlakon bersama setakat ini," ujar Fathia yang mula mengenali Aiman menerusi set penggambaran drama Diandra beberapa bulan lalu.

Digosipkan bercinta dan saling memadu asmara, Fathia hanya membalas dengan senyuman. Pelakon filem Darah Panas itu sebenarnya enggan memberikan sebarang kenyataan yang dikhuatiri mampu menjerat dirinya.

Fathia bagaimanapun menyifatkan Aiman seorang pelakon yang tidak pernah membanggakan diri, sentiasa menghormati pelakon lain dan seorang yang jujur. Malah, kualiti itu kata Fathia, mengeratkan hubungan mereka berdua.

"Ya, kami memang rapat tapi belum ada sebarang perancangan. Aiman lelaki kedua selepas ayah saya!" simpul Fathia yang seperti memberi gambaran bahawa Aiman sebagai lelaki penting dalam hidupnya.

Ganggu konsentrasi
Dalam pada itu, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang menyifatkan Aiman sengaja menipu pihak produksi semata-mata untuk berjumpa dengan Fathia sehingga menjejaskan jadual penggambaran.
Secara tidak langsung, situasi itu menyebabkan Fathia dilihat seperti cuba mengganggu prestasi dan reputasi baik Aiman selama ini.

"Aiman pernah beritahu saya bahawa dia terpaksa lari dari lokasi penggambaran kerana ahli keluarganya sakit dan tidak elok untuk mengaitkan saya dengan cerita-cerita negatif. Itu sama sekali tidak betul.

"Sejak kami mengenali antara satu sama lain, karier kami masih berjalan lancar.
"Prestasi dia terganggu bukan sebab siapa-siapa dan saya sama sekali menafikan dakwaan itu. Kami berkawan dan sudah tentulah saya menyokong kerjaya seni dia," katanya.

KATA Fathia, bercinta atau tidak dengan Aiman, ia bukan perkara penting, sebaliknya mengaku mereka begitu serasi bersama.


Sementara itu, Fathia turut mengulas berkenaan sekeping gambar bersama Aiman yang dilihat berpelukan dalam keadaan gelap yang telah dikirimkan menerusi e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini.
"Gambar itu mungkin telah dirakamkan oleh kru produksi atau pelakon tambahan ketika penggambaran drama bersiri Diandra yang melibatkan saya dan Aiman.

"Itu gambar kandid dan tidak menyampaikan apa-apa makna tersirat. Lagipun, pakaian yang kami pakai ketika itu masih pakaian konti," tegasnya.

Terlanjur berbicara mengenai drama Diandra yang telah mula disiarkan di TV3 untuk slot Lestary pukul 9 malam setiap hari Selasa, Fathia memberitahu, dia pertama kali diberikan kepercayaan untuk membawakan watak gadis kasar yang bercinta dengan lelaki kasanova.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 7 Julai 2013

Peritnya putus cinta

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

FATHIA belum terdesak untuk berkasih dengan mana-mana lelaki," tegas pelakon jelita Fathia, 25, apabila kerap dikaitkan dengan gosip bercinta sehingga menjadi bahan perbualan serius sejak kebelakangan ini.

Malah pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff ini semakin menyedari bahawa gosip membabitkan dirinya dengan lelaki seperti satu 'penyakit' berjangkit.

Sebelum ini Fathia pernah dikaitkan bercinta dengan kerabat diraja serta beberapa artis tempatan. Klimaks cerita cintanya semakin panas apabila terkini dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Aiman Hakim Ridza Abdoh.

Gosip bersama hero drama Vanila Coklat berusia 24 tahun itu tersebar selepas kononnya mereka berpelukan secara terbuka di sebuah lapangan terbang di Selangor sekitar April lalu.

Biarpun Fathia menafikan perbuatan itu dan mengatakan hubungannya dengan Aiman hanya kawan baik namun nampaknya usaha menepis gosip tersebut sia-sia.

Ini kerana bahang cinta pelakon drama Stanza Cinta ini dengan Aiman semakin hebat diperkatakan oleh peminat industri hiburan tanah air ketika ini.

Ironinya Fathia dikecam kerana dilihat terlalu berlebihan memberikan publisiti terhadap hubungan 'cintanya' sedangkan Aiman enggan bercerita lanjut tentang perkara itu.

Mengulas keadaan tersebut membuatkan nada suara Fathia kedengaran beremosi. Dia nyata kesal terhadap apa yang berlaku. 

"Memang dalam soal (cinta) orang perempuan yang terkena tempias yang lebih. Sebab kita tak tahu apa yang difikirkan oleh orang. Mungkin atas alasan itu juga Fathia enggan nak layan cerita macam ini sejak mula lagi. 

"Fathia tahu kesannya akan kembali kepada Fathia sendiri. Dan dalam bab cinta ini, Fathia sebenarnya dah mula terasa hati sejak timbul cerita gosip Fathia bercinta dengan lelaki kenamaan sebelum ini. 

"Fathia bersabar saja sebab Fathia tahu di mana kebenarannya. Dan tak sangka yang ada juga pihak yang berterusan mengata Fathia sehingga ke hari ini. 

"Jujurnya kini Fathia dah tak kisah dengan apa orang nak cakap tentang Fathia. Biarlah orang nak berkata apa pun. Terpulanglah. Fathia dah tak hairan dah," katanya. 

Mahu mengubat luka
Nada Fathia semakin mengendur saat menukar topik tentang keadaan dirinya yang baru lepas mengalami episod kelukaan selepas putus cinta kira-kira tiga bulan lalu.

Tanpa mendedahkan siapa gerangan bekas kekasihnya itu, anak sulung daripada tiga beradik ini juga mengakui sedang mengubat rawan hatinya.

"Fathia seperti wanita normal lain yang ingin disayangi dan menyayangi seseorang. Fathia juga mengalami saat kecewa apabila hubungan cinta yang diharapkan itu ada masalah.

"Pun begitu Fathia menyifatkan bahawa apa yang berlaku sebelum ini sebagai dugaan hidup. Kalau Fathia tak ada pengalaman hidup sebegini pasti Fathia tak boleh berfikiran matang.

"Justeru Fathia mengambil keputusan untuk mengikut arus kehidupan. Fathia lupakan kekecewaan lalu. Dan Fathia juga bersedia untuk menerima kehadiran lelaki lain selepas ini," katanya.

Mengulas tentang ciri-ciri lelaki idaman Fathia menyebabkan anak kelahiran Pulau Pinang ini terdiam sebentar.

Katanya, dia bukan seorang wanita materialistik dan memilih lelaki yang berpoket tebal. Dia juga bukan seorang yang mempunyai cita rasa tinggi dalam bab memilih teman lelaki.

Fathia hanya menginginkan seorang lelaki yang mempunyai kriteria sederhana. Tidak sombong dan mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus.

Paling penting lelaki yang ingin mendekatinya itu perlu bijak mengambil hati Fathia dan berjanji untuk tidak membuatkan hatinya berdarah lagi.

Jadi apakah Aiman menepati ciri lelaki idamannya?
"Ya! Tetapi kami hanya kawan baik," tegasnya.

Menyentuh soal mahligai perkahwinan menerbitkan nada teruja Fathia yang menanam cita-cita untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencecah 30 tahun.

Penuntut jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini mempunyai masa kira-kira lima tahun untuk mengejar cita-citanya bergelar peguam.

Selain itu Fathia yang cenderung dalam bidang kebajikan ini juga menanam hasrat untuk menaja golongan kurang berkemampuan satu hari nanti.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.m