LONDON - Pengendali Swansea City, Michael Laudrup menegaskan bahawa
Michu tidak akan meninggalkan pasukan itu sepanjang musim perpindahan
pemain, Januari ini.
Laudrup menyuarakan keyakinan tersebut selepas pemain tengah Sepanyol
itu meledakkan satu gol untuk membantu Swansea menewaskan Chelsea 2-0
pada aksi separuh akhir Piala Liga awal pagi semalam.
Kejayaan menewaskan juara Eropah itu adalah yang pertama buat kelab Wales tersebut di Stamford Bridge sejak 1925.
Michu yang dibeli dengan nilai £2 juta (RM9.7 juta) daripada kelab
Liga Sepanyol, Rayo Vallecano sudah meledakkan 16 gol sepanjang 25
penampilan musim ini.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Michu meletakkan Swansea di depan
pada minit ke-39 sebelum Danny Graham menjaringkan gol kedua pada masa
kecederaan.
Jumlah jaringan yang diperoleh menepati sasaran Michu tetapi Laudrup
mengakui, prestasi semasa menyebabkan pemain berusia 26 tahun itu
menjadi rebutan beberapa kelab elit Eropah.
"Kami menyedari situasi tersebut, situasi ekonomi di dunia. Jadi,
tidak banyak kelab yang mampu untuk membelinya," kata pengendali
kelahiran Denmark itu.
"Ada beberapa kelab di England, dua di Sepanyol tetapi di Itali saya tidak tahu.
"Mereka cuba untuk membeli begitu juga dengan Bayern Munich di Jerman. Jadi, tidak banyak kelab yang mampu.
"Michu seronok bermain di sini. Dia gembira. Jadi, saya tidak bimbang
kerana saya yakin dia akan kekal bersama kami untuk tempoh lima atau
enam bulan akan datang tetapi saya tidak pasti pada musim panas ini.
"Saya tidak tahu berapa nilainya. Tanya pengerusi kelab. Dia
melakukan tawar menawar musim ini, kami menyedarinya tetapi gembira
kerana kami menemui pemain yang tepat.
Ketika diminta mengulas mengenai jumlah gol yang dijaringkan Michu,
Laudrup berkata: "Berdasarkan jumlah jaringan, pasti menakjubkan apabila
kamu tidak pernah terfikir dia adalah seorang penyerang.
"Dia sering kali beraksi di posisi tengah tetapi bila memperoleh
peluang, dia akan menjaringkan gol. Itu sesuatu yang menakjubkan." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan