Ahad, 11 Ogos 2013

Saya hanya 'cuit' kaki Fabregas - Wan Zack



NEYMAR (tengah) cuba menghalang Fabregas (kiri) daripada menyerang Wan Zack (kanan) pada aksi di Stadium Shah Alam kelmarin.


ADA satu lagi cerita menarik di sebalik persembahan positif skuad Harimau Malaya meskipun tewas 1-3 kepada Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sudah tentu peminat-peminat tidak dapat melupakan insiden tegang antara pemain tengah skuad The Catalan, Cesc Fabregas dan pemain sayap FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor pada aksi tersebut.
Keberanian anak kelahiran Maran, Pahang itu bertikam lidah dengan pemain bertaraf dunia itu kini menjadi topik utama perbualan hangat peminat-peminat bola sepak tempatan termasuk menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memuji semangat juang Wan Zack.

Begitupun, situasi itu terkawal apabila Fabregas ditenangkan oleh rakan sepasukan, Neymar dan perlawanan diteruskan seperti biasa.

Mengulas lanjut, pemain berusia 22 tahun itu memberitahu, dia tidak menduga bekas pemain Arsenal itu cuba menyerangnya selepas melakukan terjahan.

"Situasi ketika itu, saya sedang merebut bola dengan dia (Fabregas). Benar, dia berjaya memegang bola tetapi saya hanya 'tercuit' sedikit sahaja kakinya.

"Tiba-tiba dia meluru ke arah saya dan sudah tentu saya perlu mempertahankan diri tetapi saya bersyukur kerana tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku kerana perlawanan diteruskan seperti biasa.

"Ia bukan satu tindakan yang boleh dibanggakan (bergaduh dengan Fabregas) kerana bola sepak memupuk semangat setiakawan dan saya berharap insiden ini tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Jepun pada 23 Julai lalu, Wan Zack akan pulang ke Okinawa hari ini sebelum menyertai skuad Harimau Muda untuk aksi Pesta Bola Merdeka di Kuantan, Pahang bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan