MENYEDARI tugas berat yang bakal dihadapi menjelang kempen kelayakan
Piala Asia 2015, Datuk K. Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya
sedia mengintip kekuatan pasukan lawan.
Menurut Rajagobal, misi baharu skuad negara adalah untuk memperbaiki
rekod buruk selain menyahut cabaran baharu bagi bersaing dengan
pasukan-pasukan gergasi pada peringkat Asia.
Jelasnya, beliau menuntut semangat dan keazaman daripada barisan
pemainnya dalam usaha melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala
Asia 2015 yang bakal berlangsung di Australia.
"Saya akan ke Bahrain untuk menyaksikan aksi Yemen, Bahrain dan Qatar
yang akan beraksi dalam satu kejohanan di sana (Bahrain) dan saya akan
mencari sedikit maklumat tentang kekuatan mereka.
"Saya fikir, jika kami mampu memperbaiki rekod lalu, ia sudah boleh
dianggap satu perubahan positif dan kami tahu ia bukan mudah untuk
menentang mereka.
"Sebagai jurulatih, sudah tentu kita akan membuat yang terbaik. Kita
kena faham dan terima hakikat bahawa pasukan-pasukan (yang bertanding
Piala Asia 2015) berada pada tahap yang lebih tinggi," katanya pada
sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Harimau Malaya bakal menjalani sesi latihan pada 26 Januari ini
sebelum menentang Iraq pada satu aksi persahabatan di UAE pada 1
Februari depan.
Pada saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2015, skuad negara diundi
dalam Kumpulan D dan mereka bakal memulakan aksi pertama menentang
Qatar (6 Februari) di Doha sebelum melayan kunjungan Yemen di laman
sendiri pada 22 Mac depan.
Mengulas lanjut, Rajagobal mendedahkan, pengalaman yang diraih skuad
kendaliannya pada aksi Piala Suzuki AFF 2012 bakal dimanfaatkan
sepenuhnya pada pentas Asia kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan