|
“SAYA pejuang dan saya akan berjuang untuk pembangunan bola sepak Malaysia.”
Demikian titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan
Ahmad Shah (gambar kecil) ketika diminta mengulas desakan pihak tertentu
supaya baginda meletakkan jawatan dalam badan induk bola sepak negara.
Desakan tersebut timbul berikutan prestasi pasukan kebangsaan yang
merosot sejak kebelakangan ini terutama ketika pusingan separuh akhir
Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Sultan Ahmad Shah bertitah, terdapat banyak keutamaan yang perlu
dilakukan untuk memperbaiki mutu pasukan negara supaya tidak ketinggalan
khususnya di pentas Asia.
“Kita tidak mahu ketinggalan. Kita perlu berusaha dan memberi harapan
baharu kepada para pemain. Untuk tujuan itu, saya akan memikul
tanggungjawab sebagaimana diberikan.
“Saya mahu baiki kedudukan bola sepak kita di Asia. Ia adalah sukan
yang penuh dengan persaingan. Dalam bola sepak, ada menang dan ada
kalah.
“Mungkin nasib (pasukan) kita tidak baik ketika ini. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima
memorandum sokongan daripada kira-kira 100 ahli Badan Bertindak
Menyokong Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM di Pangkalan Tentera
Udara Diraja Malaysia di Kuantan, Pahang semalam.
Tambah Sultan Ahmad Shah lagi, baginda tidak akan berputus asa untuk terus berusaha memajukan sukan bola sepak di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi badan bertindak tersebut, Hafizan Hassan
berkata, pihaknya akan terus menyokong Sultan Ahmad Shah untuk menerajui
FAM.
“Kami yakin Sultan Ahmad Shah mampu memimpin FAM dengan baik. Tidak
wajar bagi mana-mana pihak untuk menyalahkan baginda setiap kali skuad
negara tewas.
“Isu ini juga dilihat sebagai cubaan untuk menyerang kewibawaan
baginda dan kita amat tidak bersetuju dengan desakan seperti itu,” tegas
beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan