|
|
MADRID - Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho tidak menghiraukan
ejekan para penyokong yang berang dengan tindakannya merehatkan penjaga
gol utama, Iker Casillas (gambar) awal pagi semalam.
Pada aksi Liga Sepanyol yang berkesudahan Real menewaskan Real
Sociedad 4-3 di Stadium Santiago Bernabeu itu, Casillas sekadar
memanaskan bangku simpanan apabila Mourinho kekal memilih penjaga gol
kedua, Antonio Adan seperti mana ketika tewas kepada Malaga 2-3 pada 22
Disember lalu.
Bagaimanapun, Mourinho terpaksa menurunkan Casillas selepas Adan
dilayangkan kad merah seawal minit keenam gara-gara mengasari Carlos
Vela dalam kawasan kotak penalti.
Biarpun gagal menghalang sepakan penalti yang disempurnakan Xavier
Prieto, kehadiran semula Casillas di tengah padang jelas mengembirakan
penyokong skuad The Galacticos.
"Saya tidak peduli dengan ejekan penyokong. Saya tahu mereka mencemuh saya tetapi ejekan itu seolah-olah tidak menghormati Adan.
"Adan juga merupakan pemain Real, jadi dia berhak dihormati.
"Saya tidak faham perkara itu boleh berlaku," kata Mourinho.
Pada perlawanan itu, Real terlebih dahulu di depan menerusi jaringan
Karim Benzema seawal minit kedua manakala tiga lagi gol diperoleh
menerusi Sami Khedira pada minit ke-35 dan Cristiano Ronaldo (ke-68 dan
70).
Biarpun Prieto berjaya meledakkan hatrik masing-masing pada minit
kesembilan, ke-40 dan ke-76, ia sudah terlewat bagi Sociedad untuk
menghalang anak-anak buah Mourinho membawa pulang tiga mata penuh.
Begitupun, kemenangan itu masih belum dapat meredakan tekanan yang
dialami Mourinho setelah pencabar utama, Barcelona turut melakar
kemenangan 4-0 ke atas Espanyol dalam satu lagi aksi liga. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan