LONDON - AC Milan bakal menawarkan Mario Balotelli jalan keluar dari
Manchester City seandainya mereka sendiri dapat mengeluarkan Robinho
pada pasaran perpindahan bulan ini.
City sedia menjual Balotelli selepas bintang penyerang itu terlibat
dengan kontroversi terbaru bersama pengurus pasukan, Roberto Mancini.
Begitupun cabaran terbesar yang dihadapi juara Liga Perdana Inggeris
itu adalah cuba mencari pembeli yang sanggup membayar sekurang-kurangnya
25 juta pound (RM122.5 juta).
Gergasi bola sepak Itali itu sedia menjadikan perpindahan itu berjaya
dengan syarat, ada ruang kosong dalam skuad mereka dan seseorang perlu
dikorbankan, iaitu Robinho.
Mereka sudahpun menjual penyerang Brazil, Pato ke Corinthians pada
awal bulan ini dengan harga 12 juta pound (RM58.8 juta) tetapi ironinya,
Robinho pula menjadi penghalang terbesar untuk membawa masuk Balotelli.
Di England, City amat berharap sesuatu dapat dilakukan untuk
'menghapuskan' Balotelli, pemain yang sekali lagi mencuri tumpuan
jurugambar semalam apabila tampil ke sesi latihan dengan rambut berwarna
perang. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan