MANCHESTER - David De Gea bakal menerima kenaikan gaji sebagai ganjaran ekoran prestasi cemerlangnya di Manchester United, musim lepas.
Penjaga gol itu yang masih memiliki kontrak sehingga 2016, menerima 
bayaran di Old Trafford sebanyak 55,000 pound (RM264,266) seminggu.
Namun, United merancang untuk berunding dengan wakil pemain berusia 
22 tahun itu pada musim panas ini bagi membincangkan kenaikan gajinya 
kepada 75,000 pound (RM360,362) dan mengenai perpindahannya ke 
Barcelona.
Pemain Sepanyol itu, yang baru selesai membantu negaranya menjulang 
Kejuaraan Eropah Bawah 21 tahun, pernah dikaitkan menjadi calon 
pengganti penjaga gol Barca, Victor Valdes sebelum dia memutuskan untuk 
kekal lagi setahun.
De Gea masih memiliki peminat yang ramai di Nou Camp dan United amat 
sedar dia merupakan pengganti terbaik apabila Valdes akhirnya 
meninggalkan kelab tersebut.
United berharap dengan kenaikan gaji beserta penyambungan kontrak 
selama dua tahun, akan memaksa Barcelona menghala pencarian mereka ke 
tempat lain iaitu penjaga gol Liverpool, Pepe Reina yang merupakan 
alternatif terbaik.
De Gea bernilai 17.8 juta pound (RM85.5 juta) sewaktu United 
membelinya dari Atletico Madrid dua tahun lalu, bermula dengan prestasi 
yang agak goyah sewaktu memulakan kariernya di Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, pada penggal lalu dia merupakan bintang United yang 
mempamerkan permainan cemerlang bagi membantu kelab itu merangkul 
gelaran liga kali ke-20 dan dinamakan sebagai Pemain Terbaik United 
musim lalu.
Kepulangan De Gea untuk menyertai sesi latihan pra-musim di bawah 
kendalian boss baru, David Moyes ditangguhkan kerana dia hanya 
menamatkan musimnya 12 hari lalu iaitu sewaktu Sepanyol menundukkan 
Itali 4-2 pada perlawanan akhir Bawah 21 tahun di Israel.
Sementara itu, United juga dikhabarkan memburu bintang muda Turki, 
Salih Ucan yang beraksi pada Piala Dunia Bawah 20 tahun. Namun, 
perpindahan pemain tengah Fenerbahce berusia 19 tahun itu mungkin 
membabitkan kos 17.1 juta pound (RM82 juta) seperti yang tercatat dalam 
klausa kontraknya bersama kelab gergasi Turki tersebut.  - Agensi
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan