PENYERANG berbisa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James
berjaya menutup mulut pengkritik sebaik meledak hatrik semasa membantu
pasukannya membenam cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di
Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Selepas dikritik hebat gara-gara beberapa kali mensia-siakan peluang
keemasan semasa pasukannya tewas 0-1 kepada Lions XII dalam aksi pembuka
tirai liga minggu lalu, Marlon kembali membuktikan sentuhannya masih
berbisa sekali gus membantu ATM membawa pulang tiga mata berharga.
Begitupun, Marlon enggan mendabik dada dengan ledakan hatrik
tersebut, sebaliknya menegaskan misi memburu kemenangan menjadi
keutamaannya musim ini.
“Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol, tetapi yang lebih utama ialah berjaya membantu ATM memenangi perlawanan.
“Sejujurnya, saya tidak ambil peduli berapa jumlah gol yang berjaya
saya hasilkan asalkan ATM membawa pulang tiga mata penuh,” kata Marlon.
Dalam perlawanan itu, ATM terlebih dahulu di depan seawal minit
kelapan apabila Marlon tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas
bola dikatakan terkena tangan salah seorang pemain PKNS.
Begitupun, PKNS kembali menyamakan kedudukan menerusi Fazli
Baharuddin pada minit ke-27 dan kedudukan kekal 1-1 pada separuh masa
pertama.
Namun, ketiadaan penyerang import, Patrick Ronaldinho yang
diperintahkan keluar padang pada minit ke-60 gara-gara mengutip kad
kuning kedua selepas didakwa sengaja merebahkan badan jelas mengundang
padah buat PKNS.
Hasilnya, ATM kembali menguasai perlawanan sebelum Marlon meledak dua lagi gol pada minit ke-64 dan 71.
“Saya harap jaringan hatrik ini dapat menyuntik moral saya supaya
memberikan yang terbaik serta berterusan menjaringkan gol dalam
perlawanan akan datang,” kata Marlon.
Selepas ini, ATM bakal melayan kunjungan pasukan berstatus kelab,
T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok sementara PKNS
menanti kunjungan Lions XII di Stadium Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan