Wan Zack ada misi tersendiri 
Wan Zack (tengah) diasak oleh pemain UiTM FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
Sasar jadikan Pestabola Merdeka pentas buru dua sasaran peribadi

Kuala Lumpur: Pemain FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor akan menjadikan pemilihannya dalam skuad bawah 23 tahun negara di Pestabola Merdeka, minggu ini sebagai pentas terbaik merealisasikan dua sasaran peribadinya.

Tidak seperti pemain lain, pemilihan gelanggang saingan di Kuantan memberi suntikan moral untuknya membantu pasukan mencapai kejayaan di negeri kelahirannya dan jika berjaya menjulang trofi, ia akan menjadi kejuaraan pertama diraih bersama skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee.
Jadi azimat



“Saya begitu berharap dapat beraksi cemerlang kerana pertandingan ini dilangsungkan di negeri saya. Saya harap penyokong dapat hadir ke stadium memberi sokongan padu. Apa yang penting saya mahu mencapai matlamat memenangi piala kerana sebelum ini saya tidak pernah meraih kejuaraan bersama Harimau Muda A,” katanya yang turut menjadi tonggak penting dalam skuad senior negara.

Walaupun baru kembali beraksi selepas berehat tiga bulan kerana mengalami kecederaan buku lali ketika bersama FC Ryukyu sebelum ini, Wan Zack pantas menyesuaikan diri dengan barisan pemain lain yang turut berada dalam pasukan.

Ia dibuktikan dengan satu jaringan ketika mengalahkan UiTM FC 5-0 dalam aksi persahabatan pemanas badan di Stadium Darul Makmur, semalam. Malah, pengalamannya beraksi di Jepun menjadi azimat buat diri mempamerkan aksi terbaik merealisasikan impian besar peminat menjulang piala di negeri sendiri.
“Semua orang tahu saya baru pulih daripada kecederaan. Mungkin ada sedikit tekanan untuk turun beraksi kerana ini kejohanan pertama saya selepas lama tidak beraksi. Dengan pengalaman di Jepun saya akan cuba terapkan ke dalam corak permainan saya membantu pasukan meraih kejayaan,” katanya.