|
PERBAIKI bahagian pertahanan dan cari penyudah yang baik.
Itu yang diharapkan oleh ketua jurulatih Johor Darul Takzim (Johor
DT), Fandi Ahmad menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Jelas Fandi, kesilapan bahagian pertahanan sehingga memberi ruang
pasukan Pahang menjaringkan tiga gol pada aksi pertama Selasa lalu perlu
diperbaiki agar tidak berulang pada perlawanan malam ini.
“Mungkin saya akan lakukan sedikit perubahan di bahagian pertahanan.
Saya akan turunkan barisan terbaik di posisi ini kerana amat berbahaya
jika kesilapan sama berulang lagi.
“Saya juga berharap bahagian serangan akan lebih mantap dengan
penyudah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Fandi, seperti perlawanan pertama, gandingan Norshahrul Idlan
Talaha bersama-sama Daniel Guiza mungkin akan dikekalkan malam ini
berikutan keadaan Mohd. Safee Sali yang masih belum cergas seratus
peratus untuk beraksi sepenuh masa.
Pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur lalu, Johor DT yang
dibarisi pemain-pemain bintang, tewas 2-3 kepada Pahang meskipun
mendahului 2-0 pada babak pertama permainan.
Jelas Fandi, kekalahan tersebut bagaimanapun tidak melemahkan
semangat Harimau Selatan, malah beliau tetap yakin yang kesemua pemain
semakin bersemangat untuk menebus kekalahan tersebut.
“Dengan kerja keras, semangat juang yang tinggi serta sokongan
peminat di halaman sendiri, saya yakin, kita mampu menang pada
perlawanan esok (malam ini),” katanya.
Fandi bagaimanapun mengakui, beliau tidak boleh memandang rendah pasukan Perak yang memiliki kekuatan tersendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan