SKUAD Terengganu akan menjadikan perlawanan pembuka tirai Liga Super
petang ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
sebagai medan merobek gawang pasukan berstatus kelab Felda United.
Dengan kehadiran bekas ‘ayam tambatan’ Negeri Sembilan, Jean-
Emmanuel Effa Owona, skuad kendalian E. Elavarasan dijangka tidak akan
memberi peluang kepada benteng pertahanan Felda United untuk meraih mata
berharga di laman sendiri.
Menurut Elavarasan, Terengganu telah membawa masuk penyerang berbisa
dari Cameroon, Effa Owona dalam memantapkan lagi jentera serangan
mengharungi musim baharu ini.
“Dalam perlawanan pembukaan ini, kita akan mencari peluang
menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi memburu tiga mata
penuh, sekali gus dapat meletakkan skuad dalam kedudukan selesa pada
awal saingan Liga Super.
“Trio serangan Terengganu yang diketuai Effa Owona dibantu penyerang
berpengalaman Abdul Manaf Mamat dan Mohd Asha’ri Samsuddin kini sudah
mula memperlihatkan keserasian,” ujarnya.
Elavarasan menambah, jika mampu meraih tiga mata pada aksi pembukaan
ini, ia akan menjadi pencetus semangat buat semua pemain mengharungi
saingan Liga Super sepanjang musim ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa prestasi dan disiplin
anak-anak buahnya dilihat telah meningkat serta menunjukkan persefahaman
yang baik sepanjang aksi pramusim baru-baru ini.
“Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, para pemain
telah menunjukkan persefahaman dan komitmen yang tinggi dan situasi
tersebut akan membantu mereka menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan