KUALA LUMPUR - Kelibat sulung Ahmad Fakri Saarani di bumi Portugal
bersama kelab baharunya, Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC)
mendapat pujian daripada ketua jurulatih, Eduardo Almeida.
Menjadi perancang kepada gol ketiga Atletico SC semasa menang 3-2 ke
atas CF ESP Lagos Ahad lalu, Fakri telah berjaya mendapatkan kepercayaan
Eduardo untuk beraksi 90 minit di samping melihat ada potensi besar
yang ada pada diri terhadap pemain Harimau Malaya tersebut.
Jelasnya, pemain berusia 23 tahun ini hanya memerlukan sedikit masa
untuk menyesuaikan diri bersama pasukan barunya di Portugal termasuk
soal bahasa dan cuaca.
"Pemain ini mempunyai potensi besar selepas apa yang saya perhatikan
pada perlawanan ini dan saya yakin dia mempunyai masa depan yang cerah
untuk menjadi pemain yang berjaya.
"Dia ada beberapa kualiti tersendiri seperti pantas dan cukup rajin
membantu rakan sepasukan di segenap posisi walaupun bertindak sebagai
pemain serangan," katanya.
Menurut Eduardo, Fakri perlu cepat belajar memahami corak permainan
bola sepak di Eropah supaya dia mampu beraksi lebih cemerlang serta
menyerlahkan potensi sebenar yang ada pada dirinya.
"Masalah yang Fakri alami di sini ialah dia masih cuba mempelajari
sistem bola sepak Eropah dan itu mungkin mengambil sedikit masa.
"Saya yakin lambat-laun dia akan berjaya di sini dan menjadi antara pemain utama kepada kelab ini," katanya.
Fakri yang baru memperolehi sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada
6 Januari lalu diturunkan sebagai penyerang sokongan dalam perlawanan
tersebut oleh Eduardo.
Buat masa ini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pengurus
peribadinya iaitu Faisal Zakariah, Fakri buat masa sekarang sedang
mempelajari bahasa Portugal bagi memudahkan di berkomunikasi dengan
rakan sepasukan.
"Dalam masa terdekat, dia sudah boleh memahami serba sedikit bahasa
Portugal dan itu penting supaya dia dapat beraksi lebih selesa,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan