RESTENBURG, Afrika Selatan - Kapten Ivory Coast, Didier Drogba mengakui yang skuad The Elephants menghadapi kesukaran untuk menjadi juara pada kempen Piala Negara-Negara Afrika tahun ini.
Drogba menyuarakan kebimbangan itu meskipun Ivory Coast berjaya menewaskan Togo 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan D kelmarin.
"Sudah tentu kami mahu menjadi juara pada edisi kali ini tetapi 15 pasukan lain turut memasang impian yang sama.
"Ia akan menjadi lebih sukar seperti perlawanan ini (menentang Togo)
dan kesukaran itu akan bertambah. Apa yang pasti, kami akan memberikan
persembahan terbaik," kata Drogba.
Ivory Coast yang membuat penampilan kelima sejak 2006, dilabel selaku pasukan pilihan pada kempen kali ini.
Skuad The Elephants muncul naib juara sebanyak dua kali
sepanjang empat penampilan terakhir sebelum sekadar mara ke separuh
akhir pada 2008 dan suku akhir (2010).
"Orang ramai mahukan kami memenangi semua perlawanan dan ia tidak mustahil.
"Ini adalah permainan bola sepak dan segala-galanya boleh berlaku," kata Drogba.
Bekas pemain Chelsea itu berkata, meskipun Ivory Coast menduduki
ranking tertinggi di Afrika, dia tidak memandang rendah cabaran pasukan
lain.
"Ia adalah satu perlawanan yang sukar tetapi kami sudah menjangkakannya.
"Togo memberikan tentangan yang sengit tetapi kami juga kerap
melakukan kesilapan. Saya berharap kami dapat memperbaiki kelemahan itu
bagi menghadapi aksi seterusnya.
"Apa pun, kemenangan 2-1 adalah satu kejayaan yang cukup bermakna buat kami."
Pada perlawanan tersebut, Yaya Toure meletakkan Ivory Coast di depan
pada minit kelapan sebelum Gervinho menyumbat gol kemenangan pasukan itu
(ke-88).
Gol sagu hati Togo diperoleh menerusi Jonathan Ayite pada masa kecederaan babak pertama. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan