Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
BAGI mereka yang tidak mengenali Wan Sharmila, pastinya tidak tahu
bahawa dia pernah berkahwin sebelum ini. Pemilik nama penuh Wan Sharmila
Wan Muhamad ini pernah berumahtangga tetapi malangnya ikatan
perkahwinan itu tidak kekal lama.
Menurut Wan Sharmila, biarpun sudah kira-kira tiga tahun hidup
sebagai wanita bujang, dia tidak berasa terdesak untuk mencari pengganti
kerana mahu terus fokus kepada karier terlebih dahulu.
"Buat masa ini, saya lebih selesa dengan kehidupan seperti ini,
sangat selesa. Apa yang penting, tiada halangan untuk pergi ke mana-mana
dan dengan sesiapa saja saya boleh berkawan," katanya yang mengakui
gelaran janda tidak langsung memberi masalah kepada dirinya.
Bagaimanapun jangan salah anggap. Meskipun pernah melalui episod
kegagalan dalam pernikahan, Wan Sharmila masih percaya kepada institusi
perkahwinan.
"Tidak bermakna saya enggan berkahwin semula. Keinginan untuk ada
pasangan, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri itu tetap ada, cuma
mungkin tidak dalam waktu terdekat ini," jelasnya yang mengakui masih
belum mempunyai teman pengganti.
Sebelum ini juga, Wan Sharmila mengakui bukan tiada individu yang
cuba mendekatinya, tetapi amat sukar buatnya untuk menjalinkan hubungan
secara serius kerana tertanya-tanya apakah pihak lelaki itu serius
bersamanya.
"Tidak dinafikan, kadangkala memang ada lelaki yang cuba mendekati
tetapi sukar bagi saya untuk menerima mereka kerana saya akan sering
tertanya-tanya kejujuran mereka.
"Saya juga bukanlah semakin muda, jadi saya mahukan suatu hubungan
yang serius dan lelaki yang boleh dijadikan suami bagi menjaga kehidupan
saya di masa akan datang," jelasnya lagi.
Melihat pada susuk fizikal pelakon wanita ini, pastinya ada pihak
akan mengandaikan bahawa dia baru berumur awal 20-an tetapi sebenarnya,
wanita bertubuh kecil molek ini sudah berusia 31 tahun.
Selain itu, wanita yang banyak membintangi drama dengan penampilan
remaja ini sudah layak dianggap antara pelakon berbakat tanah air
berbekalkan pengalaman yang telah ditimbanya selama ini.
Suka jadi jahat
Terdapat pelbagai watak dalam dunia lakonan, dan pastinya kebanyakan
pelakon mahu membawakan watak utama sebagai hero dan heroin dalam
sesebuah drama mahupun filem.
Tetapi berbeza bagi wanita bertubuh kecil molek ini yang mengakui
bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawakan watak jahat
dalam mana-mana drama.
Malahan menurut Wan Sharmila, setelah beberapa tahun sering
membawakan watak jahat, ia bagaikan sudah sebati dengan dirinya kerana
baginya, ia merupakan suatu tugas yang perlu dilaksanakan dengan
sebaiknya.
"Saya bukanlah seorang pelakon yang terlalu memilih untuk membawakan
mana-mana watak, tetapi hampir kebanyakan tawaran lakonan yang diberikan
kepada saya merupakan watak jahat.
"Sebagai pelakon, itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memikul tugas tersebut dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
"Selain itu, saya juga tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak
jahat yang diberikan kerana ia sudah sebati dengan diri saya," ujarnya.
Sungguhpun begitu tambah Wan Sharmila, itu tidak bermakna dia
merupakan seorang wanita jahat atau kasar kerana watak sedemikian hanya
dihidupkannya dalam layar kaca.
"Walaupun saya berkata sudah selesa membawakan watak jahat, itu tidak
bermakna saya seorang yang mempunyai keperibadian seperti itu.
"Ini menunjukkan bahawa lakonan saya sebagai wanita jahat berkesan
dan diterima secara baik oleh penonton, jika tidak masakan saya
berterusan ditawarkan membawa watak sedemikian," katanya yang pernah
berlakon dalam drama Sindarela dan Emil Emilda.
Apabila sudah lama melakonkan watak tertentu, pastinya seseorang
pelakon itu mengidamkan untuk membawa watak tersebut ke suatu dimensi
berbeza, itu jugalah yang diingini wanita yang dilahirkan di Johor Bahru
ini.
Tambah Wan Sharmila, jika diizinkan, dia mahu membawakan watak seorang wanita jahat yang sejahat-jahatnya.
"Walaupun sudah banyak melakonkan watak seperti itu, tetapi sehingga
kini saya masih belum berpeluang melakonkan watak yang benar-benar jahat
mengikut keinginan saya.
"Selain itu, saya juga berminat untuk bekerjasama dengan Nabila Huda, anak kepada penyanyi legenda tanah air, Amy Search.
"Sebelum ini kami berdua juga pernah berbincang, mahu berganding
dalam mana-mana drama sebagai adik-beradik yang jahat," katanya
berseloroh.
Pelakon yang turut membintangi drama Kisah Kaisara, Tipah Vavavoom dan Rona Roni Makaroni ini turut mengakui dia tidak mempunyai masalah jika masyarakat melabel dia sebagai wanita jahat kerana watak lakonannya.
"Jika diberi gelaran sebegitu, saya menganggap ia satu pujian kerana
lakonan saya dalam drama berkesan dan menjadi sehingga meninggalkan
impak sedemikian kepada penonton," tambahnya.
Tambah pelakon ini lagi, jika terdapat tawaran bersesuaian, dia juga
mempunyai keinginan untuk membawakan watak wanita yang baik kerana
pengalaman membawakan watak berbeza pasti membantu meningkatkan lagi
mutu lakonannya di masa hadapan.
Cabaran jadi ibu
Sungguhpun sudah berusia 31 tahun dan juga pernah menjadi isteri
sebelum ini, tetapi Wan Sharmila mengakui bahawa antara cabaran besar
dalam karier lakonannya adalah untuk menjayakan watak sebagai seorang
ibu.
"Walaupun saya tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak sebagai
seorang gadis remaja dan juga watak jahat, tetapi watak sebagai ibu
sungguh mencabar saya.
"Ini mungkin kerana saya tidak mempunyai benyak pengalaman bersama
kanak-kanak. Jadi, untuk menjayakan watak itu, saya merujuk kepada
rakan-rakan sebaya saya yang sudahpun bergelar ibu.
"Tetapi jika mahukan saya membawa watak sebagai kanak-kanak, itu
tidak menjadi masalah buat saya kerana perangai saya memang sedemikian,"
katanya sambil ketawa kecil.
Wan Sharmila juga menegaskan dalam memikul watak sebagai ibu, mimik
muka dan intonasi suara banyak memainkan peranan dan itulah aspek yang
sedikit mencabar dirinya sebagai pelakon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan