Isnin, 7 Januari 2013

Suarez cetus kontroversi



SUAREZ (dua dari kanan) mencetuskan kontroversi baharu apabila menjaringkan gol menggunakan tangan ketika Liverpool menewaskan Mansfield Town 2-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium One Call awal pagi semalam.


MANSFIELD - Pengendali Liverpool, Brendan Rodgers seolah-olah pasrah dengan kontroversi yang sering menyelubungi penyerangnya, Luis Suarez.

Penyerang kelahiran Uruguay itu mencetuskan kontroversi baharu apabila menjaringkan gol kedua dengan menggunakan tangan ketika skuad The Reds menewaskan Mansfield Town 2-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium One Call awal pagi semalam.

Sejak menyarung jersi Liverpool pada Januari 2011, Suarez sering mencetuskan kontroversi dan Rodgers mengakui mengenai perkara itu.

"Sudah nasib Suarez. Saya yakin isu seperti ini tidak akan timbul sekiranya ia membabitkan pemain lain.
"Bagaimanapun, saya yakin konsentrasi Suarez tidak terjejas dengan kontroversi seperti itu," katanya.

Suarez sering didakwa berlakon selepas dengan sengaja merebahkan badan semata-mata untuk mendapatkan sepakan penalti.

Dia juga pernah didenda Persatuan Bola Sepak (FA) England kerana didapati bersalah melemparkan kata-kata berunsur perkauman terhadap pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra.

Pada aksi menentang Mansfield, Suarez yang beraksi sebagai pemain gantian pada babak kedua menyambut hantaran Stewart Downing sebelum bola terkena tangan pada minit ke-59.

Sebelum itu Liverpool sedang mendahului 1-0 hasil jaringan pemain baharu, Daniel Sturridge pada babak pertama manakala gol sagu hati tuan rumah diperoleh menerusi Matt Green pada minit ke-79.

Begitupun, Rodgers tidak mahu semua pihak menyalahkan Suarez kerana jaringan itu disahkan pengadil perlawanan, Andre Marriner.

"Bukan salah Suarez apabila jaringan itu disahkan biarpun terkena tangan. Itu kerja pengadil," kata Rodgers.
Pada masa sama, Rodgers juga berharap bakat yang dimiliki Suarez perlu diambil kira berbanding kontroversi.

"Sudah tiba masanya kita menghargai kehebatan yang dimiliki Suarez.
"Dia merupakan seorang pemain bola sepak yang cukup profesional, itu yang perlu diambil kira," tegasnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan