Selasa, 8 Januari 2013

Imej Harimau Selatan tercalar


KEHADIRAN Guiza (kanan) gagal membantu Johor DT meraih kemenangan ke atas Pahang malam tadi.


IMEJ Johor Darul Takzim (Johor DT) sebagai pasukan yang gah dengan pemain-pemain bertaraf bintang tercalar di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam apabila tewas 2-3 kepada Pahang yang kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim ini.

Pahang yang hampir merayakan gol pertama menerusi tendangan Nikolche Kleckaroski pada minit kesembilan bagaimanapun terpaksa berputih mata apabila jaringan tersebut dibatalkan pengadil atas sebab penyerang Tok Gajah itu merempuh Muhammad Al Hafiz Hamzah yang sudah menangkap bola sebelum ia terlepas dan disambar oleh Nikolche.

Selang seminit kemudian, kekecewaan tersebut semakin dirasai apabila Johor DT meledakkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Safiq Rahim.

Tekanan dihadapi skuad Tok Gajah terus bertambah apabila tendangan Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-25.

Permulaan babak kedua pula menyaksikan cubaan Pahang memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan R. Gopinathan bagi menggantikan Nikolche.

Langkah yang diambil oleh jurulatih Dolah Salleh itu berhasil meniup kebangkitan Pahang apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-48 menerusi rembatan Fauzi Roslan.
Fauzi kemudian sekali lagi memanfaatkan peluang menghasilkan gol kedua Pahang pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Gol penyamaan itu ternyata meniup semangat pemain Tok Gajah yang semakin ghairah melancarkan serangan dan hasilnya, R. Surendran berjaya meledakkan gol kemenangan Pahang pada minit ke-82.
Skuad Harimau Selatan yang tertekan melihat kebangkitan Pahang kemudian cuba memperkemas barisan serangan dengan memasukkan Mohd. Safee Sali pada minit-minit akhir untuk digandingkan bersama Norshahrul.

Harapan Johor DT yang dibimbing ketua jurulatih, Fandi Ahmad bagaimanapun lebur sebaik pengadil Shamsudin Ibrahim meniup wisel penamat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan