PAHANG bakal beraksi tanpa bantuan pemain import pada aksi menentang
Felda United di Stadium Majlis Bandaraya, Petaling Jaya petang ini.
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh dengan nada penuh berahsia
berkata, perkara tersebut bagaimanapun masih dalam pertimbangan dan
beliau belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
“Kebetulan (semasa pertemuan dengan Johor DT) nasib kita lebih baik
pada malam itu selepas cuba untuk bermain tanpa pemain import pada
separuh masa kedua.
“Felda United bukan calang-calang pasukan, oleh itu kita tidak boleh
membuat ‘eksperimen’ untuk bermain dengan pemain tempatan sahaja.
“Ada pemain import atau tidak, ia belum diputuskan dan biarlah
menjadi rahsia sehingga perlawanan itu bermula nanti,” katanya ketika
dihubungi semalam.
Pada Selasa lalu, Pahang menang 3-2 ke atas Johor DT di Stadium Darul
Makmur, Kuantan tanpa bantuan pemain import pada separuh masa kedua
meskipun ketinggalan 2-0 pada babak pertama.
Ujar Dollah lagi, keperluan paling utama yang dipersiapkan pasukannya
bagi menghadapi Felda United ialah kemampuan pemain untuk memberi fokus
sepenuhnya kepada perlawanan.
“Matlamat kita adalah untuk mengutip tiga mata. Untuk mencapai
matlamat itu, setiap pemain harus memperbaiki rentak permainan
masing-masing.
“Kita memang waspada dengan Felda United kerana mereka juga sentiasa
tampil dengan kekuatan yang sukar untuk diramal,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan