GIGGS (kiri) dan Rooney (dua dari
kiri) antara pemain yang mengikuti sesi latihan pertama Moyes di padang
latihan Carrington, Manchester kelmarin.
LONDON - David Moyes memulakan era baharu di Manchester United
apabila mengendalikan sesi latihan bersama skuad tersebut di padang
latihan Carrington, Manchester kelmarin.
Pengurus baharu United itu dibantu penolongnya, Steve Round dan
dilihat menggunakan pendekatan berbeza dengan Alex Ferguson yang lebih
memberikan kuasa kepada dua jurulatihnya, Mike Phelan dan Rene
Meulensteen mengendalikan sesi latihan mereka sebelum ini.
Penyerang kontroversi, Wayne Rooney dan pemain baharu, Wilfried Zaha
serta pemain merangkap jurulatih, Ryan Giggs antara tonggak yang
mengikuti sesi latihan itu.
Zaha, 20, kelihatan bersemangat untuk memikat hati Moyes pada sesi
latihan itu meskipun timbul laporan bahawa dia mungkin akan dipinjamkan
ke kelab lain bagi mengutip pengalaman selepas melengkapkan perpindahan
bernilai £15 juta (RM71.1 juta) dari Crystal Palace.
Meskipun memiliki reputasi sebagai pengurus yang berhemah dan
berdisiplin serta tidak terlalu banyak memberi perhatian kepada perkara
remeh-temeh, Moyes terpaksa menerima tradisi yang perlu diteruskannya.
"Saya berada di sebuah kelab yang mana perkataan kejayaan adalah sebati dengan lambang kelab ini.
"Saya mahu kami bermain dengan cara yang sama dan tradisi yang sama
iaitu mempamerkan permainan yang menghiburkan serta mengujakan.
"Namun, saya sentiasa katakan bahawa perkara paling penting dalam bola sepak ialah kemenangan.
"Saya akan terus meletakkan kemenangan sebagai keutamaan dalam kelab ini," kata Moyes. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan