LONDON - Chelsea menarik nafas lega apabila berjaya mengatasi
tentangan sengit Arsenal sebelum mencipta kemenangan 2-1 dalam
perlawanan Liga Perdana England yang berlangsung di bawah cuaca bersalji
di Stamford Brigde semalam.
Kemenangan itu sekali gus membantu Chelsea terus menghambat pendahulu
liga, Manchester United dan Manchester City di tangga kedua.
Walaupun mendahului selesa 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Juan
Mata dan penalti Frank Lampard, kelab bimbingan Rafa Benitez ini
dipaksa bekerja keras dalam babak kedua untuk mempertahankan kedudukan
itu.
Ini berikutan Arsenal mempamerkan kebangkitan sebaik permainan
bersambung sehingga membolehkan mereka merapatkan jurang menerusi Theo
Walcott.
Jaringan itu menaikkan semangat pemain-pemain Arsenal yang mengasak
sehingga saat-saat akhir permainan untuk mencari gol penyamaan.
Namun, usaha pasukan pelawat itu tidak berhasil, sekali gus
menghadiahkan kemenangan yang dicari-cari Chelsea selepas hanya seri 2-2
dengan Southampton pada Khamis lalu.
Dengan kemenangan itu, Chelsea kekal ketinggalan enam mata di belakang City untuk terus menghuni tangga ketiga liga. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan