PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangan pada
Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea 2013 apabila mudah
menempah slot ke separuh akhir semalam.
Chong Wei mara selepas dia mencatatkan kemenangan ke atas pemain Hong Kong, Hu Yun 21-15, 21-17 dalam 32 minit.
Lebih menarik, pilihan pertama kejohanan itu terus melebarkan lagi
rekod kemenangannya ke atas Hu Yun untuk kali kelima berturut-turut
sejak pertemuan mereka pada Piala Sudirman 2009 di Guangzhou, China.
Pemain berusia 30 tahun itu dijadualkan menentang seorang lagi jaguh
dari Hong Kong, Wong Wi King yang turut mara ke separuh akhir hari ini.
Wi King melangkah ke kelompok empat pemain terbaik selepas dia
menundukkan pemain muda negara, Chong Wei Feng 21-5, 17-21, 21-15 dalam
satu lagi aksi separuh akhir semalam.
Wei Feng sempat mempamerkan kebangkitan untuk memenangi set kedua
dengan kelebihan empat mata, namun pemain berusia 26 tahun itu disekat
Wi King pada set ketiga.
Sementara itu, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong
turut menepati ramalan apabila menewaskan pemain China, Liu Xiaolong-Qiu
Zihan 21-12, 21-19.
Meskipun Kien Keat-Boon Heong dilihat mudah mencatatkan kemenangan
straight set, namun beregu No.2 dunia itu juga dipaksa 'bermandi peluh'
sebelum mengesahkan aksi suku akhir itu milik mereka.
Begitupun, Kien Keat-Boon Heong bakal berdepan laluan yang sukar hari
ini apabila mereka dijadualkan bertemu dengan beregu tuan rumah, Ko
Sung Hyun-Lee Yong Dae pada aksi separuh akhir.
Untuk rekod, kedua-dua gandingan tersebut pernah bertemu dua kali
sebelum ini dan perlawanan terakhir antara mereka menyaksikan Sung
Hyun-Yong Dae yang meraih kemenangan.
Kien Keat-Boon Heong menang 8-21, 21-16, 21-19 pada pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Denmark 2012, Oktober lalu.
Pada aksi suku akhir semalam, Sung Hyun-Yong Dae mara selepas mereka
menewaskan beregu muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah 21-16, 21-10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan