Memaparkan catatan dengan label Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Papar semua catatan

Selasa, 9 Julai 2013

Australia ahli baharu AFF

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN

KUALA LUMPUR - Australia hampir pasti bakal menjadi ahli ke-12 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), namun skuad Socceroos itu tidak akan menyertai Piala Suzuki AFF, sebaliknya hanya tertumpu kepada kejohanan bawah umur atau wanita.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad yang berkata, hasrat itu telah diminta sendiri oleh Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) dan tujuan mereka menyertai AFF adalah untuk tujuan meningkatkan pembangunan bola sepak di rantau ini secara bersama.

Tambahnya, semua pihak termasuk Malaysia tidak perlu memandang negatif penyertaan Australia sebagai ahli gabungan AFF yang terbaharu sebaliknya melihat apa yang boleh ditawarkan negara itu kepada kemajuan bola sepak Asia Tenggara.

Dalam masa sama, beliau menafikan khabar angin menyatakan China berminat menyertai Piala Suzuki AFF sebagai pasukan jemputan.

‘‘Surat mengenai kemasukan mereka telah saya terima di pejabat AFF dan mereka kini hanya tunggu secara rasmi untuk diterima sebagai ahli baharu AFF ke-12.

‘‘Bagaimanapun, mereka ada menyatakan permohonan untuk tidak sertai Piala AFF tetapi berhasrat untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan peringkat bawah umur serta kategori wanita.

‘‘Mengenai China, ini pertama kali saya dengar mereka hendak sertai Piala AFF, saya sendiri rasa terkejut dan buat masa ini kami tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mereka," katanya yang ditemui di Wisma FAM selepas majlis perpisahannya selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Apa yang pasti, keengganan Australia untuk menyertai Piala Suzuki AFF boleh difahami kerana mutu bola sepak Asia Tenggara masih rendah.

Tiada mana-mana pasukan dari rantau ini mampu berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 10 teratas Asia sedangkan Australia kini berada di ranking ke-40 dunia, kedua terbaik di Asia.

Jelas sekali penyertaan dalam Piala Suzuki AFF tidak akan memberi faedah kepada Socceroos kerana mutu bola sepak mereka telah jauh meninggalkan negara-negara ASEAN dan ia memberi tamparan yang hebat kepada AFF.

Buat masa ini, pasukan senior Australia memilih untuk menyertai kejohanan Piala Asia Timur yang disertai dua gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan, selain Korea Utara serta China.

Begitupun seperti kata Azzuddin, kemasukan Australia boleh membawa banyak perkara positif, terutama daripada segi meningkatkan kualiti pembangunan akar umbi dengan kepakaran yang ditawarkan negara itu. 

“Jangan anggap kedatangan Australia sebagai satu ancaman kepada bola sepak Asia Tenggara kerana mereka boleh menjalinkan kerjasama dalam bentuk penganjuran bengkel dan seminar kepada jurulatih.

“Malah, kita boleh mempelajari sesuatu daripada mereka dalam aspek pembangunan sains sukan dan menerapkannya dalam sukan bola sepak," katanya lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Azzuddin belum terima arahan


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mendedahkan, beliau akan bertugas di Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada pertengahan Jun ini.

Azzuddin berkata, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah perlu mengumumkan penggantinya (di FAM) sebelum beliau memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung AFF.

Beliau menjangkakan perkara itu akan selesai selepas baginda memilih calon baharu Setiausaha Agung FAM pada pertengahan Jun ini.

"Tuanku masih belum memberikan arahan kepada saya untuk menyertai AFF kerana baginda masih belum memutuskan pengganti saya di FAM.

"Begitupun, perkara ini telah diumumkan kepada seluruh pegawai AFF dan saya menjangkakan akan mula bertugas di sana selepas final Piala FA atau pertengahan Jun ini.

"Ini kerana Tuanku masih belum memilih pengganti saya dan saya masih belum menerima apa-apa amanat dalam hal ini daripada baginda.

"Buat masa ini, saya masih lagi menggalas tugas selaku Setiausaha Agung FAM selagi belum dapat arahan daripada Tuanku," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Azzuddin telah mengumumkan bakal meninggalkan FAM pada 1 Jun lalu selepas Sultan Ahmad Shah menamakan beliau sebagai Setiausaha Agung AFF yang baharu.
Azzuddin meninggalkan FAM selepas menerima tawaran untuk menyertai AFF bagi menggantikan Datuk Seri Paul Mony Samuel yang meletakkan jawatan setelah mendapat perkenan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden AFF.

Begitu pun Azzuddin mendakwa, kelewatan itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana pelanti- kan Setiausaha Agung FAM yang baharu akan diumumkan secara rasmi kelak.
Untuk rekod, Azzuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2007 bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengumuman (melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM) bakal diketahui selepas baginda mengumumkan pengganti saya nanti.

"Selagi saya tidak menghantar surat peletakan jawatan, selagi itu saya kekal di FAM tetapi saya percaya perkara ini akan diumumkan secara rasmi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my